Friday, September 12, 2014

Agungnya Cinta-Bab 3
“ Ayah ni merepek or buat lawak?  Mama tau tak?” 
Iqram merenung lelaki berpangkat dato’ di depannya.  Dato’ Iskandar Hisham senyum kelat. 
“Janganlah bagitau mama.  Lain jadinya nanti.”
Pandai Iskandar memberikan jawapan kepada Iqram. 
“Nanti kita pergi berdua saja.”
Dato’ Iskandar kembali menerangkan rancangan mereka malam esok. 
“Tapi kalau Iqram tak suka, ayah jangan marah pulak!”
“Habislah tiada penyambung cinta itu nanti.” Kedengaran ketawa Dato’ Iskandar bergema di ruang banglo mewah di pinggir Bandaraya Ipoh.  Sungguh mesra seperti dua orang sahabat, bapa dan anak itu.

****
Sofea menarik langsir tingkap ke tepi.  Terserlah  pemandangan Bandaraya Ipoh yang penuh dengan kemajuan.  Sofea melihat mamanya sibuk mengeluarkan pakaian dari dalam beg.  Menggantung pakaiannya di dalam almari hotel. 
“Kita nak berjumpa siapa mama?” Sofea kembali mengulangi pertanyaannya kepada Baizura. 
“Tunggulah dinner malam nanti.” 
Sofea melihat jam tangannya.  Baru pukul 5.00 petang, masih terlalu awal untuk bersiap bagi makan malam yang istimewa. 
“Fea tidur dulu boleh?”
Sofea duduk di birai katil, bersiap mahu melabuhkan badan di tilam. 
“Okey, tapi before maghrib kena bangun!”
“Baiklah mamaku sayang!”
Sofea mencapai bantal lalu memeluknya erat.  Itulah tabiatnya apabila mahu tidur.

Baizura menghadap cermin, bersolek penuh gaya.  Sofea melihatnya dengan penuh ghairah. 
“Mama nak dating dengan siapa ni?”
“Bakal ayah mertua Fea!”
Baizura memandang Sofea menanti jawapan.  Sofea tidak mengendahkan kata-kata mamanya yang dianggap gurauan itu. 
“Handsome tak?” Sofea menjawab penyataan mamanya dengan pertanyaan nakal. 
“Dulu-dulu handsomelah bagi mama, la ni mama tak tahu.   Dekat dua puluh tahun tak jumpa.” 
“Fea make- up sikit, biar berseri anak mama.”
Baizura menarik tangan Sofea ke arah cermin.  Baizura mula menambah bedak dan gincu untuk memberi penampilan lebih menarik kepada Sofea.  Lagak Baizura seperti mak andam kampung sedang menyolek pengantin.  Sofea membiarkan sahaja Baizura berbuat demikian, terasa Baizura begitu menyayanginya.    
“Jom!”
Baizura mengejutkan Sofea yang mengelamun.  Dua orang anak beranak itu berangkat ke restoran hotel.  Sofea mengekori langkah Baizura yang agak laju, mungkin tidak sabar ingin menemui seseorang.

Sofea melihat  mamanya menuju ke sebuah meja yang telah tersedia dua orang lelaki sedang  leka berbicara.  Langkah Sofea  mengekori mamanya dengan lebih cepat supaya tidak jauh ketinggalan di belakang. 
“Zura, duduklah.”
Lelaki di dalam lingkungan usia Baizura memulakan bicara. 
“Fea!”
Satu suara memanggil Sofea. 
“Iqram!”
Cuma itu yang keluar dari bibir Sofea. 
Makan malam yang cukup indah bagi Baizura, Dato’ Iskandar dan Iqram, tetapi bagi Sofea satu makan malam yang penuh dengan kekalutan.  Iqram tersenyum puas memandang Sofea.  Sofea juga memandangnya.  Kenangan Minggu Silaturahim di Kolej Janda kembali bermain di  mata Sofea, dan dirinya juga masih memakai rantai tangan pemberian Iqram.  Tanpa penjelasan dari Baizura, Sofea cukup faham mengapa pertemuan malam itu diatur. 
“Bakal bapa mertua Fea!”
Ungkapan Baizura sewaktu di bilik hotel kembali terngiang-ngiang di telinga Sofea.  Tiga orang  berbual penuh meriah di depan Sofea, sedangkan Sofea penuh kekeliruan di dalam hati.  Wajah  Aiman Amirul terjelma di depan mata. 
Adakah pertemuan mama dan Dato’ Iskandar ini penamat kepada hubunganku dan Aiman Amirul?
Sofea merintih di dalam hati.  

Wajah Baizura terpancar kegembiraan apabila Iqram menerangkan telah cukup mengenali Sofea di asrama. 
“Habis tu, ayah akan mendapat menantu lah ni?” Dato Iskandar bersuara memandang Iqram yang mengunyah hidangan makan malamnya. 
“Tanya Fea?  Dia tu ramai peminat di asrama!”Jawapan Iqram ternyata mengejutkan Sofea. 
“Betul Fea?”Giliran Baizura pula menganggu ketenangan Sofea. 
“Mana ada, Iqram tu merapu!” 
“So, jadilah ni, RM 30,000?  RM 15,000 sorang?” Dato’ Iskandar bertanya diiringi deraian ketawa Baizura. 
“Ya lah, kita kongsi hantaran, harapkan depa, susahlah,”Baizura menjawab mesra.  
“Kita tunangkan mereka.” Dato’ Iskandar memandang Baizura, lalu memandang Iqram.  Iqram tersenyum.  Sofea tersenyum kelat memandang Dato’ Iskandar. 
Jadi inilah perjanjian cinta mama dengan Dato’ Iskandar.  Siap duit hantaran telah dipersetujui.  Apakah aku mempunyai pilihan lagi?
Hati Sofea semakin resah.  Wajah Aiman Amirul berselang-seli dengan wajah Iqram Haris bermain di matanya.  Apa yang berbeza, Iqram mempunyai begitu banyak peluang berbanding Aiman Amirul.  Aiman Amirul memiliki hati Sofea.  Namun, di dalam keadaan begini mampukah Sofea mempertahankan cinta mereka berdua?

