Melbourne, Aku Ingin Pulang
Bab 13- Masih hebatkah cinta insan bernama
lelaki?...
Waktu
semakin pantas berlalu, meninggalkan manusia dengan perancangan
masing-masing. Majlis pernikahan Haykal
Suffian semakin hampir. Tempoh dua
minggu makin mendesak Suffian untuk meleraikan perasaan sayang dan cintanya terhadap
Adelia. Apa yang ada sebagai pilihan Suffian
kini? Pilihan cuma satu, menunaikan
janji cinta kepada Amanda dan menguburkan perasaannya yang mulai disedarinya
terhadap Adelia. Suffian akur dengan
ujian yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Mencintai adiknya sendiri di saat dirinya berada di ambang perkahwinan
dengan orang lain. Hati Suffian selalu
berkata-kata dan mengajukan pertanyaan kepada Suffian.
“Mampukah kau menguburkan perasaan kau
terhadap Adelia? Bolehkah kau melihat
Adelia bersama orang lain di depan matamu?
Mampukah kau berbuat demikian?”
“Papp!”Adelia menepuk kedua belah tapak
tangannya di depan Suffian. Suffian
terjaga dari khayalannya yang panjang.
“Abang fikir apa lagi ni? Mesti takut bajet lari nak shopping dengan
adik kan?”Adelia melabuhkan punggungnya di sofa bersebelahan dengan
Suffian. Suffian mengesot sedikit ke
tepi apabila menyedari Adelia terlalu hampir dengan dirinya. Adelia menjeling Suffian setelah menyedari
tindakan abangnya itu.
“Adik wangi sangatkah? Kenapa abang duduk jauh-jauh ni?”Adelia
sengaja mengesot mendekati Suffian bagi melihat tindak balas dari Suffian.
“Haa wangi sangat. Sakit hidung abang. Entah perfume apa adik pakai entah. Jom, nanti tak cukup masa pulak nak ronda
satu Suria KLCC tu. Adik dah minta izin
mak cik nak merayap ni?”Suffian memandang Adelia dengan penuh perasaan
tanggungjawab. Adelia bangun serta-merta
dari sofa dan berlari ke arah dapur.
Suffian
menanti Adelia dengan sabar di dalam kereta.
Setelah hampir sepuluh minit menanti akhirnya Adelia muncul di luar
pintu banglo dengan wajah yang berseri-seri.
“Sorry!
Lambat sikit. Adik pujuk ibu
supaya nak sesuatu. Akhirnya
berjayass! Yes!”Adelia berkata dengan
nada gembira sejurus masuk ke dalam perut kereta.
“Mak cik nak apa?”Suffian turut
merasakan kegembiraan yang dirasai oleh Adelia.
Wajah Adelia berubah.
“Mak cik nak apa?”Suffian mengulangi
soalannya.
“Aduyai.
Ibu tak cakap. Dia cakap beli lah
apa pun. Adik tanya ibu balik ya?”Adelia
bertanya laju kepada Suffian.
“Jangan ngada. Ni dah lambat ni. Nanti kita fikirlah nak beli apa untuk mak
cik. Kalut betullah Si Bedah sorang
ni,”Suffian ketawa.
Suffian mula memandu keluar dari halaman
banglo. Hatinya benar-benar riang hari itu.
Satu-satunya hari yang ditunggunya untuk bersama dengan Adelia. Selepas ini, Suffian tidak akan menjangkakan
bilakah akan dapat bersama berdua lagi bersama Adelia selepas statusnya
bertukar menjadi suami Amanda. Suffian
amat pasti banyak perkara yang mengalami perubahan setelah dirinya berkahwin
kelak.
“Adik beli kasutlah untuk ibu? Boleh tak?”
“Ikut suka adiklah. Abang ikut saja. Ni, adik nak beli apa ni? Abang takut card kredit abang decline nanti.”
“Entah.
Cuma yang pasti adik nak bersama-sama shopping dengan abang sebelum
abang kahwin. Adik takut tak boleh lagi
buat macam tu lepas abang kahwin. Lagi
satu adik takut abang berubah. Kesian
adik. Adelia Saffiya ni dah lah tak ada
boyfriend,”Adelia akhirnya ketawa setelah berkata dengan nada serius.
Suffian tenang mendengar kata-kata
Adelia walaupun di dalam hatinya bergelora.
