Agungnya Cinta-Bab 4
Datin Ira menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Sofea. Sofea mencium tangan Datin Ira mesra dengan
disaksikan oleh Baizura dan para jemputan yang lain. Kebaya berwarna biru laut, warna kegemaran
Dato’ Iskandar menyerlahkan keayuan dan kesopanan Sofea. Itu kata-kata Baizura sewaktu Sofea
menyarungkan kebaya tersebut ke tubuhnya.
Bella sibuk mengambil gambar Sofea yang entah berapa puluh kali. Bella benar-benar menjalankan tugasnya dengan
sebaik mungkin. Pada awalnya Baizura
mahu mengambil juru gambar, tetapi Bella telah awal-awal lagi menawarkan diri
untuk menjadi juru gambar tidak profesional untuk Sofea. Kini telah sah Sofea menjadi tunangan
Iqram. Sofea mengukir senyuman tawar di
bibir, melihat cincin tersarung di jari manisnya. Sofea dapat menduga tentunya mama tersayang
gembira dan Iqram melompat girang kerana berjaya memiliki dirinya. Hanya Bella yang mengetahui isi hatinya
ketika itu. Hati Sofea benar-benar resah memikirkan Amirul. Bagaimana
caranya untuk Sofea memberitahu Amirul perkara yang berlaku? Sofea amat pasti akan kehilangan Amirul buat
selama-lamanya. Tidak mungkin Amirul
akan menerimanya sebagai sahabat setelah hati masing-masing berbunga. Sofea sedar dirinya harus bersedia dengan
kemungkinan tersebut.
Sofea melihat Iqram tampan bergaya menantinya di ruang tamu. Senyuman manis meleret di bibir.
Mampukah aku melupakan Amirul dan mencintai Iqram sorang?
“Bawalah Sofea ke pelamin!”
Suara Baizura mengejutkan lamunan Sofea. Bella menarik Sofea lembut ke arah pelamin
ringkas yang digubah oleh Bella. Sofea
duduk di situ dengan muka merah, menahan malu.
“Iqram duduklah sebelah Sofea, malu-malu pula,” suara Datuk Iskandar
menyebabkan ramai tetamu ketawa. Iqram
bangun dan bergerak duduk di sebelah Sofea.
“Akhirnya, tak dapat lari Si Mata Sepet ni!” Sempat Iqram menyakat
Sofea.
Sofea diam kaku tidak menjawab.
Bella meneruskan tugas rasminya mengambil gambar Iqram dan Sofea di atas
pelamin.
“Rapatlah sikit.” Kini giliran Bella pula menyakat Sofea.
Sofea mengerutkan wajahnya.
“Rapat lagi?” Iqram bertanya Bella nakal.
Majlis pertunangan
Sofea berlangsung cukup harmoni hari itu, dengan jumlah wang hantaran RM 15,000.00,
9 dulang hantaran dan sebentuk cincin platinum mewah menjangkau RM 5,000 pemberian
Iqram. Sofea membuka wangian ‘Be
Delicious’ dari jenama DKNY yang menjadi salah satu barang hantaran dari
Iqram. Sofea menyemburnya di pergelangan
tangan, menghidunya mesra.
“Amboi-amboi, angau ke?”
Bella muncul di pintu bilik.
“Kau jangan merepek ya!”
“Wanginya bau, macam cinta Iqram, cinta kau aku tak tau le,” Bella
menyindir tajam. “Kenapa dengan cinta
Fea?”
Baizura tiba-tiba muncul di muka pintu bilik.
“Cinta Fea bau minyak masak aunty!” Pandai Bella menutup rahsia
sahabatnya yang tidak mencintai Iqram.
Baizura ketawa berdekah-dekah lalu meninggalkan Sofea dan Bella.
“Dua tahun lagi kau jadi isteri orang lah ya.” Bella mengungkit
perkara yang pastinya menyerabutkan Sofea.
“Ah, lama lagi!”
Sofea menarik telinga Bella.
Bella menjerit kesakitan.
“Bila kau nak bagitau Abang Amirul ni?”
Soalan Bella membuat wajah manis Sofea berubah.
“Buka semester nanti,”Sofea menjawab lemah.
****
Amirul tersenyum puas menggengam surat panggilan kerja yang
memintanya melaporkan diri untuk bertugas.
