NOVEL AGUNGNYA
CINTA (VERSI BARU-BAKAL TERBIT END 2014)
Bab 1
Khursiah, Kolej bergelar Kolej Janda itu akhirnya dijejaki juga oleh
Zara Sofea, malah telah dihuninya.
Setelah mengharungi Minggu Silaturahim yang memenatkan, akhirnya Sofea
berjaya juga terpilih untuk tinggal di kolej.
Disebabkan mempunyai tiga buah block bangunan untuk siswi dan sebuah
sahaja untuk siswa, kolej tersebut mendapat gelaran Kolej Janda. Bagi Sofea perkara tersebut merupakan satu kelebihan. Ramai siswi dari siswa, tidaklah ramai makhluk Tuhan bernama
lelaki. Mengganggu sahaja. Ternyata Sofea tidak teruja berada di tempat
yang dihuni oleh ramai lelaki. Mungkin
benar kata kawan-kawannya di sekolah dulu, Sofea membenci lelaki.
Betulkah begitu? Ah, perlukah
mereka di waktu-waktu begini? Saat
penting seorang remaja dalam menentukan masa depan di dunia ini. Apa pun terima kasih Kolej Jandaku, kerana
membenarkan aku tinggal di sini. Jika
tidak, mama pasti terpaksa turun ke Universiti Malaya semula mencarikan ku
rumah sewa. Biarkan mama tersenyum lebar
di rumah setelah berjaya menghantar aku ke sini. Tidak perlu aku mengganggunya buat sementara
waktu!
Omel Sofea di dalam hati.
Sofea masih ingat, seawal usianya tujuh tahun, mamanya selalu bercerita
tentang zaman mudanya di UM. Bajunya
yang tidak bergaya kerana berasal dari kampung, tidak cantik, dan fakulti mamanya
itu yang tidak popular di universiti tertua tanah air tersebut. Bagi Sofea, mamanya terlalu merendah
diri. Sofea melihat mamanya itu tetap
cantik, dan yang paling penting mamanya merupakan seorang wanita yang
tabah. Membesarkan dirinya seorang diri
seawal usia Sofea tiga bulan, sedangkan mamanya adalah anak bongsu yang
langsung tidak mempunyai pengalaman menjaga bayi. Bersyukur Sofea kepada Allah,
mamanya berjaya mengharunginya juga.
Bayi comel, berkulit putih dan bermata sepet itu kini telah dewasa,
menjadi kegilaan ramai lagi. Opps, itu
bukan pengakuan peribadi Sofea, sebaliknya kata-kata Baizura, mama Sofea yang
berkata begitu. Mujurlah Sofea tidak
tewas dengan pujian mamanya yang melangit itu.
Apalah ertinya kecantikan fizikal tanpa akal yang tajam. Sofea tetap menganggap kepintaran akal lebih
penting bagi mengharungi hidup di dunia.
Inilah yang dikejar oleh Sofea, ilmu di bumi Universiti Malaya
kebanggaan mamanya. Kejayaan mama yang
jelas di mata Sofea, berjaya membesarkan dirinya dan meletakkan Sofea di
Universiti Malaya, di gedung ilmu terkemuka. Bukankah itu satu kejayaan besar
seorang wanita? Ayah? Miskin?
Adakah itu alasan baginya mengelak sebuah tanggungjawab membesarkan Sofea.
Sofea berlari anak meninggalkan kolej.
“Jogging ke?” Usikan abang-abang senior tidak dihiraukan. Sofea pasti mereka merupakan pelajar senior,
tidak mungkin pelajar junior sepertinya berani berjenaka seperti itu. Sekejap sahaja berlari, Sofea sudah tiba di
Fakulti Sastera. Niat hati Sofea ingin
melewatinya sahaja untuk ke Kompleks Perdana Siswa. Entah mengapa kakinya
membelok memasuki fakulti tersebut.
Melalui bahagian belakang Fakulti Sastera, terlihat oleh Sofea dengan
gahnya Dewan Kuliah F yang popular.
Selain merupakan dewan kuliah terbesar, ia juga dikenali oleh warga
fakulti lain yang menumpang menghadiri kuliah di dewan tersebut. Melewati DKF, Sofea bergerak ke arah Dewan
Kuliah B dan C sebelum berjumpa tempat yang ditujunya, Dataran Sastera. Sofea melihat dari jauh Dataran Sastera
yang menjadi tumpuan ramai, tempat di mana mamanya selalu melepak bersama
kawan-kawan. Sofea masih ingat cerita
mamanya. Jika berjalan seorang diri di situ, perlukan keberanian, banyak mata
memandang. Jika tidak mempunyai
keyakinan jangan melewati Dataran Sastera itu, tentu malu. Itu pesan mama kepada Sofea. Tapi di petang Ahad itu, ia kosong dan sunyi. Sofea boleh menikmati pemandangan di segenap
ceruk ruang tanpa rasa malu.
Apalah yang mama malukan sangat bila ada yang memandang?
Sofea tersenyum sendiri mengingati pesanan mamanya. Di atas Dataran
Sastera merupakan pejabat pentadbiran fakulti tersebut, sementara di tepi
sebelah kanan adalah kantin Fakulti Sastera di mana Sofea pernah menjamu selera
di situ. Selain kenangan mama dan Sofea
sendiri pernah menjamu selera di situ,
fakulti pengajian Sofea berada bersebelahan dengan kantin tersebut iaitu
Fakulti Pendidikan.
Angin petang yang bertiup, menyapa lembut wajah Sofea. Hembusan segar angin tersebut, memberi ketenangan yang
tidak mampu dihuraikan oleh gadis cantik itu.
Dataran tersebut merupakan tempat terbaik siswa dan siswi melepak menanti
kelas seterusnya. Di situlah mereka
berborak, bersenda gurau dan ketawa jika tidak ke perpustakaan mencari bahan
bagi menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Pilihan lain tentunya melepak di kantin. Semua cerita mamanya masih segar di ingatan Sofea,
dan ianya seakan-akan hidup di depan matanya kini. Sofea seperti melihat bayang-bayang mamanya berlegar-legar
di depan mata.
