Mr.Dud Next Door
Bab 3
Adam Zafran
memegang batu nisan milik Amira kejap, seperti tidak mahu dilepaskan. Abang tak pernah terfikir ini akhirnya cinta
kita, Mira. Masa terlalu singkat buat
kita bersama. Buat anak kita, Maya. Abang tak tau nak teruskan hidup tanpa Mira. Macamana abang nak jaga Maya. Macamana, Mira? Air mata berharga seorang lelaki sejati,
gugur. Mengalir membasahi pipi lelaki
yang baru kehilangan isteri itu.
Bantulah abang, Mira. Untuk
bangun meneruskan hidup yang rusuh ini.
Abang terlalu lemah tanpa Mira.
Bantulah abang, Mira! Zafran
mengesat air matanya. Abang balik dulu! Pegangan tangan ke atas batu nisan
dilepaskan. Maya dah keluar sekolah ni! Esok abang datang lagi.
Zafran
bangun, mengibas punggung yang tadinya duduk beralaskan surat khabar. Helaian surat khabar yang didudukinya itu
dilipat. Abang balik, Mira! Langkah Zafran longlai meninggalkan perkuburan
Amira. Peluh mula menitik di dahi
Zafran. Zafran seperti lelaki kehilangan
arah. Orang yang melihat tingkahnya
mengunjungi pusara di waktu terik matahari, sudah pasti menyangkanya tidak
siuman. Hilang arah! Atau pun yang lebih tepat kemurungan yang
mengejut. Kehilangan isterinya dalam
sekelip mata amat mengejutkan Zafran.
Zafran hilang punca. Tidak tahu
apa yang harus dilakukannya. Enjin
motosikal dihidupkan oleh Zafran.
Selesai memakai topi keledar, Zafran menoleh lagi ke pusara Amira yang
ditinggalkan.
Begitulah
rutin harian Zafran setelah hampir sebulan kematian isterinya, Amira. Sebelah pagi, setelah menghantar Maya ke
sekolah, Zafran akan bergegas ke tempat kerja.
Waktu hampir tengahari, sebelum mengambil Maya, Zafran pastinya
menjenguk kubur isterinya itu. Zafran
seperti belum menerima akan hakikat kematian isterinya itu.
“Ayah!”
Jerit Maya kuat.
Zafran tersenyum, melihat Maya yang
berjalan pantas ke arahnya dengan mengheret beg beroda.
“Kenapa ayah lambat?”
“Maaf.
Bos ayah bagi ayah keluar lambat tadi,” Zafran membohongi Maya.
Zafran menyambut huluran beg beroda oleh
Maya. Maya membonceng di bahagian belakang
Zafran.
“Anak ayah baik tak di sekolah tadi?”
“Mestilah baik. Mama dah tak ada. Lagilah kakak kena jadi budak baik!”
Dada Zafran bergetar mendengar kata-kata
Maya. Wajah Amira menjelma di depannya.
Aku mesti kuat! Tak boleh maya tau, yang aku menangisi
kematian Amira begini.
“Cepatlah ayah! Nanti bos ayah marah lagi. Ayah masuk lewat!” Kepetahan Maya mengejutkan Zafran.
“Okay.
Peluk ayah kuat-kuat tau!”
“Ayah bawaklah laju-laju. Biar seronok.
Angin tiup tudung kakak kuat!”
Maya ketawa.
“Tak bolehlah kakak. Bahaya.
Kalau kita jatuh macamana?”
“Kita jadi macam mamalah.”
Zafran diam, tidak memberi respons lagi
terhadap kata-kata Maya.
Setelah
menurunkan Maya betul-betul di depan pagar tadika yang menjadi ‘transit’ untuk Maya
sehingga waktu kerjanya habis, Zafran terus memecut laju ke tempat kerja. Jam di tangan kanan dijeling.
Dah pukul 1.30. sempat tak aku makan ni? Aku mesti makan. Pengsan pulak nanti!
Zafran memberhentikan motosikal di tepi
jalan. Langkahnya diatur menghampiri
sebuah kedai makan. Kedai makan layan
diri itu diterjah oleh Zafran dengan terus mencedok nasi dan mengambil
lauk. Hidangan yang cukup sederhana
untuk Zafran tengahari itu. Nasi putih
berlaukkan ikan bawal goreng, sayur kangkung dan sedikit sambal belacan.
“Air?”
Soal pekerja kedai makan pendek.