****
           
Selepas pulang dari Bandaraya Ipoh dua hari lepas, Sofea melihat Baizura begitu gembira dan berseri-seri. 
“Mama akan dapat menantu!”
Itulah kata-kata Baizura yang tidak dapat dilupakan oleh Sofea.  Sofea mula mengenali cinta pertama Baizura yang membuat mamanya itu merana, dan kini dirinya bakal menjadi menyambung cinta tersebut. 
Iskandar Hisham?  Itulah lelaki yang paling mama cintai.  Cintaku pula?  Iqram Haris atau Aiman Amirul.  Bukankah aku telah memilih Aiman Amirul?  Mengapa nama Iqram Haris timbul?
Sofea bermonolog lagi. 
Sebenarnya Sofea cukup keliru.  Menyatakan tidak kepada Baizura adalah sesuatu yang sukar baginya, dan pasti tidak akan dilakukannya.  Melukakan Amirul?  Bagi Sofea cinta Amirul masih terlalu hijau untuknya. 
Boleh tak aku anggap Amirul, abang macam dulu?
Hati Sofea menyoal Sofea. 
 Ingatan Sofea terhadap Amirul terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Ada orang tu tak dapat lari dah!” Iqram bersuara riang di talian. 
“Iqram merepek apa ni?” 
“Sayang, ayah nak kita bertunang.”
Kata-kata Iqram membuat Sofea sesak nafas buat seketika. 
“Kita baru kenallah,” Sofea memberi alasan kukuh kepada Iqram. 
“Haha, mak dan ayah kita dah kenal hampir empat puluh tahun tau,” Iqram memberi penjelasan.  Sofea terdiam seketika. 
“Rindu Iqram tak ni?” Iqram bertanya setelah Sofea mendiamkan diri. 
“Rindulah,” Sofea menjawab lembut. 
“Iqram datang sana boleh?” 
“Buat apa pula?”
Sofea ternyata tidak bersetuju dengan rancangan nakal Iqram. 
“Jumpa Fea lah.  Nak pegang tangan,” Iqram semakin rancak berjenaka. 
“Fea bagitau dato’ nanti,” Sofea mengugut Iqram. 
“Hahaha…” Hanya ketawa Iqram yang kedengaran.  Di kesempatan perbualan itu juga Sofea memberitahu Iqram tentang rancangannya ke Melaka, menemui Bella.  Cuma Bella yang memahami perasaan Sofea ketika ini.  Kepada Bella lah akan Sofea luahkan segala gelora hatinya tentang rancangan mamanya dan Dato’ Iskandar yang mahu Sofea dan Iqram bertunang. 
“If Iqram rindu, Iqram turun ke Masjid Tanah jumpa Fea ya?”
Ayat terakhir dari Iqram sebelum perbualan berakhir petang itu penuh kasih-sayang bagi Sofea.  Sofea meletakkan telefon bimbit di meja.  Satu WhatsApp tiba. 
Rindu Mirul tak ni?” 
“Rindulah…”
Sofea segera membalasnya. 
Rasa bersalah terhadap Amirul datang menerpa di dalam diri Sofea.  Sewaktu berbual dengan Iqram tadi juga Sofea berkata rindu, kini begitu juga dengan Amirul. 
Apakah aku tergolong sebagai perempuan yang suka mempermainkan hati lelaki?
Sofea menyoal dirinya sendiri. 
Kepalanya kembali berserabut sama seperti  sebelum dirinya memilih di antara Iqram atau Amirul dahulu.

****
Bella tersenyum manis menerima ketibaan Sofea di Perhentian Bas Masjid Tanah.  Mereka berpelukan mesra.  Setelah memasukkan beg pakaian milik Sofea ke dalam kereta,  Bella memandu ke rumahnya.  Dua puluh minit berlalu, mereka tiba di rumah Bella.  Sofea memerhatikan Bella tidak seceria selalu.  Mulutnya juga tidak becok bertanya itu ini seperti biasa.  Sofea agak pelik dengan keadaan itu, lebih-lebih lagi setelah dirinya memberitahu bahawa Iqram adalah anak buah hati mamanya dan akan berlangsung pertunangan mereka tidak lama lagi. 
“Masuklah,” Bella bersuara lemah, mungkin kepenatan memandu. 
“Mana uncle?”
Mata Sofea melilau mencari kelibat ayah Bella, Uncle Ismail. 
“Dah keluar, malam nanti baliklah.” 
Tiba-tiba muncul seorang lelaki dari dalam rumah, tanpa menegur mereka berdua terus menghidupkan enjin kereta. 
“Siapa tu?” 
“Abang aku, gaduh dengan wife kut, dah dua hari balik sini.  Nak air tak ni?”   
“Naklah, air tembikai ya!”
“Sirap adalah!”
“Ala,..”
“Jadi macamana sekarang?  Siapa pilihan kau?” Soalan Bella agak tegas kepada Sofea.  Sofea dapat merasakan kelainan dalam diri Bella.  Sejak berada di dalam kereta bersama Sofea, Bella agak senyap dan kini agak tegas pula. 
“Kau kenapa ni?” Sofea menjawab pertanyaan Bella dengan pertanyaan juga. 
“Ayah nak kahwin lagi!” Bella menjawab dengan nada kecewa. 
“Hehe, baguslah, ada orang nak jaga makan minum uncle,” Sofea menjawab tanpa memahami perasaan Bella. 
“Tapi perempuan tu masih muda, janda age 36, aku tengok gedik.  Entah-entah nak ambil harta bapak aku,” Bella mengeluarkan segala yang terbuku di hatinya. 
“Ayoyo, sabar dulu.  Jangan terburu-buru buat tuduhan,”Sofea cuba menenangkan Bella yang baginya agak tertekan. 
“Kau dah jumpa ke bakal mak tiri kau tu?” 
“Belum, aku dengar mak cik-mak cik sebelah cerita saja!”
“O, gossip lah ni, cuba kau jumpa dulu perempuan tu.  Kenal-kenal.  Entah-entah nanti kamceng jadinya!”

Sofea merebahkan diri di katil Bella, melepaskan rasa penat kerana berada lama di dalam bas.  Bella menghilang ke dapur, mahu menyediakan minum petang istimewa untuk Sofea.  Sofea teringat akan telefon bimbitnya.  Gadis itu perlu memberitahu mama tersayang akan keadaannya yang selamat sampai di rumah Bella.  Ternyata Baizura gembira mendengar cerita dari Sofea mengenai Uncle Ismail yang mahu menikah sekali lagi.  Sempat juga Sofea bertanya bila pula giliran mamanya itu untuk berkahwin semula. 
“Mama dah senja, nak masuk malam lah sayang!”  
 Sofea sekadar ketawa mendengar jawapan mamanya itu. Sofea juga menghantar WhatsApp kepada Iqram dan Amirul tentang dirinya yang telah sampai ke Masjid Tanah, Melaka dengan selamat.  Tiba-tiba pintu bilik dibuka dengan kasar.  Sofea yang terkejut serta-merta bangun dari pembaringannya.  Abang Bella berdiri di muka pintu. 
“Sorry, Bella mana?” Lelaki tersebut bersuara kasar. 
Belum sempat Sofea menjawabnya, abang Bella berlalu pergi tanpa menutup pintu bilik.  Tingkah laku abang Bella sungguh menakutkan Sofea.

Sofea melangkah turun menuju ke dapur setelah dipanggil berulang kali oleh Bella.  Sofea melangkah laju, dengan melepaskan rambutnya yang ibarat alunan ombak dari belenggu tudung.  Sofea tiba di meja makan.  Abang Bella tersenyum sinis, sambil menghirup teh. 
“Duduklah, tuan puteri.  Laksa dari gerai mak cik di hujung jalan sana.” Bella meriuhkan suasana di dapur petang itu. 
“Oh ya, ni along aku, Azam,”Bella memerkenalkan abang sulungnya kepada Sofea.  Lelaki berumur 40-an di hadapan Sofea kembali tersenyum, menyerlahkan wajahnya yang berserabut. 
Macam lelaki bermasalah saja! Hati Sofea bersuara. 
“Cantik!  Siapa  nama?”Along Bella mula bersuara. 
“Sofea!”