Alangkah indahnya jika dapat melihat mama sewaktu zaman mudanya di sini!
Hati Sofea bersuara lagi.
Sofea mempercayai segala kata-kata mamanya sepenuh hati, namun satu
perkara yang masih diraguinya.
Kekurangan diri mamanya. Bagi
mama dirinya sewaktu muda tidak cantik, tidak secantik Sofea. Itu merupakan satu perkara yang tidak mampu
Sofea percayai. Jika benar mamanya tidak
cantik sewaktu muda, mengapalah wajah mama masih kelihatan jelita di mata Sofea.
“Mama mesti bohong kat aku ni.
Saja nak buat aku perasan!” Sofea bersuara perlahan. Mungkin mamanya cuma mahu merendah diri, gembira
melihat Sofea ketawa terkekeh-kekeh geli hati dengan pujian yang diberi. Bukankah satu kegembiraan seorang ibu melihat
anaknya ketawa gembira?
Mama, aku sayang
kepadamu. Sungguh!
Kehangatan pelukan mama seakan-akan datang menguasai Sofea, menyeret
Sofea ke lembah kerinduan yang amat dalam kepada mamanya. Inilah kali pertama Sofea berada berjauhan dengan
mama tersayang. Di sinilah mama
kesayangan Sofea berada selama empat tahun, memburu cita-cita murni menjadi
pendidik bangsa. Ternyata impian mamanya
itu telah tertunai, namun Sofea percaya ada impiannya yang tidak pernah
tertunai. Cinta agung mamanya. Walaupun mamanya agak berahsia, tetapi dalam usia
menuju kedewasaan, Sofea sudah cukup mengerti segalanya.
Sofea menjeling jam tangannya.
Jarum jam menunjukkan pukul 5.30 petang.
Hampir setengah jam Sofea tenggelam bersama kenangan mamanya di situ. Ataupun sebenarnya tenggelam dalam kerinduannya terhadap mama tersayang. Sofea meneruskan larian anak menuju ke
perpustakaan utama, melewati kawasan parkir kereta dan motosikal mahasiswa,
menuju ke bahagian pintu utama perpustakaan.
Niat di hatinya mahu menyedut udara segar di kawasan perpustakaan utama,
namun Sofea membatalkannya apabila teringat kepada tasik kesayangannya. Untuk
sampai ke tasik kesayangannya itu, Sofea harus melalui Kompleks Perdana
Siswa. Sewaktu berdiri di pinggir jalan
untuk melintas ke Kompleks Perdana Siswa , sebuah Vios hitam bergerak perlahan
di depannya. Sofea cukup mengenali
pemandu tersebut, mahasiswa kegilaan ramai di Kolej Janda. Tanpa mempedulikannya, Sofea melintas menuju Ke Kompleks Perdana Siswa, meninggalkan
perpustakaan utama tempat mamanya mengintai abang-abang senior kacak
belajar. Cerita dari mamanya menjelma
lagi di kotak fikiran Sofea. Sewaktu
tahun pertama pengajian lagi mama sudah mula berjinak-jinak dengan
perpustakaan, menanti kelas seterusnya di perpustakaan, mencari bahan bagi
tugasan dan yang paling indah tentunya mengintai abang-abang senior yang kacak. Sofea tersenyum sendiri mengingati cerita
mamanya itu.
“Mama oh mama,” mulut munggel Sofea memanggil mamanya.
Sofea berlari lagi melewati Kompleks Perdana Siswa, menuju arah
belakang bangunan bernilai jutaan ringgit itu.
Tujuannya kini pasti, menuju tasik.
Sofea tidak keseorangan di
kawasan tasik nan indah itu. Ramai yang berjogging sepertinya petang itu. Walaupun ramai yang menghayati ketenangan
tasik, namun yang merindui mama masing-masing seperti Sofea mungkin Sofea
seorang. Melihat air tasik membawa ketenangan yang tidak ternilai kepada Sofea,
walaupun tasik tidak seindah pantai yang mempunyai deruan ombak dan pasir
memutih. Sofea menghentikan larian,
berjalan ala-ala itik pulang petang, menyedut udara petang yang syahdu. Tiba-tiba ingatan tentang mamanya begitu
mendesak. Fakulti di depan tasik itu! Ya, Fakulti Kejuruteraan itu penah menjadi
sebutan mama apabila mama bercerita tentang zaman mudanya kepada Sofea. Mama pernah berkata cinta kampus memang
indah, namun tiada kesudahan yang baik buat mama. Sofea menduga
mungkin orang yang mama cintai pernah berada di fakulti itu dulu. Jika benar tentu lelaki itu lelaki kebanggaan
mama. Mama mengagumi lelaki bijak, sudah
pasti lelaki itu mahasiswa Fakulti Kejuruteraan. Sofea begitu pasti.
Jam di tangan menunjukkan pukul 6.00 petang. Kerinduan Sofea terhadap mama tersayang
begitu menggoda jiwanya.
“Apalah yang mama buat sekarang ni?” Sofea bertanya kepada angin
lalu.
Sebagai guru pencen, sudah pasti mama dengan bunga-bunga ros kesayangannya.
Selain Sofea, bunga ros sememangnya mempunyai tempat istimewa di hati mamanya
itu. Setiap pagi dan petang setelah
meninggalkan kerjaya sebagai guru, mama kesayangan Sofea akan menghabiskan masa
di taman mini di tepi rumah. Selalu Sofea melihat mamanya menghidu harum
pagi bunga ros. Wangi dan segar
katanya.
“Call mamalah,” Sofea berkata tiba-tiba. Nokia C3 pemberian mamanya dikeluarkan dari
poket seluar.
“Ya, busuk mama, rindu mama?” Kedengaran suara Baizura di
talian.