Terdapat kebenaran di dalam kata-kata Adelia itu. Kearkrabannya bersama Adelia tentunya
terbatas dengan kehadiran Amanda di dalam hidupnya nanti.
Suria
KLCC.
“Kasut ni?”Suffian bertanya kepada
Adelia dengan mimik muka nakal. Adelia
kurang mengerti maksud mimik muka yang dipamerkan oleh Suffian. Adelia mengangkat keningnya tanda bertanya
apakah maksud sebenar Suffian. Suffian
mendekati Adelia.
“Adik kesayangan abang, nak kasut jenama
‘Vincci’ saja? Biar betul?”Suffian
berbisik perlahan, lagak seorang kekasih sewaktu melafazkan kata cinta kepada
pasangannya.
“Kenapa pulak? Cantik dan seksi kasut-kasut kat sini. Murah pulak.
Yang penting tahan lama tau. Ni untuk
ibu. Cantik tak?”
“Tentulah cantik. Adik abang kan pandai pilih. Cuma tak pandai pilih boyfriend! Abang rasa tentu Johan dah give-up sekarang
ni. Adik, are you sure tak nak bagi
peluang kat jejaka malu-malu kucing tu?”Suffian menghadiahkan sebuah senyuman
tawar kepada Adelia, menyedari keraguan di dalam hatinya untuk melepaskan
Adelia kepada Johan sahabatnya sendiri.
Adelia dan Suffian keluar dari butik kasut jenama ‘Vincci’ secara
beriringan. Tanpa mereka sedari,
terdapat sepasang mata yang memerhatikan mereka berdua. Lufya tersenyum sinis melihat kemesraan di
antara Suffian dan Adelia. Tekaan Lufya
ternyata ada kebenarannya.
“Abang
makan kek saja for lunch? Ni kisah benar
atau drama ni?”Adelia bertanya curiga apabila mendengar pesanan yang dibuat
oleh Suffian. Suffian mengangguk sambil
tersenyum manis.
“Rindu nak makan classic cheese
kegemaran adik. Adik yang ajar abang
makan kan? Ingat lagi?”
“Ni mesti nak diet biar handsome waktu
sanding. Macamlah adik tak tau! Tapi kan abangku sayang, Mr.Haykal Suffian dah
cukup sempurna di mata adik. Cukup keren
bangat kata cewek-cewek Indon,”Adelia ketawa.
“Handsome tapi merana, buat apa?”Suffian
menjawab spontan usikan Adelia.
“Merana?”Adelia begitu terkejut dengan
kata-kata yang keluar dari mulut Suffian.
Suffian menyedari keterlanjuran akan kata-katanya itu.
“Meranalah tak dapat Neelofa. Kena jadi Hans Isaac ni. Barulah dapat pikat si cantik manis
tu,”Suffian ketawa. Ketawa yang dipaksa
oleh Suffian untuk keluar.
“Lupakan Si Neelofa tu. Kan Amanda lagi vogue gitu!”Giliran Adelia
ketawa dan ketawa yang keluar dari mulut Adelia ternyata ikhlas tidak seperti
ketawa Suffian yang palsu.
Hidangan
makan tengahari kepunyaan Adelia telah tiba.
‘Chicken steak burger with fries’ di dalam pinggan kepunyaan Adelia
ditenung lama oleh Suffian.
“Macam sedap burger adik tu. Kita tukar nak?”Suffian tiba-tiba bersuara
yang tentunya membuat Adelia ketawa besar.
Adelia tidak berkata apa-apa, sebaliknya menggamit pelayan restoran
‘Secret Recipe’ tersebut kembali ke meja makan.
“Adik pilihkan menu untuk abang ekh? Classic cheese tu kita kongsi nanti. Err, satu ‘stewed aussie beef steak’. Cepat sikit tau. Abang i dah kelaparan,”Adelia mengakhiri
pesanan yang dibuat diikuti dengan usikan terhadap Suffian. Suffian yang diam, memerhatikan gadis manis
yang ceria di depannya itu. Gadis yang
tidak pernah mengerti gelodak dan gelora hati lelaki milik Suffian. Adelia menggigit burger ayamnya dengan rakus. Suffian masih memerhatikan gelagat Adelia.
“Nah, abang makan fries adik. Laparlah tu.
Nak makan kek saja konon.”
