Friday, September 12, 2014

Agungnya Cinta-Bab 5
Amirul memandang jam tangannya.  Jarum jam menunjukkan pukul 5.30 petang.  Teman-teman sepejabat telah lama pulang meninggalkannya.  Tinggallah dirinya keseorangan petang tu.  Ingatan terhadap Sofea datang lagi.  Apa tujuan Sofea menelefonnya malam itu?  Sekadar untuk menyatakan rindu dan sayang yang tidak pernah terbukti?  Atau hanya untuk menambah luka di hatinya yang tidak pernah berkesudahan.  Mampukah Iqram membahagiakan gadis kesayangannya itu?  Iqram telah dikenalinya lama, sejak semester pertama lagi, dengan sikap suka berfoya-foya Iqram, mampukah Sofea bertahan?  Amirul tidak menyangka Iqram betul-betul serius terhadap Sofea sehingga mereka bertunang.  Bukan kali pertama Iqram mengejar ‘budak 1st semester’, hampir setiap semester, namun berakhir begitu sahaja.  Cuma yang paling hangat diperkatakan ialah hubungan Iqram dengan Farhana.  Ada kalanya mereka merupakan pasangan bahagia, dan ada kalanya juga kelihatan Farhana terkejar-kejar akan Iqram.    Amirul kembali merindui Sofea, dirinya terpikat kepada gadis itu kerana kesederhanaannya, mungkin juga kerana mata sepet gadis berkulit putih tersebut.  Mengapa pula gadis tersebut menjadi pilihan Iqram?  Bukankah Iqram mengejar anak orang berada seperti Farhana? Amirul menutup komputer ribanya.  Mengemaskan meja, lalu bergerak meninggalkan pejabat.  Ingatan terhadap Sofea hilang ditenggelami kepenatannya bekerja sepanjang hari. 
****
  “Amirul, please introduce, Qaleesya Az-Zahra, anak perempuan I,” Tan Sri Azman memperkenalkan anak kesayangannya kepada Amirul.  Amirul terkejut apabila perkataan Zahra disebut. 
“Saya er, .. Aiman Amirul.” Tergagap seketika Amirul mendengar seakan nama Zara Sofea disebut. 
“Panggail I Zahra.  Oh, jadi inilah Amirul yang ayah selalu ceritakan.”
Az-Zahra menghulur tangan, dan Amirul menyambutnya. 
“Amirul ni berkaliber, ayah nampak ada masa depan even baru bekerja,” Tan Sri Azman memuji Amirul di depan anak kesayangannya. 
“Amirul, Zahra akan mula bekerja mulai hari ini.  Bagi  tunjuk ajar apa yang patut,” Tan Sri Azman memberi arahan. 
“Baik Tan Sri,” Amirul tersenyum di dalam keterpaksaan. 
Apalah yang aku nak tujuk ajar orang balik dari over sea ni?
Amirul berkata di dalam hati. 
Tan Sri Azman dan Az-Zahra berlalu, Asyraf datang menghampiri Amirul. 
“Ooi, Tan Sri berkenan kat kau nampaknya.  Kau berkenan tak pada anak Tan Sri?” Asyraf memancing reaksi dari Amirul.  Amirul tersenyum pahit tidak menjawab. 
“Ala, Amirul tu malu-malu kucing,” tiba pula giliran Sheila mencelah. 
“Kau orang jangan merepek ya!”
Amirul masih tidak menunjukkan reaksi positif terhadap gurauan Asyraf dan Sheila.  
“Jual mahallah, nanti menyesal,” Sheila galak mengusik Amirul sementara Asyraf ketawa berdekah-dekah. 
“Mengapalah Tan Sri tak terpikat kat aku ya?  Aku ni apa kurangnya banding Mat Senyap tu.”
Asyraf muncung mulut ke arah Amirul. 
“You dah anak empat, apa barang nak jadi menantu Tan Sri,” Sheila menjawab pantas.  Kali ini kata-kata Sheila berjaya mencuit hati Amirul, ketawanya berderai juga bersama ketawa Sheila dan Asyraf.

****
Sofea bernyanyi riang menuju ke bilik setelah melalui saat-saat indah di bilik air.  Mandi  bersama dengan buih-buih sabun sambil menyanyi lagu ‘Sedetik Lebih’ dendangan penyanyi kesayangnnya, Anuar Zain.  Tiba di bilik Sofea melihat Bella terlena dibuai mimpi indah. 
“Wei, bangun!  Nak makan malam tak?”  
Bella menggeliat malas. 
“Ada call banyak kali untuk kau!” 
Sofea mengambil telefon bimbitnya di atas meja.  Terdapat tiga panggilan yang tidak  dijawab.  Sofea cuba mengenal pasti nombor tersebut, terlalu asing baginya.  Tiba-tiba telefon bimbitnya berlagu riang. 
“Sofea, abang ni.  Turun sekejap,” suara Ajmal di talian. 
“Ada apa, bang?” Sofea bertanya penuh keraguan. 
“Nak bagi barang.  Cepat tau!”
“Lima belas minit boleh?  Fea baru mandi.” 
“Siapa?”
Bella bertanya sambil membuka pintu bilik menuju ke bilik air. 
“Abang Ajmal, nak bagi barang katanya.”
“Apa?  Abang kepada Mr. Iqram?  Nak tengok!  Aku solat kejap, kita turun sama ya?” Bella mengenyitkan matanya kepada Sofea.

Sofea mengheret Bella berjalan cepat setelah menyedari dirinya melebihi masa yang dijanjikan kepada Ajmal. 
“Berbaloi tak aku tak sempat mandi untuk jumpa abang ipar kau?” Bella bertanya nakal kepada Sofea. 
“Pembetulan, bakal abang ipar aku ya,” Sofea membetulkan kenyataan dari Bella.  Seperti juga adiknya yang bergaya, Ajmal menunggu Sofea di tepi sebuah kereta Toyota Wish dengan penuh gaya. 
“Tu ke?  Terjatuh cinta lagi aku ni kang,” Bella ketawa gembira melihat ketampanan  Ajmal. 
“Dia dengar nanti!”
Sofea mencubit lengan Bella. 
“Abang, maaf lambat.”   
Ajmal hanya tersenyum. 
“Abang yang patut minta maaf, datang tak bagitau.”
Ajmal membuka pintu kereta mengambil sesuatu. 
“Nah, ni handbag Sofea  tu.”
Ajmal menyerahkan sebuah bungkusan kepada Sofea.  Sofea terpaku.   Bella mencuit Sofea, mohon diperkenalkan kepada Ajmal. 
“Apa susah-susah ni, bang.  Ee..ni Bella, roomate,” Sofea memperkenalkan Bella kepada Ajmal. 
“O, ini tunang Mr.Iqram Haris.  Cantik.   Ajmal, kau jangan terpikat pula pada bakal adik ipar kau ya!”
Seorang lelaki keluar dari kereta. 
“Fuad, kawan abang.  Dia memang suka merepek.” Ajmal memperkenalkan kawannya.  Sofea hanya tersenyum tawar.  Bungkusan yang mengandungi beg tangan berjenama LV itu dipegang erat oleh Sofea.  Tiba-tiba hatinya berdetik curiga.
Abang Ajmal ini suka aku ke?

Sofea meletakkan bungkusan dari Ajmal di atas meja, lalu beratur mengambil makanan diikuti oleh Bella.  Makan malam dilalui oleh Sofea dengan curiga di hati. 
“Apa hal bakal abang ipar kau baik sangat?”
Bella mula menyuap nasi ke mulut. 
“Kebetulan kawan dia masih ada di US kut,” Sofea menjawab acuh tak acuh sahaja. 
“If dia suka kau macamana?”
Bella menambah curiga di hati Sofea yang mula bersarang. 
“Kau merepeklah, handsome macam tu mesti dah ada girlfriend,” Sofea menepis telahan Bella sambil memujuk hatinya sendiri agar tidak mencurigai Ajmal. 
“Iqram tau ke ni?” Bella terus mengasak Sofea dengan soalan-soalan cepu emasnya. 
“Masa Abang Ajmal cakap nak beli tu, depan Iqramlah, aku ingat dia bergurau.  Dia datang bagi ni aku tak tau.” 
Menjelang Maghrib Sofea dan Bella bergegas naik ke bilik.