“Ada siapa yang istimewa di Fakulti Engineering mama?” tanya Sofea
spontan. Hanya kedengaran gelak tawa
Baizura di hujung talian. Baizura tidak
menjawab pertanyaan anaknya itu, sebaliknya menyuruh Sofea segera pulang ke asrama
sebelum Maghrib setelah Sofea memberitahu dirinya berada di tasik. Baizura cuba berahsia, tapi sampai bila? Sofea akan tetap membongkar cinta agung mamanya
itu. Cinta yang menjadikan Baizura
seorang perindu malang. Tapi malang
ke? Sofea melihat mamanya gembira sahaja
tanpa cinta. Tapi hati mamanya? Siapalah yang tahu.
Sampai di bilik jam menunjukkan pukul 6.45 petang. Bella, teman sebilik Sofea tersengih-sengih seperti
kerang busuk memandangnya.
“Kenapa ni?” Sofea bertanya laju, rimas dengan senyuman Bella.
“Nah, ambil ni.” Bella menghulurkan kertas kecil berlipat kepada
Sofea. Sofea membukanya.
“ Wasap saya, plz, 019-2925938”. Ringkas tulisannya .
“Siapa pulak ni?”
“Abang Iqram kesayangan engkau lah!”
Jawapan Bella benar-benar menyakitkan hati Sofea. Terbayang wajah Iqram Haris, pelajar semester
akhir Fakulti Undang-undang yang menjadi kegilaan ramai di mata Sofea.
Bukan tadi aku baru nampak keretanya? Vios hitam itu. Apa pulak dia nak ni? Ganggu aku?
Tarik perhatian aku? Iqram Haris
Dato’ Iskandar Hisham! Idamanlah sangat
ya?
Segalanya tentang Iqram berpusat di depan mata Sofea. Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham sememangnya
cukup dikenali. Masakan tidak, dengan
penampilan ala-ala model, berkulit putih, bakal peguam dan yang paling penting
anak dato’, Iqram cukup popular.
Rata-rata mahasiswi boleh terjatuh dari tangga apabila melihatnya. Tapi tidak bagi Sofea, tidak semua perempuan
akan gilakannya. Sofea amat pasti dengan
pendiriannya, langsung tidak berminat
dengan lelaki yang memperolehi sesuatu secara percuma. Seperti Iqram, dengan statusnya sebagai anak dato’,
dia dikelilingi kemewahan, memperolehi apa sahaja yang diinginkan. Sofea mahu memastikan Iqram tidak memperolehi
dirinya, jika benar Iqram tergila-gilakan dirinya.
Ya ampun, apa aku melalut dan perasan macam ni. Dia pasti
cuba tarik perhatian aku bagi tambahkan popularnya di kolej, dan aku
yang menjadi mangsa bagi semester ini.
Pasti! Rasional Sofea bersuara.
Sofea menuju ke arah Bella yang duduk di katil.
“Nah, ambil kat engkau lah mamat buaya ni,” Sofea bersuara dengan
nada menyampah. “Benar?” Bella tersenyum
riang.
Sofea turut senyum melihat gelagat teman sebiliknya.
“Nak dinner tak malam ni?” Suara Bella antara kedengaran dengan
tidak. Sofea melangkah laju ke bilik air
tanpa menjawab pertanyaan Bella.
Lepas solat Maghriblah!
Sofea menjawab di dalam hati.
Sewaktu masuk ke bilik air, Sofea dirempuh dengan kasar oleh
seseorang. Tanpa meminta maaf perempuan
tersebut terus berlalu pergi. Melihatnya
dari belakang Sofea merasa cukup mengenali
perempuan tersebut, Intan Farhana, kakak senior paling bergaya di kolej
Janda. Kelakuannya benar-benar
menjengkelkan Sofea.
Ah, biarlah. Dia nak cepat
kut!
Dengan jeans lusuh, t-shirt BUM dan tudung senget, Sofea mengekori
Bella menuju ke kedai makan. Dalam hatinya
berdoa janganlah terserempak dengan jejaka perasan itu, Iqram. Sofea masih
terbayang-bayang akan perbuatan Iqram memaksanya menyanyikan lagu ‘Sedetik Lebih’ nyanyian
Anuar Zain jika Sofea mahu mendapatkan tandatangannya sewaktu Minggu
Silaturahim. Antara lirik lagu tersebut
yang membuat Iqram tersenyum puas masih Sofea ingat dengan jelas.
“Ternyata kuperlukan cinta
dari dirimu sayang, barulah kuterasa ku bernyawa, biarlah kehilangan semua yang
dimiliki di dunia, asal masih adanya kamu.”
Bagi Sofea lelaki tersebut sungguh menjengkelkan. Mujur memang benar Sofea meminati penyanyi
kesayangan ramai tersebut, jika tidak pasti Sofea menyanyikan lagu ‘Ibu Oh Ibu’
untuk Iqram. Lagu tersebut merupakan
lagu kesayangan Sofea sewaktu kecil.
Selepas Minggu Silaturahim berakhir, Sofea terus melupakan Iqram. Hinggalah petang itu, Sofea melihat kereta
Iqram sewaktu melintas di depan perpustakaan untuk ke Kompleks Perdana Siswa. Keadaan lebih merimaskan apabila Bella
menunjukkan nota dari Iqram kepada Sofea.
Apa sebenarnya drama Iqram kali ini dengan memberikan nombor telefon? Ternyata Sofea tidak berminat untuk ambil
tahu. Apa yang Sofea dengar, Iqram
mempunyai ramai kawan perempuan, kekasih?
Entah!
“Fea, kau tengok tu!”
Bella menarik tangan Sofea sambil mulutnya muncung ke arah
depan. Lamunan Sofea tentang Iqram
berderai. Sofea memandang ke arah
depan. Iqram tersenyum manis ke arah
Sofea. Di sebuah meja makan, Sofea
melihat Iqram duduk bersama dua orang rakannya.
Dia memberi isyarat kepada dua orang rakannya agar tidak mengganggu Sofea
dan Bella. Lantas bunyi ‘pewit-pewit’
kedua-dua rakan Iqram berhenti. Sofea
berjalan terus tanpa perasaan. Sofea
berjaya memujuk Bella untuk membeli makanan bungkus sahaja. Niat kedua-dua gadis tersebut untuk makan di
gerai kesayangan kolej terpaksa dibatalkan.
