Agungnya Cinta-Bab 5
Amirul memandang jam tangannya.
Jarum jam menunjukkan pukul 5.30 petang.
Teman-teman sepejabat telah lama pulang meninggalkannya. Tinggallah dirinya keseorangan petang
tu. Ingatan terhadap Sofea datang
lagi. Apa tujuan Sofea menelefonnya
malam itu? Sekadar untuk menyatakan
rindu dan sayang yang tidak pernah terbukti?
Atau hanya untuk menambah luka di hatinya yang tidak pernah
berkesudahan. Mampukah Iqram
membahagiakan gadis kesayangannya itu?
Iqram telah dikenalinya lama, sejak semester pertama lagi, dengan sikap
suka berfoya-foya Iqram, mampukah Sofea bertahan? Amirul tidak menyangka Iqram betul-betul
serius terhadap Sofea sehingga mereka bertunang. Bukan kali pertama Iqram mengejar ‘budak 1st
semester’, hampir setiap semester, namun berakhir begitu sahaja. Cuma yang paling hangat diperkatakan ialah hubungan
Iqram dengan Farhana. Ada kalanya mereka
merupakan pasangan bahagia, dan ada kalanya juga kelihatan Farhana
terkejar-kejar akan Iqram. Amirul
kembali merindui Sofea, dirinya terpikat kepada gadis itu kerana
kesederhanaannya, mungkin juga kerana mata sepet gadis berkulit putih
tersebut. Mengapa pula gadis tersebut
menjadi pilihan Iqram? Bukankah Iqram
mengejar anak orang berada seperti Farhana? Amirul menutup komputer
ribanya. Mengemaskan meja, lalu bergerak
meninggalkan pejabat. Ingatan terhadap
Sofea hilang ditenggelami kepenatannya bekerja sepanjang hari.
****
“Amirul, please introduce,
Qaleesya Az-Zahra, anak perempuan I,” Tan Sri Azman memperkenalkan anak
kesayangannya kepada Amirul. Amirul
terkejut apabila perkataan Zahra disebut.
“Saya er, .. Aiman Amirul.” Tergagap seketika Amirul mendengar
seakan nama Zara Sofea disebut.
“Panggail I Zahra. Oh, jadi
inilah Amirul yang ayah selalu ceritakan.”
Az-Zahra menghulur tangan, dan Amirul menyambutnya.
“Amirul ni berkaliber, ayah nampak ada masa depan even baru
bekerja,” Tan Sri Azman memuji Amirul di depan anak kesayangannya.
“Amirul, Zahra akan mula bekerja mulai hari ini. Bagi tunjuk ajar apa yang patut,” Tan Sri Azman
memberi arahan.
“Baik Tan Sri,” Amirul tersenyum di dalam keterpaksaan.
Apalah yang aku nak tujuk ajar orang balik dari over sea ni?
Amirul berkata di dalam hati.
Tan Sri Azman dan Az-Zahra berlalu, Asyraf datang menghampiri
Amirul.
“Ooi, Tan Sri berkenan kat kau nampaknya. Kau berkenan tak pada anak Tan Sri?” Asyraf
memancing reaksi dari Amirul. Amirul
tersenyum pahit tidak menjawab.
“Ala, Amirul tu malu-malu kucing,” tiba pula giliran Sheila
mencelah.
“Kau orang jangan merepek ya!”
Amirul masih tidak menunjukkan reaksi positif terhadap gurauan
Asyraf dan Sheila.
“Jual mahallah, nanti menyesal,” Sheila galak mengusik Amirul
sementara Asyraf ketawa berdekah-dekah.
“Mengapalah Tan Sri tak terpikat kat aku ya? Aku ni apa kurangnya banding Mat Senyap tu.”
Asyraf muncung mulut ke arah Amirul.
“You dah anak empat, apa barang nak jadi menantu Tan Sri,” Sheila
menjawab pantas. Kali ini kata-kata
Sheila berjaya mencuit hati Amirul, ketawanya berderai juga bersama ketawa
Sheila dan Asyraf.
****
Sofea bernyanyi riang menuju ke bilik setelah melalui saat-saat
indah di bilik air. Mandi bersama dengan buih-buih sabun sambil menyanyi
lagu ‘Sedetik Lebih’ dendangan penyanyi kesayangnnya, Anuar Zain. Tiba di bilik Sofea melihat Bella terlena
dibuai mimpi indah.
“Wei, bangun! Nak makan malam
tak?”
Bella menggeliat malas.
“Ada call banyak kali untuk kau!”
Sofea mengambil telefon bimbitnya di atas meja. Terdapat tiga panggilan yang tidak dijawab.
Sofea cuba mengenal pasti nombor tersebut, terlalu asing baginya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berlagu riang.
“Sofea, abang ni. Turun
sekejap,” suara Ajmal di talian.
“Ada apa, bang?” Sofea bertanya penuh keraguan.
“Nak bagi barang. Cepat tau!”
“Lima belas minit boleh? Fea
baru mandi.”
“Siapa?”
Bella bertanya sambil membuka pintu bilik menuju ke bilik air.
“Abang Ajmal, nak bagi barang katanya.”
“Apa? Abang kepada Mr.
Iqram? Nak tengok! Aku solat kejap, kita turun sama ya?” Bella
mengenyitkan matanya kepada Sofea.
Sofea mengheret Bella berjalan cepat setelah menyedari dirinya
melebihi masa yang dijanjikan kepada Ajmal.
“Berbaloi tak aku tak sempat mandi untuk jumpa abang ipar kau?” Bella
bertanya nakal kepada Sofea.
“Pembetulan, bakal abang ipar aku ya,” Sofea membetulkan kenyataan
dari Bella. Seperti juga adiknya yang
bergaya, Ajmal menunggu Sofea di tepi sebuah kereta Toyota Wish dengan penuh
gaya.
“Tu ke? Terjatuh cinta lagi
aku ni kang,” Bella ketawa gembira melihat ketampanan Ajmal.
“Dia dengar nanti!”
Sofea mencubit lengan Bella.
“Abang, maaf lambat.”
Ajmal hanya tersenyum.
“Abang yang patut minta maaf, datang tak bagitau.”
Ajmal membuka pintu kereta mengambil sesuatu.
“Nah, ni handbag Sofea tu.”
Ajmal menyerahkan sebuah bungkusan kepada Sofea. Sofea terpaku. Bella
mencuit Sofea, mohon diperkenalkan kepada Ajmal.
“Apa susah-susah ni, bang.
Ee..ni Bella, roomate,” Sofea memperkenalkan Bella kepada Ajmal.
“O, ini tunang Mr.Iqram Haris.
Cantik. Ajmal, kau jangan terpikat pula pada bakal adik
ipar kau ya!”
Seorang lelaki keluar dari kereta.
“Fuad, kawan abang. Dia
memang suka merepek.” Ajmal memperkenalkan kawannya. Sofea hanya tersenyum tawar. Bungkusan yang mengandungi beg tangan
berjenama LV itu dipegang erat oleh Sofea.
Tiba-tiba hatinya berdetik curiga.
Abang Ajmal ini suka aku ke?
Sofea meletakkan bungkusan dari Ajmal di atas meja, lalu beratur
mengambil makanan diikuti oleh Bella.
Makan malam dilalui oleh Sofea dengan curiga di hati.
“Apa hal bakal abang ipar kau baik sangat?”
Bella mula menyuap nasi ke mulut.
“Kebetulan kawan dia masih ada di US kut,” Sofea menjawab acuh tak
acuh sahaja.
“If dia suka kau macamana?”
Bella menambah curiga di hati Sofea yang mula bersarang.
“Kau merepeklah, handsome macam tu mesti dah ada girlfriend,” Sofea
menepis telahan Bella sambil memujuk hatinya sendiri agar tidak mencurigai Ajmal.
“Iqram tau ke ni?” Bella terus mengasak Sofea dengan soalan-soalan
cepu emasnya.
“Masa Abang Ajmal cakap nak beli tu, depan Iqramlah, aku ingat dia
bergurau. Dia datang bagi ni aku tak
tau.”
Menjelang Maghrib Sofea dan Bella bergegas naik ke bilik.
Sofea melipat kain di atas katil sambil ditemani lagu-lagu alunan
Anuar Zain di komputer riba. Bella telah
menghilang diri selepas solat Maghrib, mungkin menonton televisyen atau melepak
di bilik teman. Sofea membuka kembali
bungkusan yang mengandungi beg tangan LV pemberian Ajmal.
“Cantiknya, if kau tak nak, kau bagi aku tau!”
Masih terngiang-ngiang kegirangan Bella sewaktu Sofea membuka
bungkusan tersebut Maghrib tadi. Beg
tangan berwarna hitam itu amat cantik dan sudah pasti mahal. Sofea amat berharap Ajmal ikhlas memberinya tanpa ada secalit pun
perasaan suka atau sebagainya kepada dirinya.