Usahanya hampir dua bulan menghadiri temuduga akhirnya membuahkan hasil. Jawatan sebagai jurutera syarikat hartanah
terkemuka tanah air itu telah menjadi miliknya.
Walaupaun sebagai jurutera percubaan, ianya cukup berbaloi sebagai
permulaan.
“Berita gembira nampak!”
Hafiz muncul di pintu rumah.
Membuka kasut dan duduk di sebelah Amirul.
“Yup, lusa start kerja.”
“Tahniah bro, boleh belanja aku makan malam ni.”
“Bukan kau yang kerja, aku ni baru nak kerja.”
Amirul bangun dan bergerak ke biliknya.
“Kau tau anak dato’ kawan kita tu dah bertunang?”
Cerita yang dibawa oleh Hafiz ternyata menarik perhatian
Amirul. Amirul berhenti dari meneruskan
perjalanannya ke bilik.
“Dengan siapa?” Amirul bertanya agak gusar.
“Entah, dengan budak TESL mata sepet yang korang berdua rebutkan tu
kut!”
“Kau jangan mengarut, Sofea tak kan buat macam tu kat aku.”
Amirul kembali duduk, kini berhadapan dengan Hafiz.
“Itu aku tak tau, tadi aku masuk kampus, jumpa Shery, kawan baik
Farhana. Farhana bengang gila kat Iqram,” penuh terperinci Hafiz memberi
penjelasan kepada Amirul.
Amirul memegang telefon bimbitnya, menekan nombor telefon Sofea
berulang kali, namun dengan cepat mematikan panggilan yang dibuatnya. Dia tidak berani bertanya kepada Sofea
tentang kebenaran cerita yang dibawa oleh Hafiz. Bagaimana harus dirinya menghadapi kenyataan
jika benar Sofea telah menjadi milik Iqram.
Adakah Sofea telah menipu dirinya, dengan mengatakan dirinya pilihan
Sofea, bukan Iqram. Amirul perlu
bersabar sehingga malam esok. Sofea bersungguh-sungguh
mahu Amirul ke kolej menemuinya. Rindu
katanya. Adakah benar begitu? Esok Sofea akan kembali ke bumi Universiti
Malaya setelah bercuti dan memulakan semester keduanya.
****
“Sedih mama, Fea dah nak balik kampus.”
Baizura melangkah perlahan merapati Sofea yang sedang memasukkan
pakaian ke dalam beg. Sofea memandang
Baizura dan mencapai tangannya. Baizura
duduk di sebelah anak kesayangannya.
“Nanti Fea balik weekend!” Sofea cuba memujuk mamanya.
“Jangan mengada, jauh! Penat di
perjalanan sahaja nanti,” Baizura dengan pantas menghalang hasrat Sofea.
“Mama turun KL lah.”
Sofea memeluk mamanya mesra.
Baizura menarik hidung Sofea.
“Dah nak kahwin tapi masih manja!”
Ayat Baizura mengingatkan Sofea kepada kenyataan yang pahit.
“Mama tak rindu Dato’ Iskandar?” Sofea mengusik mamanya dan menunggu
reaksi wajah Baizura.
“Tiada rindu dan cinta antara kami sebenarnya.”
Baizura bangun dan bergerak ke pintu bilik.
“Bukankah cinta tak pernah mati Puan Baizura?” Sofea terus-terusan
mengusik Baizura. “Adakalanya boleh mati
Cik Zara Sofea,” Baizura membalas usikan anak perempuannya dengan senyuman
tipis di bibir.
“Pukul berapa nak gerak esok ni?”
“8.00 pagi mamaku sayang.”
Sofea mengenyitkan mata kepada Baizura. Sambil tersenyum Baizura berlalu dari bilik
Sofea. Sofea kembali keseorangan. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Sofea merasakan dirinya perlu tidur awal
untuk bekalan memandu ke Kuala Lumpur berjam-jam lamanya esok.
Esok adalah hari kehancuran hati Amirul. Sofea akan berters-terang dengan Amirul
berkenaan pertunangannya dengan Iqram.
Apapun tindakan Amirul selepas itu akan Sofea terima. Sofea sedar dirinya bersalah, tidak berani
mempertahankan pilihannya, walaupun untuk memberitahu mamanya perkara sebenar. Sofea tidak mahu melukakan hati mamanya
itu. Biarlah dirinya berkorban demi melihat kesinambungan
cinta mama tersayang terus wujud dan mekar.