Lewat senja itu Uncle Ismail pulang.  Bella menyambutnya dengan wajah mencuka.  Uncle Ismail tersenyum mendapatkan Sofea dan Bella yang rancak berbual di luar rumah. 
“Tak cakap dengan ayah pun Sofea nak datang,”Uncle Ismail meluahkan rasa hatinya kepada Bella. 
“Dah ayah sibuk bercinta,” Bella sempat memperli ayahnya di depan Sofea. 
“Malam nanti pukul 8.00 malam siap, uncle bawa makan di tempat istimewa ya.”
Uncle Ismail berlalu meninggalkan Sofea dan Bella. 
“Apa kata malam ni kau suruh uncle bawa bakal mak tiri kau,” Sofea ghairah memberi cadangan kepada Bella. 
“Tak ada maknanya,” Bella menjawab kasar. 
“Cik Bella oi, boleh kita nilai bersama perempuan ni sesuai or tak jadi mak kau!” 
“Betul juga kan?” Bella berkata sambil tersenyum.  

            Pagi itu di rumah Bella.  Sofea membuka tingkap luas-luas.  Menerpa hembusan angin pagi ke mukanya.  Sungguh nyaman sekali di pipi gebu Sofea.  Jam di dinding menunjukkan pukul 7.00 pagi.  Sungguh indah  suasana pagi di kampung Bella, dengan pohon buah-buahan di tepi rumah.  Seperti dusun idaman yang selalu diimpikan oleh Sofea.  Pohon rambutan di depan bilik Bella telah menguning, ingin sahaja Sofea mencapainya dari tingkap, tetapi gagal.  Ingatan Sofea terhadap Amirul menerpa secara tiba-tiba.  Sofea memikirkan apalah yang sedang dilakukan oleh Amirul di kampung.  Tentunya indah suasana perkampungan nelayan di negeri Terengganu kita itu.  Lelaki kelahiran Terenganu itu akan kembali ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan minggu depan.  Itulah yang telah diberitahu oleh Amirul kepada Sofea.  Amirul cuma akan berada di kampung selama dua minggu sahaja.  Satu  WhatsApp tiba. 
Morning my dear,.”
Sofea membalas juga pesanan WhatsApp dari Iqram itu.

Sofea mengimbau kenangan makan malamnya bersama Bella, Uncle Ismail dan bakal ibu tiri Bella.  Sotong goreng tepung kegemaran Sofea telah terhidang di atas meja.   
“Apa lagi Fea!”Suara Bella mengejutkan Sofea yang asyik memandang sotong goreng tepung tersebut. 
“Haa Sofea, jangan malu-malu,” bakal ibu tiri Bella turut mengusik Sofea.  Kenangan makan malam  bersama Uncle Ismail dan bakal ibu tiri Bella itu sememangnya cukup indah bagi Sofea.  Uncle Ismail membawa Sofea, Bella dan Aunty Hayati ke restoran nelayan yang cukup popular di Bandar Masjid Tanah.  Apa lagi, Sofea dengan segera memesan sotong goreng tepung kegemarannya.  Seperti cadangan Sofea kepada Bella, Bella telah menyuruh Uncle Ismail membawa Aunty Hayati turut serta.  Tentunya Aunty Hayati yang sedang angau dengan Uncle Ismail tidak menolaknya.  Agak muda usia Aunty Hayati berbanding Uncle Ismail.  Namun, bagi Sofea, Aunty Hayati masih mampu menjadi ibu dan isteri yang baik jika diberi peluang.  Itulah nasihat Sofea kepada Bella sebelum tidur malam itu. 
“Mana pula Bella ni?  Mandi?  Membeli sarapan?” Sofea berkata sendirian. 
Setelah mengejutkan Sofea solat subuh pagi itu, dia terus menghilang.

Sofea melihat jam di dinding, pukul 7.30 pagi.  Lama juga Sofea berkhayal mengingati makan malam yang berlalu dan bakal ibu tiri Bella.  Sofea menarik  malas tuala, lalu memegang tombol pintu untuk keluar ke bilik air.  Belum sempat Sofea memulas tombol tersebut, pintu bilik dibuka dengan kasar dari luar.  Sofea jatuh terduduk.  Abang Long Bella berdiri di muka pintu dengan muka meragukan.  Sofea cuba bangun, namun  Abang Long Bella dengan pantas memeluknya.  Sofea menjerit sekuat hati. 
“Bella!  Bella!  Tolong!” Dengan sekuat hati juga Sofea cuba melepaskan diri dari pelukan Abang Long Bella. 
“Along!” Bella muncul tiba-tiba.  Abang Long Bella melepaskan pelukannya.  Sofea menangis semahu-mahunya.  Bella memeluknya. Abang Long Bella berlari keluar.

“Betul kau nak balik ni?”
Bella mengulangi pertanyaannya yang entah kali ke berapa.  Sama seperti ucapan maafnya kepada Sofea akibat perbuatan Abang Longnya kepada sahabatnya itu. 
“Ya, mungkin kejap lagi Iqram sampai.”
Dalam kekalutan dan ketakutan menghadapi trauma perbuatan Abang Long Bella, Sofea cuma mampu memikirkan untuk pulang.  Menelefon mama tersayang tentunya bukan tindakan yang tepat.  Amirul?  Lelaki itu berada jauh di Dungun.  Sofea pasti Iqram calon yang tepat untuk menjemputnya pulang.  Sofea yakin Iqram masih berada di Ipoh.  Tekaannya tepat sekali, Iqram akan datang menjemput Sofea dalam beberapa jam.  Sewaktu Sofea menelefonnya dengan keadaan menangis, Iqram begitu cemas sekali. 
“Bagi alamat Bella cepat, Iqram datang sekarang!”
Tanpa bertanya lebih lanjut mengapa Sofea menangis, Iqram mahu segera menemui Sofea. 
“Jemput Sofea balik,” Sofea berkata bercampur dengan esakan.