Cukuplah hidupnya berserabut disebabkan Iqram Haris, belajar mencintai
lelaki idaman kampus itu demi meneruskan kesinambungan cinta mama tersayang
yang hampa. Sofea berharap tidak pula
dirinya terheret dalam perebutan cinta dua orang adik-beradik. Dalam proses mencintai Iqram, Farhana muncul
membuat tidurnya tidak lena. Kenangan
bersama Iqram datang tiba-tiba apabila nama Farhana muncul di minda Sofea.
“Iqram belum sejahat itu Fea,” Iqram menjawab tegas pertanyaannya
tentang isu Farhana menuduh Iqram pernah menidurinya.
“Iqram harap Fea percayakan Iqram.” Iqram meraih kepercayaan Sofea. Seperti belajar mencintainya, Sofea juga
belajar untuk mempercayai Iqram. Sofea
sedar dirinya harus menjaga hubungannya dengan Iqram demi mamanya, Baizura.
Sofea segera mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi.
“Rindu Iqram?” Suara Iqram kedengaran dilatari bunyi bising.
“Kat mana ni?”
“Dinner dengan abang.”
Sofea berbelah-bahagi samada mahu memberitahu Iqram berkenaan beg
tangan pemberian Ajmal atau tidak.
“Cantik handbag tu?” Iqram bertanya setelah Sofea terdiam.
Sofea merasa lega setelah mengetahui Iqram telah tahu perihal
kedatangan Ajmal memberi beg tangan kepadanya.
“Suka sangat!” Sofea sengaja menarik perhatian Iqram.
“Okey, teruskan dinner, kirim salam kat Abang Ajmal.” Sofea
mengakhiri perbualannya dengan Iqram.
Sofea meneruskan kerja melipat kain dengan senyuman di bibir. Dirinya pasti Ajmal tidak mempunyai niat lain
kepadanya. Jika ada, masakan Ajmal
memberitahu Iqram perihal kedatangannya menemui dirinya petang itu.
****
Sofea memberhentikan
keretanya di hadapan sebuah kedai bunga, dan segera turun dari kereta. Dua belas kuntuman ros dipilih sendiri oleh Sofea. Sofea amat berharap penerimanya gembira
menerima jambangan bunga tersebut, esok.
Bunga mawar merupakan hadiah istimewa pada hari konvokesyen. Esok Amirul akan menerima segulung
ijazah. Pagi esok kira-kira pukul 11.30 pagi, Sofea mahu menunggunya
di luar pintu Dewan Tunku Canselor (DTC).
Petangnya pula Iqram akan menerima segulung ijazah juga.
Opps, warna apa untuk Iqram
ni?
“Amoi, I nak dua jambangan, ada diskaun tak?” Sofea mengejutkan tuan
punya kedai. “Ada-ada. Dua ka? Ada dua boyfriend ka?”
Gurauan tuan punya kedai bunga itu benar-benar menyeksa Sofea. Sofea sekadar tersenyum pahit. Sekali lagi mawar merah menjadi
pilihannya. Sofea memilih dua belas
kuntum bunga ros merah untuk Iqram pula.
Sofea memandu pulang ke kampus dari Bangsar dengan sekali- sekala
memandang dua jambangan bunga di sebelahnya.
Kedua-dua jambangan bunga itu mewakili dua orang lelaki yang
berlegar-legar di ruang hatinya. Namun,
cuma seorang yang bertuah dan bertakhta di hati. Masuk sahaja pintu utama kampus, kemeriahan
konvokesyen sudah terasa walaupun majlis hanya akan bermula esok. Gerai-gerai makanan dan gerai cenderamata
telah meriah dengan orang ramai.
Gerai-gerai cenderamata didirikan di sepanjang tasik, dipunyai oleh
pelbagai persatuan dan fakulti di bumi Universiti Malaya. Di penghujung tasik terletak gerai-gerai
makanan yang rata-rata dipelopori oleh persatuan anak negeri. Dari jauh Sofea melihat gerai PEMARAK, iaitu Persatuan
Mahasiswa Perak Universiti Malaya, negeri kelahiran mamanya. Sofea sampai di parkir kolej. Hatinya berbelah-bahagi samada mahu
meninggalkan jambangan bunganya di dalam kereta atau membawanya naik ke
bilik.
Kalau aku tinggal dalam kereta, takut layu pulak. Kena rendam ke bunga ni?
Sofea menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak bertanya kepada tuan
punya kedai bunga tentang perkara itu.
Akhirnya Sofea mengambil keputusan membawa dua jambangan bunga tersebut
ke bilik.
Sepanjang menuju ke bilik, Sofea menjadi perhatian.
“Amboi, sampai dua. Dua orang
pakwe ke?”
Sofea telah lali dengan suara-suara sumbang seperti itu. Untuk memarahi mereka juga tidak berguna
sedangkan perkara tersebut ada kebenarannya.
Tiba di bilik, Bella tiada.
Tiba-tiba Sofea teringatkan akan mamanya yang arif tentang bunga
ros.
“Tak payah rendamlah, kan dah ada ubat dalam kapas bungkus tangkai,”
jawapan Baizura membuat Sofea tersenyum lebar.
Sofea memandang kedua-dua jambangan bunga di hadapannya, seolah-olah
melihat Amirul dengan kesederhanaannya dan Iqram yang tangkas mengejar cintanya.
“ Amboi-amboi sampai dua!”
Bella muncul di sebalik pintu.
“Aku nak jumpa Mirul pagi esok, kau ikut ya?”
Sofea memandang Bella yang asyik dengan jambangan-jambangan bunga
ros milik Sofea.
“Tak nak lah tengok drama Melayu, petang nak lah, harap-harap Si
Handsome Ajmal ada,” Bella ketawa panjang.
“Nampak Abang Ajmal, kau lupalah Si Bad ya?” Sofea menduga Bella.
Bella tidak menjawab, tetapi mengeyitkan matanya kepada Sofea.
“Nanti-nantilah aku call Bad ya,” Sofea menyedapkan hati sahabatnya
itu.
****
Sofea menanti Iqram keluar dari Dewan Tunku Canselor (DTC) dengan
hati yang kosong. Jambangan bunga untuk
Iqram kemas dipegang oleh Bella yang mengharap kehadiran Ajmal di majlis
konvokesyen itu. Peristiwa tengahari
tadi kembali terjelma di ingatan Sofea.
Sofea mendekati Amirul yang sibuk bergambar bersama keluarganya. Kedengaran dialek Terengganu sewaktu mereka
berkomunikasi.
“Tahniah!”
Sofea menghulurkan jambangan bunga mawar kepada Amirul. Amirul menyambut huluran jambangan bunga
tersebut sambil mengucapkan terima kasih.
Sofea menghulurkan tangan kepada ibu dan seorang perempuan lebih muda
darinya. Sofea menduga perempuan
tersebut adalah adik Amirul.
“Bu, ni adik junior di asrama, Zara Sofea,” Amirul memperkenalkan
Sofea kepada ibunya.
“Jom ambil gambar!” Adik Amirul bersedia mengambil gambar Sofea dan
Amirul. Amirul seperti terpaksa
mengambil gambar bersama Sofea.
“Pergi balik, Iqram nampak nanti,” Amirul berkata seperti berbisik kepada Sofea.
Sofea memohon diri dengan bersalaman dengan ibu dan adik Amirul. Berjalan meninggalkan Amirul dan keluarganya,
air mata Sofea menitis.
“Wei, Iqram keluar tu!” Bella mengejutkan lamunan Sofea.
Dari jauh Sofea melihat Iqram dengan jubah konvokesyennya seperti
mencari seseorang. Sofea berjalan mendekati
Iqram diikuti oleh Bella.
“Cari siapa ni sayang?”
“Fea, mama dan ayahlah!”
“Abang Ajmal tak datang?” Lancar Bella bertanya sambil menyerahkan
jambangan bunga kepada Iqram.
“Ha, terpikat dengan abang I ya?”
Iqram menduga Bella yang seakan-akan kecewa dengan ketiadaan Ajmal.
“Tu dato’ dan datin.”
Sofea menuding ke arah Dato’ Iskandar dan Datin Ira yang baru keluar
dari DTC.
Seperti biasa Sofea mempunyai perasaan yang tidak enak apabila
berhadapan dengan bakal ibu mertuanya, Datin Ira. Seperti terdapat jurang penghalang di antara
mereka berdua. Mereka bertiga mendekati
kedua-dua orang tua Iqram. Sofea
menghulur tangan kepada Datin Ira dan Dato’ Iskandar diikuti oleh Bella. Secara tidak rasmi Bella menjadi jurugambar
pada petang itu. Datin Ira anggun
bergaya dengan labuci menghiasi busananya. Dato’ Iskandar masih kelihatan
tampan. Bagi Sofea, tidak mustahil
mamanya masih menggilai Dato’ Iskandar.
“Sofea sihat?”
“Sihat dato’, dato’?”
Sofea memandang lelaki kurus tinggi yang membuat mamanya menjadi
perindu malang itu.
“Alhamdulillah, sihat. Tak
sabar tengok Sofea dan Iqram sanding,” Dato’
Iskandar sempat mengusik Sofea.