Telefon bimbit Sofea berlagu riang.
“Esok nak jumpa Iqram?” Iqram bertanya sambil diikuti ketawa
kecil.
“Tak nak, mesti penat, nak tidur awal.”
Tawa Iqram terhenti mendengar jawapan dari Sofea.
“Tak rindu Iqram? Dah
dua minggu tak jumpa,” Iqram menyoal Sofea lembut.
“Okey, datanglah,” Sofea menjawab malas.
“Lusalah abang datang ya,” Iqram berjenaka meredakan suasana. Sofea melihat perubahan diri Iqram setelah
menjadi tunangnya. Dia cepat mengalah.
Ah, baru dua minggu, mungkin Iqram sengaja mengambil hatiku!
****
Pagi itu, dalam perjalanan Sofea kembali ke Kuala Lumpur. Jam menunjukkan hampir pukul 10.30 pagi. Sofea membelokkan keretanya di R &R Tapah. Hampir dua jam setengah memandu, keperluan memaksa Sofea ke tandas dengan segera. Sofea berjalan pantas ke arah tandas. Tanpa
sengaja Sofea melanggar bahu seorang lelaki. “Maaf!”
Tanpa memandang wajah lelaki tersebut, Sofea berjalan pantas ke arah
tandas yang semakin hampir. Setelah
selesai urusannya, Sofea membelek wajahnya di cermin, membaiki gincu dan
bedak. Sofea tidak tahu dalam keadaan
bagaimanakah dirinya, adakah gembira atau berduka. Sofea pulang ke kampus tanpa perasaan,
walaupun keputusan peperiksaan semester pertamanya membuat mama tersayang
menjerit kegembiraan. Ikatan pertunangan
itu sememangnya menyeksakan Sofea.
Adakah aku mempunyai pilihan lagi?
Hampir sepuluh minit berada di tandas, Sofea melangkah longlai
menuju ke kereta. Hajat di hatinya ingin
sahaja meneruskan perjalanan ke kampus.
Tiba-tiba Sofea terpandang bekalan bihun goreng yang berada di tempat
duduk sebelah pemandu yang dibekalkan oleh Baizura. Sofea membuka pintu kereta luas dan mula
menjamah bekalan bihun tersebut. Memang
lazat, sememangnya Baizura pakar memasak
bihun goreng.
“Hei! Makan dalam kereta
sorang-sorang?”
Satu suara mengejutkan Sofea.
Dengan pantas Sofea menutup pintu kereta.
“Oh ya, saya maafkan awak sebab langgar bahu saya tadi.” Lelaki di
tepi pintu kereta Sofea bersuara lagi.
Sofea menghidupkan enjin.
Namun, Sofea menurunkan cermin keretanya, setelah menyedari perbuatannya
yang agak sombong.
“Saya dah minta maaf tadi!”
“Nama?”
Lelaki tersebut masih belum berganjak.
“Sofea!”
“Pergi mana?”
“Balik UM, belajar cik abang oi,” Sofea tetap menjawab soalan lelaki
asing itu sambil memasukkan gear kereta untuk bergerak.
“Okey!”
Ucapan ringkas dari lelaki tersebut melegakan Sofea. Perlahan keretanya bergerak. Melalui cermin sisi, Sofea melihat lelaki tersebut
masuk ke dalam kereta.
“Alamak, kereta lancer tu cantik lah!”
Sofea ketawa.
Sofea kembali melayani perasaan dengan menghayati lagu-lagu
dendangan penyanyi kesayangannya, Anuar Zain.
Apabila lagu ‘Lelaki Ini’ kedengaran, wajah Amirul menjelma. Malam ini akan menjadi saksi kehancuran
sebuah cinta, dan keterpaksaan wujudnya sebuah cinta baru. Sesungguhnya, bagi Sofea mencintai Amirul
merupakan saat terindah hidupnya, yang ternyata sementara dan tidak mampu
dikekalkan.
Boleh ke aku tengok lagi wajah lembut itu selepas malam ini?
Tiba-tiba Sofea merasakan keretanya serba tidak kena. Keretanya seperti tidak stabil. Wajah Sofea pucat lesi, dan memandu ke tepi
jalan lalu segera mematikan enjin kereta.