Sofea tidak mahu sebarang drama berlaku.
Tindakan abang senior pelik itu agak meragukan Sofea. Kadang Sofea terfikir, mungkin Iqram mahu
memasukkan dirinya ke dalam senarai perempuan yang tergila-gilakannya. Sofea pasti itu. Syukur, tiada apa yang berlaku. Iqram membiarkan sahaja Sofea dan Bella naik
semula ke bilik asrama.
****
“Jomlah tengok Merong Mahawangsa!” Rengekan Bella kedengaran jelas di telinga Sofea.
“Malaslah, aku tak suka hero luar,
if Aaron Aziz ok lah,” Sofea memberi alasan.
“Cik Tipah oi, bukan Aaron pun orang luar, mamat Singapore,” Bella
meneplak sahabatnya. Punah juga hujah
Sofea dalam kemalasannya mahu menemani Bella ke Mid Valley untuk menonton
wayang. Tiba-tiba Sofea mendapat
idea.
“Apa kata kau ajak saja boyfriend kau!”
Bella menarik tudung Sofea kuat.
“Mana aku ada boyfriend!” Bella melepaskan tudung Sofea semula. Sofea tersenyum menyedari dirinya dan Bella
masih hijau di kampus UM, mustahil Bella sudah mempunyai pacar.
“Ala, nanti-nanti lah,” Sofea menyejukkan hati Bella.
Perjalanan pulang ke kolej
diteruskan oleh Sofea dan Bella. Angin
petang yang bertiup lembut membantu mereka meneruskan perjalanan tanpa rasa
penat.
“Kenapa kau tak suka Iqram tu?” Tiba-tiba Bella bersuara memecah
keheningan petang. Sofea senyum
memandang Bella.
“Takut mama marah kut!” Sofea
memberi jawapan tanpa berfikir kepada Bella.
“Jadi kau sukalah sebenarnya?”
Bella terus menagih jawapan dari Sofea.
“Entah!” Sofea menjawab malas.
Sofea sendiri tidak mengetahui mengapa dirinya tidak berminat terhadap
Iqram. Betul tidak suka atau takut
menjadi barang mainan Iqram. Atau memang
benar Sofea takut akan mamanya yang tidak suka dirinya bermain cinta seawal
usia 20 tahun itu.
Memasuki pintu gerbang kolej, Sofea dan Bella terus menuju block
asrama mereka, block C. Tiba-tiba telefon bimbit milik Sofea
mengalunkan lagu ‘Dj
got us fallin’ in love ‘oleh Usher.
“Siapa tu? Iqram ekh?”
Bella menambah kekalutan Sofea yang sedang tercari-cari telefon
bimbit di dalam beg.
“Hello, mama ni, cuba pandang kanan.” Suara Baizura kedengaran di
talian.
Serta-merta Sofea memandang ke arah kanan. Baizura tersenyum berdiri di tepi sebuah Myvi
putih. Sofea berlari mendapatkan mamanya,
lantas memberikan pelukan erat. Bagi
Sofea, dua bulan sama ertinya dua tahun tidak memeluk mama tersayang. Sedang Sofea mencium tangan mamanya, Bella
menolak Sofea kasar.
“Tepi, aku pula nak peluk Puan Baizura!”
Baizura dengan senang hati menerima pelukan Bella pula.
“Eh, mana kereta mama? Kereta
siapa ni, mama?” Soalan Sofea yang bertalu-talu membuatkan Baizura senyum.
“Siapa lagi kalau bukan puteri mama yang bermata sepet,” Baizura
menjawab selamba. “Yahoo, bergumbiralah
aku naik kereta baru!” Jeritan Bella menarik perhatian ramai.
Sofea mencubit Bella setelah menyedari mereka bertiga menjadi
perhatian.
“Untuk puteri mama, birthday gift yang ke-20, walaupun masih lama
lagi!” Keterangan Baizura membuatkan Sofea terharu. Ingin rasanya Sofea memeluk mamanya sekali
lagi, namun memikirkan mereka bertiga sudah cukup menjadi perhatian, Sofea membatalkan
sahaja niatnya itu.
Ya Allah, sayangnya mama kepadaku, hari jadiku belum sampai, tapi
mama dah hantar hadiah!
Sofea mengucap syukur di hati.
Setelah solat Maghrib, ketiga-tiga perempuan tersebut bersiap
seadanya. Baizura memberitahu akan
membawa Sofea dan Bella ke tempat istimewa.
Sofea lihat Bella begitu manja dengan mamanya, asyik berkepit dengan
Baizura. Asyik memanggil-manggil aunty! Aunty! Kadang-kadang naik rimas Sofea
mendengarnya. Namun apabila memikirkan
Bella tidak mempunyai ibu kandung, Sofea membuang perasaan rimas itu
jauh-jauh. Sofea mencipta perasaan belas
kepada Bella.
Kesian Bella, tidak rasa seronoknya ada mama. Seorang mama yang faham semua kehendak
anaknya. Hanya perempuan yang memahami perempuan!
Sofea memandang Bella dari jauh.
Biar pun Bella tidak mempunyai ibu lagi, tetapi Bella mempunyai seorang
ayah yang baik dan penyayang. Uncle Ismail,
seorang guru seperti Baizura, namun masih belum bersara.
Apa kata jodohkan sahaja mama dan Uncle Ismail, kan senang! Angan-angan nakal muncul di fikiran Sofea.
Semburan minyak wangi ‘Pleasure’ dari jenama Estee Lauder benar-benar menghentikan khayalan Sofea.
“Nah, biar wangi sikit anak mama!”
Baizura menyeburkan wangian kegemaraannya ke baju Sofea. Bella yang melihat telatah dua beranak
tersebut ketawa terbahak-bahak.
“Sofea memang busuk, aunty!” Bella menambah rancak suasana.