Adelia menolak perlahan pinggannya ke arah
Suffian. Suffian tersenyum mesra
menyambut pemberian ikhlas dari Adelia.
Kentang goreng dijamah perlahan oleh Suffian. Suffian merasakan itu lah kentang goreng yang
paling lazat yang pernah dijamahnya.
“Nak sikit?”Adelia menghulurkan burger
di tangannya. Suffian menggelengkan
kepalanya.
“Jual mahal lah tu. Nanti menyesal baru tau.”
“Kali ni tak menyesal. Steak abang sure lebih sedap. Jangan adik cuba minta pulak ya!”
“Amboi, adik yang tolong pilih dan
order, kerek pulak abang!”
Tengahari
itu Suffian benar-benar gembira menghabiskan waktunya bersama Adelia. Suffian begitu berat hati untuk pulang petang
itu dari pusat membeli-belah terkenal tanah air tersebut.
“Adik nak apa lagi?”Suffian memandang
wajah Adelia lembut.
“Nampak ni. Jari adik putus nanti tak larat nak bawak
‘paper bag’.”
“Tak apa. Abang boleh tolong bawa. Siapa yang jual mahal sebenarnya?”
“Apa yang special dengan hotel JW
Marriott?”
“Kenapa adik tanya pulak?”Suffian
bernada pelik dengan soalan Adelia yang tiba-tiba. Adelia menghulurkan beg-beg kertas berisi
pakaian dan kasut kepada Suffian.
Suffian menyambutnya.
“Abang yang pilih hotel tu for
resepsi?”Soalan Adelia semakin menuntut jawapan dari Suffian.
“Kak Amanda adik yang pilih. Kenapanya?”
“Saja tanya. Kan adik anti-Amerika,”Adelia ketawa.
“Habis yang lain-lain tu? Mc’ Donalds, Secret Recipe semua. Dah check dari mana asalnya?”Suffian membalas
kata-kata Adelia dengan senyuman sinis.
Adelia
terlena di dalam kereta. Suffian
tersenyum melihat adiknya yang seharian membeli-belah. Mengenali dan menyayangi Adelia sudah terlalu
lama, sama lamanya dengan usia Adelia.
Namun menyedari mencintai adiknya itu masih baru dan hijau. Perasaan pilu tiba-tiba datang menerjah lubuk
hati Suffian. Entah bila kemesraan waktu
bersama dengan Adelia akan berulang kembali.
“Busuk abang, adik bangun! Dah sampai ni. Ha, entah-entah ada air liur basi tu!”Suffian
mengejutkan Adelia. Adelia mengeliat
malas, dan perlahan-lahan membuka matanya.
“Tipu!”Adelia bersuara setelah menyedari
Suffian menipunya.
“Adik nak balik terus?”Suffian menoleh
memandang Adelia.
“Habis tu? Kan dah petang ni. Nanti mama dan ibu risau. Seharian shopping tak ingat. Habislah duit orang tu. Abang honeymoon kat mana nanti?”
“Mana tau adik masih nak merayap dan
shopping. Kan banyak lagi shopping-mall
boleh pergi. Sampai malam,”Suffian
ketawa. “Entah. Abang tak fikir lagi. Adik nak ikut?”Suffian melontar soalan tanpa
berfikir kepada Adelia.
“Gila ke apa abang ni. Mana ada orang honeymoon ajak orang
lain. If ramai-ramai, percutian keluarga
namanya,”Adelia ketawa. Suffian terdiam.
“Sorry.
Tak sengaja sebut gila. Tapi
betullah. Mana ada orang honeymoon ajak
orang lain. Dulu adik nak sangat bercuti
di Kota Paris. Abang tak ambik pusing
pun. Tak sayang adik pun
sebenarnya. Nanti adik pergilah dengan
Johan. Ahaks. Terpaksa pergi dengannya,”Adelia ketawa
lagi. Suffian terdiam lagi mendengar
kata-kata Adelia, lebih-lebih lagi apabila nama Johan disebut.
“Maaf.
Abang bukan abang yang baik untuk adik.
Nak pergi Paris pun abang tak tunai,”akhirnya Suffian menjawab
lemah.
Kereta yang dipandu oleh Suffian masuk
ke halaman banglo. Hati Suffian gembira
bercampur duka. Gembira kerana seharian
meluangkan masa bersama Adelia, dan berduka kerana saat indah itu entah bila
akan dapat dikecapi lagi bersama. Hati
lelaki Suffian luka sebenarnya.