“Teh ais,” jawapan Zafran juga pendek.
Zafran mula menikmati makan
tengaharinya. Teh ais yang dipesannya
tiba. Sedang menikmati hidangannya,
Zafran tiba-tiba teringat akan anaknya, Maya.
Tak tanya pun kakak makan apa tadi.
Zafran tersenyum sendiri.
Mesti kakak makan benda yang sama. Nasi lauk ayam berharga RM1.50 dan dua biji
sosej kecil yang tiap satunya berharga 50 sen.
Zafran meneruskan suapannya.
Tidak perlu dibimbangkan akan makan tengahari Maya. Di tadika transit itu, Maya akan diberi makan
tengahari. Setelah menghabiskan
hidangannya, Zafran bangun untuk membasuh tangan. Setelah kembali ke meja, teh ais yang masih
bersisa dihabiskan. Kertas kecil
tertulis harga makanannya dibawa ke kaunter pembayaran. Zafran bergegas meninggalkan kedai makan
menuju motosikalnya.
“Kau
lambat lagi? Kalau Ah Seng tau, bising
dia nanti. Mau direportnya dengan
bos. Dia kan kuat mengampu!”
Zamri menyambut Zafran yang baru tiba di
kilang besi itu dengan bebelan. Zafran
hanya tersenyum pahit.
“Kenapa kau selalu lambat balik makan
tengahari lepas bini kau mati?”
“Kan aku ambik anak aku balik sekolah!”
“Dulu kau ambik jugak anak kau kan? Kau pergi mana sebenarnya?”
“Lepas ambik anak aku. Hantar di transit. Lepas tu makan. Mestilah lambat,” Zafran tetap menyembunyi
rahsianya yang pergi ke pusara Amira.
“Betul ke kau makan ni? Aku tengok cengkung semacam aje. Ran, redhalah dengan ketentuan Allah. Kalau kau terus-terusan macam ni, anak kau
macamana nanti? Kau nak mati juga? Tinggalkan dia sorang-sorang kat dunia
ni? Dia kecik lagi. Kesian dia, Ran!”
Zafran mengesat peluh di wajahnya. Ketampanan lelaki berumur awal 30’an itu
tetap terserlah walaupun bekerja sebagai buruh di kilang besi, dan hidup serba
kekurangan.
“Aku tak pernah cakap aku nak mati!”
“Memang kau tak cakap. Tapi tengoklah diri kau tu. Tak terurus.
Macam tak mandi aku tengok.
Macamana kau bela anak kau tu.
Boleh ke kau jaga dia ni? Kau dan
isteri tak ada saudara-mara ke?”
“Aku pergi toilet kejap!”
Zafran berlalu meninggalkan Zamri tanpa
sebarang jawapan diberikan. Zamri
menggelengkan kepalanya.
“Kau nak jadi apalah ni, Ran!”
Malam itu di rumah sewa yang diduduki
oleh Zafran dan Maya.
“Kakak tak ada kerja rumah?”
“Kakak dah buat di tadika tadi. Cikgu tadika pun tolong kakak!”
“Bukan kakak baca Iqra ke kat situ?”
“Lepas baca Iqralah. Hari ni, kakak dah masuk Iqra empat!” Maya ketawa gembira.
“Ye ke?
Sayang kakak!”
Zafran mencium dahi Maya perlahan.
“Hadiah?”
“Tunggu ayah gaji. Kita makan KFC nak?”
“Nak!
Nak! Kalau mama ada, mesti mama
seronok ni! Rindunya pada mama! Ayah tak rindu mama?”
Apa aku nak jawab ni?
“Mestilah ayah rindu mama!”
“Kalau rindu, kita pergilah kubur mama. Ayah tak pernah pergi pun kakak tengok!”
“Ayah tak nak kakak sedih tengok kubur
mama. Biarlah mama aman di sana. Okay?”
“Okay lah,” nada suara Maya berbaur
sedih.
“Nantilah ayah bawa kakak tengok kubur
mama, ye?” Zafran memujuk Maya lembut.
“Janji?
Ustazah cakap, kalau mungkir janji, berdosa. Ayah tak mungkir janji?”
Maya memandang wajah Zafran lama. Senyuman dipaksa-paksa terbit dibibir Zafran.
“Pernah ayah mungkir janji?”
“Pernahlah. Dulu janji dengan kakak dan mama nak pergi
Legoland. Tengok. Kan tak sempat tunai janji,” Maya bersuara
tanpa memikirkan kesannya kepada Zafran.