Sofea turun dari kereta.
“Aduh, pehal pulak boleh kempis ni?
Macamana ni?” Sofea merungut seorang diri. Sebuah
kereta berhenti. Kereta yang cukup Sofea
kenali.
“Asssalamualaikum.”
Seorang lelaki yang Sofea kenali
bergerak menuju ke arahnya. Ya, lelaki
yang mengganggu Sofea di R & R setengah jam yang lalu. Seoang lagi lelaki yang tidak Sofea kenali
membuka pintu kereta, mengikuti lelaki yang di depan.
“Waalaikumussalam.
Eer..kereta saya..Tayar kempis!”
“Boleh saya tengok?”
Lelaki yang mengganggu Sofea di R & R Tapah, bergerak menjenguk
ke arah tayar yang ditunjukkan oleh Sofea.
“Jangan risau, Bad tu pakar buka dan pasang tayar!” Lelaki kedua
ketawa dengan kuat. “Saya Farid, awak?”
Farid menghulur tangannya kepada Sofea, memaksa gadis ayu itu
menyambutnya.
“Farid, buka bonet kereta!
Keluarkan tayar.” Bad menjerit ke arah Farid.
“Saya buka bonet boleh? Cik
siapa ni?” Farid memandang Sofea.
“Sofea!”
“Bukalah. Tayar kat dalam,” Sofea
menjawab dalam keadaan gugup.
Hatinya masih ragu-ragu dengan dua orang lelaki yang berhenti untuk
menolongnya itu.
“Terima kasih, Bad. Farid!”
Sofea tersenyum ramah setelah menyedari masalahnya selesai.
“Cik Sofea, semua kerja ada upah,” Bad tersenyum sinis.
Sofea masuk ke dalam kereta dan mengambil beg duitnya. Sofea menghulurkan RM 100.00 kepada Bad. Bad hanya tersenyum tanpa mengambil wang
tersebut.
“Haha,..Bad tak nak duit, Cik Sofea oi,” Farid mentertawakan Sofea.
“Belanja makan!” Bad bersura nakal.
Sofea tersenyum kelat. Dengan
perlahan Sofea mengangkat tangan kanan dan menunjukkan cincin di jari manis.
“Milik orang Bad, jangan kacau,” Farid masih ketawa.
“Tak salah belanja makan saja kan?”
Bad mengeluarkan telefon bimbitnya.
“Nombor Sofea, please!”
Bad memaksa Sofea memberikan nombor telefon. Sofea masuk ke dalam kereta dan mengambil
telefon bimbitnya.
“Apa kata, saya saja call Mr.Bad nanti. Nombor please!”
Sofea mengelak dari memberi nombor telefonnya kepada Bad.
“Pandai! Ambik course apa
ni? Law?”
“Tesl saja, mengapa Mr.Bad?”
“Pandai putar belit fakta, tak apa lah, if sudi call saya,
01122240461.”
Bad bergerak meninggalkan Sofea.
Sofea terkial-kial menyalin nombor telefon Bad ke dalam telefon
bimbitnya.
“Terima kasih!” Sofea menjerit kepada Bad yang sedang membuka pintu
keretanya.
Bad hanya tersenyum manis, sedangkan Farid telah bersandar di dalam
kereta.
Kereta yang dipandu oleh Bad meluncur laju. Sofea mengucap syukur kerana terlepas dari
masalah keretanya itu. Mujur ada lelaki
baik yang sanggup menolong Sofea, walaupun agak mengada-ngada. Otak Sofea berfikir ligat memikirkan di
manakah dirinya perlu mencari kedai tayar untuk menampal tayar keretanya. Tayar ganti yang dipasang oleh Bad tentunya
tidak mampu bertahan hingga ke Kuala Lumpur.
Sofea terbayang wajah Amirul.
“Kalaulah Mirul ada ni, kan senang!”
Malam itu, di bilik asrama Zara Sofea.
“Mirul kat bawah,”Amirul bersuara lembut.
“Fea turun sekarang,” Sofea bersuara riang.
Sudah terlalu lama Sofea
tidak memandang wajah tenang milik Amirul.
Wajah yang paling dirindui oleh Sofea, dan mungkin buat kali terakhir
Sofea dapat melihatnya. Kegembiraan
Sofea terhenti. Sofea kembali duduk di
birai katil, memikirkan cara terbaik menerangkan segalanya kepada Amirul.
