Melbourne, Aku Ingin Pulang
Bab 5
Haykal
Suffian dan Adelia Saffya ibarat sepasang kekasih yang sedang membeli- belah di
Kompleks membeli-belah terkemuka negara, Pavillion. Orang yang melihat pastinya menyangka
pasangan adik-beradik ini adalah pasangan kekasih. Masakan tidak, mereka berdua sepadan, sama
cantik, sama muda dan kelihatan amat mesra sekali.
“Adik masuk Watsons kejap. Nak beli barang penting. Abang tak payah ikut,”Adelia berkata sambil
berjalan pantas meninggalkan Suffian.
Suffian tidak sempat untuk berkata apa-apa. Adelia terus menuju ke bahagian alatan
mandian dan mencapai berus gigi dan ubat gigi, lalu dibawa ke kaunter
pembayaran dengan segera. Setelah
membeli dua barang penting tersebut, Adelia tersenyum manis menemui Suffian
semula.
“Abang, adik pergi toilet sekejap!”
“Toilet?
Adik ni. Macam-macam betul. Abang bagi lima minit saja tau. Kalau tak, abang tinggal.”
“Ok.
Janji tak lama sangat. Urgent
ni!”Adelia ketawa.
Adelia berjalan pantas menuju ke tandas
wanita yang terletak berhampiran. Masuk
sahaja ke dalam tandas, Adelia terus mengeluarkan berus gigi dan ubat gigi yang
baru dibelinya dari beg galas. Adelia
terus menggosok giginya laju. Sebenarnya
Adelia begitu tidak selesa kerana tidak menggosok gigi sejak malam tadi. Adelia amat berharap, Suffian tidak mengetahui
rahsianya itu. Ini semua gara-gara tidur
di rumah ibunya dengan tidak membawa sebarang barang keperluan diri. Selesai menggosok gigi, Adelia menyapu bedak
di pipi dan lehernya. Tidak lupa, Adelia
memakai semula gincu yang hilang akibat terkena air semasa dirinya menggosok
gigi. Sebagai pelengkap gaya, Adelia
menyemburkan wangian ‘Fantasy Twist’ dari jenama ‘Britney Spears’ di leher dan
pergelangan tangannya.
Adelia
tiba di tempat dirinya meninggalkan Suffian sebentar tadi. Adelia memandang ke kiri dan ke kanan mencari
Suffian, tetapi hampa.
“Alahai, mana abang ni. Saja nak kenakan adiklah ni,”Adelia merungut
seorang diri.
Adelia mengeluarkan telefon bimbitnya
dari dalam beg galas. Tiada khidmat pesanan
ringkas yang dikirimkan oleh Suffian.
Juga tiada panggilan yang tidak dijawab oleh Adelia. Air muka Adelia berubah geram dan kesal. Seingat Adelia, dirinya pergi ke tandas tidak
lama. Adelia menghubungi Suffian dengan
perasaan kesal.
“Abang lapar. Abang di ‘Burger King’s’,”Suffian menjawab
lembut pertanyaan penuh geram dari Adelia.
Adelia mematikan talian. Dengan
lambat, Adelia berjalan menuju ke restoran burger yang popular tersebut. Setelah sampai, Adelia duduk di sebelah
Suffian dengan wajah mencuka.
“Ampun tuan puteri. Abang lapar sangat ni. Kan jimat masa, adik tiba, pesanan burger pun
sampai. Ni untuk adindaku tersayang yang
telah menggosok giginya,”Suffian ketawa besar.
Wajah Adelia merah padam mendengar kata-kata Suffian.
“Abang tau, adik gosok gigi di dalam
toilet?”
Serentak itu Adelia memukul bahu Suffian
bertalu-talu. Suffian mengelak manja.
“Ok, ok.
Orang tengok tu.
Sorry-sorry. Abang teka saja
lah. Tak sangka pulak betul. Kata pergi kedai pagi tadi. Kenapa adik tak beli berus gigi?”Suffian
meredakan kemarahan Adelia.
Adelia tidak menjawab, sebalik menyedut
‘fresh orange’ yang dipesan oleh Suffian untuk dirinya. Suffian tersenyum melihat kerenah adik
kesayangannya itu.