Sesungguhnya kedatangan Baizura hari itu membawa seribu kegembiran
buat Sofea, di mana penuh dengan kejutan-kejutan yang tidak terduga. Pertama, sudah pasti kereta Myvi Putih idaman
Sofea yang kini menjadi miliknya. Kedua,
filem Hikayat Merong Mahawangsa yang baru ditonton oleh mereka bertiga sebentar
tadi. Rupa-rupanya Baizura tergesa-gesa
membawa Sofea dan Bella keluar dari kampus untuk menonton filem tersebut di Mid
Valley Megamall. Sejak dari awal Baizura
telah menempah tiga tiket filem tersebut.
Orang yang paling gembira sudah tentu Bella. Impiannya melihat Stephan Rahman beraksi terlaksana. Sofea juga tidak kurangnya terpesona dan
hanyut di dalam kemerduan suara Anuar Zain mengalunkan lagu ‘Sedetik Lebih’. Sewaktu lagu itu
berkumandang entah mengapa wajah lelaki buaya kolej Janda terjelma dengan
tiba-tiba di mata Sofea. Cepat-cepat
Sofea melawan jelmaan wajah itu.
Jam menunjukkan pukul 12.30 malam, mereka bertiga sampai di kolej
dengan tawa riang. Baizura beredar ke
Hotel Armada Petaling Jaya untuk bermalam.
Bella menyanyi dengan riang lagu ‘Sedetik Lebih’
bersama bekalan Mc Donald’s yang dibeli bagi makan malam mereka yang
lewat.
“ Setiap nafas yang dihembus,
setiap degupan jantung, aku selalu memikirkanmu, dalam sedar..” Suara Bella terhenti apabila kedengaran suaranya diganggu.
“Dibuai angan dalam tidur dan khayalan, aku selalu
memikirkanmu, ternyata ku perlukan cinta darimu sayang”.
Sofea dan Bella menoleh ke belakang.
Amirul tersenyum memandang mereka berdua.
“Kenapa? Terkejut? Suara abang tak sedap ke?” Abang senior yang tidak kurang popularnya
berbanding Iqram Haris tersenyum mesra ke arah Sofea dan Bella.
“Sedap sungguh, kalah Anuar Zain,” Bella berkata lancar.
Sofea menyangkutkan sejadah dan telekungnya di penyangkut baju lalu
bergerak ke meja tulis. Bella di katil
telah lama hanyut dibuai mimpi indah.
Tentunya bermimpikan Stephen Rahman Hughes, hero pujaannya. Sofea menekan telefon bimbit. Sepuluh minit
lagi pukul satu setengah pagi.
Tentu mama juga sudah tidur.
Mengapa pulak aku tak ngantuk ni?
Sofea mengeluh seorang diri.
Sofea kembali mengingati perancangan mamanya. Baizura akan mengambilnya dan Bella tepat
pada pukul 8.00 pagi. Setelah bersarapan
bersama di Kompleks Perdana Siswa, mama akan menyerahkan Myvi milik Sofea,
lantas mengambil teksi ke Pudu Raya untuk
pulang.
Kesian mama, sudah tentu penat kerana lima jam di dalam bas nanti!
Hati Sofea resah memikirkan akan mamanya. Sofea menyarankan kepada Baizura agar menaiki
kapal terbang sahaja ke Pulau Pinang, namun Baizura menolak memikirkan tidak
mahu menyusahkan sesiapa untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Bayan
Lepas.
Mama oh mama, kalau kahwin lagi kan senang!
Wajah Uncle Ismail muncul di depan mata. Sofea senyum sendiri.
Sofea kembali teringat akan
kejadian di tempat letak kereta sebentar tadi.
Sedang Bella asyik berbual dengan Amirul berkenaan pengarah Filem
Hikayat Merong Mahawangsa, Yusri KRU, Vios Hitam bergerak perlahan mengambil
parkir bersebelahan tempat mereka berbual.
Iqram keluar dari kereta memandang mereka bertiga.
“Dari mana?” tanya Amirul.
“Futsal,” jawab Iqram sepatah.
Tanpa memandang ke arah mereka lagi, Iqram bergerak ke block asrama
lelaki.
“Cemburu tu,” Amirul menduga.
“Kat siapa? Bella?” Bella
mula bercanda dengan Amirul.
“Yang sebelah Bella tu lah!”Amirul kembali bersuara. Sofea tergamam.
“Satu kolej tau dia sukakan Sofea,”Amirul menambah.
“Jangan berguraulah. Dah
lewat ni, kami naik dulu!”
Sofea menarik tangan Bella pantas.
Sofea tidak mahu terus mendengar cerita mengenai Iqram dari Amirul yang
belum pasti benar.
****
Calar di Vios Hitam itu Sofea sentuh sekali lagi. Ketara dan Sofea harus bertanggungjawab. Sofea menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Menyesal tidak terkira kerana
tidak berhati-hati sewaktu memasuki petak letak kereta sebentar tadi. Kalau kereta orang lain, tentu dirinya tidak segelisah
itu. Boleh sahaja Sofea mencari tuan
punya kereta dan membayar ganti rugi yang diminta. Tentunya tidak semahal mana. Namun masalah bakal timbul kerana itu kereta
Iqram. Sofea tidak dapat membayangkan reaksi
Iqram nanti. Sudahlah Sofea tidak pernah
mengendahkannya, tiba-tiba memohon maaf akibat kecuaiannya. Malu betul Sofea memikirkannya.
“Bella pun satu, mengapa tak balik lagi ni!”Gumam Sofea.
Gembira sahaja Bella mengikut Sarah dan Tini ke KLCC mencuci mata. Sofea mengambil keputusan untuk menelefon
Iqram, memberitahu perkara sebenar.
“Kat mana pula nak cari nombor mamat ni?”
Sofea menggaru lagi kepalanya.
Baru Sofea sedar kertas kecil mengandungi nombor telefon Iqram telah
diserahkan kepada Bella.
Bella simpan lagi nombor Iqram?
Telefon Bella? Tidak, nanti kecoh
pula Bedah tu tanya itu dan ini. Aduyai
betullah!
Dari jauh Sofea melihat abang senior pujaan ramai itu
turun menuju ke arahnya. Iqram menyarung
t-shirt putih dan berseluar jeans biru.