Lewat tengahari kereta Vios Hitam menjalar memasuki perkarangan rumah Bella.  Sofea menunggunya di muka pintu.  Bella berdiri di sebelah Sofea dengan wajah bersalah. 
“Kenapa ni?”
Soalan pertama Iqram sejurus turun dari kereta.  Sofea tidak menjawab, hanya menghulurkan begnya kepada Iqram.  Iqram mengambil beg tersebut dan dimasukkan ke dalam kereta. 
“Iqram, maaf atas semua yang berlaku,” Bella tiba-tiba menjawab pertanyaan Iqram. 
“Cuba cerita kenapa ni?”Iqram semakin keliru mendesak Bella pula. 
Dari jauh kereta Uncle Ismail menjalar masuk ke perkarangan rumah Bella.  Uncle Ismail turun dari kereta.  Iqram bersalaman dengan Uncle Ismail. 
“Sofea tak apa-apa?” Uncle Ismail bertanya dengan nada penuh risau. 
“Fea tak apa-apa uncle, cuma nak balik,” Sofea menjawab perlahan. 
“Syukurlah, uncle minta maaf,” Uncle Ismail berkata perlahan.  Sofea hanya mengangguk.  Bella mula menangis.  Sofea berpelukan dengan Bella dan masuk ke perut kereta.  Iqram bersalaman dengan Uncle Ismail.  Uncle Ismail bercakap sesuatu dengan Iqram yang tidak didengari oleh Sofea.  Iqram masuk ke dalam kereta, memulakan pemanduan meninggalkan rumah Bella jauh di belakang.  Sofea mendiamkan diri. 
“Nak dengar lagu Anuar Zain tak?”
Iqram cuba menenangkan hati Sofea yang bergelora.  Sofea memandang Iqram, menghadiahkan sebuah senyuman pahit. 
“Nak!” 
Lantas berkumandanglah lagu ‘Bila resah’ nyanyian penyanyi kesayangan Sofea itu. 
“Fea lapar,” Sofea mulai merasakan keperitan perutnya.  Selepas peristiwa tersebut berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi, Sofea tidak menjamah sebarang makanan.  Kini hampir pukul 2.00 petang, patutlah perut Sofea berkeroncong.  Iqram tersenyum. 
“Sebelum makan, check make-up dulu,” Iqram bersuara nakal. 
Sofea lantas mengeluarkan bedaknya.  Melihat mukanya di cermin bedak tersebut.  Terdapat kesan tangisan yang ketara di mukanya, di samping tiada langsung bedak dan gincu.  Sofea mengenakan gincu dan bedak ala kadar. 
“Okey?”
Sofea bertanya kepada Iqram sambil memusingkan badannya. 
“Cantik sangat!” Iqram mengambil hati Sofea. 
Segera Sofea mencubit lengan lelaki tampan itu. 
“Mc Chicken lagi?”
Iqram bertanya sambil membelokkan kereta ke arah restoran Mc’ Donalds di pinggir jalan.  Sofea hanya tersenyum, Iqram telah memahami seleranya.

Sofea menikmati burgernya dengan penuh berselera akibat kelaparan.  Sungguh lazat rasanya apabila menikmati sesuatu hidangan apabila lapar.  Iqram memandang Sofea dengan senyuman, masih menanti cerita sebenar tentang perkara yang berlaku di rumah Bella. 
“Abang Long Bella cuba buat perkara tak baik pagi tadi, mujur Bella ada,” Sofea membuka cerita yang selama ini dinanti oleh Iqram.  Air muka Iqram berubah. 
“Jom kita ke rumah Bella semula, Iqram nak jumpa Abang Long Bella,” Iqram bersuara kasar. 
“Tak payah lah, Fea tak apa-apa,” Sofea memujuk Iqram. 
Iqram diam, namun riak mukanya masih marah.  Sofea menceritakan kejadian pagi itu dengan lebih terperinci bagi melegakan hati Iqram. 
“Syukurlah Fea tak apa-apa,”Iqram kembali tersenyum. 
Entah mengapa Sofea senang sekali melihat Iqram gembira begitu. 
“Jom, nanti lambat sampai rumah.”
Sofea mengajak Iqram beredar setelah menyedari jam menunjukkan pukul 3.30 petang.  Iqram mengangguk.  Mereka meninggal restoran Mc’ Donalds dan menuju ke kereta.  Telefon bimbit milik Sofea berlagu riang.  Amirul di talian. 
“Jawablah,” Iqram berkata setelah menyedari Sofea membiarkan sahaja telefon bimbitnya berbunyi. 
“Tak apalah, tak penting,” Sofea menjawab lembut. 
Namun mungkin nasib tidak menyebelahi Sofea.  Amirul menelefonnya semula. 
“Jawablah, kesian dia.”
Iqram seakan dapat menduga siapa yang menelefon Sofea. 
“Fea balik hari ini.” Sofea menjawab ringkas panggilan Amirul demi menjaga hati Iqram.  Pastinya Amirul keliru apabila Sofea tergesa-gesa pulang, sedangkan baru semalam tiba di rumah Bella.

Sofea tiba di rumah pada pukul 8.00 malam.  Sesuatu yang mengejutkan Baizura, lebih-lebih lagi melihat mata anak perempuannya itu terdapat kesan tangisan dan bersama Iqram pula.  Sofea berlari memeluk Baizura. 
“Ada apa ni?” Baizura terus menyoal Sofea. 
Tanpa menjawab soalan mamanya, Sofea berlalu masuk ke rumah.  Merebahkan diri di katil kesayangannya.  Hari itu ternyata merupakan hari yang sungguh memenatkan.  Otak Sofea ligat berfikir, apakah yang akan terjadi kepada dirinya jika Bella tidak muncul pagi itu?  Mujur Bella cepat pulang dari membeli sarapan, jika tidak sudah tentu Sofea akan menjadi mangsa lelaki liar tersebut.  Percutiannya di Melaka ternyata gagal meleraikan kekusutan fikiran, malah hampir mengundang bencana.  Mujur Allah masih menyayangi Sofea.  Pintu bilik diketuk.  Baizura masuk ke dalam bilik. 
“Mama dah tau segalanya, Iqram yang beritahu,” Baizura memberi penjelasan tanpa sebarang pertanyaan dari Sofea. 
“Oh ya, bakal menantu mama kirim salam.  Esok  pagi dia jemput kita untuk breakfast,” Baizura menyambung penjelasannya lagi. 
“Eh, Iqram tak balik?” 
“Penat katanya, esok baru balik Ipoh.” Begitu terperinci penjelasan Baizura, al-maklumlah bakal menantunya.

“Syukurlah Fea selamat.”
Baizura kembali fokus terhadap apa yang berlaku terhadap anak perempuan kesayangannya.  Telefon di ruang tamu berdering-dering. 
“Fea mandi, kemudian tidur ya.”
Baizura melangkah keluar dari bilik mendapatkan telefon yang berdering.  Sofea bergerak malas mengambil tuala dan bergerak ke bilik air.  Sofea merasakan satu nikmat apabila kedinginan malam bersatu dengan air paip mencucuri ubun-ubunnya.  Sofea terus menyanyikan  lagu Anuar Zain.  Lupa  sebentar dirinya terhadap apa yang telah berlaku.  Sofea memandang wajahnya di cermin, melihat sejauhmanakah dirinya benar-benar jelita seperti kata orang ramai. 
Semua ni berlaku kerana aku cantik?  Iqram Haris dan Aiman Amirul kejar aku pun sebab ini ke?
 
Selesai solat I’syak, Sofea kembali memikirkan kebenaran tentang kecantikannya yang sering diperkatakan orang.  Sejauhmanakah ianya benar?  Sofea mencapai telefon bimbit.  Tanpa salam, tanpa ungkapan rindu, Sofea menceritakan apa yang berlaku kepada Amirul. 
“Amirul tak marah Iqram jemput Fea tadi?”
“Tak sayang, yang penting Fea selamat.”
Pertama kalinya Amirul memanggil Sofea, sayang. 
“Betul sayang Fea?”
Sofea mencari kepastian terhadap panggilan sayang oleh Amirul. 
“Betullah!” lembut jawapan Amirul. 
“Bukti?”
“Lepas Mirul dapat kerja, kita bertunang,”Amirul menjawab penuh yakin. 
Sofea terdiam, memikirkan rancangan mamanya dan Dato’ Iskandar.  Sofea lebih risau memikirkan akan perasaan mamanya dari perasaan Iqram. Sofea yakin Iqram boleh mencari pengganti dirinya serta-merta jika terbongkar rahsia dirinya mencintai Amirul.  Sofea memutuskan talian apabila biliknya di buka dari luar. 