“Marah pun boleh minum? Adik, abang minta maaf. Abang gurau lah dan tak sangka betul
pulak,”Suffian berkata sambil cuba menarik gelas teh o ais limau
mendekatinya. Adelia dengan pantas
mengambil gelas teh o ais limau milik Suffian dan menyedutnya rakus.
“Adik!
Abang punya tu. Tak malu
betul,”giliran Suffian pula menahan geram terhadap perlakuan Adelia.
“Nah, ambik balik! Tak sedap pun,”Adelia ketawa.
Suffian menyedut air minumannya yang
tinggal separuh tanpa berkata apa-apa. Suffian
terus menjamah burger kegemarannya dengan senyap. Adelia memandang sepi burger kepunyaannya
memandangkan perutnya masih kenyang.
Fikirannya melayang mengingati ibu kandungnya di Ulu Langat. Apakah yang sedang dilakukan oleh ibunya
ketika ini?
Suffian
menghabiskan burger miliknya. Disebabkan
teh o ais limaunya telah habis, Suffian mengambil ‘fresh orange ’ milik Adelia.
“Abang!
Adik punya tu,”Adelia menegur manja abangnya, Suffian.
Suffian tetap mendiamkan diri, sengaja
mahu menarik perhatian Adelia. Suffian
bangun dan keluar dari restoran ‘Burger King’s meninggalkan Adelia tanpa
sepatah kata. Adelia dengan
tergopoh-gapah meminta beg kertas dari pekerja restoran untuk diisi dengan
burgernya yang belum sempat dijamah.
Adelia membuntuti Suffian yang berjalan tidak jauh dari restoran di mana
mereka berdua makan.
“Dah abang yang buat salah. Marah adik pulak! Adik merajuk betul nanti baru tau,”Adelia
berkata sambil memotong langkah Suffian.
Suffian masih tidak mengendahkan Adelia.
“Ok.
Adik balik ni. Bye!”
Adelia berjalan pantas meninggalkan
Suffian. Suffian pantas menarik tangan
Adelia.
“Jom beli baju baru. Baju ni dah busuk abang hidu!”Suffian memujuk
Adelia. Adelia melepaskan tangannya,
lalu mencubit lengan Suffian. Suffian
mengaduh kuat. Adelia ketawa puas.
“Padan muka. Suka sangat buli adik!”
Suffian
menunggu di luar bilik persalinan menanti Adelia mencuba baju yang dipilih oleh
Suffian. Lagak Suffian tidak ubah
seperti kekasih menanti buah hatinya mencuba pakaian.
“Taraaa.”
Adelia keluar dari bilik persalinan
dengan memakai blaus nipis berwarna hitam yang cantik. Terpaku mata Suffian seketika.
“No, no, and no. Sexy sangat.
Adik jangan mengada!”Suffian memberi komen jujur.
“Nanti Mikhael tengok, telan air liur
pulak. Tukar lain please!”Suffian
menyambung komen jujurnya. Adelia akur,
dan masuk semula ke dalam bilik persalinan, sementara Suffian masih tidak jemu
menjadi pengkritiknya. Adelia keluar
semula dari bilik persalinan. Kali ini
dengan ‘dress’ labuh berwarna ‘cream’ bercorakkan bunga kecil warna coklat
muda, di samping ‘cardigan’ berwarna coklat terang. Suffian tersenyum.
“Yang ni cantik. Sweet dan agak sopan. Abang suka ni,”Suffian memuji pakaian yang
dipakai oleh Adelia.
“Miss, boleh tolong ambil tanda harga
baju ni. Biar dia pakai terus,”Suffian
memanggil pekerja butik. Adelia
terpinga-pinga dengan arahan yang dibuat oleh Suffian. Suffian hanya tersenyum.
“Tapi adik nak try satu lagi blause,”Adelia
berkata manja.
“Trylah.
Tapi lepas tu pakai balik baju ni.
Baru nampak cantik adik abang ni.
Tak lah comot lagi.”
Adelia tidak menjawab kata-kata Suffian,
sebaliknya hanya menjelirkan lidahnya.
Adelia masuk semula ke dalam bilik persalinan dan mencuba baju yang ke
tiga. Kali ini Adelia tidak keluar
menunjukkannya kepada Suffian tetapi mengambil keputusan untuk membelinya
kerana cantik pada pandangan matanya.
“Adik nak baju ni jugak boleh?”Adelia
memandang wajah Suffian sambil tersengih-sengih.