****
Amanda membaling bantal yang dipeluknya di
sisi. Cerita yang dibawa pulang oleh Lufya
benar-benar menyakitkan hatinya. Berani
sungguh Suffian menipu dirinya. Suffian
memberitahunya malam tadi yang dirinya mahu membeli-belah bersama datin dan
Adelia, tetapi lain pula cerita yang dibawa oleh Lufya.
“Fian pergi shopping dengan bakal mak mertua
aku dan adik gedik dia lah tu. Malam
tadi bagitau aku. Mungkin kau tak
perasan datin tu,”Amanda menyangkal kesahihan yang dibawa oleh teman serumahnya
itu.
“Aku nampak berdua saja lah. Bukan main mesra lagi bershopping sakan di
Suria KLCC. Kau tak percaya aku?”Lufya
menduga Amanda.
“Nah, tengok ni,”Lufya menghulurkan
telefon bimbitnya kepada Amanda.
“Aku tau kau tak percaya. Tu aku capture dari jauh. Tengoklah.
Kan banyak pic tu. Mana ada datin,
bibik, drebar atau datuk. Dua orang
saja,”Lufya seperti menyemarakkan api kemarahan yang terpendam di hati Amanda
terhadap Adelia. Amanda merenung
gambar-gambar di dalam telefon bimbit Lufya agak lama.
“Nak kena budak ni. Aku sepak jugak nanti!”
Amanda menghulurkan kembali telefon
bimbit milik Lufya dan berlalu ke bilik.
Kini setelah sejam berlalu, hati Amanda masih sakit. Amanda bangkit dari katil dan keluar dari
biliknya. Pintu bilik Lufya diketuk
kuat.
“Masuk lah. Pintu tak kunci,”suara Lufya kedengaran dari
dalam bilik. Daun pintu ditolak oleh
Amanda.
“Kau boleh tolong aku tak? Aku tak nak hilang anak datuk ni. Kalau tak sekarang, esok, lusa mungkin aku
hilang Suffian. Aku tak nak menangis
nanti,”Amanda berkata kasar. Lufya yang
sedang menyikat rambutnya tersenyum.
Lufya meletakkan sikat dan berpaling kepada Amanda.
“Nak mintak tolong kena cakap
lembut-lembut,”Lufya mengusik Amanda.
“Sorry!
Alah, aku bayarlah nanti. Janji
semua on.”
“Apa yang on?”Lufya ketawa.
“Apa-apa plan. Bomoh Siam ke? Apa ke?
Kau ada plan tak? Yang baik
punya,”Amanda ketawa.
“Banyak kau punya Bomoh Siam. Kalau ada dah lama aku ni dapat ikan
besar. Ni apa pun tarak. Semua laki orang pokai. Nak buat apa?
Rileks dulu. Jangan gopoh. Kau kahwin lagi dua minggu kan? Kau masuk rumah datuk dan datin dulu. Tinggal situ.
nanti kita buat plan bagus punya.
Kau rileks. Kang kau
bising-bising, Suffian cancel kahwin.
Bunuh diri pulak kau.”
“Kau ni.
Jangan cakap bukan-bukan. Kang
kau pulak yang aku sepak. Kalau guna
bomoh boleh ke?”Amanda mengendurkan nada suaranya.
Amanda sedar cuma Lufya
yang mampu menolongnya kini. Tidak
mungkin Amanda mahu menyusahkan ibu
bapanya, lebih-lebih lagi melibatkan perkara syirik yang dilarang oleh Allah. Seboleh mungkin Amanda tidak mahu melibatkan
kedua ibu bapanya, walaupun dirinya sedar emaknya tidak akan menghalang. Amanda cukup mengenali emaknya, Siti Hajar
yang gemarkan wang ringgit sepertinya.
Tentu emaknya itu tidak akan menghalang sekiranya Amanda mengutarakan
keinginannya untuk membomohkan Suffian.
“Mak kau tak kenal mana-mana bomoh
ke? Aku ni, cakap saja lebih. Tapi tarak kenal mana-mana bomoh Siam,”Lufya
bersuara setelah lama berdiam diri.
“Kan bomoh Siam tu jauh. Kena pergi utara nun. Malaslah aku libatkan emak aku. Kesian dia.
Dulu susah-payah besarkan aku.