“Uncle Ismail call tadi,” Baizura memberi penerangan tanpa dipinta. 
“Fea cakap dengan siapa?”
“Menantu mama lah,” Sofea membohongi mamanya. 
“Okey, good night.”
Baizura menutup pintu bilik anaknya.  Telefon bimbit Sofea berlagu riang. 
“Maaf sayang, mama masuk bilik tadi.”Ayat pertama Sofea buat Amirul. 
“Bila nak bagitau mama?” Soalan yang tak mungkin  mampu dijawab ketika itu oleh Sofea. 
“Kalau dah jodoh tak ke mana,”Sofea mengusik Amirul. 
Kedengaran ketawa panjangnya di talian.  Selesai berborak dengan Amirul, Sofea mendapati terdapat pesanan WhatsApp dari Bella. Bella tidak henti-henti memohon maaf.  Sofea tidak pernah menyalahkannya atas apa yang berlaku, dan peristiwa itu tidak akan merosakkan persahabatan mereka.  Sedang Sofea memikirkan Bella, telefonnya berlagu lagi.    
“Dah tidur?” Soalan pertama dari Iqram. 
“Dah, tapi ada orang call, terpaksalah jawab,” Sofea menjawab dengan nada ceria. 
“Fea nak tanya sesuatu dengan Iqram, jawab dengan jujur,” Sofea membawa perbualannya dengan Iqram lebih serius. 
“Seriusnya bunyi, takut Iqram,” Iqram masih mahu bergurau. 
“Do you love me Mr. Iqram Haris Dato’ Iskandar?” Sofea bertanya penuh formal. 
“Yup!” 

Pagi itu di luar rumah Baizura.  Loceng ditekan oleh Iqram.  kelihatan  Iqram berdiri penuh gaya di luar pagar.  Sofea berjalan pantas membuka pagar untuknya.  “Citarasa aunty sama dengan Iqram ekh?” Iqram bertanya sambil menjeling kereta Vios Putih kepunyaan Baizura.  Sofea tersenyum. 
“Kebetulan saja kut!”
“Awal menantu mama sampai.”
Baizura  muncul. 
“Kan dah janji pukul 9.00 pagi dengan aunty malam tadi,” Iqram menjawab kenyataan Baizura sambil tersenyum.

Iqram telah pulang semula ke Ipoh.  Baizura juga telah masuk ke biliknya.  Sofea bersendirian di taman mini mamanya, membelai kuntum-kuntum  ros merah kesayangan Baizura. 
“Buat apa tu?”
Kedengaran satu suara yang agak asing bagi Sofea.  Sofea menoleh.  Aunty Ramlah tersenyum memandangnya.  Jirannya itu telah dikenali  lama, semenjak Sofea berpindah di rumah mamanya itu.  Seingat Sofea, seawal usianya 3 tahun, seperti yang dicerita  oleh Baizura kepadanya.  
“Tengok bunga mama,” Sofea menjawab ramah. 
“Siapa yang datang tadi?  Buah hati ekh?” Aunty Ramlah mula mencungkil rahsia.  “Kawan kat UM,” Sofea menjawab selamba sambil memetik sekuntum bunga ros merah, lalu bergerak  masuk ke rumah. 
“Bila nak tunang ni?” Aunty Ramlah sempat mengusik Sofea.  Sofea hanya tersenyum pahit.
****
Dato’ Iskandar menghirup teh panasnya.  Datin Ira mengambil seketul kuih seri muka kegemarannya.  Suasana petang itu cukup indah, redup dan nyaman. 
“Iqram ada bagitau awak apa-apa?” Dato’ Iskandar bersuara. 
“Tidak, pasal apa?” Datin Ira memandang wajah suaminya.  Lelaki yang dikenali sewaktu tahun kedua pengajiannya di universiti itu benar-benar berjaya memburu setiap impiannya, bercita-cita tinggi dan yang pasti begitu setia dengan cinta terhadap dirinya.  Sepanjang perkahwinan mereka melewati tempoh hampir 30 tahun, tidak pernah Iskandar curang kepadanya.  Datin Ira amat bersyukur memperolehi lelaki itu sebagai suami.  “Awak akan dapat menantu!” Kenyataan Dato’ Iskandar ternyata mengejutkan Datin Ira.  “Ha?  Iqram tak cakap apa-apa pun pada saya,”Datin Ira terkejut. 
“Abang dah jumpa budak tu,”Dato’ Iskandar memberi penjelasan. 
“Siapa dia?  Cantik?  Anak dato’ mana?”Bertubi-tubi soalan Datin Ira. 
“Kawan Iqram di UM.  Cantik  lah, anak cikgu, macam awak!” Dato’ Iskandar memberi penjelasan sambil menyindir isterinya.  Disebabkan tidak mahu melihat air mata Ira tumpahlah, dia melepaskan Baizura dua puluh tahun lalu.  Hatinya tiba-tiba sakit apabila Ira bertanya adakah Sofea anak dato’.  Ira lupa dirinya juga hanya seorang guru biasa sama seperti Baizura. 
“Nanti abang suruh Iqram bawa budak tu ke sini.”
Dato Iskandar bangun dan masuk ke dalam rumah.  Datin Ira diam membisu.

****
Panggilan dari Iqram sebentar tadi benar-benar mengganggu perasaan Sofea. 
“Lusa Iqram ambil tau, mama nak tengok Fea,”ceria sahaja suara Iqram di talian. 
“Nanti Iqram call aunty.  Ala  dia mesti setuju!”
Belum sempat Sofea menjawab apa-apa, Iqram terus lancar berbicara.  Keriangan Iqram jelas tergambar melalui nada suaranya yang riang. 
Benarkah lelaki berstatus anak dato’ ini mencintaiku?
Hati Sofea bersuara lemah setelah Iqram memutuskan talian.

Sofea melihat mamanya duduk termenung di ruang tamu.  Baizura mengukir senyuman tipis kepada Sofea. 
“Mama fikir apa tu?  Ha, ingat Dato’ Iskandar ya?” Sofea mengusik Baizura, lantas melabuhkan punggung di sebelahnya.  Baizura menarik hidung anaknya itu. 
“Mengapa tidak mama dan dato’ bersama kembali?” Entah mengapa Sofea berkata sedemikian kepada mamanya.  Baizura memandang tepat wajah Sofea. 
“Apa merepek ni?” Baizura seolah-olah tidak menyukai soalan Sofea. 
“Ya lah, cinta tak pernah mati, mama yang bagitau Fea,” kata-kata Sofea  benar-benar menarik perhatian Baizura. 
“Fea and Iqram sebagai penyambung cinta itu,” Baizura bersuara perlahan. 
“Mama masih mencintai Dato’ Iskandar?” Sofea mengajukan soalan cepu platinum buat mamanya.  Baizura tidak menjawab, hanya menghadiahkan sebuah senyuman yang sukar ditafsirkan oleh Sofea.