Cukup bergaya. Setelah
memperolehi nombor telefon Iqram dari Amirul, Sofea terus menghubungi Iqram. “Assalamualaikum, boleh turun kat kereta awak
tak?”
“Siapa ni? Puteri ke? Tunggu kejap,”
Iqram menjawab mesra dan talian diputuskan.
Siapa pulak puteri ni? Biarlah,
asal dia turun!
Sofea menyimpan telefon bimbitnya di dalam poket seluar. Sebentar tadi Amirul memberikan nombor
telefon Iqram tanpa banyak bicara kepada Sofea, tiada kemesraan seperti
selalu.
Mungkin aku kacau dia petang-petang ni kut!” Bisik hati Sofea bersifat
optimis terhadap Amirul.
“Hai!”
Alamak, lelaki perasan ni dah sampai!
“Saya tak sengaja.” Sofea bersuara sambil jari telunjuknya menuding
ke arah calar di kereta Iqram.
“Hahaha. Perempuan kalau bawa
kereta macam ni lah. Tengok lesen
boleh?”
Ketawa dan ejekan Iqram bercampur menyakitkan hati Sofea. Namun Sofea sedar, dirinya yang bersalah.
“Saya bayar ganti rugi. Nanti
bagitau saya berapa!” Sofea berkata agak kasar.
“Ini ke perangai puteri yang buat salah?” Iqram tersenyum sinis
kepada Sofea.
Aku ke puteri tu? Aduhai
seronoknya.
“Saya minta maaf.” Sofea cepat menyedari kesilapannya.
“Boleh, tapi ada syarat.”
Iqram kembali mengukir senyuman.
“Apa dia?”
“Nantilah bila puteri dah tenang, saya bagitau. Sekarang puteri mandi dan berehat. Tunggu panggilan saya, nak tau syaratkan?”
Iqram berteka-teki dengan Sofea sambil bergerak menuju ke
asramanya. Sofea terkebil-kebil melihat
Iqram berlalu pergi.
Malam itu Sofea bersolat I’syak awal dari biasa. Dari terus gelisah memikirkan kejadian petang
itu dan menunggu Bella yang belum pulang, alangkah baik Sofea memohon
ketenangan. Peristiwa petang itu masih
segar di ingatan Sofea.
Apalah syarat Mamat tu?
Sofea terus gelisah. Telefon
bimbit milik Sofea berbunyi, tanda terdapat pesanan ringkas dari Aplikasi
WhatsApp masuk. Tertera nombor yang
asing bagi Sofea.
“Syarat pertama, plz turun ke
tempat kejadian segera,..putera.”
“Putera? Uwek!”
Sofea merasa hendak muntah membaca WhatsApps dari Iqram.
Perasan tahap gaban ni!
Sofea tidak mempunyai pilihan, menyarung jeans lusuh dan berbaju t-shirt
seperti selalu. Langkahnya pantas
menuruni anak tangga menuju ke tempat kereta.
Sofea melihat Iqram duduk di tempat pemandu sambil menghisap rokok
dengan pintu kereta terbuka. Sekali
pandang persis aksi Farid Kamil di dalam filem I’m Not Single. Kalau Iqram adalah Farid Kamil, sudah tentu
dirinya adalah Lisa Surihani.
Aku berangan apa ni?
Sofea menyedarkan dirinya.
Iqram yang menyedari kehadiran Sofea keluar dari kereta.
“Berapa? Esok saya bayar ye!”
“Siapa kata saya nak duit!”
“Habis tu?” Sofea keliru.
“Sebab buat kereta saya bercalar, kena teman saya makan malam ni.”
Jawapan Iqram membuatkan Sofea berserabut. Mana mungkin dirinya keluar berdua-duaan
dengan lelaki. Jika ini terjadi Iqramlah
lelaki pertama yang bertuah dapat keluar dengannya. Melihat Sofea tidak bersuara, Iqram bersuara
lagi.
“Ala, pergi Mc Donald’s saja.
Sofea suka kan? Tak pernah berlaku di dalam sejarah putera mencederakan
puterinya!”
Iqram bergerak membukakan pintu kereta buat Sofea.
****
Sewaktu Sofea membuka pintu bilik, Bella sedang asyik dengan
komputer ribanya.
“Dari mana ni?” Bella bertanya manja.
“Pergi Mc Donald’s dengan Iqram,” jawab Sofea jujur.
“Ha!” Bella ternyata terkejut.
Namun, selepas itu Bella ketawa berdekah-dekah apabila mengetahui cerita
yang sebenar dari Sofea. Seperti biasa
Bella tetap mempersoalkan perasaan Sofea terhadap Iqram. Bagi Sofea adalah penting mempersoalkan
kejujuran perasaan Iqram dari perasaan dirinya.
Dirinya tidak mempunyai sesiapa, sedangkan Iqram dikelilingi
wanita-wanita cantik di kolej, dan di fakulti.
Malas Sofea hendak membayangkannya.
Sofea membaringkan badannya di katil. Peristiwa makan malam mengejut bersama Iqram
kembali bermain di fikirannya. Kereta
bergerak sahaja, kedengaran suara Anuar Zain.
Lagu ‘Lelaki Ini’ dendangan Anuar Zain menguasai ruang kereta.
“Dengar lagu Melayu ke?” Sofea jelling manja kepada Iqram.
“Bukan setakat lagu Melayu, perempuan Melayu wajib jadi pilihan,” Iqram
menjawab dengan penuh merepek.
Mereka makan tidak sampai satu jam.
Iqram sendiri tidak selesa melihat Sofea asyik memandang jam di
tangan.
“Okey lah, kita balik,” kata Iqram lembut.
Sepanjang perjalanan pulang tidak banyak yang mereka bicarakan. Lagipun ianya cuma mengambil masa lebih
kurang dua puluh minit dari Amcorp Mall ke kolej. Cuma sebelum Sofea bergerak meninggalkan
kereta, Iqram sempat berpesan.
“Call saya sebelum tidur!”
Tanpa menjawab, Sofea meneruskan perjalanan ke block asrama.