“Mungkin dia faham, sabarlah,”Bella yang melihat keadaan Sofea, memujuk
sahabatnya itu.
Sofea tersenyum kelat kepada Bella dan bergerak meninggalkan
bilik.
Mirul, Fea minta maaf!
“Sorry, lama tunggu.”
Sofea tersenyum memandang Amirul yang menanti di sebelah
motosikalnya.
“Tak apa. Mirul nak tanya hal
penting ni.”
Amirul memandang Sofea serius.
“Betul Fea bertunang dengan Iqram?”Amirul bertanya lemah.
Air mata Sofea mengalir perlahan.
Sofea kaku berdiri tanpa
jawapan.
“Sofea tunang aku, Amirul!”
Entah dari mana Iqram tiba mengeruhkan lagi keadaan dan menambah
luka hati Amirul. Tangisan Sofea makin
deras.
“Terima kasih Sofea, untuk segalanya. Jaga Sofea baik-baik, Iqram.”
Amirul menghidupkan enjin motosikalnya, berlalu pergi meninggalkan
Sofea dan Iqram. Sofea yang tidak sempat
membuat sebarang penjelasan kepada Amirul hanya sekadar mampu meneruskan
tangisannya.
****
Amirul di pejabatnya, setelah memulakan tugas sebagai seorang
jurutera.
“Kau dah tengok anak Ceo syarikat kita?”Asyraf bertanya nakal kepada
Amirul yang asyik mengadap skrin komputer riba.
Amirul mendongak, tersenyum memandang kawannya itu.
“Belum!”
“Aku dengar cerita, cun gila,
balik dari US tu.” Asyraf terus menarik perhatian Amirul. “Kita ni siapa? Kau jangan bermimpi boleh tak Mr. Asyraf?”
Tiba-tiba terhambur nada sinis dari mulut Amirul.
“Hahaha, aku setakat tengok saja, kau sensitif sangat ni kenapa?”
Ternyata Asyraf tidak cepat melatah dengan sifat Amirul yang sensitif apabila
menyentuh soal darjat dan kedudukan. Aiman
Amirul yang dikenali sejak dua bulan yang lalu seorang yang pendiam, memberi
komitmen yang padu kepada tugas dan tidak pandai berjenaka.
“Jom lunch!”
“Tak nak lah, aku nak siapakan paper work ni,”Amirul menjawab
malas.
“Okey, aku pergi dulu.”
Asyraf berlalu perlahan meninggalkan Amirul.
Amirul bangun dari kerusi, bergerak perlahan menuju ke arah tingkap
kaca pejabat. Bangunan pejabat yang
terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan dilatari bangunan
kebanggaan rakyat Malaysia, KLCC amat strategik untuknya melihat keindahan
sebahagian besar Bandaraya Kuala Lumpur.
Dalam diam Amirul amat mengagumi kepesatan pembangunan negaranya yang
tercinta. Apa yang lebih penting Amirul
bersyukur dengan keamanan yang dikecapi oleh negara walaupun rakyat berbilang
bangsa dan budaya. Sungguh Amirul
mensyukuri nikmat tersebut. Amirul
mengucap syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana telah menunaikan
impiannya memperolehi pekerjaan itu .
Walaupun Allah tidak mengizinkan cintanya berjaya, Amirul tetap
bersyukur. Dua bulan telah berlalu,
bayangan wajah Sofea masih utuh di ingatan.
Biarpun marah Amirul tidak akan hilang, cintanya kepada gadis bermata
sepet itu juga tidak akan hilang.
Pesanan yang diterimanya dari Sofea melalui ‘personal message’ facebook
itu masih di ingatan.
“Mirul,, sesunguhnya bertemu,
mengagumi dan jatuh cinta kepada dirimu merupakan detik terindah Fea dalam
meniti usia kedewasaan. Iqram adalah
pilihan mama. Ampun dan maaf dari Fea.”
Pesanan tersebut diterimanya sehari selepas peristiwa dirinya
bertemu dengan Sofea dan Iqram di kolej Khursiah. Amirul membiarkan pesanan dari Sofea sepi
tanpa sebarang balasan. Amirul tidak mampu menerima alasan Sofea. Apakah
kaitan mama Sofea dalam hal ini?