****
Sofea merasakan lagu  ‘Lelaki Ini’ nyanyian Anuar Zain makin menyesakkan apabila kereta yang dipandu oleh Iqram menghampiri sebuah banglo mewah di pinggir Bandaraya Ipoh.  Seperti melalui mimpi ngeri, Sofea akan bertemu musuh cinta mamanya, Datin Ira.  Alangkah indah jika gelaran datin itu milik mamanya, Datin Baizura.  Sofea tersenyum sendiri kerana menyedari semua yang berlaku adalah ketentuan takdir, bukan pilihan manusia.  Takdir yang menemukan dirinya dan Iqram di kampus Universiti Malaya, dan takdir juga yang membawa cinta dan perasaannya kepada Amirul. 
“Fea, turun cepat!”
Tergopoh-gapah Sofea meleraikan tali pinggang keledar, lalu turun. 
“Okey tak?” Sofea bertanya kepada Iqram sambil membetulkan letak tudungnya.
 “Tudung senget, tapi cantik,” Iqram menjawab diiringi ketawa panjang.

Memasuki ruang tamu banglo mewah seorang yang bergelar dato’.  Cukup indah dilengkapi perabot moden dan tentunya mahal.  Sofea terpesona dengan gambar keluarga yang tergantung megah di situ.  Dato’ Iskandar Hisham, Iqram Haris tentunya, seorang lelaki yang Sofea tidak kenali dan tentunya, Datin Ira. 
Cantik orangnya!   Adakah disebabkan kecantikannya Dato’ Iskandar memilihnya dan meninggalkan mama? Getus hati Sofea.
“Ini ke Sofea?”
Sofea dikejutkan oleh satu suara, dan segera menoleh.  Di belakang Sofea, berdiri seorang wanita bergelar datin.  Sofea menghulurkan tangannya dan disambut mesra oleh Datin Ira.
“Datin, nak minum petang di mana?” Seorang perempuan tiba-tiba muncul. 
“Di luar bik.”Datin Ira memberi arahan. 
Sedang Sofea tercari-cari ke mana perginya Iqram, Datin Ira bersuara. 
“Jom, kita ke sana.”
Sofea menuruti Datin Ira yang bergerak ke luar rumah, menuju meja yang terletak berhampiran kolam ikan yang nampak mewah.  Datin Ira duduk. 
“Duduklah, Iqram ke toilet rasanya!”
Datin Ira seakan-akan memahami keadaan Sofea yang tercari-cari Iqram. 
“Ambik course apa di UM?” Datin Ira mula menyelidiki latar belakang Sofea. 
“TESL, datin.”
“Lepas grad nak jadi cikgu macam mama?”
Sofea tersentak apabila perkataan ‘mama’ disebut.  Sofea memandang wajah Datin Ira, seolah-olah Sofea melihat wajah Datin Baizura di situ. 
Mesti Datin Ira tidak mengetahui Dato’ Iskandar juga mencintai mama.! Sofea berkata di dalam hati. 
“Sofea!” 
“Ya, ada apa datin?” Sofea menjawab gugup. 
Bayangan Datin Baizura lenyap. 
“Kita minum petang apa mama?”
Iqram muncul lalu duduk di sebelah Sofea.  Tanpa menunggu jawapan mamanya, Iqram bersuara lagi. 
“So, Datin Ira, how’s your future daughter in-law?” 
Sofea melihat Datin Ira tersenyum tipis, seperti terpaksa tersenyum. 
Entah-entah Datin Ira tidak suka aku.  Kalau macam tu, aku amat bersyukur. Hati Sofea berkata lagi. 
“Cantik!”
Kedengaran Datin Ira menjawab sepatah.

****
Baizura memandu tenang menuju Hotel Seri Malaysia.  Panggilan yang diterimanya sebentar tadi juga dijawab dengan tenang.  Pertama kali Baizura berbicara dengan Datin Ira, isteri Iskandar. 
“Saya Ira, isteri Iskandar, boleh kita berjumpa,” kata-kata Datin Ira sejam yang lalu masih terngiang-ngiang di telinganya.  Baizura tetap tenang menemui Datin Ira walaupun hatinya agak bergelora.  Mengapa mesti Datin Ira menggunakan perkataan isteri Iskandar, bukan mama Iqram?  Adakah Datin Ira mengetahui hubungannya dengan Iskandar?  Perlukah memberitahu Iskandar akan perkara ini?  Baizura  membelok ke arah parkir di depan kawasan hotel, lalu mencapai telefon bimbitnya.  Baizura menelefon Iskandar.

Baizura akhirnya duduk di hadapan Datin Ira.  Suasana restoran agak sunyi ketika itu.
“Saya mahu tahu hubungan Baizura dengan suami saya,” Datin Ira bersuara agak tegas.  “Kami kawan lama, kawan sekolah,” Baizura menjawab tenang. 
“Tipu!  Apa maksud penyambung cinta?  Iqram menyebutnya secara tidak sengaja,” Datin Ira terus mendesak bersama bukti.  Ternyata Datin Ira tidak percaya apabila Iqram berkata dia hanya bergurau sewaktu menyebut cintanya kepada Sofea adalah penyambung cinta Dato’ Iskandar. 
“Tidak mungkin hanya kebetulan mereka berdua bertemu di UM,” Datin Ira bersuara lagi setelah melihat Baizura tidak bersuara. 
“Ya, memang kebetulan mereka bertemu dan berkawan,” Baizura memberi penjelasan.  “Saya tidak suka hidup di dalam pembohongan Baizura,” Datin Ira kembali bersuara.  Baizura serba salah, perlukah mengungkit kisah dua puluh tahun dahulu?  Kisah dirinya yang hampir menjadi isteri Iskandar?  Perlukah?  Atau hanya menceritakan peristiwa empat puluh tahun dahulu, peristiwa dirinya dan Iskandar hanya sekadar kawan sekolah.  “Baizura, tolonglah, saya hanya mahu tahu kebenaran.  Saya berhak untuk tahu.” Suara Datin Ira yang tegas kini berubah seakan-akan merayu. 
“Iskandar lebih cintakan awak, tidak mahu melihat air mata awak mengalir.  Lagi pun peristiwa itu dua puluh tahun yang lalu,”akhirnya Baizura bersuara.  Wajah Datin Ira berubah, bergenang air mata di matanya. 
“Kenapa Ira menangis?   Awak tetap pilihan Iskandar, bukan saya.  Saya gagal meraih cinta Iskandar walaupun sebagai isteri keduanya,”Baizura melepaskan apa yang terbuku di dalam hati.  Tangisan Datin Ira makin lebat. 
“Jika Iskandar tidak mencintai awak, tidak mungkin ada perkataan penyambung cinta yang keluar dari mulut Iskandar, Baizura.”
Datin Ira memandang wajah Baizura.  Mereka saling berpandangan. 
“Untuk apa mengungkit kisah lama Ira, sekarang kisah Iqram dan Sofea.” Baizura kembali mengukir senyuman yang tawar. 
“Bukankah cinta tidak pernah mati Baizura.” Datin Ira mengeluarkan falsafah cintanya.  Baizura tersenyum lagi, falsafah cinta yang sama dengan falsafah cintanya. 
“Cinta tidak bermaksud bersama, tidak semestinya memiliki Datin Ira,” Baizura membalas huraian falsafah Datin Ira. 
“Baizura masih mencintai Iskandar?”
Baizura membiarkan soalan Datin Ira tidak berjawab.