Permintaan Iqram itu kini
mengganggu Sofea. Memaksa Sofea membuat
keputusan samada mahu menelefon Iqram atau tidak. Jika Sofea menelefonnya ternyata dirinya
memberi ruang dan peluang bagi Iqram terus memikatnya. Tidak mustahil Sofea akan jatuh cinta kepada
Iqram. Lelaki itu cukup sempurna,
siapalah Sofea untuk bertahan tidak tertarik kepadanya.
“Sofea, pijak bumi nyata, Iqram umpama bulan yang tidak mampu kau
gapai!” Tiba-tiba terdengar suara entah dari mana. Sofea memejamkan mata. Telefon bimbit berbunyi menandakan WhatsApp
tiba. Sofea sudah menduga siapa.
“Penat tunggu call Sofea, sy
tidur dlu, gnte..”
Sofea gagal melawan perasaannya sendiri. Lantas nombor Iqram ditekan. Namun Sofea kembali sedar, cepat-cepat talian
diputuskan. Harapan Sofea, telefon
bimbit Iqram belum sempat berbunyi. Sofea
memaksa dirinya untuk tidur dengan memejamkan matanya rapat-rapat.
Pagi itu di Dewan Makan, Kolej Janda. Bella menyuap nasi goreng ke mulut. “Sedap,” Bella bersuara.
“Yang kau tak nak makan ni kenapa?” Bella kembali bersuara.
“Aku nak diet la.”
Sebenarnya Sofea berbohong kepada Bella. Sofea telah makan dua keping roti Gardenier
di dalam bilik tanpa pengetahuan Bella.
“Siapa yang diet ni?”
Satu suara menghampiri Sofea dan Bella. Tanpa meminta izin, Amirul menarik kerusi lalu duduk di sebelah
Sofea. Sofea dapat menghidu haruman
‘Aramis’ yang dipakai oleh Amirul.
Aduhai wanginya! Hati Sofea bersuara.
Aiman Amirul, pelajar
semester akhir Fakulti Kejuruteraan ini tidak setampan Iqram, namun lebih
popular disebabkan sifatnya yang seperti abang kepada adik-adik junior. Masih single. Itu yang Sofea dengar melalui
kakak-kakak senior di asrama. Dia juga
bukanlah anak dato’ seperti Iqram, hanya bermotosikal di kampus. Seperti Iqram, Amirul juga kelihatan suka
mendekati Sofea.
Cewah, perasan pula aku.
Bukan semua pelajar junior dia dekat terutamanya perempuan! Sofea tersenyum sendirian.
“Eh Sofea, senyum sorang-sorang ini kenapa?”
“Sebab orang sebelah ni wangi sangat, terpikat Sofea nanti,” Sofea
menjawab mesra.
“Dialu-alukan,” Amirul mengusik Sofea.
“Wei, drama apa ni? Bella
macamana? Mr. Amirul, pilih antara dua,
Sofea or Bella?”
Lawak Bella benar-benar membuat Sofea dan Amirul besar.
****
Bella berlari ke arah Myvi kepunyaan Sofea dengan pantas.
“Bungalah!”
Bella mengambil sekuntum mawar merah yang diletakkan di bahagian
cermin depan kereta. Bella mencium mawar
tersebut sebelum menghulurkannya kepada Sofea.
Mawar merah yang segar itu disambut mesra oleh Sofea.
Cantik sungguh. Macam bunga
ros mama di rumah. Siapa punya angkara
ni? Untuk aku ke?
“Untuk kau lah, takkan untuk aku pula!” Bella seakan dapat membaca
isi hati Sofea yang berteka-teki.
“Tapi dari siapa?” Sofea berwajah keruh.
“Sudah terang lagi bersuluh lah mata sepet ni!”
Iqram?
Sofea telan air liur.
Kena ucap mekacih ni. Wasap
aja lah. Kena rahsia dari Bella ni!
Sofea sengeh sendiri.
“Ha, apa senyum-senyum, kelas kita pukul 8.00 ni!”
“Thanks 4 da sweet rose.”
WhatsApp untuk Mr. Iqram Haris dihantar oleh Sofea dengan perasaan
berbunga-bunga. Sofea mengaku telah
menyukai lelaki idaman ramai itu. Namun
Sofea tidak menaruh sebarang harapan, cukuplah memujanya di dalam diam. Tiada siapa yang akan tahu, termasuk Iqram
sendiri. Tiba-tiba telefon bimbit Sofea
berbunyi. Iqram menelefon Sofea. Bella di sebelah senyum-senyum jeling Sofea.
“Sofea, i jumpa u kejap di
kereta u pukul 11.00 k,” Iqram bersuara dan talian berakhir. Parkir bagi kereta pelajar di Fakulti Pendidikan
amat terhad. Mungkin disebabkan itu, Iqram
yakin akan menjumpai kereta milik Sofea.
Kuliah ‘Islamic Civilization and Asian Civilization’ yang disampaikan
oleh Dr.Rosli selama satu jam, Sofea lalui tanpa tumpuan. Sofea melihat jam di tangan. Jam
menunjukkan pukul 10.45 pagi. Ada
lima belas minit lagi untuk Sofea melihat lelaki itu. Iqram Haris.
Tapi kenapa Iqram nak jumpa tiba-tiba? Entah-entah nak aku tunai syarat kedua
permohonan maaf aku. Bukan peristiwa itu
dah seminggu berlalu. Mesti Iqram dah
lupa. Atau nak tengok berserinya muka
aku bila dapat bunga? Kalaulah mama tau
apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, tentu mukanya kerut dan makin
kedutlah!
Sofea masih mengingati pesanan mamanya sewaktu menghantar dirinya ke
Kolej Janda.
“Jangan bermain cinta di sana!” Larangan mama masih terngiang-ngiang
di telinga Sofea.
Fea tidak bercinta mama, Fea hanya telah jumpa seorang lelaki idaman
ramai, dan Fea telah tewas mempertahankan ego Fea untuk tak tertarik padanya!
Sofea bergegas ke tempat letak kereta. Menuju ke keretanya. Iqram tiada di situ. Mana pulak mamat ni?