Dalam keriuhan orang ramai di luar DTC dan kecelaruan orang ramai
mengambil gambar, Farhana muncul.
Farhana merapati Iqram yang sedang mengambil gambar bersama Datin
Ira. Sofea melihat air muka Iqram
berubah, seperti tidak selesa dengan kedatangan Farhana. Iqram memandang Sofea seperti meminta izin
dirinya menerima kehadiran Farhana.
Sofea sekadar tersenyum. Farhana
sempat menjeling Sofea tajam. Sofea meneruskan perbualannya bersama pujaan hati
mamanya, Dato’ Iskandar Hisham.
****
Ajmal Farhan mengetuk pintu bilik bacaan ayahanda tercinta, Dato’
Iskandar Hisham. Pintu ditolak perlahan
oleh Ajmal. Dato’ Iskandar meletakkan buku yang dibacanya di atas meja.
“Ajmal nak tanya sesuatu dengan ayah.”
“Ada apa Ajmal? Serius
bunyinya.”
Dato’ Iskandar melihat air muka Ajmal yang tidak menggambarkan
adanya garis-garis kegembiraan.
“Ayah masih ingat apa ayah beritahu Ajmal sebelum Ajmal berangkat ke
US tiga tahun lepas?”
“Yang mana satu ? Jangan
lupakan solat?”
Dato’ Iskandar ternyata tidak mengingati perbicangan di antara mereka
berdua tiga tahun lepas.
“Tentang perjanjian ayah dengan kawan baik ayah. Eer..kekasih ayah,” Ajmal mengingatkan
ayahnya tentang Baizura. Dato’ Iskandar
tersenyum.
“Ha, Sofea! Bukan Ajmal
mentertawakan ayah dulu.”
“Sofea sepatutnya milik Ajmal bukan?
Anak sulung ayah yang termaktub di dalam perjanjian dengan kekasih ayah
itu!” Ajmal terlalu berterus-terang dengan ayahnya malam itu.
Wajah Dato’ Iskandar berubah, terkejut dan tenggelam punca. Lama Dato’ Iskandar memandang Ajmal sebelum
bersuara.
“Mereka dah bercinta sebelum ayah tau Sofea anak aunty Baizura,”
Dato’ Iskandar memberi penjelasan.
“Ajmal sukakan Sofea!” Ajmal jelas menguji kesabaran Dato’
Iskandar.
“Dia tunang adik kamu, Ajmal.
Jangan timbulkan masalah.” Dato’ Iskandar mula tercabar dengan kata-kata
Ajmal yang baginya tidak rasional. Ajmal
tidak menjawab, berlalu keluar bilik meninggalkan Dato’ Iskandar kebingungan.
Dato’ Iskandar masih tidak percaya dengan apa yang berlaku di
depannya sebentar tadi. Langsung tidak
terfikir olehnya dua orang anak lelakinya akan menyukai perempuan yang sama,
dan perempuan itu ialah Zara Sofea, anak kekasihnya yang tidak dihargainya
dahulu. Apakah ini balasannya kerana tidak
menghargai Baizura dahulu? Adakah ini
sumpahan cinta Baizura? Mengingati
Baizura, membuatkan rindunya terhadap mama kepada Sofea itu kembali mengusik
jiwa. Ingin rasanya Dato’ Iskandar
berlari ke arah Baizura, mengubah sejarah cinta mereka yang tidak terpaksi,
hanya indah di mimpi. Tetapi semua itu
sudah cukup terlambat, apa yang hendak dibicarakan kepada Baizura? Mengungkit kisah lama mereka? Cuba menunaikan janji-janjinya sekali
lagi? Memberitahu perkara terbaru mengenai Ajmal yang menyukai
Sofea?
“Zura, bantulah aku!” Dato’
Iskandar merintih sendiri.
****
“Lunch please!”
Badrul mengetuk perlahan meja di hadapan Sofea. Sofea mendongak memandang lelaki yang belum
mengalah mengejarnya itu. Tanpa disuruh
dan meminta izin, Badrul menarik kerusi di depan Sofea lalu duduk. Badrul tersenyum manis menanti jawapan Sofea.
“I’m on diet.”
Sofea mencuba seboleh mungkin menolak permintaan Badrul.
“La, badan dah kurus lagi mau diet!”
Badrul sempat menjeling tubuh Sofea dengan nakal.
“Mana kawan baik u?”
Badrul memandang kerusi kosong di sebelah Sofea dengan buku-buku di
atas meja yang tentunya kepunyaan Bella.
Belum sempat Sofea menjawab pertanyaan Badrul, Bella tiba dengan
senyuman manis.
“Cari I?”
Bella mengusik Badrul, lantas duduk di tempatnya.
“I cari you all berdualah, rindu kat dua-dua,” Badrul mengeluarkan kenyataan
merepeknya.
“Cari Sofea lah tu.”
“Kau orang berdua jangan merepek ekh, ni library, nanti kena halau
sia-sia saja,” Sofea memandang marah kepada Badrul.
“Ala, nak gurau pun tak boleh Cik Sofea sayang ni,” Badrul langsung
tidak menghiraukan teguran Sofea
.
“Lapar! Jom lah balik!”
Bella merengek manja kepada Sofea.
Sofea memandang jam di dinding perpustakaan. Pukul 11.40 pagi.
Masa yang cukup sesuai untuk pulang ke asrama dan makan tengahari.
“Tak payah balik asrama, I belanja you all berdua di Kompleks
Perdana Siswa. Nak makan apa sahaja pun
boleh,” Badrul tersenyum memandang Sofea.
“Ha! Setuju sangat. Jom cepat.”
Bella mula mengemaskan buku-buku di atas meja dan barang-barang
peribadinya. Belum sempat Sofea memberi
sebarang reaksi, Bella bangun meletakkan buku-buku di troli yang
berhampiran.
“So, the answer is yes right?”
Badrul mengenyitkan matanya kepada Sofea. Sofea yang tidak mempunyai pilihan, mula
mengemaskan barang-barangnya dan memberikan senyuman malas kepada Badrul. Mereka bertiga bergerak keluar dari
perpustakaan utama. Tiba di luar kawasan
perpustakaan baru Sofea teringat seorang kawan memberitahu bahawa makanan di
kantin Fakulti Sains lebih sedap.
“Kita ke Fakulti Sains saja lah.
Kawan cakap lebih sedap di situ,” Sofea memberi cadangan kepada Badrul
dan Bella.
“Siapa kawan tu? Tunang you?”
Badrul mengingatkan Sofea kepada Iqram Haris Dato’ Iskandar,
tunangnya yang sebenarnya jatuh tempat ketiga di hati Sofea. Yang pertama sudah tentunya mama tersayang, dikuti
rapat oleh Amirul.
“I tak kisah, asal kenyang.”
Bella membuntuti Sofea yang menyeberang jalan menuju ke Fakulti
Sains.
“Bila nak kenalkan tunang you pada I?” Badrul terus berbicara
merujuk kepada Iqram.
“You sibuk sangat nak tengok tunang Sofea ekh? Handsome, jejaka idaman Kolej Khursiah,” Bella
menarik perhatian Badrul.
“Dah agak, mesti bukan lelaki biasa.”
Badrul mengeluarkan kata-kata yang kurang disenangi oleh Sofea.
“Apa maksud you, Bad?”
“Mesti dia lelaki hebat, sesuai dengan perempuan cantik seperti you.”
Perbualan mereka terhenti apabila tiba di kantin Fakulti Sains dan
mereka terpaksa beratur membeli makanan.
Badrul membayar kesemua harga makanan mereka bertiga.
“Kelas you ada pada waktu macam ni ke?”
Bella menyoal Badrul setelah mereka bertiga melabuhkan punggung di
kerusi.
“Tak ada, ada hal sikit dengan lecturer, lepas tu jalan-jalan di
library, tak sangka jumpa you all berdua.”
“Nak sikit!”
Tiba-tiba garpu Badrul telah singgah di pinggan Sofea mencucuk
keratan sotong. Tiada apa yang mampu
Sofea lakukan, sekadar membiarkannya sahaja.
“Bad, if tunang Fea nampak, habis u!” Bella menegur perbuatan Badrul.
“Okey, cerita sikit pasal tunang Cik Sofea kita ni.”
Badrul memandang Bella menanti jawapan. Sofea membuat isyarat muka kepada Bella agar
temannya itu tidak berkata apa-apa.
“Mr.Iqram Haris Dato’ Iskandar, bakal peguam, senior kitaorang last
sem!”
Aduyai, Bella ni! Hati Sofea merungut.
“Patutlah ring tu cantik,” kedengaran suara Badrul mendatar.
“Iqram tu biasa saja, nanti I kenalkan you dengan dia.”
Sofea menolak pinggan ke tepi dan mengeluarkan telefon bimbit.
“Ni, pernah tengok dia?”
Sofea menunjukkan gambar Iqram kepada Badrul. Badrul mengambil telefon bimbit di tangan
Sofea, dan merenung lama gambar Iqram.
“Memang jejaka idaman.”
Badrul menyerahkan kembali telefon bimbit milik Sofea kepada empunya.