Mengapa perlu menggunakan ‘mama’ bagi menyelamatkan diri. Mengapa tidak Sofea berterus-terang sahaja,
dirinya mencintai Iqram. Amirul cukup
sedar siapa dirinya berbanding Iqram.
Siapalah dirinya berbanding Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham.
Biarpun Amirul menerima kekalahannya di tangan Iqram dengan rela,
lukanya masih basah. Amirul cukup
sensitif apabila soal darjat dan kedudukan menjadi isu perbualan. Ianya hanya menambah luka di hati,
menyebabkan dirinya mengingati Iqram. Jika
dirinya anak dato’ seperti Iqram, Sofea tidak mungkin meninggalkannya.
“Ya Allah, berikanlah aku kekuatan.”
Amirul memohon kekuatan kepada Allah perlahan. Jam di tangan menunjukkan pukul 1.30
petang. Amirul meninggalkan pejabat
menuju ke tingkat 15, di mana terletaknya surau bagi dirinya menunaikan solat Zohor.
“Ya Allah, jika benar Sofea bukan
jodohku, lupakanlah aku kepadanya,” Amirul mengakhiri doanya.
****
Sofea meneruskan hari-harinya di bumi Universiti Malaya dengan
memegang status sebagai tunang kepada Iqram Haris Dato’ Iskandar. Kolej Janda dirasakan sepi tanpa bayangan Amirul. Sofea seakan-akan melihat bayangan Amirul di
dewan makan, parkir kolej, surau dan di mana-mana sahaja di kawasan
universiti. Ada kalanya Sofea duduk di
tempat Amirul belajar di perpustakaan utama, mengenang haruman ‘Aramis’ yang disedutnya
disebabkan penghawa dingin yang kuat di perpustakaan. Fakulti Kejuruteraan juga dikunjungi oleh
Sofea, terutamanya apabila dirinya keseorangan.
Sofea seperti melihat bayang Amirul tersenyum manis, memandangnya dari
jauh. Apabila Sofea mendekatinya,
bayangan itu hilang.
Ya Allah, kuatkan imanku yang rapuh ini!
Sofea juga lebih gemar keseorangan dari bergurau senda dengan Bella
dan teman-temannya yang lain. Hanya Bella
yang mengetahui isi hatinya. Luka yang
dalam, namun tiada siapa yang tahu kecuali Bella.
Petang Ahad itu, Sofea memilih untuk sendiri lagi, menyedut udara
segar kampus dengan hati merindui Amirul.
Mamanya pernah berkata, manusia tidak akan diuji melebihi kemampuannya. Mungkin benar, Sofea mampu meneruskan
kehidupannya tanpa Amirul. Allah lebih mengetahuinya. Sofea memandang sepi tasik di depannya. Seketul batu kerikil dicampakkan ke dalam
air. Bayang-bayang Sofea hilang. Sofea tersenyum sendirian, teringat lagu
kegemarannya sewaktu zaman kanak-kanak.
“Nanti
awan kata, aku kandung air, sampai tempat sejuk aku pun cair,
lihat dalam air ada
bayang-bayang, campak satu batu, bayang pun hilang.”
“Sedapnya suara!”
Sofea menoleh serta merta mendengar suara tersebut.
“Bad!” Cuma itu yang keluar dari mulut Sofea.
“Ya saya Cik Sofea. Jangan
terkejut, saya juga pelajar di sini, part time, ambik MBA. Saya juga suka tasik, macam Cik Sofea. Haha, saya gurau. Saya nampak Sofea masa Sofea across dari library
tadi.”
“Saya jogging, memang suka tengok air, terutamanya air laut. Tapi pantai pun okey juga.”
Sofea memberi penjelasan kepada Bad sambil berjalan perlahan
meninggalkan Bad. Bad mengikutinya dari
belakang.
“Boleh jelaskan pasal ring di jari tu.”
Bad rupa-rupanya masih mengingati peristiwa Sofea mengangkat jari
manisnya di lebuh raya tempohari.
“Biarlah rahsia, Mr Bad…, Bad apa ni?”
“Badrul Aziz, kembar Aaron Aziz, hahaha….”Bad ketawa panjang.
Sofea juga ketawa, menyedari Bad juga tampan bergaya seperti
pelakon dari Singapura itu.
“Cakaplah betul-betul, perasan sungguh.”