Sofea melipat kain di atas katil sambil ditemani lagu-lagu alunan Anuar Zain di komputer riba.  Bella telah menghilang diri selepas solat Maghrib, mungkin menonton televisyen atau melepak di bilik teman.  Sofea membuka kembali bungkusan yang mengandungi beg tangan LV pemberian Ajmal. 
“Cantiknya, if kau tak nak, kau bagi aku tau!”
Masih terngiang-ngiang kegirangan Bella sewaktu Sofea membuka bungkusan tersebut Maghrib tadi.  Beg tangan berwarna hitam itu amat cantik dan sudah pasti mahal.  Sofea amat berharap  Ajmal ikhlas memberinya tanpa ada secalit pun perasaan suka atau sebagainya kepada dirinya.  Cukuplah hidupnya berserabut disebabkan Iqram Haris, belajar mencintai lelaki idaman kampus itu demi meneruskan kesinambungan cinta mama tersayang yang hampa.  Sofea berharap tidak pula dirinya terheret dalam perebutan cinta dua orang adik-beradik.  Dalam proses mencintai Iqram, Farhana muncul membuat tidurnya tidak lena.  Kenangan bersama Iqram datang tiba-tiba apabila nama Farhana muncul di minda Sofea. 
“Iqram belum sejahat itu Fea,” Iqram menjawab tegas pertanyaannya tentang isu Farhana menuduh Iqram pernah menidurinya. 
“Iqram harap Fea percayakan Iqram.” Iqram meraih kepercayaan Sofea.  Seperti belajar mencintainya, Sofea juga belajar untuk mempercayai Iqram.  Sofea sedar dirinya harus menjaga hubungannya dengan Iqram  demi mamanya, Baizura. 

Sofea segera mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi. 
“Rindu Iqram?” Suara Iqram kedengaran dilatari bunyi bising. 
“Kat mana ni?”
“Dinner dengan abang.”
Sofea berbelah-bahagi samada mahu memberitahu Iqram berkenaan beg tangan pemberian Ajmal atau tidak.
“Cantik handbag tu?” Iqram bertanya setelah Sofea terdiam. 
Sofea merasa lega setelah mengetahui Iqram telah tahu perihal kedatangan Ajmal memberi beg tangan kepadanya. 
“Suka sangat!” Sofea sengaja menarik perhatian Iqram. 
“Okey, teruskan dinner, kirim salam kat Abang Ajmal.” Sofea mengakhiri perbualannya dengan Iqram.  Sofea meneruskan kerja melipat kain dengan senyuman di bibir.  Dirinya pasti Ajmal tidak mempunyai niat lain kepadanya.  Jika ada, masakan Ajmal memberitahu Iqram perihal kedatangannya menemui dirinya petang itu.

****
 Sofea memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kedai bunga, dan segera turun dari kereta.  Dua  belas kuntuman ros  dipilih sendiri oleh Sofea.  Sofea amat berharap penerimanya gembira menerima jambangan bunga tersebut, esok.  Bunga mawar merupakan hadiah istimewa pada hari konvokesyen.  Esok Amirul akan menerima segulung ijazah.  Pagi  esok kira-kira pukul 11.30 pagi, Sofea mahu menunggunya di luar pintu Dewan Tunku Canselor (DTC).  Petangnya pula Iqram akan menerima segulung ijazah juga. 
Opps, warna apa  untuk Iqram ni?
“Amoi, I nak dua jambangan, ada diskaun tak?” Sofea mengejutkan tuan punya kedai. “Ada-ada.  Dua ka?  Ada dua boyfriend ka?”
Gurauan tuan punya kedai bunga itu benar-benar menyeksa Sofea.  Sofea sekadar tersenyum pahit.  Sekali lagi mawar merah menjadi pilihannya.  Sofea memilih dua belas kuntum bunga ros merah untuk Iqram pula.

Sofea memandu pulang ke kampus dari Bangsar dengan sekali- sekala memandang dua jambangan bunga di sebelahnya.  Kedua-dua jambangan bunga itu mewakili dua orang lelaki yang berlegar-legar di ruang hatinya.  Namun, cuma seorang yang bertuah dan bertakhta di hati.  Masuk sahaja pintu utama kampus, kemeriahan konvokesyen sudah terasa walaupun majlis hanya akan bermula esok.  Gerai-gerai makanan dan gerai cenderamata telah meriah dengan orang ramai.  Gerai-gerai cenderamata didirikan di sepanjang tasik, dipunyai oleh pelbagai persatuan dan fakulti di bumi Universiti Malaya.  Di penghujung tasik terletak gerai-gerai makanan yang rata-rata dipelopori oleh persatuan anak negeri.  Dari jauh Sofea melihat gerai PEMARAK, iaitu Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya, negeri kelahiran mamanya.  Sofea sampai di parkir kolej.  Hatinya berbelah-bahagi samada mahu meninggalkan jambangan bunganya di dalam kereta atau membawanya naik ke bilik. 
Kalau aku tinggal dalam kereta, takut layu pulak.  Kena rendam ke bunga ni? 
Sofea menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak bertanya kepada tuan punya kedai bunga tentang perkara itu.  Akhirnya Sofea mengambil keputusan membawa dua jambangan bunga tersebut ke bilik.

Sepanjang menuju ke bilik, Sofea menjadi perhatian. 
“Amboi, sampai dua.  Dua orang pakwe ke?”
Sofea telah lali dengan suara-suara sumbang seperti itu.  Untuk memarahi mereka juga tidak berguna sedangkan perkara tersebut ada kebenarannya.  Tiba di bilik, Bella tiada.  Tiba-tiba Sofea teringatkan akan mamanya yang arif tentang bunga ros. 
“Tak payah rendamlah, kan dah ada ubat dalam kapas bungkus tangkai,” jawapan Baizura membuat Sofea tersenyum lebar.  Sofea memandang kedua-dua jambangan bunga di hadapannya, seolah-olah melihat Amirul dengan kesederhanaannya dan Iqram yang tangkas mengejar cintanya. 
“ Amboi-amboi sampai dua!”
Bella muncul di sebalik pintu. 
“Aku nak jumpa Mirul pagi esok, kau ikut ya?”
Sofea memandang Bella yang asyik dengan jambangan-jambangan bunga ros milik Sofea. 
“Tak nak lah tengok drama Melayu, petang nak lah, harap-harap Si Handsome Ajmal ada,” Bella ketawa panjang. 
“Nampak Abang Ajmal, kau lupalah Si Bad ya?” Sofea menduga Bella. 
Bella tidak menjawab, tetapi mengeyitkan matanya kepada Sofea. 
“Nanti-nantilah aku call Bad ya,” Sofea menyedapkan hati sahabatnya itu.

****
Sofea menanti Iqram keluar dari Dewan Tunku Canselor (DTC) dengan hati yang kosong.  Jambangan bunga untuk Iqram kemas dipegang oleh Bella yang mengharap kehadiran Ajmal di majlis konvokesyen itu.  Peristiwa tengahari tadi kembali terjelma di ingatan Sofea.  Sofea mendekati Amirul yang sibuk bergambar bersama keluarganya.  Kedengaran dialek Terengganu sewaktu mereka berkomunikasi. 
“Tahniah!”
Sofea menghulurkan jambangan bunga mawar kepada Amirul.  Amirul menyambut huluran jambangan bunga tersebut sambil mengucapkan terima kasih.  Sofea menghulurkan tangan kepada ibu dan seorang perempuan lebih muda darinya.  Sofea menduga perempuan tersebut adalah adik Amirul. 
“Bu, ni adik junior di asrama, Zara Sofea,” Amirul memperkenalkan Sofea kepada ibunya. 
“Jom ambil gambar!” Adik Amirul bersedia mengambil gambar Sofea dan Amirul.  Amirul seperti terpaksa mengambil gambar bersama Sofea. 
“Pergi balik, Iqram nampak nanti,” Amirul berkata seperti berbisik  kepada Sofea. 
Sofea memohon diri dengan bersalaman dengan ibu dan adik Amirul.  Berjalan meninggalkan Amirul dan keluarganya, air mata Sofea menitis. 
“Wei, Iqram keluar tu!” Bella mengejutkan lamunan Sofea. 
Dari jauh Sofea melihat Iqram dengan jubah konvokesyennya seperti mencari seseorang.  Sofea berjalan mendekati Iqram diikuti oleh Bella. 
“Cari siapa ni sayang?”   
“Fea, mama dan ayahlah!” 
“Abang Ajmal tak datang?” Lancar Bella bertanya sambil menyerahkan jambangan bunga kepada Iqram. 
“Ha, terpikat dengan abang I ya?”
Iqram menduga Bella yang seakan-akan kecewa dengan ketiadaan  Ajmal. 
“Tu dato’ dan datin.” 
Sofea menuding ke arah Dato’ Iskandar dan Datin Ira yang baru keluar dari DTC.

Seperti biasa Sofea mempunyai perasaan yang tidak enak apabila berhadapan dengan bakal ibu mertuanya, Datin Ira.  Seperti terdapat jurang penghalang di antara mereka berdua.  Mereka bertiga mendekati kedua-dua orang tua Iqram.  Sofea menghulur tangan kepada Datin Ira dan Dato’ Iskandar diikuti oleh Bella.  Secara tidak rasmi Bella menjadi jurugambar pada petang itu.  Datin Ira anggun bergaya dengan labuci menghiasi busananya. Dato’ Iskandar masih kelihatan tampan.  Bagi Sofea, tidak mustahil mamanya masih menggilai Dato’ Iskandar. 
“Sofea sihat?” 
“Sihat dato’, dato’?”
Sofea memandang lelaki kurus tinggi yang membuat mamanya menjadi perindu malang itu. 
“Alhamdulillah, sihat.  Tak sabar tengok Sofea dan Iqram sanding,” Dato’  Iskandar sempat mengusik Sofea.  Dalam keriuhan orang ramai di luar DTC dan kecelaruan orang ramai mengambil gambar, Farhana muncul.