Dah besar pun tak kan nak heret dia sama. Kita saja lah pergi,”nada suara Amanda
mengendur.
“Baik jugak kau ya. Tak sangka aku. Aku ingat kau tu jenis yang menyusahkan emak
bapak kau,”Lufya ketawa.
Amanda juga ketawa mendengar kata-kata
teman serumahnya yang ternyata ada kebenarannya.
“Ok lah.
Nanti aku tolong roger-roger kawan aku di utara. Kau jangan risau lah. Kau sediakan duit saja kalau nak pergi
nanti. Don’t worry my dear. Haa, jangan lupa upah aku pulak. Paling lekeh handbag ‘coach’ bila kau balik
dari Paris nanti tau.”
“Bisa diatur buk,”Amanda ketawa. Di dalam hati, Amanda sedikit lega mendengar
persetujuan Lufya untuk menolongnya.
Bagi Amanda, berguna juga mempunyai teman serumah yang lincah dan
mempunyai ramai kawan seperti Lufya.
Amanda amat pasti Lufya akan dapat membantunya dalam menangani
kerisauannya terhadap Suffian.
Amanda
kembali ke dalam biliknya mencari telefon bimbit. Sebelum menekan nombor telefon Suffian,
Amanda membetulkan akan mimik mukanya, sekaligus membetulkan perasaannya agar
Suffian tidak dapat mengesan akan kemarahannya.
Panggilan dari Amanda tidak mendapat jawapan dari Suffian. Amanda mengurut dada, mengendurkan kemarahannya
yang kembali mula menguasai diri.
****
Rosnah tersenyum menerima beg plastik berisi
kotak kasut dari Adelia. Kotak kasut
dari beg plastik tersebut dikeluarkan dan dibuka. Rosnah mencuba kasut tersebut dengan senyuman
yang masih melekat di bibirnya.
“Ibu suka tak?”Adelia bertanya
mesra. Rosnah memasukkan kasut tersebut
ke dalam kotak semula.
“Kenapa pulak tak suka? Ibu suka sangat.”
“Nanti kita pergi jalan TAR ya bu?”
“Jalan TAR? Nak buat apa pulak?”Rosnah agak keliru dengan
kata-kata Adelia.
“Sarah bawa ibu beli kain dan
tudunglah. Kat Jalan TAR ada banyak pilihan. Ibu tentu suka,”Adelia memberi penerangan
kepada ibunya.
“Tak payahlah susah-susah. Baju ibu ada.
Tudung pun banyak. Sarah ni. Macam dah kerjalah pulak,”Rosnah menolak
ajakan anaknya.
“Ala, bolehlah. Mama bagi duit. Nak tunggu Sarah kerja. Bila tu bu?
Lama lagi. Bolehlah ya bu?”Adelia
merengek kepada Rosnah. Rosnah hanya
tersenyum mendengar rengekan Adelia itu.
Adelia
berlari anak menaiki tangga menuju ke biliknya setelah bertemu dengan
Rosnah. Hatinya girang walaupun hanya
mampu membelikan ibunya sepasang kasut, biar pun Suffian yang mengeluarkan
wang. Hati Adelia tetap gembira. Sampai di bilik, Adelia meletakkan beg-beg
kertas berisi kasut dan pakaian di tepi katil.
Adelia merebahkan badannya yang kepenatan di atas katil. Adelia terlena akibat kepenatan. Entah berapa lama Adelia tertidur senja
itu. Ketukan di pintu mengejutkan Adelia
dari lenanya. Datin Hanim masuk dengan
senyuman simpul.
“Anak dara mama tidur waktu Maghrib lagi
ya?”
Datin Hanim menghampiri katil di mana Adelia
berbaring. Adelia mengeliat malas.
“Adik penat sangat mama. Tu, abang belanja shopping sebelum kahwin. Rugi mama tak ikut tadi. Adik takut lah mama,”Adelia berkata
perlahan.
Wajah Datin Hanim yang ceria berubah
tiba-tiba.
“Takut?
Takut apa?”Datin Hanim bertanya ragu.
“Nanti abang akan lupakan adik. Lupakan adiknya ni selepas kahwin. Sunyilah adik, mama,”Adelia bangun dari
pembaringannya. Datin Hanim kembali
tersenyum.
“Tak kan Abang Fian nak lupakan adiknya
yang disayang ni. Tapi lainlah sikit
nanti. Abang kan dah kahwin nanti. Tentulah berbeza. Adik kena faham tu,”Datin Hanim mengusap
rambut Adelia mesra.