“I dah cakap.”
Bella seolah-olah bersetuju dengan kata-kata Badrul.
“Bila plan nak kahwin?”
Sofea mengangkat bahu dan menghadiahkan sebuah senyuman kepada
Badrul.
“Thanks belanja kami makan.”
“Kawan I ni ada special request, nak ajak you tengok wayang.”
Sofea menjeling ke arah Bella yang merah padam mukanya.
“If you free lah,” Bella cuba bersahaja dengan Badrul.
“Okey Cik Bella, any time, any place,” Badrul seakan memahami
keadaan Bella yang menahan malu.
“If I ikut mesti kacau daun kan?” Sofea menambah rasa ke dalam
perbualan mereka bertiga.
Mereka bertiga bergerak meninggalkan kantin Fakulti Sains menuju ke
arah perpustakaan utama semula. Sofea
dan Bella meninggalkan buku-buku mereka di sana. Sampai di perkarangan perpustakaan utama,
Badrul berhenti.
“Puteri-puteri sekalian, hamba memohon diri dulu.”
“Ini bukan pertemuan terakhir bukan?”
Badrul sempat membuat Sofea tersentak apabila memandang wajah Sofea
lama. Sofea amat pasti Bella
menyedarinya.
“Sudah pasti!” Sofea menjawab dengan senyuman tawar.
Sofea dan Bella beriringan masuk ke perpustakaan utama. Kelas tutorial Dr. Rosli hanya akan bermula
pada pukul tiga petang. Sofea
berkira-kira untuk meninggalkan perpustakaan pada pukul 2.30 petang, supaya
dirinya mempunyai waktu untuk solat Zohor di fakulti sebelum kelas tutorial
bermula. Sofea terus menuju ke meja yang
ditinggalkannya, sementara Bella menuju
ke tandas. Sofea mengeluarkan telefon
bimbit dari poket seluar.
“Sofea
dah lunch? How’s the handbag?..”
Seingat Sofea, belum pernah dirinya menggunakan beg tangan berjenama
LV pemberian Ajmal itu. Hajat di hati
ingin memakainya sewaktu Hari Konvokesyen Iqram, namun apabila memikirkan Datin
Ira akan menjeling beg tangan tersebut, hasratnya dibatalkan.
“Kenyang
sangat, kawan belanja,.. handbag sayang nak guna, hehe.”
Sofea membalas WhatsApp dari Ajmal.
“Pakai saja, nanti abang beli lain..”
“Papp!”
Bahu Sofea ditepuk dari belakang.
Bella bergerak dari belakang Sofea lalu duduk di tempatnya.
“Amboi dah angau dengan tunang ya?”
“Salah sama sekali.”
“Ha, tak kan dengan Bad kut.
Kata nak bagi kat aku,” Bella mula membuat tekaan rambang.
“Merepeklah, abang ipar aku lah, tanya pasal handbag.”
“Kau jangan, nanti dia syok kat kau macamana?”
“Ah, mengarut. Aku ni tunang
adik dia lah. Kau ingat ni drama
ke? Semua lelaki nak tergila-gila kat
aku. Bila pula kau nak tengok wayang dengan
Bad?”
“Dia suka kaulah. Aku nampak
tadi dia pandang kau. Hati aku dah luka
Fea,” Bella mula berdrama.
“Demi persahabatan kita, aku rela melepaskannya, kau terimalah dia
wahai sahabat,” Sofea menyambung drama yang dimulakan oleh Bella. Akhirnya
mereka berdua ketawa bersama-sama.
Mereka berdua memperlahankan suara apabila ada mata yang memandang.
“Aku tak kisah dia tak suka aku, aku kawan-kawan saja lah,” Bella
kembali serius dalam membincangkan Badrul.
“Maybe dia perlukan masa, or sengaja nak menguji, or nak kawan-kawan
dulu. Macam kau juga.”
“Kau jangan risaulah. Aku tak urgent nak boyfriend okey!”
****
Di banglo mewah Dato’ Iskandar dan Datin Ira. Makan malam yang agak membosankan bagi Ajmal
Farhan.
“Macamana masakan mama, Ajmal?
Sedap tak? Tiga tahun tak merasa
masakan mama.”
Datin Ira meraih perhatian anak lelaki sulung yang ternyata dingin
terhadapnya.
“Sedap sangat mama, standart datin ada,” jawapan Ajmal penuh sindiran yang menyeksakan Datin
Ira.
Datin Ira meletakkan sudu dan garpunya. Cuba mengambilkan Ajmal rendang ayam kesukaan
Ajmal satu masa dahulu. Ajmal membiarkan
sahaja tanpa sepatah kata. Suasana
tersebut amat menyerabutkan Dato’ Iskandar.
Ternyata selepas tiga tahun berlalu hubungan Ajmal dan Datin Ira masih
belum pulih. Luka di hati Ajmal akibat
perbuatan Datin Ira masih tidak mampu dilupakan oleh Ajmal. Itulah yang dapat Dato’ Iskandar
simpulkan. Sudah seminggu Ajmal pulang,
namun ketawaran hubungan dengannya Datin Ira masih jelas.
“Lusa Ajmal akan ke KL, cari kerja.”
Dato’ Iskandar memandang anak sulungnya.
“Cepatnya, mama belum puas dengan Ajmal. Lagipun ayah nak buat party sempena
kepulangan Ajmal, campur doa kesyukuran.
Kan
bang?” Datin Ira meminta bantuan suaminya menyakinkan Ajmal.
“Ya Ajmal, tunggulah dulu, dalam waktu terdekat ini ayah nak buat
majlis kesyukuran sempena kepulangan Ajmal.”
“Ayah buatlah cepat. Ajmal
nak ke KL soon, cari kerja. Start my new
life,” Ajmal memberi reaksi baik kepada ayahnya.
Dato’ Iskandar tersenyum tawar mendengar kenyataan Ajmal. Amat jelas Ajmal tidak betah tinggal di rumah
bersama Datin Ira.
“Nak ayah tolong carikan kerja dengan kawan-kawan ayah di KL?” Dato’
Iskandar bertanya soalan yang sudah diketahui jawapannya.
“That’s okay, ayah. Ajmal
cari sendiri.”
Ajmal meneguk air lobak bercampur susu kesukaannya.
Selepas makan malam, Ajmal terus masuk ke bilik. Datin Ira di ruang tamu seorang diri
menonton televisyen. Dato’ Iskandar di bilik
bacaannya. Pemikirannya kini berpusat
kepada Ajmal, hubungannya yang masih dingin dengan Datin Ira, dan yang terbaru sudah
tentu berkenaan perasaan Ajmal terhadap Sofea.
Ingatan Dato’ Iskandar berpusat kepada punca perselisihan Ajmal dan
Datin Ira lebih tiga tahun dahulu.
“Mama tidak suka gadis miskin itu menjadi menantu mama. Ajmal pilih, mama atau Umairah!” Suara Datin Ira
bergema di ruang tamu banglo mewah milik Dato’ Iskandar. “Mama jangan menghina orang lain sebegitu
rupa. Mama ingat asal-usul mama!” “Pangg..”
Satu tamparan hinggap menyentuh pipi Ajmal. Tindakan Datin Ira menampar Ajmal menjadi
klimaks kepada konflik di antara Datin Ira dan Ajmal. Peristiwa tersebut telah lebih tiga tahun
berlalu, namun Dato’ Iskandar tetap melihatnya masih segar. Hubungan Datin Ira dan Ajmal belum
menunjukkan tanda akan pulih dan kini luka di hati Ajmal semakin dalam dengan kemunculan
Zara Sofea. Apakah yang menjadi punca
Ajmal juga menyukai Sofea? Kecantikan
Sofea? Atau sumpahan cinta oleh Baizura
terhadap dirinya? Seperti juga Iqram,
Ajmal menganggap perjanjiannya dengan Baizura sebagai gurauan. Sewaktu Dato’ Iskandar menceritakan berkenaan
perjanjiannya dengan Baizura, Ajmal hanya ketawa. Tetapi kuasa Allah dan ketentuanNya tiada siapa
yang mampu menduga. Kini Ajmal tersentuh hatinya melihat Sofea, dan
mengungkit haknya sebagai anak sulung yang paling layak termaktub di dalam
perjanjian di antara Dato’ Iskandar dan Baizura. Dato’ Iskandar tidak dapat membayangkan
jikalau Ira mengetahui perasaan Ajmal terhadap Sofea. Sudah tentu bukan perkara yang
menggembirakannya. Dato’ Iskandar juga
cukup sedar isterinya itu bukanlah begitu menyukai bakal menantunya itu, namun
terpaksa menerimanya demi Iqram. Dato’ Iskandar
amat berharap Ajmal menguburkan perasaannya terhadap Sofea. Biarlah dirinya sahaja yang mengetahui perasaan Ajmal,
tidak Iqram, Sofea mahu pun Ira
isterinya. Ketukan di pintu bilik mengganggu
lamunan Dato’ Iskandar.
“Bang, saya nak bincang pasal Ajmal.”