Farhana merapati Iqram yang sedang mengambil gambar bersama Datin Ira.  Sofea melihat air muka Iqram berubah, seperti tidak selesa dengan kedatangan Farhana.  Iqram memandang Sofea seperti meminta izin dirinya menerima kehadiran Farhana.  Sofea sekadar tersenyum.  Farhana sempat menjeling Sofea tajam. Sofea meneruskan perbualannya bersama pujaan hati mamanya, Dato’ Iskandar Hisham.
  
****   
Ajmal Farhan mengetuk pintu bilik bacaan ayahanda tercinta, Dato’ Iskandar Hisham.  Pintu ditolak perlahan oleh Ajmal. Dato’ Iskandar meletakkan buku yang dibacanya di atas meja. 
“Ajmal nak tanya sesuatu dengan ayah.” 
“Ada apa Ajmal?  Serius bunyinya.”
Dato’ Iskandar melihat air muka Ajmal yang tidak menggambarkan adanya garis-garis kegembiraan. 
“Ayah masih ingat apa ayah beritahu Ajmal sebelum Ajmal berangkat ke US tiga tahun lepas?”   
“Yang mana satu ?  Jangan lupakan solat?”
Dato’ Iskandar ternyata tidak mengingati perbicangan di antara mereka berdua tiga tahun lepas. 
“Tentang perjanjian ayah dengan kawan baik ayah.  Eer..kekasih ayah,” Ajmal mengingatkan ayahnya tentang Baizura.  Dato’ Iskandar tersenyum. 
“Ha, Sofea!  Bukan Ajmal mentertawakan ayah dulu.” 
“Sofea sepatutnya milik Ajmal bukan?  Anak sulung ayah yang termaktub di dalam perjanjian dengan kekasih ayah itu!” Ajmal terlalu berterus-terang dengan ayahnya malam itu. 
Wajah Dato’ Iskandar berubah, terkejut dan tenggelam punca.  Lama Dato’ Iskandar memandang Ajmal sebelum bersuara. 
“Mereka dah bercinta sebelum ayah tau Sofea anak aunty Baizura,” Dato’ Iskandar memberi penjelasan. 
“Ajmal sukakan Sofea!” Ajmal jelas menguji kesabaran Dato’ Iskandar. 
“Dia tunang adik kamu, Ajmal.  Jangan timbulkan masalah.” Dato’ Iskandar mula tercabar dengan kata-kata Ajmal yang baginya tidak rasional.  Ajmal tidak menjawab, berlalu keluar bilik meninggalkan Dato’ Iskandar kebingungan.

Dato’ Iskandar masih tidak percaya dengan apa yang berlaku di depannya sebentar tadi.  Langsung tidak terfikir olehnya dua orang anak lelakinya akan menyukai perempuan yang sama, dan perempuan itu ialah Zara Sofea, anak kekasihnya yang tidak dihargainya dahulu.  Apakah ini balasannya kerana tidak menghargai Baizura dahulu?  Adakah ini sumpahan cinta Baizura?  Mengingati Baizura, membuatkan rindunya terhadap mama kepada Sofea itu kembali mengusik jiwa.  Ingin rasanya Dato’ Iskandar berlari ke arah Baizura, mengubah sejarah cinta mereka yang tidak terpaksi, hanya indah di mimpi.  Tetapi semua itu sudah cukup terlambat, apa yang hendak dibicarakan kepada Baizura?  Mengungkit kisah lama mereka?  Cuba menunaikan janji-janjinya sekali lagi?    Memberitahu  perkara terbaru mengenai Ajmal yang menyukai Sofea? 
“Zura, bantulah aku!”  Dato’ Iskandar merintih sendiri.

****
“Lunch please!”
Badrul mengetuk perlahan meja di hadapan Sofea.  Sofea mendongak memandang lelaki yang belum mengalah mengejarnya itu.  Tanpa disuruh dan meminta izin, Badrul menarik kerusi di depan Sofea lalu duduk.  Badrul tersenyum manis menanti jawapan Sofea. 
“I’m on diet.”
Sofea mencuba seboleh mungkin menolak permintaan Badrul. 
“La, badan dah kurus lagi mau diet!”
Badrul sempat menjeling tubuh Sofea dengan nakal. 
“Mana kawan baik u?”
Badrul memandang kerusi kosong di sebelah Sofea dengan buku-buku di atas meja yang tentunya kepunyaan Bella.  Belum sempat Sofea menjawab pertanyaan Badrul, Bella tiba dengan senyuman manis. 
“Cari I?”
Bella mengusik Badrul, lantas duduk di tempatnya. 
“I cari you all berdualah, rindu kat dua-dua,” Badrul mengeluarkan kenyataan merepeknya. 
“Cari Sofea lah tu.”   
“Kau orang berdua jangan merepek ekh, ni library, nanti kena halau sia-sia saja,” Sofea memandang marah kepada Badrul. 
“Ala, nak gurau pun tak boleh Cik Sofea sayang ni,” Badrul langsung tidak menghiraukan teguran Sofea
“Lapar!  Jom lah balik!”
Bella merengek manja kepada Sofea.  Sofea memandang jam di dinding perpustakaan.  Pukul  11.40 pagi.  Masa yang cukup sesuai untuk pulang ke asrama dan makan tengahari. 
“Tak payah balik asrama, I belanja you all berdua di Kompleks Perdana Siswa.  Nak makan apa sahaja pun boleh,” Badrul tersenyum memandang Sofea. 
“Ha!  Setuju sangat.  Jom cepat.”
Bella mula mengemaskan buku-buku di atas meja dan barang-barang peribadinya.  Belum sempat Sofea memberi sebarang reaksi, Bella bangun meletakkan buku-buku di troli yang berhampiran. 
“So, the answer is yes right?”
Badrul mengenyitkan matanya kepada Sofea.  Sofea yang tidak mempunyai pilihan, mula mengemaskan barang-barangnya dan memberikan senyuman malas kepada Badrul.  Mereka bertiga bergerak keluar dari perpustakaan utama.  Tiba di luar kawasan perpustakaan baru Sofea teringat seorang kawan memberitahu bahawa makanan di kantin Fakulti Sains lebih sedap.
“Kita ke Fakulti Sains saja lah.  Kawan cakap lebih sedap di situ,” Sofea memberi cadangan kepada Badrul dan Bella. 
“Siapa kawan tu?  Tunang you?”
Badrul mengingatkan Sofea kepada Iqram Haris Dato’ Iskandar, tunangnya yang sebenarnya jatuh tempat ketiga di hati Sofea.  Yang  pertama sudah tentunya mama tersayang, dikuti rapat oleh Amirul. 
“I tak kisah, asal kenyang.”
Bella membuntuti Sofea yang menyeberang jalan menuju ke Fakulti Sains. 
“Bila nak kenalkan tunang you pada I?” Badrul terus berbicara merujuk kepada Iqram. 
“You sibuk sangat nak tengok tunang Sofea ekh?  Handsome, jejaka idaman Kolej Khursiah,” Bella menarik perhatian Badrul. 
“Dah agak, mesti bukan lelaki biasa.”
Badrul mengeluarkan kata-kata yang kurang  disenangi oleh Sofea. 
“Apa maksud you, Bad?”  
“Mesti dia lelaki hebat, sesuai dengan perempuan cantik seperti you.”
Perbualan mereka terhenti apabila tiba di kantin Fakulti Sains dan mereka terpaksa beratur membeli makanan.  Badrul membayar kesemua harga makanan mereka bertiga. 
“Kelas you ada pada waktu macam ni ke?”
Bella menyoal Badrul setelah mereka bertiga melabuhkan punggung di kerusi. 
“Tak ada, ada hal sikit dengan lecturer, lepas tu jalan-jalan di library, tak sangka jumpa you all berdua.”
 
“Nak sikit!”
Tiba-tiba garpu Badrul telah singgah di pinggan Sofea mencucuk keratan sotong.  Tiada apa yang mampu Sofea lakukan, sekadar membiarkannya sahaja. 
“Bad, if tunang Fea nampak, habis u!” Bella menegur perbuatan Badrul. 
“Okey, cerita sikit pasal tunang Cik Sofea kita ni.”
Badrul memandang Bella menanti jawapan.  Sofea membuat isyarat muka kepada Bella agar temannya itu tidak berkata apa-apa. 
“Mr.Iqram Haris Dato’ Iskandar, bakal peguam, senior kitaorang last sem!”
Aduyai, Bella ni! Hati Sofea merungut. 
“Patutlah ring tu cantik,” kedengaran suara Badrul mendatar. 
“Iqram tu biasa saja, nanti I kenalkan you dengan dia.”
Sofea menolak pinggan ke tepi dan mengeluarkan telefon bimbit. 
“Ni, pernah tengok dia?”
Sofea menunjukkan gambar Iqram kepada Badrul.  Badrul mengambil telefon bimbit di tangan Sofea, dan merenung lama gambar Iqram. 
“Memang jejaka idaman.”
Badrul menyerahkan kembali telefon bimbit milik Sofea kepada empunya. 
“I dah cakap.”
Bella seolah-olah bersetuju dengan kata-kata Badrul. 
“Bila plan nak kahwin?”   
Sofea mengangkat bahu dan menghadiahkan sebuah senyuman kepada Badrul. 
“Thanks belanja kami makan.”   
“Kawan I ni ada special request, nak ajak you tengok wayang.”
Sofea menjeling ke arah Bella yang merah padam mukanya. 
“If you free lah,” Bella cuba bersahaja dengan Badrul. 
“Okey Cik Bella, any time, any place,” Badrul seakan memahami keadaan Bella yang menahan malu. 
“If I ikut mesti kacau daun kan?” Sofea menambah rasa ke dalam perbualan mereka bertiga. 