Sofea teringat bagaimana Bella terkebil-kebil apabila dirinya
memberitahu mahu segera ke tandas dan meninggalkannya. Dari jauh Sofea melihat Vios Hitam bergerak
mendekatinya. Iqram memberhentikan
kereta di depan Sofea. Iqram keluar dan
menghadiahkan sekuntum senyuman buat Sofea.
“Bunga tu bukan dari saya,” kata Iqram. Sofea terkesima.
Jadi siapa pulak yang bagi bunga tu?
Apa yang lebih penting kenapa pulak Iqram sanggup jumpa aku di fakulti
semata-mata nak bagitau bukan dia yang bagi bunga tu!
“Nampaknya saya ada saingan,” Iqram bersuara setelah melihat Sofea
mendiamkan diri.
“Apa awak merepek ni? Jangan
masukkan saya ke dalam senarai koleksi girlfriend awak!” Entah dari mana Sofea
mempunyai kekuatan untuk berterus-terang dengan Iqram. Bukankah kata-kata tersebut menjelaskan
dirinya juga suka kepada Iqram.
“Saya tidak main-main memilih awak, dan saya nak awak buang bunga
tu!” Iqram menuding jarinya ke dalam kereta.
Memang benar, jelas kelihatan bunga mawar di tempat duduk pemandu di
dalam kereta Sofea. Sofea yang
meletakkannya di situ selepas puas menciumnya pagi itu.
“Saya ada kelas ni.”
Iqram masuk semula ke dalam kereta dan meninggalkan Sofea dengan
perasaan suka dan bengang. Suka
mendengar kata-kata indah Iqram, bengang dengan sikapnya yang menguasai
keadaan. Ya, menyuruh Sofea membuang
bunga kesayangannya.
“Bunga tu bukan dari Iqram lah.” Lemah suara Sofea memberitahu Bella
perkara yang sebenar. Bella mendongak
memandang wajah Sofea yang kepenatan.
Masakan tidak, Sofea kepenatan berjalan pantas ke perpustakaan utama
semata-mata untuk mencari Bella. Malas
Sofea membawa keretanya dari fakulti, apabila memikirkan masalah parkir. Belum sempat Sofea duduk, Bella
bertanya.
“Kau dari mana sebenarnya?”
Sofea menarik kerusi dan duduk.
Sofea yang tidak mempunyai pilihan terpaksa menceritakan perkara yang
sebenar kepada Bella. Bella senyum.
“Kau suka Iqram ekh?”
Sofea tidak memberi jawapan dan membawa jari ke bibir memberi
isyarat agar Bella tidak lagi bersuara.
Beberapa mata memandang mereka berdua yang membuat bising.
Yang jadi persoalan, siapa bagi bunga tu? Tapi penting ke? Kan perasaan sebenar Iqram pada aku lebih penting?
“Macamana dengan assignment Dr. Rosli kau?” Bella menyoal Sofea.
Alamak, baru aku sedar minggu
ini asyik berangan sampai terbiar assignment Dr. Rosli. Kalau mama tahu lah. Eh, sempat lagi!
Senyuman kembali terukir di bibir Sofea.
“On the way!” Sofea menjawab pasti.
****
Sofea melontar seketul batu
ke dalam tasik. Lontaran tersebut
ternyata berjaya mengganggu ketenangan air tasik. Setelah melalui minggu yang memenatkan dengan
asyik mengunjungi perpustakaan dan menghadap komputer riba, hari ini ianya
berakhir. Sofea kembali bersantai di
tasik universiti kesayangannya bersama Bella.
“Kau rasa betul ke Iqram sukakan aku?”
Bella berpaling ke arah Sofea setelah mendengar soalan mendadak
itu.
“Aku rasa ya dan tak. Nampak
macam suka, tapi kau tau lah dia, girlfriend ramai. Apa kata kau duga dia?” Bella berhujah
panjang sambil memberikan cadangan kepada Sofea.
“Macamana nak duga? Kau ni
macam-macamlah!”
“Kau cari saja siapa yang bagi kau bunga hari tu. Kemudian kau layan, kita tengok macamana
reaksi Iqram,” Bella melontarkan cadangan yang cukup bernas kepada Sofea. Sofea diam memikirkan cadangan Bella.
“Inilah masanya untuk memperolehi cinta sejati atau sekadar melihat
aksi seorang Romeo mempermainkan perasaan kan?
Tapi macamana nak tau siapa bagi aku bunga tu?” Sofea cukup berminat
dengan cadangan sahabatnya itu.
Bella meraba peha Sofea, mencari telefon bimbit.
“Call Abang Amirul, dia pasti tahulah,” Bella mendesak.
“Betul juga kata kau, block asrama lelaki hanya satu. Berapa sangat jumlah mahasiswa di Kolej Janda? Pelajar junior seperti kita, tidak
mungkin. Tak ada siapa yang aku kenal. Mengikut kajian yang tidak dapat dibuktikan,
secret admirer ini selalunya orang yang kita kenal. Tetapi entah betul entah tidak teori cinta
merapu aku ini. Betul-betul! Abang Amirul mesti tau ni!” Sofea bersuara
riang.
Jawapan dari Amirul
benar-benar melontarkan Sofea ke lubuk emosi yang dalam. Dengan selamba sahaja Amirul menjawab, bahawa
dirinya yang memberi bunga ros tersebut kepada Sofea. Mujur perbualan hanya di telefon, jika
bersemuka apakah Sofea mampu memandang wajah Amirul? Setelah hampir empat bulan Sofea menganggapnya
abang, dan memanggilnya abang, kini mengapa pula bunga mawar itu akhirnya. Sungguh tidak disangka. Bella yang pada awalnya mentertawakan Sofea
turut bersimpati. Bella menawarkan diri
memandu pulang ke kolej senja itu.
Harapan Sofea di perjalanan cuma satu, tidak terserempak dengan Amirul
nanti. Sofea mahu mengelaknya buat
sementara waktu. Entah mengapa wajah
Iqram dan Amirul silih- berganti di mata Sofea.
No comments:
Post a Comment