****
Dato’ Iskandar memasukkan peralatan golf miliknya ke dalam bonet kereta.  Ternyata permainannya petang itu tidak menentu setelah menerima panggilan dari Baizura. 
“Ira di Kulim, nak jumpa I.  You tau why?”
Panggilan Baizura itu agak memeranjatkan.  Dato’ Iskandar tidak sangka Ira bersungguh-sungguh mahukan kepastian, sehingga berjumpa Baizura.  Ini semua gara-gara Iqram terlepas cakap. 
“Iqram nak teruskan kesinambungan cinta ayah!”
Ternyata kenyataan tersebut mengundang seribu pertanyaan bagi Datin Ira.  Puas Dato’ Iskandar menjawab pertanyaan Datin Ira.  Sudah tentu jawapannya bahawa Baizura adalah kawan lamanya di sekolah menengah tidak diterima oleh Ira. 
“Apa maknanya ni, bang?  Betulkah mereka bertemu di UM?  Atau abang yang mempertemukan mereka,” Ira mengasaknya dengan pelbagai tuduhan. 
“Abang hampir berkahwin dengan perempuan itu.  Abang tipu saya selama ni, saya percaya cuma saya yang abang cintai selama ini,” Ira mula menangis.  Itulah senjata wanita bagi Iskandar.  Disebabkan senjata itulah Iskandar mengenepikan Baizura dua puluh tahun yang lalu.  Iskandar melepaskan keluhan yang berat.  Perlukah Ira mempersoalkan hatinya lagi dalam usia begini, sedangkan seluruh hidupnya diserahkan kepada Ira.  Apapun perasaannya terhadap Baizura kini, hanya dia yang mengetahui.  Iskandar yakin Baizura juga tidak mengetahui perasaannya terhadap dirinya kini.  Biarlah menjadi rahsia.  Iskandar cuma berharap Ira pulih dari kesangsiannya apabila pulang menemui Baizura.


Sofea membaca e-mail yang dikirim oleh Amirul.  Amirul telah kembali berada di Kota raya Kuala Lumpur, kembali meneruskan impian hidupnya mencari pekerjaan di ibu negara itu.  Sofea mendoakan agar cita-cita Amirul tertunai.  Bagi Sofea, sememangnya Kuala Lumpur merupakan tempat istimewa di hatinya.  Di situlah cita-cita dan cintanya bersemi.  Namun,  Sofea tidak mampu melihat lebih jauh cinta itu berkembang mekar. 
Perlukah aku berterus-terang dengan Amirul tentang  apa yang berlaku di antara aku dan Iqram?  Atau pun aku berterus-terang dengan mama kewujudan Amirul.
Hati Sofea bergelora lagi.  Saatnya akan tiba juga di mana Sofea akan membuat pilihan.  Pasti ada yang terluka, samada Aiman Amirul, Iqram Haris, Baizura atau pun Sofea sendiri.

Sofea kembali merindui sahabat baiknya, Bella.  Ternyata peristiwa ngeri yang berlaku mengguris juga luka di hati Sofea, sekaligus mencarik luka persahabatan mereka.  Kesedaran timbul di dalam diri Sofea, Bella tidak langsung bersalah di dalam hal itu.  Malah Bella yang menyelamatkan dirinya.  Sofea segera menghantar ‘personal message’ di dalam ‘inbox facebook’ Bella. 
Bela sayang bucuk,
Rindu aku tak?  Tolonglah aku…Perlukah berterus-terang dengan mama?  Atau berterus-terang dengan Amirul or Iqram…”
Sofea kembali kepada laman ‘home’ facebooknya.  Kebosanan dirasakan oleh Sofea dengan ‘status-status’ remeh kawan-kawannya.  Sofea menjenguk Amirul di facebooknya.  ‘Status’’ masih single.’  Sofea tersenyum sendirian, apabila memikirkan bilakah Amirul akan menukar statusnya itu.  Bagaimana pula dengan Iqram?  ‘In relationship’. 
Siapa pula yang malang berkawan dengan Iqram ni? Opps, ini mesti aku yang dimaksudkan oleh Iqram! Sofea tersenyum sendiri. 
Deruman enjin kereta di luar rumah mengejutkan Sofea.  Sofea melihat mamanya tergesa-gesa keluar setelah mendapat panggilan telefon tiga jam lalu.  Tanpa memberitahu tujuannya keluar, Baizura meninggalkan Sofea keseorangan di rumah. 
“Buat apa?”
Baizura muncul di muka pintu bilik Sofea yang sememangnya terbuka. 
“Layan Facebook,” Sofea menjawab sambil tersenyum. 
“Dua minggu lagi Fea bertunang!” Baizura tersenyum tipis.  Sofea tenggelam punca,  tersenyum kelat kepada mamanya.  Bayangan wajah Amirul muncul.

Sofea kembali keseorangan di dalam bilik setelah mamanya beredar.  Pertemuan Baizura dengan Datin Ira sebentar tadi membawa kepada pertunangan Sofea dengan Iqram dalam tempoh dua minggu. 
Mengapa secara tiba-tiba Datin Ira bertemu mama, dan sanggup turun dari Ipoh menemui mama?  Aku boleh melengahkannya, pasti boleh! 
Segera Sofea mencapai telefon bimbit.  Sofea memegang telefon bimbitnya lama, tidak tahu untuk menelefon siapa.  Sofea benar-benar keliru.  Sofea akhirnya menekan nombor  Amirul. 
“Assalamualaikum sayang, rindu ekh?” Suara Amirul di talian tetap indah didengar seperti selalu.  Sofea tidak sanggup untuk merosakkan keriangan Amirul. 
“Tadi Mirul pergi interview, mungkin dapat,” Amirul terus bercerita gembira.  Sofea membatalkan niatnya untuk berterus-terang mengenai Iqram dan rancangan pertunangan yang telah diatur. 
“Fea rindu Mirul!” Cuma itu yang terkeluar dari mulut Sofea. 
“Hari pertama Fea tiba di UM nanti, Mirul datanglah kolej.” Nada suara Amirul tetap ceria.   Sofea merasa begitu sebak.  Air matanya mula menitis.  Amirul di talian sudah pasti tidak dapat melihat kesedihannya. 
“Fea selsema, sayang.”
Ungkapan Sofea itu sudah cukup membuat Amirul yang lurus percaya, sedangkan sebenarnya Sofea sedang menangis.

Pilihan kedua, Sofea menelefon Bella pula. 
“Kau terpaksa juga bagitau aunty,” Bella bersuara seakan memberi arahan. 
“Tapi,..aku tak sanggup lukakan hati mama, impian mama,” Sofea bersuara lemah.  “Bolehkah kau mencintai Iqram?  Melupakan Amirul?”
“Satu sahaja cara, kau bagitau Iqram, biar dia batalkan rancangan pertunangan tersebut,” Bella memberikan idea yang cukup bernas kepada Sofea.