Datin Ira masuk ke dalam bilik bacaan Dato’ Iskandar. Di tangannya terdapat cawan berisi kopi panas
kegemaran suaminya itu.
“Biarlah dia cari kerja di KL.
Jangan ganggu hidup dia lagi,”
Dato’ Iskandar bersuara lembut sekaligus memberi arahan tegas kepada
isterinya. Selama ini dirinya membiarkan
sahaja Datin Ira bertindak mengatur anak-anaknya. Akhirnya Ajmal menjadi mangsa
keegoan seorang perempuan bergelar datin.
“Kita bincang kenduri kesyukuran sempena dia pulang, sempena dia
dapat PHD. Saya takkan campur hal
peribadinya lagi.” Datin Ira seolah-olah mengetahui isi hati suaminya kini.
Tidak mahu lagi mengulangi kesalahannya mencampuri urusan peribadi Ajmal. “Saya plan, petang kita buat party di luar
rumah, malam jemput orang-orang masjid buat doa kesyukuran,” Datin Ira bersuara
lagi setelah melihat suaminya berdiam diri.
Dato’ Iskandar tersenyum, tanda bersetuju dengan rancangan isterinya.
“Bila nak buat tu? Nanti
lambat, budak tu pergi KL pula!”
Dato’ Iskandar seolah-olah tidak sabar untuk merealisasikan rancangan
isterinya.
“Minggu depan! Saya uruskan
catering.”
Datin Iskandar kembali ceria mengenangkan rancangan buat anak kesayangannya
dipersetujui oleh Dato’ Iskandar.
****
Sofea membuka bungkusan berisi beg tangan LV pemberian Ajmal. Cukup cantik, rasanya tidak sesuai untuk
dirinya dengan status sebagai seorang pelajar.
Sofea tersenyum sendiri, Ajmal cukup baik baginya. Telefon bimbit Sofea berlagu riang.
“Sayang, I dah sampai,” kedengaran suara Iqram di talian.
Sofea mematikan talian setelah menyebut perkataan okey. Dengan cepat Sofea memasukkan bedak, gincu bibir,
tisu dan telefon bimbit ke dalam beg tangan LV tersebut. Cukup cantik dirasakan apabila dirinya
menggayakan di depan cermin. Mujur Bella
pulang ke kampung, jika tidak sudah tentu dirinya akan menjadi bahan ketawa
sahabatnya itu.
“Cantik handbag!” Iqram menjeling beg tangan Sofea.
“Tengoklah siapa yang beli!”
“Ya la, taste orang balik over sea tentu lebih okey,”Iqram bernada
rajuk.
“Ni mesti lapar, sebab tu mengada-ngada ni,” Sofea cuba mengalih
topik perbualan mereka.
“Laparlah. Fea dah lunch?”
Iqram memandang Sofea dengan pandangan sayangnya. Sofea mula merasakan lelaki itu benar-benar
menyayanginya.
Ya Allah, kuatkan keimananku, bantulah aku agar boleh mencintainya
sepenuh hati tanpa mengingati lelaki lain.
Amin! Hati Sofea berkata perlahan.
“Fea!”
“Apa dia? Kita nak makan kat
mana?” Sofea kembali kepada kenyataan.
“Iqram tanya, Fea dah lunch ke belum di asrama tadi?” Iqram
mengulangi pertanyaannya. “Belumlah
sayang, bukan janji nak lunch sama tadi,” Sofea bernada manja mengambil hati Iqram.
Iqram tersenyum, tangannya bergerak cuba mencari jari-jemari Sofea.
“Jangan mengada-ngada ya.
Berdosa tau!”
Sofea menyembunyikan tangannya.
Iqram ketawa dan meneruskan pemanduannya.
Destinasi mereka tentunya Mid Valley Mega Mall, kompleks
membeli-belah kegemaran Sofea. Mereka menjamu
selera di restoran makanan segera Nando’s kegemaran Iqram. Sofea melihat Iqram begitu lapar, maklumlah
jam hampir menunjukkan pukul 1.30 petang.
“Lepas ni tolong pilihkan kemeja untuk Iqram ya!”
Iqram menyedut the o ais limaunya.
“Pilihkan kemeja putih lagi lah tu.
Upah Fea?”
“Anything for puteriku, but less RM 10.00,”Iqram ketawa.
Sofea turut ketawa, dan sudah
tentu lengan Iqram menjadi mangsa cubitannya.
“Apa ni cubit-cubit orang.
Berdosa.” Giliran Iqram menyedarkan Sofea. Sofea tersipu malu.
Sofea kepenatan mengikuti Iqram memilih kemejanya yang tidak
berkesudahan. Masakan tidak semua yang
dipilih oleh Sofea tidak berkenan di hati Iqram. Masalah timbul apabila hanya kemeja berwarna
putih yang mahu dibelinya, sesuai sebagai bakal peguam menjalankan praktikal di
firma guaman.
“You cuba ni.”
Sofea menunjukkan sehelai kemeja berjenama Bonia kepada Iqram. Iqram tersenyum sambil menyambut kemeja
tersebut.
“Cuba ni sekali.”
Sofea menghulurkan tali leher berwarna hitam bercampur warna perak.
“I try dulu.”
Iqram menyambut tali leher tersebut dan menuju ke bilik ‘fitting
room’. Sofea menunggu Iqram dengan
senyuman masih terlekat di bibir.
Mungkinkah aku dah sayang gila kat tunang aku ni!
“Taraaa! Handsome tak tunang
you?”
Iqram keluar dari ‘fitting room’. Sofea tergaman. Sofea melihat Amirul lengkap memakai kemeja
dan tali leher yang dipilihnya.
Ya Allah, aku belum melupakan lelaki itu. Tolonglah aku, Ya Allah!
Sofea menelan air liurnya.
****
“If Fea tak pergi boleh?”
Sofea menduga Iqram. Sebenarnya
bukan setakat menduga, jika Iqram tidak kisah, Sofea tidak mahu ke rumah bakal
mertuanya itu.
“Apa kata abang kesayangan Fea nanti. Mesti tertunggu-tunggu adik iparnya.” Iqram
mematikan niat Sofea.
“Nak pakai apa?”
“Party petang tu kawan-kawan mama datang, pakai cantik sikit.”
Kenyataan Iqram membuat Sofea terkedu. Sofea meletakkan telefon bimbitnya di atas meja
sambil mengeluh. Perbuatannya ternyata
menarik perhatian Bella yang sedang berfacebook.
“Kenapanya Cik Sofea oi!
Tunang call mengeluh pula.”
“Party Abang Ajmal hujung minggu ni.
Malaslah pergi rumah datin tu,” Sofea berterus-terang.
“Wei! Datin tu bakal mak
mertua kau. Eloklah beramah mesra.”
Bella ketawa memandang Sofea yang muncung mendengar perkataan datin
disebut.
“Iqram suruh pakai cantik.
Aku nak pakai apa ni?”
Sofea mula meraih simpati Bella agar menolongnya.
“Apa susah, kau suruh Iqram beli baju untuk kau, habis cerita.”
“Malulah. Kau ni!”
Sofea membantah tanda tidak setuju.
Bella ketawa lagi.
“Yang kau minta handbag dari abang ipar kau tu tak malu pula,” Bella
memperli Sofea. “Tu aku main-main saja
lah,” Sofea tetap mempertahankan pendiriannya.
“Minta dengan Iqram pun untuk dia juga. If kau cantik nanti siapa yang suka?”
Sofea tersenyum mendengar keterangan panjang lebar dari Bella yang
ternyata ada kebenarannya.
“Sayang, Fea nak cakap sesuatu.”
Sofea memulakan drama untuk meminta baju dengan ungkapan sayang
kepada tunangnya.
“Hahaha,..why bersayang-sayang ni?
Ada buat salah ya?” Iqram ternyata hairan.
“Fea, Fea, err..Fea tak ada baju cantik lah,” Sofea akhirnya
berterus-terang.
“Esok petang kita pergi beli.”
“Malu lagi dengan Iqram ke?”
Iqram seolah-olah memahami perasaan Sofea.
“Ya lah, malu campur segan!”
“Lain kali if nak apa-apa, panggil sayang. I tau lah you nak apa-apa,” Iqram kembali
terbahak-bahak ketawa.
Sofea cukup senang mendengar Iqram ketawa. Itu bererti Iqram bahagia bersamanya. Jikalau Iqram mengetahui hatinya masih milik
Amirul tentunya lelaki itu kecewa.
“Dapat tak?”
Bella mengejutkan Sofea yang tersenyum sendirian setelah meletakkan
telefon bimbitnya.
“Mestilah dapat.”
Sofea mengenyitkan matanya.
“Apa kata kau minta dua, satu bagi aku. Iqram mesti beli mahal kan.”
Bella mula memberi cadangan merapu kepada Sofea.
“Kau jangan harap ya. Aku dah
mula sayang kat dia. Tak nak tipu dia.”
“Ya la tu! Cemburunya aku!”
Bella ketawa riang mendengar kenyataan Sofea.