“Kalau abang cakap tak boleh? Adik nak juga kan?”Suffian menjawab sambil
berjalan ke arah kaunter pembayaran.
Adelia berjalan pantas mengejar Suffian yang sedang mengeluarkan
dompetnya.
“Tak payahlah baju ni. Abang bayar yang adik pakai saja,”Adelia
bernada rajuk kepada Suffian. Suffian
tersenyum, sudah lali dengan sandiwara rajuk Adelia.
“Mengada. Yang tu boleh pakai ke kelas esok! Mesti Mikhael tengok suka. Pretty in red,”Suffian memujuk Adelia.
“Betul?
Duit abang tak habis nanti?”
Adelia menyiku Suffian.
“Memang dah habis pun adik buat. Lepas ni abang nak beli baju pun tak ada duit
dah.”
Suffian menyerahkan ‘gold card’ miliknya
kepada juruwang yang bertugas.
“Ya lah.
Adik sorang yang buat duit abang habis.
Lepas ni adik tak nak lagi pergi kalau abang ajak shopping. Lepas shopping ungkit pulak. Eee, menyampah betul,”Adelia meluahkan rasa
tidak puas hatinya kepada Suffian.
Juruwang bernama Zana yang mendengar keluhan Adelia hanya tersenyum.
“Abang guraulah. Aduhai.
U tau Zana, mujur adik i hanya sorang saja. Kalau 3 orang adik macam
ni. Pengsan i. Asyik merajuk saja.”
“Untung u ada abang yang penyayang macam
ni,”Zana berkata kepada Adelia.
Adelia tersenyum.
“Memang pun. Ni abang kesayangan i. Tu perasanlah tu. Orang puji,”Adelia menjeling Suffian.
“Sayang pun kat abang. Dari tadi asyik merajuk. Ok, lepas ni nak ke mana pulak?”
Suffian menyambut kembali ‘gold card’
yang dihulurkan oleh Zana kepadanya.
“Baliklah. Dah dapat baju. Abang tak payah beli apa-apa,”Adelia ketawa
sambil menyambut beg kertas yang dihulurkan oleh juruwang.
Suffian dan Adelia
keluar dari butik pakaian tersebut.
Adelia pastinya gembira kerana keluar dari butik pakaian tersebut dengan
pakaian baru menyaluti tubuhnya. Suffian
pula tidak kurang gembiranya kerana melihat kegembiraan di wajah adiknya,
Adelia.
“Adik masih dengan impian nak futher study
di negara kangaroo tu? Hati masih
memilih Melbourne?”Suffian bertanya tiba-tiba.
Soalan yang lari dari topik utama hari itu.
“Eh, kenapa tanya pasal tu plak? Tak relevant dengan isu sekarang ni!”
“Siapa kata tak relevant? Kalau adik pergi, mesti mak cik Rosnah
sedih. Baru jumpa anak kesayangannya. Betul tak?”
Adelia menghentikan langkahnya.
“Betul juga tu!”
Wajah Adelia berubah kerut. Mulai gelisah memikirkan tentang ibunya.
“Abang ada kan? Boleh tolong tengok-tengokkan ibu. Boleh kan?”
“Boleh.
Tapi sanggup ke adik tinggalkan mak cik.
Dahlah tak berapa sihat?”Suffian menyoal Adelia kembali.
Adelia diam, memikirkan kebenaran akan
kata-kata Suffian sebentar tadi.
“Tapi ibu dah bagilah. Adik dah cerita kat ibu pagi tadi. Abang tengok-tengokkan ibu tau. Adik pergi tak lama. I try my best habiskan Master tu dua tahun
saja!”
****
Rosnah
mengesat air matanya yang mengalir melihat kereta yang membawa Adelia berlalu
pergi. Rosnah masih memandang jalan raya
walaupun telah setengah jam kereta Suffian berlalu pergi. Entah bila Adelia akan pulang semula untuk
menjenguk dirinya. Air mata Rosnah
mengalir lagi. Perlahan genggaman
tangannya dibuka. Enam keping wang kertas bernilai RM50.00 setiap keping
pemberian Adelia dilihat lama. Wang
sebanyak itu cukup untuk perbelanjaannya sebulan. Sungguh Rosnah mengucap syukur. Dengan pantas Adelia memasukkan wang tersebut
di dalam baju kurung Kedahnya, di dalam pakaian dalamnya. Rosnah bimbang Sulaiman akan melihat wang
pemberian Adelia dan mengambilnya untuk membeli dadah. Sulaiman tiba-tiba muncul di tepi Rosnah.