Sofea kembali keseorangan memikirkan masalahnya.  Sofea memikirkan cadangan Bella, yang agak rasional untuk dilaksanakan.  Namun, memberitahu Iqram sama seperti memberitahu mamanya juga, meranapkan impian mama tersayang yang mahu meneruskan kesinambungan cintanya. 
Perlukah aku mengorbankan Amirul demi memenuhi impian mama? Hati Sofea bertanya keras.  Wajah Baizura dan Amirul silih berganti di depan Sofea.  Di dalam kekalutan itu, Sofea mencapai telefon bimbitnya
“Iqram, call Fea..” 
Telefon bimbit Sofea berlagu riang.  Iqram tidak mengambil masa yang lama untuk menelefon Sofea. 
“Masih terlalu awal untuk bertunang.”
Ayat pertama Sofea kepada Iqram tanpa memberi salam.  Hanya terdengar gelak tawa Iqram di talian. 
“Iqram suka saja cadangan mama kita.”
Ungkapan Iqram seperti mahu menambah kekalutan Sofea. 
“Fea tidak pasti dengan perasaan Fea.”
Sofea meluahkan rasa hati walaupun rasanya kurang tepat.  Sepatutnya  Sofea membuat pengakuan tidak mencintai Iqram.  Gelak tawa Iqram terhenti. 
“Apa maksud Fea?”Suara Iqram bernada serius tiba-tiba. 
Sofea kalut tiba-tiba. 
“Bukankah kita masih belum cukup mengenali,” Sofea berdalih memberi alasan. 
“Do you love me?” Giliran Iqram memerangkap Sofea dengan soalan cepu emasnya. 
“Fea sayang u.”
“Fea faham soalan Iqram tak?  Maksud Iqram cinta.”
“Kena jawab ke?”
Sofea cuba membawa perbualan mereka lari dari perbincangan yang serius.  Tiada jawapan dari Iqram. 
“Nak Fea pakai baju colour apa masa tunang?”
Sofea mengambil hati Iqram yang mungkin terluka.  Iqram masih diam. 
Susahnya pujuk lelaki dalam phone!
Sofea merungut di dalam hati. 
“Okey, if tak nak cakap, tak payah lah tunang.”
Sofea masih memujuk hati Iqram sedangkan hatinya sendiri bergelora luka. 
“Biru, colour kesukaan ayah,”Iqram menjawab lembut. 
Biru?  Patutlah Dato’ Iskandar tersenyum apabila melihat mama berbaju biru.  Mama, aku akan tunaikan cintamu, kerana engkau lebih berharga berbanding cintaku! 

****
Baizura memandang wajahnya di cermin.  Memandang wajah yang semakin dimamah usia.  Jelmaan wajah Ira muncul di dalam cermin.  Wajah lembut itu kini menghantui fikirannya.  Kecantikan Ira masih tersisa walaupun telah dimamah usia sepertinya.  Ira jauh lebih menawan berbanding dengan dirinya.  Ya, Ira jauh lebih cantik.  Baizura sedar, atas kecantikan itu juga Iskandar memilih Ira sewaktu di kampus USM dulu.  Siapa tidak mengenal cinta kampus, cinta yang berbayar dengan paras rupa.  Tidak perlu lagi Baizura menepis kenyataan itu demi menjaga hatinya sendiri.  Hatinya telah lama remuk, tiada apa yang mampu menyelamatkan keadaan itu.  Mengapa hatinya begitu luka melihat Ira, walaupun Ira menangis di depannya.  Tiada secebis simpati untuk Ira, yang telah memperoleh kebahagian berpuluh tahun bersama Iskandar, sedangkan dirinya menjadi perindu malang yang tiada noktah. 
“Saya terima Sofea, if dia pilihan Iqram.”
Kata-kata Ira masih jelas di ingatan, dan bisa kata-kata itu juga masih ada.  Angkuh kata-kata Ira membuat hatinya yang remuk berkecai-kecai.  Namun demi Sofea yang mencintai Iqram, dia masih mampu tersenyum lemah, membuang semua kaca-kaca yang berserakan di dasar hati.  Baizura menyedari kesilapan dirinya, masih merindui Iskandar berpuluh tahun walaupun sebenarnya Iskandar telah membuangnya dua puluh tahun yang lalu.  Sesungguhnya cinta di hati Iskandar tidak pernah hadir untuk dirinya.  Cinta pertama yang Baizura bangga-banggakan selama ini kini mengheret Sofea pula.  Perlukah Sofea meneruskan kesinambungan cintanya dengan mencintai keturunan lelaki pendusta itu?  Mengapa Iskandar tidak berterus-terang tidak pernah mencintainya?  Mengapa perlu memberikan Ira sebagai alasan.  Mengapa?  Baizura merasakan dirinya ingin lari dari Iskandar dan Iqram, lari dari bayangan Ira.

****
Sofea menghitung hari pertunangannya dengan Iqram yang semakin tiba.  Hari-hari terakhir hubungannya dengan Amirul masih cukup indah dirasakan.  Setiap hari ditemani pesanan WhatsApp Amirul, bercerita tentang rindu yang tidak mungkin terhenti antara mereka.  Sofea tidak tahu bilakah dirinya mampu berterus-terang dengan lelaki yang dicintainya itu. 
Sudah lama aku tidak menatap wajahnya, masih redup lagikah pandangan matanya, masih harum lagikah wangian ‘Aramis’ yang dipakainya?
Hati Sofea ternyata belum melepaskan Amirul. 
“Fea, Iqram dah sampai!”
Suara mama tersayang mengejutkan lamunan Sofea. 
“Mama nak ikut?” Sofea bertanya manja kepada mamanya.  Sebenarnya, Sofea tidak mahu mewujudkan suasana romantik di antara dirinya dan Iqram sewaktu membeli cincin pertunangan mereka. 
“Isk, kacau daun sahaja nanti.”
Baizura menolak lembut ajakan Sofea sambil mencuit pipi anaknya itu.  Sofea lihat mamanya tidak seghairah  seperti sewaktu bertemu Dato’ Iskandar dan Iqram dahulu.  Selepas pulang membawa berita pertunangannya akan dilangsungkan, Baizura kerap menyepikan diri dan jarang berbual dengan Sofea, seolah-olah tidak gembira dengan apa yang dirancangnya sendiri selama ini.  Apabila Sofea cuba mengorek rahsia pertemuannya dengan Datin Ira, Baizura hanya tersenyum hambar.  Apabila nama Dato’ Iskandar disebut oleh Sofea, Baizura cepat-cepat menukar topik perbualan. 
Bergaduhkah mama dengan lelaki pujaannya?
Sofea membiarkan soalan dari hatinya sepi tanpa jawapan.

Cincin platinum bersama sebutir berlian dari Tomei tersarung indah di jari manis Sofea.  Iqram tersenyum menyarungkan cincin tersebut disaksikan jurujual yang bertugas. 
“Fea pakai sampai rumah, baru bagi ekh!”
Sofea melihat riak-riak bahagia di wajah Iqram.  Sofea mengangguk tanda setuju.  Mengapa bukan Amirul di depanku?  Mengapa?  Mama, Fea tidak bahagia!
Hati Sofea merintih.


No comments:

Post a Comment