Sofea merebahkan badan di katil, melupakan sejenak kebimbangannya
untuk pergi ke majlis Ajmal. Entah
mengapa hatinya begitu berat untuk pergi sekali lagi ke rumah Datin Ira. Mama tersayang pernah berkata, apabila hati
kita berat untuk melakukan sesuatu, pasti ada yang tidak kena.
Ah, mungkin aku tak selesa dengan Datin Ira yang jadi musuh cinta
mama, itu sahaja! Sofea memujuk hatinya sendiri.
Tiba-tiba Sofea teringatkan mama tersayang. Adakah
mamanya itu menerima jemputan dari Dato
Iskandar? Sofea menduga, tentunya mama
tidak akan menhadirkan diri walaupun dijemput.
Jika dirinya menjadi mama, Sofea sudah pasti tidak akan menghadirkan
diri di majlis musuh cintanya. Sofea
mencapai telefon bimbitnya kembali.
“Ya sayang mama, ada apa call malam-malam ni?” Suara Baizura
kedengaran lesu.
“Rindulah. Awal mama tidur?”
“Fea nak minta izin ikut Iqram balik Ipoh, boleh?”
“Boleh, tapi untuk apa ya?”
Sofea amat yakin mamanya tidak dijemput oleh Dato’ Iskandar
berkenaan majlis Ajmal.
“Party Abang Ajmal, abang Iqram.
Dato’ tak jemput mama?” Sofea menyoal mamanya serta-merta.
“Tak pula, mungkin belum.
Tapi mama tak pergi kut.”
Jawapan yang telah diduga sebenarnya oleh Sofea.
“La, nanti rindu dato’ macamana?”
Kedengaran tawa Baizura di talian.
“Sejarah silam, lupakan sahaja!”
“Cinta tak pernah mati Puan Baizura,” Sofea menyambung usikannya.
Baizura tidak cepat melatah.
“Mencintai tidak bererti memiliki, tidak bererti hidup bersama, sayang
mama ni.” Kenyataan dari Baizura yang cukup mengharukan Sofea.
Andainya mama mengetahui nasib anaknya ini serupa dengannya! Hati
Sofea bersuara.
Baizura mengakhiri perbualannya dengan Sofea dengan berpesan agar
anaknya itu memakai pakaian yang menarik, anggun dan sesuai dengan imej bakal
seorang menantu dato’.
Ngerinya hidup ini. Terlalu banyak
protokol. Demi impian cinta mama, aku
pasrah!
****
Hari yang mendebarkan Sofea tiba juga. Jam di tangan menunjukkan pukul 11.40
pagi. Iqram akan menjemputnya pada pukul
12.00 tengahari, dan majlis Ajmal akan bermula lebih kurang pukul 3.00
petang. Sofea mengenakan make-up agak
tebal, dengan tudung yang lebih sesuai dan indah dari biasa. Dress labuh berbunga kecil beserta kardigan
pilihan Iqram tersarung di badan Sofea.
Kasut bertumit tinggi berwarna hitam dan beg tangan pemberian Ajmal
melengkapkan penampilan Sofea tengahari itu.
Sofea mengakhiri persiapannya dengan semburan wangian ‘Be Delicious’
pemberian Iqram sewaktu pertunangan mereka.
Sofea memandang cermin sekali lagi.
Betul ke aku ni cantik? Ramai
lelaki suka aku sebab aku cantik? Haha,..apa
aku perasan ni! Bella pernah
mengeluarkan kenyataan bahawa aku digilai kerana kecantikanku, apakah benar
begitu? Adakah Amirul juga menyukaiku
kerana itu? Tidak sama sekali. Aku melihat kasihnya yang memandangku sebagai
adik, sebelum kasih sebagai adik itu merebak menyentuh hatinya. Iqram dan Badrul mempunyai persamaan,
berkemungkinan terpesona dengan kecantikanku! Sofea terus-terusan bermonolog.
“Amboi-amboi tuan puteri ni, berangan nak pilih putera yang mana
satu ya?”
Bella muncul di sebalik pintu.
Sofea hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan.
“Aku nak lunch dengan siapa ni?
Huhu..” Bella seakan-akan berdrama di depan Sofea. “Ngada-ngada betul. Malam aku balik, aku beli Mc’D untuk kau if
sempat,” Sofea memujuk mesra teman sebiliknya.
“Aku pinjam kereta!”
Bella mengenyitkan matanya.
“Ha, nak merayap kat mana pulak?”
Sofea mengeluarkan kunci keretanya dari laci.
“Ronda-ronda KL if boring.”
Bella sengih sewaktu menyambut kunci kereta yang diserahkan oleh Sofea. Telefon bimbit Sofea di atas meja berlagu
dengan riang.
“Tu tunang kesayangan kau dah sampai!”
“Eh, Abang Ajmal lah.”
Sofea tidak menyangka Ajmal
yang menelefonnya.
“Sofea datang tak ni?”
“Datanglah, ni tunggu Iqram ambil.
Girlfriend abang datang tak?” Sempat Sofea menyakat bakal abang iparnya itu.
“Mestilah datang. Nanti abang
kenalkan dengannya.”
Alamak! Abang Ajmal dah ada
buah hati? Melepaslah sahabat aku
ni. Hahaha!
“Abang, okey lah, ada call masuk, mesti Iqram dah sampai,” Sofea
mengakhiri perbualannya dengan Ajmal.
Seperti yang telah diduga, panggilan tersebut dari Iqram.
“Aku pergi dulu. Cantik tak
bakal menantu datin ni?”
“Bolehlah, boleh blah!”
Bella ketawa memanjang melihat Sofea mengayakan dress yang
dipakainya. Sofea menuruni anak tangga
dengan perlahan, cuba menyesuaikan diri dengan kasut tumit yang dipakainya. Amat janggal sekali, namun demi menemui Datin
Ira, Sofea terpaksa. Tiba di lobi, ramai
mahasiswa dan mahasiswi menuju ke dewan makan.
Ramai juga yang memandang Sofea. Mungkin
kerana jarang melihatnya berdandan sebegitu rupa.
“Cantiknya. Boleh
berkenalan?”
Sofea menoleh ke arah suara nakal di belakangnya. Lokman tersenyum manis. Kawan sekelas Sofea itu juga agak popular di
Kolej Khurshiah. Mungkin disebabkan
dirinya agak lembut menjadikannya cukup popular di kolej. Sofea sekadar mengeyitkan mata kepada Lokman
dan bergerak laju menuju ke kereta Iqram yang sedia menanti.
“Wanginya, rasa nak makan saja!”
Tindak balas Iqram terhadap wangian yang dipakai oleh Sofea.
“Gatal lah tu,” Sofea menjawab sambil membetulkan duduknya di dalam
kereta. Kereta mula bergerak
meninggalkan perkarangan Kolej Janda.
“Cantik sangat. Iqram suka,”
Iqram memuji Sofea.
Hampir-hampir Sofea tenggelam dengan pujian Iqram tersebut.
“You dah lunch?”
“Belum. Sayang?” Iqram
menyoal Iqram semula sambil memandang tunangnya.
“Why panggil sayang ni? Nak
apa-apa ke?” Sengaja Sofea mengusik Iqram, mengungkit peristiwa dirinya
memanggil Iqram sayang kerana meminta baju tempohari.
“Itu Fea, if nak sesuatu baru panggil sayang. Ni Iqram, pangil sayang sebab sayang kat Fea sungguh
lah.”
“Fea belum lunch tapi pagi tadi ambil nasi goreng banyak. Kenyang lagi.
Habis Iqram nak makan dulu ke?” Sofea menyoal Iqram.
“Tak lapar sangat. Kita makan
kat rumah lah dengan Abang Ajmal.” Iqram kelihatan begitu menyayangi abang
kandungnya itu.
“Cd Anuar Zain ya?”
Sofea memandang Iqram memohon simpati.
“Sure. Sayang Iqram dulu!”
Iqram menyentuh pipinya dengan jari telunjuk.
Sofea tidak menjawab, hanya cubitannya yang menjawab kenakalan Iqram
tengahari itu. Lagu -lagu Anuar Zain
mengiringi perjalanan mereka berdua ke Ipoh dengan lancar.
Mereka tiba di Bandaraya Ipoh
kira-kira pukul 2.30 petang. Dari jauh
Sofea melihat banglo mewah Dato’ Iskandar yang cantik. Serentak bayangan wajah Baizura menjelma di
depan matanya. Bukankah mamanya itu yang
sepatutnya menjadi suri di banglo mewah tersebut?
Berdosakah aku mempertikaikan ketentuan takdir yang tertulis? Hati
Sofea bersuara. Bersilih ganti dengan
wajah Baizura tentunya wajah Datin Ira yang berjaya kukuh di persada
perkahwinan dengan Dato’ Iskandar.
“Turunlah.”
Iqram mengejutkan Sofea.
Sofea yang terkejut melucutkan tali pinggang keledar di pinggang dan
turun dari kereta. Mereka berdua
memasuki perkarangan banglo mewah Dato Iskandar yang dilatari rumput yang
menghijau. Sewaktu mereka tiba, majlis ‘hi-tea’ baru bermula dengan kehadiran
para tetamu seperti Sofea dan Iqram.