“Adik kena bersedia dengan perubahan
tu. Lagi pun dah tiba masanya adik cari
pengganti Si Mikhael tu. Dah berbulan
kan tak ada boyfriend. Kesian anak mama
ni. Nanti ajaklah kawan abang tu
datang. Siapa nama dia hari tu? Johan kan?”
“Mama!
Adik tak nak lah,”Adelia mencebikkan mulutnya.
“Suruh abang bawa dia ke sini. Makan malam dengan kita. Mama nak tengok. Adik jangan degil tau,”Datin Hanim ketawa.
“Bawa ke sini, mama nak tengok. Mama nak bagi siapa? Bagi Bibik.
Adik ok saja,”Adelia ketawa.
Datin Hanim menarik rambut Adelia perlahan.
“Budak ni. Main-main pulak. Dah pergi mandi cepat. Daddy nak ajak kita dinner. Cepat mandi!”Datin Hanim keluar dari bilik
Adelia.
Adelia
menolak daun pintu bilik di mana Tuminah dan Rosnah berada. Rosnah masih di tikar sembahyang, sedangkan
Tuminah tiada di dalam bilik.
“Ibu nak ikut kami pergi makan malam
tak?”
Adelia mendekati ibunya.
“Ish.
Tak nak lah. Segan ibu. Mesti makan di hotel. Ibu makan dengan Bibik sajalah di rumah. Cantiknya anak ibu. Baju baru ya?
Bau kedai lagi ni,”Rosnah sempat mengusik Adelia.
“Ala, tak apa ke ibu kena tinggal
ni? Tak apa ke ibu makan dengan Bibik ni. Ibu nak makan apa di rumah? Lauk ada lagi ke?”Adelia menyoal ibunya
bertalu-talu. Rosnah tersenyum mendengar
pertanyaan Adelia bak polis pencen menjalankan tugas itu.
“Lauk siang tadi kan ada. Kan Fian dan Sarah tak makan. Lagi pun apa susahnya. Bibik tu boleh masak apa sahaja. Kejap saja masaknya. Dah.
Cepatlah. Nanti datin dan datuk
tunggu. Abang kesayangan Sarah pun
tunggu.”
“Betul ni? Ibu tak kecik hati?”Adelia meminta kepastian
dari ibunya.
Datin Hanim muncul di muka pintu bilik.
“Ros tak nak ikut kami makan malam. Maaf lah, lambat saya ajak.”
“Tak apa lah datin. Saya segan.
Saya makan di rumah saja dengan Bibik,”Rosnah berkata sambil melemparkan
senyuman kepada Datin Hanim.
Adelia
mengekori Datin Hanim keluar dari bilik ibunya setelah memeluk ibunya itu. Hati Adelia berat juga untuk meninggalkan
ibunya malam itu.
“Kesian ibu,”hati Adelia bersuara
perlahan.
“Tak apa. Nanti ada masa, aku bawa ibu
jalan-jalan,”Adelia memujuk hatinya lembut.
“Cantik tak?”Adelia berdiri di depan
Suffian.
Suffian memandang Adelia tanpa berkelip.
“Ini baju baru beli tadi kan? Emm, tak cantik. Tapi bolehlah,”Suffian mengusik Adelia. “Abang memanglah. Dengki dengan adik. Abang boleh blah!”
Adelia berjalan menuju kereta yang sedia
menanti di dalamnya Datuk Aman Zainal, Datin Hanim dan Pak Mahat.
“Adik naik dengan abang lah. Boring abang sorang-sorang,”Suffian memanggil
Adelia yang hampir menyentuh pintu kereta yang dipandu oleh Pak Mahat. Adelia menoleh.
“Tak nak. Biar abang sorang-sorang. Uwek!”Adelia menjelirkan lidahnya kepada
Suffian.
“Adik, please. Kesian abang.
Tak kan nak naik satu kereta. Tak
mancho lah macam tu,”Suffian masih memujuk Adelia. Adelia membuka pintu kereta yang sedia
menantinya.
“Mama, adik naik dengan abang ya?”
“Betul
adik tak cantik ni?”Adelia bertanya setelah Suffian memulakan
pemanduannya.