Mereka bertiga bergerak meninggalkan kantin Fakulti Sains menuju ke arah perpustakaan utama semula.  Sofea dan Bella meninggalkan buku-buku mereka di sana.  Sampai di perkarangan perpustakaan utama, Badrul berhenti. 
“Puteri-puteri sekalian, hamba memohon diri dulu.” 
“Ini bukan pertemuan terakhir bukan?”
Badrul sempat membuat Sofea tersentak apabila memandang wajah Sofea lama.  Sofea amat pasti Bella menyedarinya. 
“Sudah pasti!” Sofea menjawab dengan senyuman tawar. 
Sofea dan Bella beriringan masuk ke perpustakaan utama.  Kelas tutorial Dr. Rosli hanya akan bermula pada pukul tiga petang.  Sofea berkira-kira untuk meninggalkan perpustakaan pada pukul 2.30 petang, supaya dirinya mempunyai waktu untuk solat Zohor di fakulti sebelum kelas tutorial bermula.  Sofea terus menuju ke meja yang  ditinggalkannya, sementara Bella menuju ke tandas.  Sofea mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar.    
Sofea dah lunch?  How’s the handbag?..” 
Seingat Sofea, belum pernah dirinya menggunakan beg tangan berjenama LV pemberian Ajmal itu.  Hajat di hati ingin memakainya sewaktu Hari Konvokesyen Iqram, namun apabila memikirkan Datin Ira akan menjeling beg tangan tersebut, hasratnya dibatalkan.
Kenyang sangat, kawan belanja,.. handbag sayang nak guna, hehe.”
Sofea membalas WhatsApp dari Ajmal. 
Pakai saja, nanti abang beli lain..”   
“Papp!” 
Bahu Sofea ditepuk dari belakang.  Bella bergerak dari belakang Sofea lalu duduk di tempatnya. 
“Amboi dah angau dengan tunang ya?”  
“Salah sama sekali.”   
“Ha, tak kan dengan Bad kut.  Kata nak bagi kat aku,” Bella mula membuat tekaan rambang. 
“Merepeklah, abang ipar aku lah, tanya pasal handbag.” 
“Kau jangan, nanti dia syok kat kau macamana?”   
“Ah, mengarut.  Aku ni tunang adik dia lah.  Kau ingat ni drama ke?  Semua lelaki nak tergila-gila kat aku.  Bila pula kau nak tengok wayang dengan Bad?”  
“Dia suka kaulah.  Aku nampak tadi dia pandang kau.  Hati aku dah luka Fea,” Bella mula berdrama. 
“Demi persahabatan kita, aku rela melepaskannya, kau terimalah dia wahai sahabat,” Sofea menyambung drama yang dimulakan oleh Bella.  Akhirnya  mereka berdua ketawa bersama-sama.  Mereka berdua memperlahankan suara apabila ada mata yang memandang. 
“Aku tak kisah dia tak suka aku, aku kawan-kawan saja lah,” Bella kembali serius dalam membincangkan Badrul. 
“Maybe dia perlukan masa, or sengaja nak menguji, or nak kawan-kawan dulu.  Macam kau juga.” 
 “Kau jangan risaulah.  Aku tak urgent nak boyfriend okey!”

****
Di banglo mewah Dato’ Iskandar dan Datin Ira.  Makan malam yang agak membosankan bagi Ajmal Farhan. 
“Macamana masakan mama, Ajmal?  Sedap tak?  Tiga tahun tak merasa masakan mama.”
Datin Ira meraih perhatian anak lelaki sulung yang ternyata dingin terhadapnya. 
“Sedap sangat mama, standart datin ada,” jawapan Ajmal  penuh sindiran yang menyeksakan Datin Ira. 
Datin Ira meletakkan sudu dan garpunya.  Cuba mengambilkan Ajmal rendang ayam kesukaan Ajmal satu masa dahulu.  Ajmal membiarkan sahaja tanpa sepatah kata.  Suasana tersebut amat menyerabutkan Dato’ Iskandar.  Ternyata selepas tiga tahun berlalu hubungan Ajmal dan Datin Ira masih belum pulih.  Luka di hati Ajmal akibat perbuatan Datin Ira masih tidak mampu dilupakan oleh Ajmal.  Itulah yang dapat Dato’ Iskandar simpulkan.  Sudah seminggu Ajmal pulang, namun ketawaran hubungan dengannya Datin Ira masih jelas. 
“Lusa Ajmal akan ke KL, cari kerja.”
Dato’ Iskandar memandang anak sulungnya. 
“Cepatnya, mama belum puas dengan Ajmal.  Lagipun ayah nak buat party sempena kepulangan Ajmal, campur doa kesyukuran.  Kan bang?” Datin Ira meminta bantuan suaminya menyakinkan Ajmal. 
“Ya Ajmal, tunggulah dulu, dalam waktu terdekat ini ayah nak buat majlis kesyukuran sempena kepulangan Ajmal.”
“Ayah buatlah cepat.  Ajmal nak ke KL soon, cari kerja.  Start my new life,” Ajmal memberi reaksi baik kepada ayahnya. 
Dato’ Iskandar tersenyum tawar mendengar kenyataan Ajmal.  Amat jelas Ajmal tidak betah tinggal di rumah bersama Datin Ira. 
“Nak ayah tolong carikan kerja dengan kawan-kawan ayah di KL?” Dato’ Iskandar bertanya soalan yang sudah diketahui jawapannya. 
“That’s okay, ayah.  Ajmal cari sendiri.”
Ajmal meneguk air lobak bercampur susu kesukaannya.

Selepas makan malam, Ajmal terus masuk ke bilik.    Datin Ira di ruang tamu seorang diri menonton televisyen.  Dato’ Iskandar di bilik bacaannya.  Pemikirannya kini berpusat kepada Ajmal, hubungannya yang masih dingin dengan Datin Ira, dan yang terbaru sudah tentu berkenaan perasaan Ajmal terhadap Sofea.  Ingatan Dato’ Iskandar berpusat kepada punca perselisihan Ajmal dan Datin Ira lebih tiga tahun dahulu.
“Mama tidak suka gadis miskin itu menjadi menantu mama.  Ajmal pilih, mama atau Umairah!” Suara Datin Ira bergema di ruang tamu banglo mewah milik Dato’ Iskandar.  “Mama jangan menghina orang lain sebegitu rupa.  Mama ingat asal-usul mama!” “Pangg..”
Satu tamparan hinggap menyentuh pipi Ajmal.  Tindakan Datin Ira menampar Ajmal menjadi klimaks kepada konflik di antara Datin Ira dan Ajmal.  Peristiwa tersebut telah lebih tiga tahun berlalu, namun Dato’ Iskandar tetap melihatnya masih segar.  Hubungan Datin Ira dan Ajmal belum menunjukkan tanda akan pulih dan kini luka di hati Ajmal semakin dalam dengan kemunculan Zara Sofea.  Apakah yang menjadi punca Ajmal juga menyukai Sofea?  Kecantikan Sofea?  Atau sumpahan cinta oleh Baizura terhadap dirinya?  Seperti juga Iqram, Ajmal menganggap perjanjiannya dengan Baizura sebagai gurauan.  Sewaktu Dato’ Iskandar menceritakan berkenaan perjanjiannya dengan Baizura, Ajmal hanya ketawa.  Tetapi kuasa Allah dan ketentuanNya tiada siapa yang mampu menduga.  Kini  Ajmal tersentuh hatinya melihat Sofea, dan mengungkit haknya sebagai anak sulung yang paling layak termaktub di dalam perjanjian di antara Dato’ Iskandar dan Baizura.  Dato’ Iskandar tidak dapat membayangkan jikalau Ira mengetahui perasaan Ajmal terhadap Sofea.  Sudah  tentu bukan perkara yang menggembirakannya.  Dato’ Iskandar juga cukup sedar isterinya itu bukanlah begitu menyukai bakal menantunya itu, namun terpaksa menerimanya demi Iqram.  Dato’ Iskandar amat berharap Ajmal menguburkan perasaannya terhadap Sofea.  Biarlah  dirinya sahaja yang mengetahui perasaan Ajmal, tidak Iqram, Sofea mahu pun  Ira isterinya.  Ketukan di pintu bilik mengganggu lamunan Dato’ Iskandar.