Kita hidup susah, sayang!
Ingin saja Zafran menuturkan kata-kata
tersebut kepada Maya, namun dibiarkan saja kata-kata Maya sepi tanpa jawapan.
“Ayah memang tak sayang kakak!”
Maya memusingkan badannya membelakangi
Zafran. Maya mula menangis. Kanak-kanak manja yang berusia tujuh tahun
itu sebenarnya rindukan mamanya. Di saat
meniti hari-hari indahnya di awal persekolahan, Amira telah pergi
meninggalkannya. Bahu Maya bergoyang selaras
dengan tangisannya yang semakin laju.
“Ayah janji, kakak. Ayah minta maaf sebab tak dapat tunai janji
pergi Legoland. Nanti ayah ada duit
sikit, kita pergi,” Zafran bersuara dengan sebak. Bahu Maya dipegang, dan rambut perang
kanak-kanak itu diusap perlahan.
Alia
telah lena di biliknya. Zafran baring di
sofa usang kepunyaan tuan rumah di tengah ruang tamu. Fikiran duda tampan itu terus berpusat kepada
anak tunggalnya, Maya. Pelbagai
persoalan bermain di kepala Zafran.
Kakak makin besar, dan aku kena uruskan
dia lagi. Pastikan dia mandi dan pakai
baju. Boleh ke begitu? Sedangkan badan kakak semakin membesar!
Zafran gelisah sendiri, mengingati
isu-isu sumbang mahram yang begitu banyak di media-massa. Kanak-kanak seawal sembilan bulan juga menjadi
mangsa.
“Astaghfirullah al azim!”
Aku bukan lelaki sehina itu. Tapi adalah lebih elok, kakak mandi dan
berpakaian sendiri mulai sekarang! Tapi
okay kah kalau kakak mandi sendiri?
Bilik air yang licin? Atau kakak
akan bersabun di bahagian perutnya saja!
Zafran senyum sendirian, apabila mengingatkan
Maya sudah pasti akan menyabun bahagaian perutnya saja jika dibiarkan mandi
sendirian.
“Oh anak ayah. Macamana ayah dapat tolong kakak ni?”
Zafran mengeluh perlahan. Zafran sedar, dirinya tidak mampu untuk
menjaga Maya seorang diri dalam keadaan sekarang ini.
“Apa aku nak buat ni? Tak kan aku nak kahwin lagi kot? Siapa yang nak duda miskin macam aku ni? Siapa?”
Zafran bangun dari sofa, lalu
duduk. Jam di dinding telah melewati
pukul 11.00 malam.
Alamak.
Baju sekolah kakak belum gosok!
Zafran bergerak menuju bilik Maya.
Pintu
bilik Maya ditolak perlahan. Dalam
kesamaran bilik yang diterangi lampu dari ruang tamu, Zafran melihat Maya yang
tidur dengan nyenyaknya. Ternyata anak
tunggalnya itu cepat matang. Telah
menerima hakikat mamanya telah pergi meninggalkannya. Sedangkan ayahnya, Zafran masih teraba-raba
mencari kekuatan diri untuk meneruskan hidup tanpa Amira. Baju kurung dan tudung Amira dicapai dari
tempat menggantung baju. Sebelum melangkah
keluar, Zafran memandang Maya sayu.
Ayah takut tak dapat jaga kakak dengan
baik. Ayah takut, sayang!
Zafran membawa baju sekolah dan tudung
Maya ke dalam biliknya. Di situlah
Zafran menggosok uniform sekolah anaknya.
Ingatan Zafran terhadap Amira datang menerpa.
“Abang tak menyesal kahwin dengan Mira?”
“Kenapa abang nak menyesal pulak?”
Zafran mengelus rambut isterinya lembut.
“Sebab Mira , abang dibuang
keluarga. Betul abang tak menyesal?”
“Tak.
Jangan tanya bukan-bukan lagi.
Nanti baby di dalam perut dengar tu!
Tak eloklah, sayang.”
“Mira minta maaf. Sebab Mira, abang hidup susah. Kalau abang nak kembali kepada keluarga
abang, Mira tak marah. Tapi abang tak
boleh bawalah baby ni. Baby ni akan
temankan hari-hari sunyi Mira nanti!”
“Ishhh, janganlah merepek sayang. Kan dah janji nak lupakan semua perkara
lalu. Abang nak lupakan semua tu. Dunia abang cuma ada Mira dan baby saja.”