“Mak, tepi sikit. Leman nak lalulah,”Sulaiman berkata
kasar.
Rosnah mengesot sedikit ke tepi, memberi
laluan untuk Sulaiman menuruni anak tangga.
Sulaiman melangkah laju menuruni anak tangga. Tiba di hujung tangga, Sulaiman menoleh
memandang Rosnah.
“Mak ada duit tak? Bagi Leman RM 50.00. Nanti Leman bayarlah!”
“Kau jangan merepek Leman. Kau ingat aku kerja. Kalau ayah kau tak bagi duit belanja, mak dah
mati tak makan,”Rosnah menjawab pertanyaan Sulaiman dengan nada kasar juga.
“Mak minta dengan anak angkat datuk
tu. Tak kan dia tak ada duit. Tak kesian tengok kita hidup susah ni. Kita kan darah dagingnya,”Sulaiman berkata
lagi menambahkan api kemarahan Rosnah.
“Kau berambus. Berambus.
Kau, kalau balik rumah ni nak menyakitkan hati aku, baik tak payah
balik. Satu lagi. Kau jangan nak ganggu adik kau tu pulak. Dia anak angkat datuk ke? Anak angkat datin ke? Tak ada kaitan dengan kau!”
Rosnah bangun masuk ke dalam rumah. Hatinya benar-benar sakit mendengar kata-kata
Sulaiman tentang status Sarah sebagai anak angkat datuk. Rosnah tidak mengetahui apa tanggapan
Sulaiman berkenaan Sarah. Pastinya
Sulaiman menganggap Sarah seorang yang lupa diri setelah dibesarkan dalam
keluarga datuk dan datin.
Rosnah
masuk ke ruang dapur. Sakit hatinya
terhadap Sulaiman bertambah apabila melihat makanan yang tidak ditutup oleh
Sulaiman di atas meja. Begitu juga
dengan pinggan kotor yang ditinggalkan begitu sahaja oleh Sulaiman di atas
meja. Perlahan Rosnah duduk di kerusi
meja makan. Rosnah terkenang semula akan
anaknya Sarah. Peristiwa lebih dua puluh
tahun itu terbayang jelas di matanya kini.
“Abang tak ada duit nak sara budak
tu. Orang kaya di bandar tu sanggup
bayar lima ribu,”Rasyid menyentap naluri keibuan Rosnah satu pagi. Bayi berusia dua minggu yang diberi nama Nur
Sarah itu sedang disusuinya.
“Kau dengar tak aku cakap? Tak kan dah pekak kot!”Rasyid bersuara lebih
lantang.
Rosnah tidak menjawab, hanya air matanya
sahaja yang menjawab segala kata-kata Rasyid, suaminya.
“Esok mereka akan ambik budak ni. Lagi pun tak kan kau nak dia merempat macam
kita?”Rasyid terus berkata-kata.
Lagaknya seperti bercakap seorang diri
kerana Rosnah seperti tunggul kayu yang tidak bersuara.
“Sampai hati, abang. Abang nak pisahkan saya dengan anak
saya. Apa lagi yang saya ada?”Rosnah
akhirnya menjawab dengan air mata bercucuran.
“Kau gila ke apa Nah? Aku ni siapa?
Tak ada ke? Sulaiman tu siapa
pulak? Cukuplah kau jaga budak nakal tu,”Rasyid
berkata kasar.
“Abang, saya sayangkan Sarah. Janganlah, bang. Saya boleh kerja,”Rosnah tetap merayu
suaminya.
“Aku nak pakai duit. Kau ada lima ribu? Keputusan aku muktamad. Kau ikut cakap aku,”Rasyid memberi kata
putus.
Hanya raungan Rosnah menyahut kata-kata
Rasyid.