“Bang, saya nak bincang pasal Ajmal.”
Datin Ira masuk ke dalam bilik bacaan Dato’ Iskandar.  Di tangannya terdapat cawan berisi kopi panas kegemaran suaminya itu.
“Biarlah dia cari kerja di KL.  Jangan  ganggu hidup dia lagi,” Dato’ Iskandar bersuara lembut sekaligus memberi arahan tegas kepada isterinya.  Selama ini dirinya membiarkan sahaja Datin Ira bertindak mengatur anak-anaknya. Akhirnya Ajmal menjadi mangsa keegoan seorang perempuan bergelar datin. 
“Kita bincang kenduri kesyukuran sempena dia pulang, sempena dia dapat PHD.  Saya takkan campur hal peribadinya lagi.” Datin Ira seolah-olah mengetahui isi hati suaminya kini. Tidak mahu lagi mengulangi kesalahannya mencampuri urusan peribadi Ajmal.  “Saya plan, petang kita buat party di luar rumah, malam jemput orang-orang masjid buat doa kesyukuran,” Datin Ira bersuara lagi setelah melihat suaminya berdiam diri. 
Dato’ Iskandar tersenyum, tanda bersetuju dengan rancangan isterinya. 
“Bila nak buat tu?  Nanti lambat, budak tu pergi KL pula!”
Dato’ Iskandar seolah-olah tidak sabar untuk merealisasikan rancangan isterinya. 
“Minggu depan!  Saya uruskan catering.”
Datin Iskandar kembali ceria mengenangkan rancangan buat anak kesayangannya dipersetujui oleh Dato’ Iskandar.
 
****
Sofea membuka bungkusan berisi beg tangan LV pemberian Ajmal.  Cukup cantik, rasanya tidak sesuai untuk dirinya dengan status sebagai seorang pelajar.  Sofea tersenyum sendiri, Ajmal cukup baik baginya.  Telefon bimbit Sofea berlagu riang. 
“Sayang, I dah sampai,” kedengaran suara Iqram di talian. 
Sofea mematikan talian setelah menyebut perkataan okey.  Dengan cepat Sofea memasukkan bedak, gincu bibir, tisu dan telefon bimbit ke dalam beg tangan LV tersebut.  Cukup cantik dirasakan apabila dirinya menggayakan di depan cermin.  Mujur Bella pulang ke kampung, jika tidak sudah tentu dirinya akan menjadi bahan ketawa sahabatnya itu. 
“Cantik handbag!” Iqram menjeling beg tangan Sofea.
 “Tengoklah siapa yang beli!”
“Ya la, taste orang balik over sea tentu lebih okey,”Iqram bernada rajuk. 
“Ni mesti lapar, sebab tu mengada-ngada ni,” Sofea cuba mengalih topik perbualan mereka. 
“Laparlah.  Fea dah lunch?” Iqram memandang Sofea dengan pandangan sayangnya.  Sofea mula merasakan lelaki itu benar-benar menyayanginya. 
Ya Allah, kuatkan keimananku, bantulah aku agar boleh mencintainya sepenuh hati tanpa mengingati lelaki lain.  Amin! Hati Sofea berkata perlahan. 
“Fea!”   
“Apa dia?  Kita nak makan kat mana?” Sofea kembali kepada kenyataan. 
“Iqram tanya, Fea dah lunch ke belum di asrama tadi?” Iqram mengulangi pertanyaannya.  “Belumlah sayang, bukan janji nak lunch sama tadi,” Sofea bernada manja mengambil hati Iqram. 
Iqram tersenyum, tangannya bergerak cuba mencari jari-jemari Sofea. 
“Jangan mengada-ngada ya.  Berdosa tau!”
Sofea menyembunyikan tangannya.  Iqram ketawa dan meneruskan pemanduannya.

Destinasi mereka tentunya Mid Valley Mega Mall, kompleks membeli-belah kegemaran Sofea.  Mereka menjamu selera di restoran makanan segera Nando’s kegemaran Iqram.  Sofea melihat Iqram begitu lapar, maklumlah jam hampir menunjukkan pukul 1.30 petang. 
“Lepas ni tolong pilihkan kemeja untuk Iqram ya!”
Iqram menyedut the o ais limaunya. 
“Pilihkan kemeja putih lagi lah tu.  Upah Fea?” 
“Anything for puteriku, but less RM 10.00,”Iqram ketawa. 
Sofea turut ketawa, dan  sudah tentu lengan Iqram menjadi mangsa cubitannya. 
“Apa ni cubit-cubit orang.  Berdosa.” Giliran Iqram menyedarkan Sofea.  Sofea tersipu malu. 
Sofea kepenatan mengikuti Iqram memilih kemejanya yang tidak berkesudahan. Masakan  tidak semua yang dipilih oleh Sofea tidak berkenan di hati Iqram.  Masalah timbul apabila hanya kemeja berwarna putih yang mahu dibelinya, sesuai sebagai bakal peguam menjalankan praktikal di firma guaman. 
“You cuba ni.”
Sofea menunjukkan sehelai kemeja berjenama Bonia kepada Iqram.  Iqram tersenyum sambil menyambut kemeja tersebut. 
“Cuba ni sekali.”
Sofea menghulurkan tali leher berwarna hitam bercampur warna perak.  
“I try dulu.”
Iqram menyambut tali leher tersebut dan menuju ke bilik ‘fitting room’.  Sofea menunggu Iqram dengan senyuman masih terlekat di bibir.
Mungkinkah aku dah sayang gila kat tunang aku ni! 
“Taraaa!  Handsome tak tunang you?”
Iqram keluar dari ‘fitting room’.  Sofea tergaman.  Sofea melihat Amirul lengkap memakai kemeja dan tali leher yang dipilihnya. 
Ya Allah, aku belum melupakan lelaki itu.  Tolonglah aku, Ya Allah!
Sofea menelan air liurnya.

            ****
“If Fea tak pergi boleh?”
Sofea menduga Iqram.  Sebenarnya bukan setakat menduga, jika Iqram tidak kisah, Sofea tidak mahu ke rumah bakal mertuanya itu. 
“Apa kata abang kesayangan Fea nanti.  Mesti tertunggu-tunggu adik iparnya.” Iqram mematikan niat Sofea. 
“Nak pakai apa?” 
“Party petang tu kawan-kawan mama datang, pakai cantik sikit.”
Kenyataan Iqram membuat Sofea terkedu.  Sofea meletakkan telefon bimbitnya di atas meja sambil mengeluh.  Perbuatannya ternyata menarik perhatian Bella yang sedang berfacebook. 
“Kenapanya Cik Sofea oi!  Tunang call mengeluh pula.” 
“Party Abang Ajmal hujung minggu ni.  Malaslah pergi rumah datin tu,” Sofea berterus-terang. 
“Wei!  Datin tu bakal mak mertua kau.  Eloklah beramah mesra.”
Bella ketawa memandang Sofea yang muncung mendengar perkataan datin disebut. 
“Iqram suruh pakai cantik.  Aku nak pakai apa ni?”
Sofea mula meraih simpati Bella agar menolongnya. 
“Apa susah, kau suruh Iqram beli baju untuk kau, habis cerita.”
“Malulah.  Kau  ni!”
Sofea membantah tanda tidak setuju.  Bella ketawa lagi. 
“Yang kau minta handbag dari abang ipar kau tu tak malu pula,” Bella memperli Sofea.  “Tu aku main-main saja lah,” Sofea tetap mempertahankan pendiriannya. 
“Minta dengan Iqram pun untuk dia juga.  If kau cantik nanti siapa yang suka?”
Sofea tersenyum mendengar keterangan panjang lebar dari Bella yang ternyata ada kebenarannya.

“Sayang, Fea nak cakap sesuatu.”
Sofea memulakan drama untuk meminta baju dengan ungkapan sayang kepada tunangnya. 
“Hahaha,..why bersayang-sayang ni?  Ada buat salah ya?” Iqram ternyata hairan. 
“Fea, Fea, err..Fea tak ada baju cantik lah,” Sofea akhirnya berterus-terang. 
“Esok petang kita pergi beli.” 
“Malu lagi dengan Iqram ke?”
Iqram seolah-olah memahami perasaan Sofea. 
“Ya lah, malu campur segan!” 
“Lain kali if nak apa-apa, panggil sayang.  I tau lah you nak apa-apa,” Iqram kembali terbahak-bahak ketawa. 
Sofea cukup senang mendengar Iqram ketawa.  Itu bererti Iqram bahagia bersamanya.  Jikalau Iqram mengetahui hatinya masih milik Amirul tentunya lelaki itu kecewa.  “Dapat tak?”
Bella mengejutkan Sofea yang tersenyum sendirian setelah meletakkan telefon bimbitnya. 
“Mestilah dapat.”
Sofea mengenyitkan matanya. 
“Apa kata kau minta dua, satu bagi aku.  Iqram mesti beli mahal kan.”
Bella mula memberi cadangan merapu kepada Sofea. 
“Kau jangan harap ya.  Aku dah mula sayang kat dia.  Tak nak tipu dia.” 
“Ya la tu!  Cemburunya aku!”
Bella ketawa riang mendengar kenyataan Sofea.