Majlis ‘hi-tea’ di tepi kolam renang itu cukup indah dengan hiasan
jambangan ros segar di setiap
meja. Sofea menuruti Iqram yang terus
mendapatkan mama dan ayahnya. Sofea menyalami
bakal ibu bapa mertuanya.
“Cantik handbag!”
Seperti yang diduga oleh Sofea beg tangannya menarik perhatian Datin
Ira.
“Err…Abang beli, Abang Ajmal,” jawab Sofea jujur.
“Ya mama, abang tu sayang sangat kat Fea,” Iqram pula menambah rasa
dalam perbualan Sofea dan Datin Ira.
“Sofea sihat?”
Seperti biasa wajah tenang Dato’ Iskandar mendamaikan Sofea petang
itu. Sofea perasan wajah Dato’ Iskandar berubah
apabila mendengar Sofea berkata Ajmal membelikan dirinya beg tangan.
“Sihat dato’,” Sofea menjawab lembut.
“Panggil ayahlah, senang!”
Sofea menoleh ke arah suara yang mengganggu perbualannya dengan
Dato’ Iskandar. Ajmal tampil hebat
petang itu dengan kemeja putih dan jeans hitam.
“Cantik adik abang!”
Ajmal menghulur gelas berisi air minuman kepada Sofea. Sofea menyambutnya mesra.
“Terima kasih,” Sofea menjawab sambil menunjukkan beg tangan yang dibawanya. Ajmal ketawa melihat gelagat Sofea. Dato’ Iskandar dan Datin Ira bergerak melayan
tetamu-tetamunya yang lain, sementara Iqram mula mengambil makanan. Baru Sofea teringat Iqram belum makan
tengahari sebelum ke Ipoh tengahari itu.
“So, mana girlfriend abang ni?”
“Dah sampai, tapi Fea tak nampak,” Ajmal mengeluarkan lawak
merepeknya.
“Fea laparlah. Fea makan dulu
ya?”
Sofea berterus-terang sambil bergerak ke arah Iqram yang sedang sibuk mengambil sotong
dan ikan bakar.
“Abang nak makan sama lah.”
Ajmal membuntuti Sofea mendekati Iqram.
Mereka bertiga duduk di satu meja yang dihias cantik dengan bunga
ros merah. Sofea pasti Datin Ira juga
meminati bunga ros seperti mamanya. Jika
tidak, masakan semua meja-meja dihias dengan bunga ros yang segar.
“Eh, Fea nak sotong tu!” Sofea merengek manja kepada Iqram apabila
menyedari Iqram menghabiskan sotong bakar di pinggannya dan hanya memberikan
ikan bakar kepadanya.
“Opps! Sorry. Ambillah sendiri duhai puteriku.”
Iqram menyakat Sofea sambil mengenyitkan matanya.
“Abang ambilkan.”
Ajmal bingkas bangun meninggalkan Sofea dan Iqram.
“Fea tau, abang ada girlfriend.
Umairah!”
Kenyataan Iqram benar-benar menarik perhatian Sofea.
“Mana dia?” Sofea pantas menyoal Iqram. Perbualan mereka terhenti apabila Ajmal
muncul dengan sepinggan sotong bakar di tangannya. Sofea tersenyum gembira. “Terima kasih abangku. Ha, ni untuk I sorang ya!” Sofea mengucapkan
terima kasih dan sempat mengusik Iqram.
Kerancakan perbualan mereka bertiga terhenti apabila Datin Ira
membuat pengumuman. Ajmal bangun apabila
Datin Ira mengumumkan bahawa majlis tersebut untuk anak sulungnya yang baru
pulang dari luar negara. Tiba-tiba Sofea
terkedu apabila namanya turut disebut.
Rupa-rupanya Datin Ira memperkenalkan tunang Iqram kepada hadirin semua.
Sofea bangun sambil tersipu malu. Iqram dan Ajmal tersenyum-senyum
mentertawakannya.
Iqram meminta izin melayan tetamu yang hadir bersama Dato’ Iskandar
dan Datin Ira.
“Mama sihat? Mengapa tak
datang.”
Ajmal mengingatkan Sofea kepada mamanya.
“Mama sihat, sibuk kut,” Sofea memberi alasan palsu yang sudah pasti
diketahui oleh Ajmal.
“Ayah cinta pertama Aunty Baizura kan?”
“Err, mana abang tau ni?”
Sofea kembali mengingati perbualannya dengan Ajmal di Bangsar
dahulu. Waktu itu Ajmal memberitahu Sofea, dia mengenali
Baizura.
“Abang juga tau tentang perjanjian itu!”
Ajmal memandang tepat ke wajah Sofea. Sofea berasa tidak selesa diperlakukan
begitu.
“Sofea tau, perjanjian ayah dan Aunty Baizura dahulu ialah abang,
bukan Iqram,” Ajmal meneruskan cerita yang tidak ketahui oleh Sofea.
“Ye ka? Mama tak cerita
pun. Dia cerita, mama dan dato’ berjanji
nak jadi besan jika mereka tiada jodoh.
Itu saja.”
“Abang sebagai anak sulung dalam perjanjian itu. Lagi pun dulu muka abang sebiji muka ayah. If tak percaya tanya aunty or ayah,” Ajmal
bersungguh-sungguh bercerita. “Cinta
mereka kuat kan? Jika tak, tak kan
mempertemukan Fea dan Iqram di kampus,” Sofea memberi komentar jujur tentang
hubungan mamanya dan Dato’ Iskandar.
“Abang dah tuntut isi perjanjian tu dengan ayah!” Ajmal berkata
tenang.
“Tuntut apa, bang?”
“Tuntut Fea lah. Yang
sepatutnya milik abang!”
Sofea bagai terlihat hantu di depannya. Pucat lesi terkejut dengan kenyataan
Ajmal. Sofea bangun perlahan meninggalkan
Ajmal dan bergerak masuk ke dalam banglo, mencari tandas. Satu tempat pelarian yang dirasakan oleh
Sofea cukup selamat. Sofea memandang
wajahnya di cermin.
“Adakah kerana kecantikan ini, aku diburu masalah kini?” Sofea
bersuara perlahan.
Sofea dengan cepat menghubungi mamanya.
“Betullah tu, Ajmal yang mama selalu sebut dulu, muka dia seiras
dato’ dulu.” Jawapan Baizura benar-benar membuatkan Sofea terkesima. Memang benar Ajmal tidak berbohong, namun
Sofea mengesali mengapa perlu Ajmal benar-benar menuntut janji tersebut
sedangkan kini dirinya tunangan Iqram.
Abang Ajmal suka aku ke? Macamana
kalau Iqram tahu perkara ini?
Hampir lima belas minit Sofea di dalam tandas. Menyedari Iqram mungkin mencarinya, Sofea
membetulkan make-up dengan seadanya, dan segera keluar dari banglo Dato
Iskandar. Sofea mendekati Iqram yang
sibuk berbual dengan Dato’ Iskandar.
“Ni bila Sofea nak jadi anak ayah ni?” Dato’ Iskandar ketawa.
Kalaulah dia tau, kedua-dua anak lelakinya sukakan aku! Hati Sofea
bersuara.
“Tahun depanlah ayah.”
Iqram menjawab sambil memandang Sofea.
“Ayah nak cepat-cepat menimang cucu.”
“Tak lari gunung dikejar, ayah,” Iqram kembali menjawab sambil
mengusik ayahnya.
Jam di tangan Sofea menunjukkan hampir pukul 5.30 petang. Sofea memberi isyarat kepada Iqram agar
meninggalkan majlis yang semakin sunyi.
Semakin ramai tetamu yang telah pulang.
“Mama, Iqram balik dulu. Fea
ada kelas pagi esok.” Pandai Iqram memberi alasan kepada Datin Ira untuk
mengelak majlis doa selamat dan bacaan Yasin pada malam itu. “Drive elok-elok,” Datin Ira berkata sambil
menyambut salam yang dihulur oleh Iqram.
Sofea menyalami Dato’ Iskandar dan Datin Ira. Sofea mencari kelibat Ajmal, namun tidak
kelihatan.
“Abang mana?” Sofea bertanya kepada Iqram.
“Kat dalam. I dah bagitau
kita nak balik,” Iqram memberi penjelasan yang melegakan kepada Sofea. Sofea menarik nafas lega.
Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur Sofea agak senyap dan memberi
alasan kekenyangan kepada Iqram. Sofea
kembali melayan fikirannya, mengingati perjanjian mama tersayang dan Dato’
Iskandar. Ya, perjanjian yang mana dirinya menjadi bahan
pertaruhan.
Mama tidak tahu keadaan yang aku alami. Mama tau tak, Abang Ajmal menuntut janji yang tidak rasional? Mengapa pula Abang Ajmal muncul dengan
perasaan suka kepadaku? Bukankah Abang
Ajmal telah mempunyai girlfriend?
Pelbagai persoalan bermain di hati Sofea.
“Umairah mana?”