Peristiwa
itu telah berlalu lebih 20 tahun, namun luka di hati Rosnah seperti baru
semalam disimbah cuka oleh Rasyid. Ada
kalanya, Rosnah bertanya kepada dirinya sendiri, mengapa masih sanggup bertahan
dalam sebuah perkahwinan yang sungguh menyeksakan dirinya. Adakah disebabkan dosa silamnya, Allah
membalasnya dengan perkahwinan durjana bersama Rasyid? Bunyi deruman enjin kereta mengejutkan Rosnah
yang mengimbau memori silamnya. Rosnah
pasti, Rasyid pulang menjenguknya, bagi memastikan dirinya masih bernyawa atau
tidak. Ingatan Rosnah tertumpah kepada
Adelia pula. Bukankah Adelia bersungguh
benar mahu melihat ayah kandungnya.
Impian Adelia tersebut nampaknya tidak terlaksana. Rasyid masuk ke ruang dapur. Tangannya menjinjing barang-barang dapur
untuk Rosnah. Rasyid meletakkan plastik
yang mengandungi barang-barang dapur itu di atas meja.
“Kenapa awak termenung ni? Ada lagi nasi untuk abang? Abang lapar ni.”Rasyid bertanya tanpa
perasaan kepada Rosnah. Rosnah menjeling
suaminya tajam.
“Agaknya kalau saya mati pun, abang tak
tau kan?”Rosnah melepaskan perasaan tidak puas hatinya kepada Rasyid.
“Awak ni, Nah, abang balik saja
membebel. Membebel. Malas betul abang tengok muka awak. Abang balik pun dah kira untung tau. Abang pun dah loya tengok muka awak tu. Kesian saja yang ada. Dahlah sebatang kara. Menyusahkan orang saja!”
Rasyid berjalan cuba meninggalkan ruang
dapur.
“Saya tak sebatang kara, bang. Anak perempuan saya dah balik. Sarah akan bela nasib saya,”Rosnah menjawab
dengan kuat.
Langkah Rasyid terhenti mendengar nama
Sarah disebut.
“Mana budak tu? Hendak ke dia mengaku awak tu emak dia? Dia dah senang-senang jadi anak datuk, datin
di Kuala Lumpur tu! Awak, janganlah
bermimpi Nah oi,”Rasyid tidak mempercayai kata-kata Rosnah. Seingat Rasyid, Rosnah telah berbaik-baik dengan
anak penghulu kampung yang baru habis belajar di universiti untuk menjejaki
Sarah. Adakah benar Rosnah telah berjaya
menjejaki Sarah? Hati Rasyid
berteka-teki.
“Dia dah balik. Semalam dia balik dan tidur sini. Kecewa dia tak dapat tengok muka abang. Kalau tak percaya, tanyalah Leman. Dia pun jumpa Sarah tadi,”Rosnah menjawab
jujur.
“Habis? Awak nak duduk dengan dia ke? Bukan dia malu ada emak yang tua dan buruk
macam awak?”Rasyid masih lagi menyakitkan hati isterinya.
“Yang buruk inilah awak usung dan
tergila-gilakan dulu, Rasyid? Awak dah
lupa ke?”Rosnah membalas rasa sakit hatinya terhadap kata-kata Rasyid. Rasyid ketawa berdekah-dekah. Baginya kata-kata Rosnah ternyata lucu.
“Itu dulu. Awak sekarang umpama kain buruk, Rosnah. Cermin diri tu sikit. Abang tengok pun tak selera!”
Rasyid berjalan meninggalkan ruang
dapur. Rosnah hanya terdiam, yang tinggal menemaninya sudah tentu air
mata. Masanya sudah tiba untuk dirinya
meninggalkan Rasyid. Tapi ke mana harus
dirinya membawa diri? Rumah yang didiami
oleh Rosnah, adalah rumah pusaka keluarga Rasyid, sedangkan Rosnah adalah
sebatang kara di dunia ini. Air mata
Rosnah terus-terusan turun dengan lajunya.
Hati Rosnah berbicara, andainya ketika ini, Sarah ada di sisi, tentu hatinya
tidak serawan ini. Enjin kereta
kedengaran. Rasyid meninggalkan semula
rumah itu.
Kenangan
Rosnah berlayar ketika detik zaman gemilangnya, sewaktu usianya di pertengahan
20’an. Rosnah keluar dari bilik rumah
sewanya dengan ‘dress’ singkat takat peha berwarna merah yang
berkelip-kelip.
“Cantik.
Bagus-bagus. Bos aku mesti suka
punya,”Salmah memberi komen membina kepada penampilan Rosnah malam itu.
“Sal, aku takutlah. Kau jangan main-main. Kerja apa ni?