Sofea merebahkan badan di katil, melupakan sejenak kebimbangannya untuk pergi ke majlis Ajmal.  Entah mengapa hatinya begitu berat untuk pergi sekali lagi ke rumah Datin Ira.  Mama tersayang pernah berkata, apabila hati kita berat untuk melakukan sesuatu, pasti ada yang tidak kena. 
Ah, mungkin aku tak selesa dengan Datin Ira yang jadi musuh cinta mama, itu sahaja! Sofea memujuk hatinya sendiri. 
Tiba-tiba Sofea teringatkan mama tersayang.   Adakah  mamanya itu menerima jemputan dari Dato Iskandar?  Sofea menduga, tentunya mama tidak akan menhadirkan diri walaupun dijemput.  Jika dirinya menjadi mama, Sofea sudah pasti tidak akan menghadirkan diri di majlis musuh cintanya.  Sofea mencapai telefon bimbitnya kembali.  
“Ya sayang mama, ada apa call malam-malam ni?” Suara Baizura kedengaran lesu.
“Rindulah.  Awal mama tidur?” 
“Fea nak minta izin ikut Iqram balik Ipoh, boleh?” 
“Boleh, tapi untuk apa ya?”
Sofea amat yakin mamanya tidak dijemput oleh Dato’ Iskandar berkenaan majlis Ajmal. 
“Party Abang Ajmal, abang Iqram.  Dato’ tak jemput mama?” Sofea menyoal mamanya serta-merta. 
“Tak pula, mungkin belum.  Tapi mama tak pergi kut.”
Jawapan yang telah diduga sebenarnya oleh Sofea. 
“La, nanti rindu dato’ macamana?” 
Kedengaran tawa Baizura di talian.  
“Sejarah silam, lupakan sahaja!” 
“Cinta tak pernah mati Puan Baizura,” Sofea menyambung usikannya. 
Baizura tidak cepat melatah. 
“Mencintai tidak bererti memiliki, tidak bererti hidup bersama, sayang mama ni.” Kenyataan dari Baizura yang cukup mengharukan Sofea. 
Andainya mama mengetahui nasib anaknya ini serupa dengannya! Hati Sofea bersuara. 
Baizura mengakhiri perbualannya dengan Sofea dengan berpesan agar anaknya itu memakai pakaian yang menarik, anggun dan sesuai dengan imej bakal seorang menantu dato’. 
Ngerinya hidup ini.  Terlalu banyak protokol.  Demi impian cinta mama, aku pasrah!

****
Hari yang mendebarkan Sofea tiba juga.  Jam di tangan menunjukkan pukul 11.40 pagi.  Iqram akan menjemputnya pada pukul 12.00 tengahari, dan majlis Ajmal akan bermula lebih kurang pukul 3.00 petang.  Sofea mengenakan make-up agak tebal, dengan tudung yang lebih sesuai dan indah dari biasa.  Dress labuh berbunga kecil beserta kardigan pilihan Iqram tersarung di badan Sofea.  Kasut bertumit tinggi berwarna hitam dan beg tangan pemberian Ajmal melengkapkan penampilan Sofea tengahari itu.  Sofea mengakhiri persiapannya dengan semburan wangian ‘Be Delicious’ pemberian Iqram sewaktu pertunangan mereka.  Sofea memandang cermin sekali lagi.
Betul ke aku ni cantik?  Ramai lelaki suka aku sebab aku cantik?  Haha,..apa aku perasan ni!  Bella pernah mengeluarkan kenyataan bahawa aku digilai kerana kecantikanku, apakah benar begitu?  Adakah Amirul juga menyukaiku kerana itu?  Tidak sama sekali.  Aku  melihat kasihnya yang memandangku sebagai adik, sebelum kasih sebagai adik itu merebak menyentuh hatinya.  Iqram dan Badrul mempunyai persamaan, berkemungkinan terpesona dengan kecantikanku! Sofea terus-terusan bermonolog. 
“Amboi-amboi tuan puteri ni, berangan nak pilih putera yang mana satu ya?”
Bella muncul di sebalik pintu.  Sofea hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan. 
“Aku nak lunch dengan siapa ni?  Huhu..” Bella seakan-akan berdrama di depan Sofea.  “Ngada-ngada betul.  Malam aku balik, aku beli Mc’D untuk kau if sempat,” Sofea memujuk mesra teman sebiliknya. 
“Aku pinjam kereta!”
Bella mengenyitkan matanya. 
“Ha, nak merayap kat mana pulak?”
Sofea mengeluarkan kunci keretanya dari laci.  
“Ronda-ronda KL if boring.”
Bella sengih sewaktu menyambut kunci kereta yang  diserahkan oleh Sofea.  Telefon bimbit Sofea di atas meja berlagu dengan riang. 
“Tu tunang kesayangan kau dah sampai!”
“Eh, Abang Ajmal lah.”
Sofea  tidak menyangka Ajmal yang menelefonnya. 
“Sofea datang tak ni?”   
“Datanglah, ni tunggu Iqram ambil.  Girlfriend abang datang tak?” Sempat Sofea menyakat bakal abang iparnya itu. 
“Mestilah datang.  Nanti abang kenalkan dengannya.”
Alamak!  Abang Ajmal dah ada buah hati?  Melepaslah sahabat aku ni.  Hahaha!
“Abang, okey lah, ada call masuk, mesti Iqram dah sampai,” Sofea mengakhiri perbualannya dengan  Ajmal. 
Seperti yang telah diduga, panggilan tersebut dari Iqram. 
“Aku pergi dulu.  Cantik tak bakal menantu datin ni?”  
“Bolehlah, boleh blah!”
Bella ketawa memanjang melihat Sofea mengayakan dress yang dipakainya.  Sofea menuruni anak tangga dengan perlahan, cuba menyesuaikan diri dengan kasut tumit yang dipakainya.  Amat janggal sekali, namun demi menemui Datin Ira, Sofea terpaksa.  Tiba di lobi, ramai mahasiswa dan mahasiswi menuju ke dewan makan.  Ramai juga yang memandang Sofea. Mungkin  kerana jarang melihatnya berdandan sebegitu rupa. 
“Cantiknya.  Boleh berkenalan?”
Sofea menoleh ke arah suara nakal di belakangnya.  Lokman tersenyum manis.  Kawan sekelas Sofea itu juga agak popular di Kolej Khurshiah.  Mungkin disebabkan dirinya agak lembut menjadikannya cukup popular di kolej.  Sofea sekadar mengeyitkan mata kepada Lokman dan bergerak laju menuju ke kereta Iqram yang sedia menanti.

“Wanginya, rasa nak makan saja!”
Tindak balas Iqram terhadap wangian yang dipakai oleh Sofea. 
“Gatal lah tu,” Sofea menjawab sambil membetulkan duduknya di dalam kereta.  Kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan Kolej Janda. 
“Cantik sangat.  Iqram suka,” Iqram memuji Sofea. 
Hampir-hampir Sofea tenggelam dengan pujian Iqram tersebut. 
“You dah lunch?”   
“Belum.  Sayang?” Iqram menyoal Iqram semula sambil memandang tunangnya. 
“Why panggil sayang ni?  Nak apa-apa ke?” Sengaja Sofea mengusik Iqram, mengungkit peristiwa dirinya memanggil Iqram sayang kerana meminta baju tempohari. 
“Itu Fea, if nak sesuatu baru panggil sayang.  Ni Iqram, pangil sayang sebab sayang kat Fea sungguh lah.” 
“Fea belum lunch tapi pagi tadi ambil nasi goreng banyak.  Kenyang lagi.  Habis Iqram nak makan dulu ke?” Sofea menyoal Iqram. 
“Tak lapar sangat.  Kita makan kat rumah lah dengan Abang Ajmal.” Iqram kelihatan begitu menyayangi abang kandungnya itu. 
“Cd Anuar Zain ya?”
Sofea memandang Iqram memohon simpati. 
“Sure.  Sayang Iqram dulu!” Iqram menyentuh pipinya dengan jari telunjuk.  Sofea tidak menjawab, hanya cubitannya yang menjawab kenakalan Iqram tengahari itu.  Lagu -lagu Anuar Zain mengiringi perjalanan mereka berdua ke Ipoh dengan lancar.