“Cantik pun nak buat apa. Kan bunga larangan,”Suffian berkata cukup
perlahan, namun masih mampu untuk didengari oleh Adelia.
“Bunga larangan? Boleh saja Johan mengorat. Tapi, entah.
Hati adik tak berbicara. Abang
nak salahkan adik pulak,”Adelia menjawab pantas. Jelas Adelia tidak memahami maksud akan
kata-kata Suffian. Suffian menaik nafas
lega menyedari keterlanjuran kata-katanya tidak difahami oleh Adelia.
“Bagilah ruang dan peluang kepada Johan. Abang akan lega bila adik bersama dengan
orang yang abang kenal dan percaya,”Suffian berkata perlahan. Johan menjadi mangsa Suffian dalam usahanya
menyelamatkan diri.
“Ok lah.
Kalau abang suka sangat Mamat Poyo tu.
Dan percaya sangat kat dia, adik cuba lah apa yang patut. Gembira abangku sayang?”Adelia mengalah juga
akhirnya. Suffian agak terkejut dengan
kata-kata Adelia. Di dalam kesuraman
suasana di dalam kereta pada waktu malam, Adelia tentunya tidak dapat mengesan
akan kegelisahan di hati Suffian yang mula bersarang. Hanya masa yang akan menjadi penentu mampukah Suffian menangani
perasaannya terhadap Adelia.
****
Suraya
meletakkan tangan di atas dahi. Sah
sudah, teman baik Adelia ini sedang angau.
Perkenalannya dengan Nazim telah berlangsung lebih seminggu. Nazim yang dikenali oleh Suraya melalui laman
sosial ‘Facebook’ benar-benar mencuri hatinya yang mendambakan
kehadiran seorang lelaki. Tiada sesiapa
yang mengetahui akan perkenalan Suraya dengan Nazim walaupun Adelia
sendiri. Suraya sebenarnya masih teruja
dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Nazim.
Biar pun telah bekerjaya dan berpenampilan menarik, Nazim menunjukkan
kesungguhan untuk berkawan dengan Suraya.
Suraya mencapai telefon bimbitnya semula. WhatsApp yang dikirim oleh Nazim dibaca
berulang kali. Suraya terkejut apabila
telefon bimbit yang sedang dipegangnya berbunyi.
“Rindu suara i? Or i sebenarnya?”Nazim bersuara penuh manja
mengoda Suraya. Suraya ketawa mendengar
kata-kata mesra Nazim.
“I tanya betul-betul ni. Bila kita nak jumpa ni, sayang? Baru kenal seminggu, i dah angau dengan u
dah. Kita jumpa?”Nazim bertanya nakal.
“Awal lagi. Lagi pun i malu lah. I gemuk ni,”Suraya menjawab lemah. Suraya benar-benar risau akan penampilan
fizikalnya yang sudah pasti akan meranapkan impiannya untuk memiliki cinta
seorang lelaki.
“Perlu ke badan yang cantik, kalau hati
dah suka, sayang oi. U perasan tak? Walaupun kita baru kenal, kita serasi, saling
menggilai. Tu belum jumpa tu. Baru tengok pic. U ni, web-cam pun tak nak. Bagi lah i tengok u real.”
“I kan gemuk. Malu lah.
Cukuplah tengok pic tu. Kadang i
tak percaya. U ni tak ada
girlfriend? Betul ke? U tipu i ke?”Suraya berkata manja seiring
dengan kenakalan Nazim. Tiada siapa yang
mengetahui adakah sebenarnya Nazim betul-betul ikhlas mahu berkawan dengan
Suraya atau pun terdapat niat yang tersembunyi.
“So, bila ni? Kita jumpa.
Makan-makan. I suka tengok
senyuman u. Sweet sangat even cubby
sikit,”Nazim ketawa.
“Eh, u ni. Jahatlah.
Nanti i diet lah. Demi u, ok tak?”Suraya semakin galak berbicara dengan
Nazim. Nazim tersenyum di dalam hati,
dirinya mempunyai keyakinan untuk meraih kepercayaan Suraya.
“Malam ni i nak mimpi jumpa u. Tengok senyuman u. Boleh ya, sayang?”Kata-kata Nazim membuat
Suraya terawang-awangan dilambung gelora.
“Mengapa diam? Boleh tak ni?”Nazim bertanya lagi.
“Mengada lah u ni. I ada kelas esok ni. Bye.”