Bukan pelacur kan?”Rosnah bertanya ragu.
Tangannya menarik-narik baju yang melekat di badannya agar dapat menutup
sedikit pehanya. Salmah ketawa.
“Bukan.
Layan orang tua nak mampus joget-joget saja. Tapi kalau nak duit extra, kau boleh layan ke
katil terus!”Salmah meneruskan ketawanya.
“Aku tak naklah sampai macam tu. Kau cakap dengan bos kau, aku nak teman orang
menari saja ya?”Rosnah berkata lembut kepada Salmah. Salmah tersenyum.
“Ya lah.
Ya lah. Dah jom! Lambat ni!”
Salmah menarik tangan Rosnah keluar dari
rumah. Sedang Salmah dan Rosnah memakai
kasut, terdengar hon dari luar pagar.
Teksi yang akan membawa mereka berdua ke tempat kerja telah tiba. Rosnah dan Salmah membuka pintu pagar dan
masuk ke dalam teksi.
“Mummy,
ni Rosnah. Panggil Ros boleh, Nah pun
boleh. Macamana mummy? Boleh cari makan?”Salmah ketawa menanti
jawapan dari Mummy Latifah.
Mummy Latifah tersenyum. Gambaran awal, betapa Rosnah diterima bekerja
di situ. Mummy Latifah mendekati Rosnah.
“Masih dara?”Mummy Latifah bertanya
nakal. Rosnah diam tidak menjawab soalan
Mummy Latifah.
“Masih Mummy. Dia nak teman lelaki menari saja
katanya,”Salmah menjawab bagi pihak Rosnah.
“Semua yang datang sini dulu cakap macam
tu. Lepas tu apa jadi? Nampak duit, dara ke mana, apa ke mana. Lagi pun tak payah sayang sangat badan
tu. Nak duit kan?”Mummy Latifah
ketawa. Rosnah hanya diam membisu. Otaknya ligat berfikir, benarkah seperti
kata-kata Mummy Latifah.
“Ok.
Boleh mula bertugas malam ni.
Sal, u tolong bagi first customer untuk Rosnah. Bagi ikan besar yang pemurah. Nak tengok, berapa Rosnah boleh dapat,”Mummy
Latifah ketawa lagi.
Malam
itu bermulalah kehidupan Rosnah bergelar penari kelab malam, atau pun GRO. Bertahun-tahun Rosnah bekerja sebagai pelayan
kelab malam, menemani lelaki-lelaki durjana melepaskan kerinduan terhadap zaman
muda. Tahun ke tiga, Rosnah bertemu
dengan Rasyid di kelab malam tersebut.
Selama tiga tahun, Rosnah berjaya mempertahankan mahkota daranya
walaupun ditaburkan wang ringgit oleh lelaki-lelaki tua yang kehausan perempuan
muda sepertinya. Rasyid datang
menaburkan cinta, janji-janji manis dan bulan purnama. Rosnah dilambung ombak gelora cinta yang
tiada berpenghujung. Rosnah menyerahkan
mahkotanya kepada Rasyid tanpa ikatan pernikahan.
“Ras, Nah mengandung,”Rosnah memberitahu
perihal dirinya kepada Rasyid pada satu malam.
Wajah Rasyid berubah serta-merta.
“Betul itu anak Ras?”Rasyid menyoal
Rosnah penuh ragu. Rosnah mula menangis.
“Ras pun tau, Nah masih dara sewaktu
pertama kali,..”kata-kata Rosnah terhenti di situ. Air matanya semakin laju membasahi
pipinya. Rasyid diam, memikirkan
kebenaran kata-kata Rosnah. Sebagai
lelaki yang sudah biasa menjamah tubuh wanita, Rasyid percaya, Rosnah masih
anak dara sewaktu pertama kali menyerahkan dirinya kepada Rasyid.
Sulaiman
lahir ke dunia akhirnya. Ya, Sulaiman
adalah anak luar nikah, yang lahir di atas dosa Rosnah dan Rasyid. Rosnah beristighfar panjang, kembali kepada
realiti. Mengingati dosa silamnya,
denyutan jantung Rosnah makin kencang.