Mereka  tiba di Bandaraya Ipoh kira-kira pukul 2.30 petang.  Dari jauh Sofea melihat banglo mewah Dato’ Iskandar yang cantik.  Serentak bayangan wajah Baizura menjelma di depan matanya.  Bukankah mamanya itu yang sepatutnya menjadi suri di banglo mewah tersebut? 
Berdosakah aku mempertikaikan ketentuan takdir yang tertulis? Hati Sofea bersuara.  Bersilih ganti dengan wajah Baizura tentunya wajah Datin Ira yang berjaya kukuh di persada perkahwinan dengan Dato’ Iskandar. 
“Turunlah.”
Iqram mengejutkan Sofea.  Sofea yang terkejut melucutkan tali pinggang keledar di pinggang dan turun dari kereta.  Mereka berdua memasuki perkarangan banglo mewah Dato Iskandar yang dilatari rumput yang menghijau. Sewaktu mereka tiba, majlis ‘hi-tea’ baru bermula dengan kehadiran para tetamu seperti Sofea dan Iqram.  Majlis ‘hi-tea’ di tepi kolam renang itu cukup indah dengan hiasan jambangan ros segar    di setiap meja.  Sofea menuruti Iqram yang terus mendapatkan mama dan ayahnya.  Sofea menyalami bakal ibu bapa mertuanya. 
“Cantik handbag!”
Seperti yang diduga oleh Sofea beg tangannya menarik perhatian Datin Ira. 
“Err…Abang beli, Abang Ajmal,” jawab Sofea jujur. 
“Ya mama, abang tu sayang sangat kat Fea,” Iqram pula menambah rasa dalam perbualan Sofea dan Datin Ira. 
“Sofea sihat?”
Seperti biasa wajah tenang Dato’ Iskandar mendamaikan Sofea petang itu.  Sofea perasan wajah Dato’ Iskandar berubah apabila mendengar Sofea berkata Ajmal membelikan dirinya beg tangan. 
“Sihat dato’,” Sofea menjawab lembut. 
“Panggil ayahlah, senang!”
Sofea menoleh ke arah suara yang mengganggu perbualannya dengan Dato’ Iskandar.  Ajmal tampil hebat petang itu dengan kemeja putih dan jeans hitam.    
“Cantik adik abang!”
Ajmal menghulur gelas berisi air minuman kepada Sofea.  Sofea menyambutnya mesra. 
“Terima kasih,” Sofea menjawab sambil menunjukkan beg tangan yang dibawanya.  Ajmal ketawa melihat gelagat Sofea.  Dato’ Iskandar dan Datin Ira bergerak melayan tetamu-tetamunya yang lain, sementara Iqram mula mengambil makanan.  Baru Sofea teringat Iqram belum makan tengahari sebelum ke Ipoh tengahari itu. 
“So, mana girlfriend abang ni?”
“Dah sampai, tapi Fea tak nampak,” Ajmal mengeluarkan lawak merepeknya. 
“Fea laparlah.  Fea makan dulu ya?”
Sofea berterus-terang sambil bergerak ke  arah Iqram yang sedang sibuk mengambil sotong dan ikan bakar. 
“Abang nak makan sama lah.”
Ajmal membuntuti Sofea mendekati Iqram.

Mereka bertiga duduk di satu meja yang dihias cantik dengan bunga ros merah.  Sofea pasti Datin Ira juga meminati bunga ros seperti mamanya.  Jika tidak, masakan semua meja-meja dihias dengan bunga ros yang segar. 
“Eh, Fea nak sotong tu!” Sofea merengek manja kepada Iqram apabila menyedari Iqram menghabiskan sotong bakar di pinggannya dan hanya memberikan ikan bakar kepadanya.   
“Opps!  Sorry.  Ambillah sendiri duhai puteriku.”
Iqram menyakat Sofea sambil mengenyitkan matanya. 
“Abang ambilkan.”
Ajmal bingkas bangun meninggalkan Sofea dan Iqram. 
“Fea tau, abang ada girlfriend.  Umairah!”
Kenyataan Iqram benar-benar menarik perhatian Sofea. 
“Mana dia?” Sofea pantas menyoal Iqram.  Perbualan mereka terhenti apabila Ajmal muncul dengan sepinggan sotong bakar di tangannya.  Sofea tersenyum gembira.  “Terima kasih abangku.  Ha, ni untuk I sorang ya!” Sofea mengucapkan terima kasih dan sempat mengusik Iqram. 
Kerancakan perbualan mereka bertiga terhenti apabila Datin Ira membuat pengumuman.  Ajmal bangun apabila Datin Ira mengumumkan bahawa majlis tersebut untuk anak sulungnya yang baru pulang dari luar negara.  Tiba-tiba Sofea terkedu apabila namanya turut disebut.  Rupa-rupanya Datin Ira memperkenalkan tunang Iqram kepada hadirin semua.  Sofea bangun sambil tersipu malu.  Iqram dan Ajmal tersenyum-senyum mentertawakannya.

Iqram meminta izin melayan tetamu yang hadir bersama Dato’ Iskandar dan Datin Ira. 
“Mama sihat?  Mengapa tak datang.”
Ajmal mengingatkan Sofea kepada mamanya. 
“Mama sihat, sibuk kut,” Sofea memberi alasan palsu yang sudah pasti diketahui oleh Ajmal. 
“Ayah cinta pertama Aunty Baizura kan?”  
“Err, mana abang tau ni?”
Sofea kembali mengingati perbualannya dengan Ajmal di Bangsar dahulu.  Waktu  itu Ajmal memberitahu Sofea, dia mengenali Baizura. 
“Abang juga tau tentang perjanjian itu!”
Ajmal memandang tepat ke wajah Sofea.  Sofea berasa tidak selesa diperlakukan begitu. 
“Sofea tau, perjanjian ayah dan Aunty Baizura dahulu ialah abang, bukan Iqram,” Ajmal meneruskan cerita yang tidak ketahui oleh Sofea. 
“Ye ka?  Mama tak cerita pun.  Dia cerita, mama dan dato’ berjanji nak jadi besan jika mereka tiada jodoh.  Itu saja.” 
“Abang sebagai anak sulung dalam perjanjian itu.  Lagi pun dulu muka abang sebiji muka ayah.  If tak percaya tanya aunty or ayah,” Ajmal bersungguh-sungguh bercerita.  “Cinta mereka kuat kan?  Jika tak, tak kan mempertemukan Fea dan Iqram di kampus,” Sofea memberi komentar jujur tentang hubungan mamanya dan Dato’ Iskandar. 
“Abang dah tuntut isi perjanjian tu dengan ayah!” Ajmal berkata tenang. 
“Tuntut apa, bang?” 
“Tuntut Fea lah.  Yang sepatutnya milik abang!”
Sofea bagai terlihat hantu di depannya.  Pucat lesi terkejut dengan kenyataan Ajmal.  Sofea bangun perlahan meninggalkan Ajmal dan bergerak masuk ke dalam banglo, mencari tandas.  Satu tempat pelarian yang dirasakan oleh Sofea cukup selamat.  Sofea memandang wajahnya di cermin. 
“Adakah kerana kecantikan ini, aku diburu masalah kini?” Sofea bersuara perlahan. 
Sofea dengan cepat menghubungi mamanya. 
“Betullah tu, Ajmal yang mama selalu sebut dulu, muka dia seiras dato’ dulu.” Jawapan Baizura benar-benar membuatkan Sofea terkesima.  Memang benar Ajmal tidak berbohong, namun Sofea mengesali mengapa perlu Ajmal benar-benar menuntut janji tersebut sedangkan kini dirinya tunangan Iqram. 
Abang Ajmal suka aku ke?  Macamana kalau Iqram tahu perkara ini?
Hampir lima belas minit Sofea di dalam tandas.  Menyedari Iqram mungkin mencarinya, Sofea membetulkan make-up dengan seadanya, dan segera keluar dari banglo Dato Iskandar.  Sofea mendekati Iqram yang sibuk berbual dengan Dato’ Iskandar. 
“Ni bila Sofea nak jadi anak ayah ni?” Dato’ Iskandar ketawa.
Kalaulah dia tau, kedua-dua anak lelakinya sukakan aku! Hati Sofea bersuara.    
“Tahun depanlah ayah.”
Iqram menjawab sambil memandang Sofea. 
“Ayah nak cepat-cepat menimang cucu.”  
“Tak lari gunung dikejar, ayah,” Iqram kembali menjawab sambil mengusik ayahnya.

Jam di tangan Sofea menunjukkan hampir pukul 5.30 petang.  Sofea memberi isyarat kepada Iqram agar meninggalkan majlis yang semakin sunyi.  Semakin ramai tetamu yang telah pulang. 
“Mama, Iqram balik dulu.  Fea ada kelas pagi esok.” Pandai Iqram memberi alasan kepada Datin Ira untuk mengelak majlis doa selamat dan bacaan Yasin pada malam itu.  “Drive elok-elok,” Datin Ira berkata sambil menyambut salam yang dihulur oleh Iqram.  Sofea menyalami Dato’ Iskandar dan Datin Ira.  Sofea mencari kelibat Ajmal, namun tidak kelihatan. 
“Abang mana?” Sofea bertanya kepada Iqram. 
“Kat dalam.  I dah bagitau kita nak balik,” Iqram memberi penjelasan yang melegakan kepada Sofea.  Sofea menarik nafas lega. 
Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur Sofea agak senyap dan memberi alasan kekenyangan kepada Iqram.  Sofea kembali melayan fikirannya, mengingati perjanjian mama tersayang dan Dato’ Iskandar.   Ya,  perjanjian yang mana dirinya menjadi bahan pertaruhan. 
Mama tidak tahu keadaan yang aku alami.  Mama tau tak, Abang Ajmal  menuntut janji yang tidak rasional?  Mengapa pula Abang Ajmal muncul dengan perasaan suka kepadaku?  Bukankah Abang Ajmal telah mempunyai girlfriend?
Pelbagai persoalan bermain di hati Sofea. 
“Umairah mana?”
Iqram agak terkejut dengan soalan Sofea yang tiba-tiba. 
“Tak tau lah, dah lebih tiga tahun tak dengar cerita lepas mama tak suka dia,” Iqram menjawab tenang.  
“Ada persamaan dengan Fea tak?”   
“Adalah sikit-sikit.  Putih sama kut!  Hahaha.  Mengapa  sibuk tanya ni?” Iqram mula menghidu sesuatu. 
“Kesian kat abang, mama buat dia merana!”
“Mama dah berubah sekarang.  Mungkin memang mereka tiada jodoh,” Iqram mengeluarkan kenyataan matangnya. 
“If kita tak ada jodoh macamana?”
Sofea menduga Iqram.  Iqram memandangnya seketika sebelum kembali memandang ke hadapan. 
“Fea masih ingat Amirul kan?”
Soalan yang membuat Sofea terus terdiam. 
“Selama ini Iqram tak nak cakap, tapi Iqram tahu Amirul pernah mencuri hati Fea.  Fea terima Iqram mungkin sebab ayah dan aunty,” Iqram berbicara panjang lebar membuatkan Sofea sebak. 
Apakah perasaannya apabila mengetahui abang kesayangannya juga menyimpan perasaan kepadaku!