Mujur tak hangit tudung kakak ni!
Zafran kembali kepada realiti. Tudung sekolah Maya digosoknya perlahan
sehingga licin.
“Untuk anak ayah yang baik. Dengar kata dan matang!”
Zafran tersenyum sendiri.
Pagi itu.
“Kakak habiskan tau!”
Zafran menghulur secawan milo kepada
Maya. Maya menyambutnya sambil
tersenyum.
“Ayah punya?”
“Ayah kan tak suka milo. Kakak kena minum. Untuk tenaga kakak. Rehat kan lama lagi!”
“Okaylah ayah busuk. Nanti jangan lambat lagi tau!”
“Tak.
Hari ni sure ayah tak lambat!”
“Kalau lambat lagi?”
“Tak lambat lagi dah! Ayah janji.
Dah! Cepat minum. Kalau sampai pagar, loceng bunyi. Mesti jaga tu tak bagi kakak masuk nanti.”
“Kakak menangislah. Mesti dia bagi kakak masuk!”
“Pandai anak ayah ni!”
Sepandai mamanya uruskan hidup! Ungkapan itu hanya mampu berlegar di minda
Zafran.
Zafran
memerhatikan Maya yang sedang menyalami guru bertugas di tepi pagar. Guru tersebut memegang beg plastik
mengandungi gula-gula. Dua biji
gula-gula diterima oleh Maya. Maya
sempat menoleh ke arah Zafran, lalu tangannya diangkat sambil tersenyum. Lambaian tangan Maya disambut oleh Zafran.
Mampukah ayah membesarkan kakak dengan
baik?
Zafran meneruskan perjalanan ke tempat
kerja dengan hati celaru. Jika sebelum
ini wajah Amira muncul di matanya, kini wajah Maya pula asyik menerpa.
Mira dah tak ada. Kakak yang masih ada ni lah perlu aku
utamakan!
“Awal kau hari ni?” Zamri tersenyum di depan Zafran.
“Maya tu sibuk nak sampai awal di
sekolah. Dia kata siapa yang datang awal
dapat sweets. Betullah tadi dapat
gula-gula tu.”
“Kau dah sarapan?”
“Malaslah.”
“Malas?
Kau masak apa malam tadi?”
Zamri tersenyum-senyum menanti jawapan
Zafran.
“Masak nasik goreng dan telur mata!”
“Aku rasa kau kena kahwinlah!” Zamri ketawa pula.
“Ada ke perempuan nak duda pokai macam
aku ni? Kalau Maya kena dera macamana?
Sekarang ni macam-macam. Aku sebenarnya takut!”
Wajah Zafran menunjukkan perubahan.
“Takut apa?”
“Besarkan Maya sorang-sorang. Dia makin besar. Tapi dia tetap masih budak. Perlukan orang tolong dia uruskan diri. Mandi, pakai baju. Kau faham kan maksud aku? Aku ni lelaki. Tak sesuai nak buat semua tu untuk dia. Kalau takat masak. Aku tak kisah!”
“Jawabnya kau kena kahwinlah. Ada saja pompuan nak laki pokai macam
kau! Kilang sebelah tu. Hah, ramai aje pompuan gedik nak kau rasanya. Abang duda handsome katakan!” Zamri ketawa lagi.
“Boleh
ke pompuan macam tu jaga Maya? Pompuan
tu muda lagi. Kadang SPM pun tak
ambil. Takat gelak-gelak. Suka-suka bolehlah. Aku tak ada duit, mau dilepas geram pada anak
aku!”
“O kira kau memilih jugaklah ni ye?”
“Bukan pilihlah. Kena cari yang boleh terima anak aku. Sayang anak aku. Kalau takat sayang aku sebab aku handsome. Kau yang kata aku handsome kan?” Zafran ketawa tipis.
“Berapa lama suka kat aku tu? Satu hari pompuan tu nyampah jugak pada aku
yang pokai ni!”
“Betul!
Betul! Habis tu kat mana kau nak
cari pompuan yang boleh sayang anak kau tu?
Dan boleh suka lelaki handsome pokai macam kau ni?”
“Entahlah. Aku harap adalah pompuan yang akan sayang
anak aku tu. Pasal aku tak penting!
“Betul ke tak penting? Kau masih perlukan pompuan beb!”
“Aku tak fikir pun pasal tu! Kau, kalau pasal benda tu pandailah!”