“Bye saja? Kiss sikit boleh?”Nazim semakin berani
bergurau dengan Suraya.
****
Sudah
seminggu majlis perkahwinan Suffian dan Amanda berlangsung, dan kini dua
merpati sejoli tersebut telah terbang ke kota cinta, Paris. Adelia yang tidak pernah mengetahui isi hati
abangnya, Suffian amat girang dengan pemergian Suffian untuk berbulan madu
bersama Amanda.
“Jangan lupa souvenir adik tau!”Adelia
berkata manja kepada Suffian. Amanda
yang duduk di sebelah Suffian menjeling tajam ke arah Adelia tanpa Adelia
menyedarinya. Sememangnya gadis yang
lurus bendul seperti Adelia itu tidak menyedari akan api kebencian yang telah
bersarang di hati Amanda terhadapnya.
“Adik nak apa? Nanti Kak Amanda beli. Tentu perempuan lebih memahami taste
perempuan ni. Betul kan baby?”Suffian
menjawab penuh yakin. Tiada kesangsian
akan hati isterinya itu tidak menyukai Adelia.
Telah dua hari Suffian dan Amanda
berangkat untuk berbulan madu, dan
perbualan bersama abangnya dan kakak iparnya itu masih diingati oleh
Adelia.
“Tak sabarnya nak tunggu abang
balik. Mesti dapat souvenir best
ni!”Adelia bercakap seorang diri sambil melihat longgokan pakaiannya yang perlu
dikemaskan ke dalam beg. Adelia akan
berpindah semula ke banglo Datuk Aman Zainal dan Datin Hanim seperti yang
dijanjikan kepada ibunya, Rosnah. Adelia
mengeluh kepenatan. Mengemaskan pakaian
bukanlah kepakaran Adelia sebenarya.
Membesar sebagai anak kesayangan keluarga Datuk Aman Zainal dan Datin
Hanim menzahirkan Adelia hidup mudah dan penuh tatangan seperti Si Puteri
Raja. Tiga buah beg telah sedia untuk
dibawa pulang ke banglo ibu bapanya semula.
Adelia berkira-kira, pakaiannya yang masih berlonggok itu tentunya muat
untuk dimasukkan ke dalam dua buah lagi beg pakaian. Adelia dengan perlahan mengemaskan pakaiannya
untuk dimasukkan ke dalam beg pakaiannya yang ke empat. Tangan lincah Adelia melipat pakaian terhenti
apabila matanya memandang sehelai ‘dress’ kesayangannya pemberian dari
Suffian. Dress yang masih baru tersebut
dibeli oleh Suffian sewaktu pulang dari rumah ibunya buat pertama kali beberapa
bulan yang lepas. Suffian amat mengagumi Adelia sewaktu Adelia memakai dress
tersebut buat pertama kalinya.
“Rindu kat abang!”Adelia berkata
perlahan.
Beg yang ke empat telah siap dan
diletakkan bersama tiga buah beg yang lain.
Adelia meninggalkan longgokan pakaiannya yang masih bersisa di atas
lantai lalu membaringkan badannya di atas katil.
Kepenatan
dan kebosanan menguasai diri Adelia.
Kepada siapa untuk Adelia mengadu?
Satu-satunya pendengar dan pengkritik setianya sedang berbulan madu
beribu batu jauhnya dari tanah air.
Mama? Tentunya datin itu sibuk
melayani suaminya yang bergelar datuk.
Ibu? Tidak mampu untuk Adelia
membebankan ibunya dengan masalah remehnya yang kesunyian dan kebosanan ketika
ini. Suraya? Ah, sahabat Adelia yang debab itu agak pelik
akhir-akhir ini, sentiasa sibuk dan agak terbatas waktunya untuk berbual-bual
dengan Adelia. Tuminah? Cis, Bibik memang tak boleh blahlah. Mau disuruh oleh Bibik dirinya kahwin
kelak. Adelia ketawa sendiri apabila mengingati
Bibik untuk dijadikan teman bicaranya.
Khael? Hati Adelia menyebut nama
Mikhael perlahan. Oh, tidak, untuk
Adelia kembali merindu kepada lelaki yang pernah membuangnya. Tiba-tiba Adelia bangun dari
pembaringannya. Telefon bimbit di atas
meja dicapai laju.
****Adel
nak call siapa ni?..
best nak lagi dah teruja sangat2 ni.
ReplyDelete