Mereka tiba di Kolej Janda kira-kira pukul 8.00 malam.  Sofea langsung tidak mempunyai perasaan untuk singgah di mana-mana.  Langsung melupakan sahaja janjinya kepada Bella untuk membelikannya Mc’ Donald.  Sofea turun dari kereta tanpa sepatah kata.  Ketika Sofea bergerak turun dari kereta, Iqram memegang tangannya. 
“Sayang Iqram?” Soalan berharga Iqram pada malam itu.  Pengakuan Ajmal menambah simpati Sofea terhadap Iqram. 
“Sayang sangat!”
Sofea menarik tangannya dan turun dari kereta.  Sofea berjalan malas menuju ke bilik.  Penat memikirkan apa yang berlaku.  Semuanya benar-benar mencabar  usaha dirinya untuk menyayangi Iqram dengan sepenuh hati.  Tiba di bilik, Bella tidak kelihatan.  Sofea menanggalkan tudung dan membaringkan tubuh di katil, menghilangkan kekusutan yang panjang. 
Perlukah aku mengadu kepada mama perihal Abang Ajmal?  Bukankah nanti merisaukan hati mama! 
Satu-satunya orang yang sesuai bagi Sofea untuk mengadu tentunya Bella.  Teman  sebiliknya itu.  Bella mungkin ketawa besar, atau simpati dengan dirinya. 
Abang Ajmal, mengapalah kau hadir membuat hidupku tambah serabut.

“Wei, bangunlah.  Kau tak nak mandikah?”
Sofea tersedar apabila Bella mengejutkannya. 
“Pukul berapa ni?” Sofea bertanya kepada Bella sambil mencari-cari telefon bimbitnya di dalam beg tangan. 
“10.30 dah.  Mana Mc’D aku.  Lupalah tu,” Bella mula membebel. 
“Sorry.  Penat sangat tadi.”
Pandai Sofea memberi alasan sambil bangun mencapai tuala dan mengambil alatan mandiannya, lalu keluar dari bilik.  Air yang turun membasahi ubun-ubunnya terasa begitu melegakan.  Lupa sejenak  dirinya tentang Ajmal dan Iqram.  Sofea merasa dirinya menuruti perangai mama tersayang yang suka mandi dengan lama sambil menyanyi.  Tentunya lagu dari dendangan penyanyi pujaan Sofea, Anuar Zain menguasai ruang bilik air ketika itu.

****
Bihun goreng Sofea suap perlahan. 
“Betul ke perjanjian aunty dengan dato’ dulu sebut Abang Ajmal?” Bella bertanya kembali setelah Sofea menceritakan apa yang berlaku di banglo Dato Iskandar. 
“Yup!  Aku dah tanya mama.  Tapi bagi aku itu semua tak penting.  Abang Ajmal patutnya menghormati hubungan aku dan Iqram.  Bukan cakap kat aku, suka kat aku atau nak tuntut hak dalam perjanjian.  Ini mengarut!” 
“Okey-okey Cik Sofea.  Kau patut cakap kat Mr. Ajmal camni, bukan kat aku,” giliran Bella pula meluahkan apa yang terbuku di hati. 
“Sorrylah, emo pula,” Sofea kembali tersenyum. 
“Aku rasa if Abang Ajmal merepek lagi, aku cakap saja tak suka dia.  Habis cerita.  Penat dah aku asyik nak jaga hati orang ni!”
“Pandai pun Cik Sofea ni!”
Bella ketawa.

            ****
Ajmal berdiri memandang ikan-ikan yang berenang di kolam. 
Tentunya ikan-ikan itu hidup gembira.  Aku yang merana! 
“Anak mama, mari minum petang.”
Datin Ira muncul sambil bergerak menuju meja yang tersedia minuman petang.  Ajmal duduk di hadapan Datin Ira, menghirup teh panas kegemarannya. 
“Anak mama dah ada calon ke belum?”   
“Ada, tapi pasti mama tak suka!” Ajmal menjawab agak keras pertanyaan mamanya.  Datin Ira diam.  Kehilangan kata-kata untuk memberi respons akan kata-kata Ajmal. 
“Mengapa mama diam?”
“Mama menyesal sayang, maafkan mama,” Datin Ira bersuara perlahan. 
“Mama akan menerima siapa pun pilihan Ajmal sekarang.  Jangan hukum mama lagi.” Tangan Datin Ira menggenggam tangan Ajmal lembut.  Ajmal tersenyum pahit.  “Bawalah jumpa mama,” Datin Ira seakan memperoleh sinar baharu dalam hubungannya dengan Ajmal. 
“Nantilah, mama akan tau juga siapa orangnya,”Ajmal memberi penjelasan. 
Datin Ira tersenyum, mengharapkan hubungannya dengan Ajmal pulih sepenuhnya. 
“Tak sabar mama.  Nanti kita boleh buat resepsi sama dengan Iqram.  Biar mama yang jadi wedding planner.  Garden  wedding untuk dua putera kesayangan mama,” Datin Ira ghairah membayangkan rancangan perkahwinan anak-anaknya. 
Ajmal meneruskan senyuman pahitnya.  Wajah Sofea dan Iqram bermain di fikiran.  Adakah pertimbangan rasional telah hilang di mindanya?  Kenapa perlu melayan hati yang menyukai Sofea.  Perlukah dirinya mempertaruhkan hubungan adik-beradik dengan Iqram demi melayani perasaan, sedangkan Sofea sudah pasti menolak perasaannya itu. 
“Berangan!”
Kali ini senyuman pahit Ajmal hilang, terpancar senyuman manis kerana menyedari tingkahnya mengelamun disedari mama tersayang. 
“Sedap tak mee goreng tu?”
Pandai Ajmal mengalih topik perbualan.  Datin Ira tidak menjawab, sebaliknya mencedok mee goreng untuk Ajmal.  Ajmal menjamah mee goreng petang itu dengan penuh selera.  Biarpun hatinya penuh kekeliruan, namun dirinya tetap gembira dengan fasa baru hubungannya dengan Datin Ira yang semakin pulih.  Sedikit sebanyak dirinya telah memaafkan Datin Ira. 
“Kenapa tak ikut ayah main golf,sayang?”
“Golf?  Tunggulah Ajmal tua sikit,” Ajmal mula berjenaka dengan Datin Ira. 
“Oo, ni belum tua lah ni?  28 tahun, dah boleh jadi ayah tau,” Datin Ira kembali kepada topik awal sebelumnya. 
“Mama suruh Ajmal kahwin cepatkah?  Kerja pun belum.  Duit hantaran, wedding ring dan semua-semua macamana?” Ajmal menyoal Datin Ira bertalu-talu. 
Datin Ira ketawa terkekeh-kekeh, dan akhirnya bersuara. 
“Apa gunanya mama dan ayah ni, sayang?”
Ajmal tersenyum menyedari kebenaran kata-kata Datin Ira.  Masalah yang timbul cuma satu kini, calon di hatinya yang tidak mungkin dimiliki, Zara Sofea, tunang kepada adiknya sendiri. 
“Nantilah mama.  If ada jodoh tidak ke mana bukan?”
 
“Ajmal akan ke KL lusa, mama,” Ajmal menjelaskan rancangannya yang tertunda disebabkan majlis kesyukuran yang dibuat oleh Datin Ira. 
“Cepatnya sayang.  Tinggal dengan Iqram ke?” Datin sedikit ragu dengan rancangan anak sulungnya. 
“Nak ayah bagitau kawan-kawannya di KL untuk senang Ajmal interview?”  
“Mama ni, Ajmal akan usaha sendiri.  Apa guna gelaran DR ni.  Tak naklah kacau Iqram, Ajmal dah cari apartment sendiri!”
Ajmal ketawa, diikuti oleh Datin Ira.