“Benda apa? Maksud aku kau perlukan teman. Nak bercakap, berbual semua tu. Kau yang fikir lain ni!” Zamri ketawa besar.
“Macamlah sehari aku kenal kau ye!”
Ketawa Zamri semakin kuat.
“Bukan betul apa aku cakap!”
“Itu kau. Aku lebih fikir pasal anak aku.”
“Tengahari ni aku belanja kau makan!”
“Tak payahlah. Nanti lambat pulak kau tunggu. Aku kan kena ambik anak aku di sekolah!”
Maya di sekolahnya pagi itu. Pukul 9.45 pagi, pelajar-pelajar tahun satu
dibenarkan turun awal ke kantin. Dengan
memegang botol airnya, Maya berjalan pantas bersama rakan-rakan menuju ke
kantin. Maya beratur membeli sepinggan
nasi berlaukan ayam goreng. Nasi di
dalam pinggan diletakkan di atas meja.
Maya pergi ke singki yang disediakan untuk membasuh tangan.
“Nak sikit ayam awak, boleh?” Suhaida memegang ketulan ayam di pinggan Maya.
“Jangan arr. Ayam tu kecik je!” Maya menolak permintaan Suhaida keras.
“Dahlah tak ada mak! Sombong pulak. Wekkk!!!!
Suhaida bangun membawa bekas makanannya
ke meja lain. Air mata Maya
bergenang. Maya menahan tangisnya sebaik
mungkin. Suapan nasi dimulakan walaupun
hatinya sebak.
Nanti nak bagitau ayahlah!
Selesai makan, Maya sekali lagi pergi ke
singki untuk membasuh tangan. Baki
wangnya masih ada RM1.00. Maya
mengeluarkan kembali beg duitnya dari poket baju kurung. Dua keping duit syiling lima puluh sen itu
dipeganganya.
“Haha, aku dapat!”
Suhaida berlari ke kaunter untuk membeli
makanan setelah berjaya merampas wang milik Maya. Kali ini air mata Maya tidak mampu dibendung
lagi. Maya menangis teresak-esak.
“Kringgggggggggggggg!”
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat
telah tamat. Maya melangkah perlahan
menuju ke kelasnya. Fauzan, selaku guru
subjek matematik kelas 1 Mualim, SK Sri Kulim melangkah masuk ke dalam kelas
dengan penuh dedikasi.
“Assalamualaikum cikgu!” Suara seramai tiga puluh orang pelajar itu
bergema di seluruh bilik darjah.
“Waalaikumussalam, semua. Duduk!”
Mata Fauzan meliar memandang kesemua
pelajar di dalam kelas.
“Semua dah masuk kelas kan?”
Fauzan memandang Fitri selaku ketua
kelas. Fitri memandang ke kiri dan ke
kanan. Selepas itu, Fitri menoleh ke
belakang.
“Semua dah masuk, cikgu. Tapi,...”
“Tapi apa?” Fauzan amat tertarik mendengar akan jawapan
dari ketua kelas itu.
“Tapi Maya menangis, cikgu!”
“Menangis?”
Fauzan berjalan mendekati Maya yang
telah duduk. Kesan tangisan masih kelihatan
jelas di wajah mulus Maya.
“Kenapa awak menangis? Bagitau cikgu,” Fauzan bersuara lembut.
“Err,..Duit saya cikgu,..”
“Kenapa dengan duit awak?”
“Errr,..Suhaida ambik duit saya tadi!”
Wajah manis Fauzan berubah. Kesal dengan perbuatan buli yang berlaku
walaupun pelajar-pelajar di dalam kelas tersebut baru di tahun satu. Fauzan berjalan mendekati Suhaida yang
berwajah pucat.
“Betul awak ada ambik duit Maya?”
Suhaida diam. Kaku tidak memberi sebarang respons.
“Siapa yang nampak Suhaida ambil duit
Maya?”
Fitri mengangkat tangannya. Tugasnya sebagai ketua kelas 1 Mualim
dijalankan sehingga ke kantin.
“Tadi masa di kantin, saya nampak
Suhaida rampas duit Maya, cikgu!” Fitri
bersuara penuh yakin.
“Ada siapa lagi yang nampak?”
“Saya pun nampak, cikgu!” Fatin bersuara kuat.
“Saya
akan telefon ibu bapa awak, Suhaida.
Perbuatan mengambil duit orang lain itu salah!” Fauzan mengherdik Suhaida.