Rosnah merasakan adalah lebih baik hari-harinya di dunia ini berakhir
dengan segera. Ada kalanya Rosnah
merasakan dirinya tidak mampu lagi bertahan, apabila memikirkan dosa-dosa silam
yang dilakukannya, layanan Rasyid dan melihat Sulaiman menuju kehancuran. Harapannya kini cuma satu, Sarah. Rosnah masih mahu meneruskan hidup demi
Sarah, sedangkan tiada yang lain untuk dirinya di dunia ini. Rosnah bangun dengan perlahan dari
kerusi. Perlahan Rosnah berjalan menuju pintu di hujung dapur. Rosnah masuk ke bilik air dan mandi untuk
menunaikan solat Zohor. Selesai mandi,
Rosnah masuk semula ke dalam rumah, dan mengunci pintu dapur. Sejadah dibentang oleh Rosnah perlahan, cukup
bersedia untuk menunaikan solat Zohor.
Selesai solat Zohor, Rosnah berdoa panjang.
“Ya Allah,
aku memohon keampunanMu ya Allah, dari dosa-dosa silam yang tidak mungkin aku
lupakan. Aku merayu belas simpatimu Ya
Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Berilah
aku peluang untuk hidup bahagia walaupun seketika bersama anakku, Sarah. Kau tunaikanlah Ya Allah, permintaan terakhirku,
yang mahu bersama Sarah walaupun seketika.
Kau tunaikanlah Ya Allah.
Kepadamu sahaja aku meminta.”
Rosnah duduk di
atas katil, memeluk erat selimut yang digunakan oleh Adelia. Rosnah kembali menyalahkan dirinya
sendiri. Mengapa dirinya begitu lemah
dahulu, sehingga tidak mampu mempertahankan Sarah. Otak Rosnah berfikir ligat, jika Sarah tidak
diserahkan kepada keluarga angkat, apakah nasib yang berlaku ke atas Sarah? Mungkinkah Sarah akan bercampur dengan
budak-budak nakal di hujung kampung yang asyik berpeleseran selepas waktu
persekolahan. Mampukah Sarah memperoleh
pendidikan seperti yang diperolehinya hari ini?
Rosnah melihat fenomena pelajar-pelajar perempuan di kampung yang tidak
melanjutkan pelajaran dan tidak sabar-sabar untuk bekerja kilang setelah tamat
Sijil Persekolahan Malaysia (SPM).
Terdapat juga kes yang lebih menyedihkan, apabila adanya kes
pelajar-pelajar belasan tahun yang telah terlanjur sehingga mengandung. Rosnah bersyukur, Sarah tidak dibesarkan di
persekitaran kampung yang mengerikan begitu.
Sesungguhnya Sarah dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih-sayang,
disiplin dan adanya didikan agama.
Rosnah sendiri tidak yakin akan mampu mendidik dan melindungi Sarah jika
tinggal bersamanya. Rasyid tidak menunjukkan
ciri yang baik sebagai seorang bapa, manakala Sulaiman amat meragukan sebagai
seorang abang. Memang benar, Allah telah
mentakdirkan sesuatu yang berlaku itu dengan sebab yang tersendiri. Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk
hamba-hambanya.
Rosnah
mengambil buku kecil di atas meja solek.
Sarah telah menulis nombor telefon bimbitnya di dalam buku
tersebut. Rosnah berkira-kira, bilakah
masa yang sesuai untuk dirinya menelefon anak kesayangannya itu.
“Balik sekali lagi nanti, Sarah belikan
ibu telefon ya? Senang Sarah nak cakap
dengan ibu. Ibu pulak boleh call Sarah
bila-bila.”
Kata-kata Sarah malam tadi masih
terngiang-ngiang di telinganya. Jika
benar apa yang diucapkan oleh Sarah itu, mudahlah nanti Rosnah mahu menghubungi
Sarah, sebagai penemannya di kala Rosnah sedang kesunyian. Hati Rosnah bergelora lagi, wajah Sarah
menerpa di depan matanya. Tidakkah Sarah
mengingati ibunya yang tua dan usang ini?
Di manakah Sarah sekarang?
Kerinduan seorang ibu terpancar jelas di wajah Rosnah, walaupun baru
beberapa jam Sarah pulang. Kerinduan
lebih dua puluh tahun Rosnah terhadap Sarah, ternyata tidak dapat dilunaskan
dengan semalaman bersama. Air mata
Rosnah gugur lagi.
SEDIH.
ReplyDeleteYa sedih juga
ReplyDelete