Iqram agak terkejut dengan soalan Sofea yang tiba-tiba.
“Tak tau lah, dah lebih tiga tahun tak dengar cerita lepas mama tak
suka dia,” Iqram menjawab tenang.
“Ada persamaan dengan Fea tak?”
“Adalah sikit-sikit. Putih
sama kut! Hahaha. Mengapa sibuk tanya ni?” Iqram mula menghidu
sesuatu.
“Kesian kat abang, mama buat dia merana!”
“Mama dah berubah sekarang.
Mungkin memang mereka tiada jodoh,” Iqram mengeluarkan kenyataan
matangnya.
“If kita tak ada jodoh macamana?”
Sofea menduga Iqram. Iqram
memandangnya seketika sebelum kembali memandang ke hadapan.
“Fea masih ingat Amirul kan?”
Soalan yang membuat Sofea terus terdiam.
“Selama ini Iqram tak nak cakap, tapi Iqram tahu Amirul pernah
mencuri hati Fea. Fea terima Iqram
mungkin sebab ayah dan aunty,” Iqram berbicara panjang lebar membuatkan Sofea
sebak.
Apakah perasaannya apabila mengetahui abang kesayangannya juga
menyimpan perasaan kepadaku!
Mereka tiba di Kolej Janda kira-kira pukul 8.00 malam. Sofea langsung tidak mempunyai perasaan untuk
singgah di mana-mana. Langsung melupakan
sahaja janjinya kepada Bella untuk membelikannya Mc’ Donald. Sofea turun dari kereta tanpa sepatah
kata. Ketika Sofea bergerak turun dari
kereta, Iqram memegang tangannya.
“Sayang Iqram?” Soalan berharga Iqram pada malam itu. Pengakuan Ajmal menambah simpati Sofea terhadap
Iqram.
“Sayang sangat!”
Sofea menarik tangannya dan turun dari kereta. Sofea berjalan malas menuju ke bilik. Penat memikirkan apa yang berlaku. Semuanya benar-benar mencabar usaha dirinya untuk menyayangi Iqram dengan
sepenuh hati. Tiba di bilik, Bella tidak
kelihatan. Sofea menanggalkan tudung dan
membaringkan tubuh di katil, menghilangkan kekusutan yang panjang.
Perlukah aku mengadu kepada mama perihal Abang Ajmal? Bukankah nanti merisaukan hati mama!
Satu-satunya orang yang sesuai bagi Sofea untuk mengadu tentunya Bella. Teman
sebiliknya itu. Bella mungkin ketawa
besar, atau simpati dengan dirinya.
Abang Ajmal, mengapalah kau hadir membuat hidupku tambah serabut.
“Wei, bangunlah. Kau tak nak
mandikah?”
Sofea tersedar apabila Bella mengejutkannya.
“Pukul berapa ni?” Sofea bertanya kepada Bella sambil mencari-cari
telefon bimbitnya di dalam beg tangan.
“10.30 dah. Mana Mc’D
aku. Lupalah tu,” Bella mula membebel.
“Sorry. Penat sangat tadi.”
Pandai Sofea memberi alasan sambil bangun mencapai tuala dan
mengambil alatan mandiannya, lalu keluar dari bilik. Air yang turun membasahi ubun-ubunnya terasa
begitu melegakan. Lupa sejenak dirinya tentang Ajmal dan Iqram. Sofea merasa dirinya menuruti perangai mama
tersayang yang suka mandi dengan lama sambil menyanyi. Tentunya lagu dari dendangan penyanyi pujaan
Sofea, Anuar Zain menguasai ruang bilik air ketika itu.
****
Bihun goreng Sofea suap perlahan.
“Betul ke perjanjian aunty dengan dato’ dulu sebut Abang Ajmal?” Bella
bertanya kembali setelah Sofea menceritakan apa yang berlaku di banglo Dato
Iskandar.
“Yup! Aku dah tanya
mama. Tapi bagi aku itu semua tak
penting. Abang Ajmal patutnya
menghormati hubungan aku dan Iqram.
Bukan cakap kat aku, suka kat aku atau nak tuntut hak dalam
perjanjian. Ini mengarut!”
“Okey-okey Cik Sofea. Kau
patut cakap kat Mr. Ajmal camni, bukan kat aku,” giliran Bella pula meluahkan
apa yang terbuku di hati.
“Sorrylah, emo pula,” Sofea kembali tersenyum.
“Aku rasa if Abang Ajmal merepek lagi, aku cakap saja tak suka
dia. Habis cerita. Penat dah aku asyik nak jaga hati orang ni!”
“Pandai pun Cik Sofea ni!”
Bella ketawa.
****
Ajmal berdiri memandang ikan-ikan yang berenang di kolam.
Tentunya ikan-ikan itu hidup gembira. Aku yang merana!
“Anak mama, mari minum petang.”
Datin Ira muncul sambil bergerak menuju meja yang tersedia minuman
petang. Ajmal duduk di hadapan Datin
Ira, menghirup teh panas kegemarannya.
“Anak mama dah ada calon ke belum?”
“Ada, tapi pasti mama tak suka!” Ajmal menjawab agak keras
pertanyaan mamanya. Datin Ira diam. Kehilangan kata-kata untuk memberi respons
akan kata-kata Ajmal.
“Mengapa mama diam?”
“Mama menyesal sayang, maafkan mama,” Datin Ira bersuara
perlahan.
“Mama akan menerima siapa pun pilihan Ajmal sekarang. Jangan hukum mama lagi.” Tangan Datin Ira
menggenggam tangan Ajmal lembut. Ajmal
tersenyum pahit. “Bawalah jumpa mama,” Datin
Ira seakan memperoleh sinar baharu dalam hubungannya dengan Ajmal.
“Nantilah, mama akan tau juga siapa orangnya,”Ajmal memberi
penjelasan.
Datin Ira tersenyum, mengharapkan hubungannya dengan Ajmal pulih
sepenuhnya.
“Tak sabar mama. Nanti kita
boleh buat resepsi sama dengan Iqram.
Biar mama yang jadi wedding planner.
Garden wedding untuk dua putera
kesayangan mama,” Datin Ira ghairah membayangkan rancangan perkahwinan
anak-anaknya.
Ajmal meneruskan senyuman pahitnya.
Wajah Sofea dan Iqram bermain di fikiran. Adakah pertimbangan rasional telah hilang di
mindanya? Kenapa perlu melayan hati yang
menyukai Sofea. Perlukah dirinya
mempertaruhkan hubungan adik-beradik dengan Iqram demi melayani perasaan,
sedangkan Sofea sudah pasti menolak perasaannya itu.
“Berangan!”
Kali ini senyuman pahit Ajmal hilang, terpancar senyuman manis
kerana menyedari tingkahnya mengelamun disedari mama tersayang.
“Sedap tak mee goreng tu?”
Pandai Ajmal mengalih topik perbualan. Datin Ira tidak menjawab, sebaliknya mencedok
mee goreng untuk Ajmal. Ajmal menjamah
mee goreng petang itu dengan penuh selera.
Biarpun hatinya penuh kekeliruan, namun dirinya tetap gembira dengan
fasa baru hubungannya dengan Datin Ira yang semakin pulih. Sedikit sebanyak dirinya telah memaafkan
Datin Ira.
“Kenapa tak ikut ayah main golf,sayang?”
“Golf? Tunggulah Ajmal tua
sikit,” Ajmal mula berjenaka dengan Datin Ira.
“Oo, ni belum tua lah ni? 28
tahun, dah boleh jadi ayah tau,” Datin Ira kembali kepada topik awal
sebelumnya.
“Mama suruh Ajmal kahwin cepatkah?
Kerja pun belum. Duit hantaran,
wedding ring dan semua-semua macamana?” Ajmal menyoal Datin Ira
bertalu-talu.
Datin Ira ketawa terkekeh-kekeh, dan akhirnya bersuara.
“Apa gunanya mama dan ayah ni, sayang?”
Ajmal tersenyum menyedari kebenaran kata-kata Datin Ira. Masalah yang timbul cuma satu kini, calon di
hatinya yang tidak mungkin dimiliki, Zara Sofea, tunang kepada adiknya
sendiri.
“Nantilah mama. If ada jodoh
tidak ke mana bukan?”
“Ajmal akan ke KL lusa, mama,” Ajmal menjelaskan rancangannya yang
tertunda disebabkan majlis kesyukuran yang dibuat oleh Datin Ira.
“Cepatnya sayang. Tinggal
dengan Iqram ke?” Datin sedikit ragu dengan rancangan anak sulungnya.
“Nak ayah bagitau kawan-kawannya di KL untuk senang Ajmal
interview?”
“Mama ni, Ajmal akan usaha sendiri.
Apa guna gelaran DR ni. Tak
naklah kacau Iqram, Ajmal dah cari apartment sendiri!”
Ajmal ketawa, diikuti oleh Datin Ira.
Bakal menemui peminat dlm bentuk novel pada end 2014,..hayati manifestasi cinta sesama manusia dr sudut pandangan peribadi penulis,..hehe
ReplyDelete