Suhaida masih membatu. Tiada sebarang respons dari mulutnya. Wajahnya sahaja yang kemerahan menahan
malu. Kanak-kanak perempuan nakal tersebut,
keras hatinya. Langsung Suhaida tidak
menangis walaupun dimarahi oleh Fauzan.
Fauzan kembali berdiri di hadapan
kelas. Pandangan Fauzan disorot di
seluruh kelas, kepada kesemua pelajar-pelajarnya itu.
“Ini satu pengajaran bagi semua
pelajar. Jangan buat seperti yang
dilakukan oleh Suhaida. Mengambil tanpa
izin, merampas dan mencuri duit orang lain adalah dilarang sama sekali. Semua murid-murid faham?”
“Fahammmm, cikgu,” suara ramai menjawab
pertanyaan Fauzan tersebut.
“Kalau macam tu, keluarkan buku
matematik 1 semalam. Latihan cikgu bagi
semalam, dah siap ke belum?”
Tengahari itu.
Wajah Maya ceria sejurus melihat Zafran
di atas motosikal di luar pagar sekolah.
“Awal ayah datang hari ni!”
“Kan dah janji dengan kakak
semalam. Kakak lupa?”
Maya hanya tersengih mendengar soalan
Zafran.
“Ha apa lagi? Naiklah!”
“Nak cerita dulu. Tadi ada kawan kakak rampas duit kakak!”
“Habis kakak tak makan?” Zafran bertanya cemas.
“Makan.
Dia ambik seringgit saja. Duit
kakak nak beli sosej. Cikgu dah marah
dia. Cikgu kata akan telefon mak ayah
dia, ayah.”
“Ermm, tak apalah. Kejap lagi kakak makan di tadika transit ye! Cepatlah naik.”
Tanpa berkata lagi, Maya terus
membonceng di belakang Zafran.
“Okay, bos. Tolong laju sikit!” Maya ketawa.
“Amboi, kakak buat ayah macam driver
lah!” Zafran turut ketawa.
Tengahari
itu buat pertama kalinya selepas kematian Amira, Zafran tidak mengunjungi
pusara Amira.
Maafkan abang, Mira. Mungkin sudah tiba masanya abang teruskan
hidup bersama Maya tanpa Mira. Tanpa
bayang-bayang Mira!
Air minuman bagi makan tengaharinya
disedut laju. Zafran tidak membuang masa
terlalu lama di kedai makan. Bagi Zafran
berada seorang diri di kedai makan adalah suatu perkara yang
mendukacitakan. Nampak benar dirinya
keseorangan dalam mengharungi hidup ini.
Kalaulah Mira masih ada. Tentunya aku dan Maya akan makan tengahari di
rumah. Masakan Amira seolah terhidang di
atas meja di depannya. Sup ayam, cili
kicap dan sayur campur. Hidangan yang
cukup sederhana namun begitu menyelerakan.
Zafran kembali kepada realiti.
Hidangan tengahari masakan Amira
lenyap. Zafran menerima kenyataan, makan
tengaharinya kini amat berbeza. Dirinya
makan di kedai makan, sementara Maya makan di tadika transitnya.
“Aduh,
kenapa pulak ni!”
Zafran memberhentikan motosikalnya
apabila mendengar bunyi letupan kecil di bahagian tayar motosikal.
“Pancit pulak!” Keluhan berat dilepaskan oleh Zafran.
Zafran menolak perlahan motosikalnya
mencari kedai motosikal. Peluh mula
memercik di muka.
“Habislah aku masuk lambat lagi ni!”
Zafran menongkat motosikalnya, lalu
mengeluarkan telefon bimbit usang miliknya.
“Hello, Zam. Kau bagitau Si Pengampu tu, tayar motor aku
pancit. Masuk kerja lambat sikit tau!”
“Kau kat mana ni? Jauh lagi dari kedai motor? Nak aku tolong ke?”
“Eh tak payah. Dekat saja ni. Kau tolong yang tu aje. Okay, aku cau!”
“Okay-okay. Ada apa-apa, kau call aku tau!”
Zafran kembali menyorong
motosikalnya. Baju t-shirt kilang yang
dipakainya mulai dibasahi peluh. Dari
jauh, pemandu sebuah kereta yang berhenti sedang memerhatikan Zafran. Lelaki di dalam kereta tersebut juga
mengambil beberapa keping gambar Zafran.
***** Okey tak? Sila komen!
Best
ReplyDelete