Sofea merasakan Bad boleh menjadi kawan pengubat dukanya.
“Betullah Badrul Aziz, 28 tahun, single dan cowok ganteng.”
Sekali lagi Bad membuat ketawa Sofea berderai.
Sofea dan Badrul tiba di hujung tasik.
“So, bila nak bayar hutang ni?”
Sofea tersengih seperti kerang busuk mendengar pertanyaan Badrul. Sudah pasti Sofea masih mengingati hutangnya kepada
Badrul.
“Saya tunggu Sofea call, tapi tak call!”
Sofea dengan perlahan mengangkat jari manisnya sama seperti
dulu.
“Okey, please explain about that Miss Sofea,” Badrul kembali
mencungkil rahsia berkenaan cincin di jari Sofea. Sofea menyalahkan dirinya sendiri kerana
memberi Badrul peluang bertanya statusnya.
Nak bagitau dia pasal Iqram ke?
“Fea!”
Satu suara sayup kedengaran dari jauh. Sofea memandang ke arah jalan raya. Bella berjalan menuju ke arah Sofea dan Badrul
meninggalkan kereta Sofea di pinggir jalan.
“Ni Bella, roommate.”
Sofea memperkenalkan Bella kepada Badrul. Bella tersenyum manis memandang Badrul yang
tampan bergaya. Badrul menghulur salam
perkenalan kepada Bella.
“Badrul handsome,” nakal Badrul berbicara.
Akhirnya mereka bertiga ketawa berderai-derai dengan lawak bersahaja
Badrul.
“Tadi aku ajak ke Mid Valley tak nak, ni dating dengan siapa ni?”
“Aku jogging lah, kebetulan jumpa Bad!”
Dalam diam, Sofea mula membuat perhitungan, jika Badrul terus
menunjukkan minat kepadanya, Sofea akan merapatkannya dengan Bella. Bella tentunya gembira menerima Badrul yang
tampan.
“Kita minum senja nak?”
Badrul memecah hening petang.
“Jom, jom…” Bella lancar menjawab.
“Dah petang sangatlah.”
Pandai Sofea memberi alasan.
“Kawan you ni Bella, berhutang dengan I, tapi tak nak bayar. Cuba nasihatkan sikit!” Badrul memancing
Sofea lagi untuk keluar minum dengannya.
“Mr siapa tadi? Err..Bad ye,
Cik Sofea ni dah bertunang, ikut hukum berdosa tau kacau tunang orang.”
Bella ternyata tidak suka dengan tindakan Badrul mendekati Sofea.
Badrul senyum mendengar penjelasan Bella. Riak mukanya tidak menunjukkan sebarang
perubahan putus asa atau marah terhadap Sofea mahu pun Bella.
“Lain kalilah Bad.”
Sofea meredakan suasana yang agak tidak selesa.
“Kita keluar ramai-ramai boleh?”
Badrul memandang Sofea memohon simpati.
“If saya ikut, baru boleh tau,” Bella kembali menceriakan suasana
petang itu.
“No hal punya Cik Bella yang cantik manis,” Badrul memberi
persetujuan.
Sofea tersenyum hambar, memikirkan yang dirinya tidak terfikir untuk
keluar dengan Badrul. Cukuplah dua
lelaki hebat di dalam hidupnya yang membuat hatinya tidak keruan. Mereka bertiga tiba di kereta milik Sofea. Bella menyerahkan kunci kereta kepada
Sofea.
“Eh, mana kereta you, Bad?” Sofea bertanya setelah menyedari tidak
melihat kereta lancer milik Badrul.
“Kat sana!” Bad menuding jarinya ke arah Fakulti Kejuruteraan.
“Eh, jauhnya parking, takut bercalar ekh kereta mahal you?”
Sofea merasa seronok menyakat lelaki tampan di depannya.
“Wei, aku penat ni, jom balik,” Bella mengejutkan Sofea yang asyik
menyakat Badrul. “Okey, nanti bila-bila
call I ya!”
Badrul bergerak menyeberangi jalan menuju Fakulti Kejuruteraan. Sofea sekadar tersenyum melihat langkah
Badrul menuju Fakulti Kejuruteraan di depannya.
“Siapa Bad tu? Kau jangan
cari masalah pula!”
Bella mula membebel sejurus kereta yang dipandu oleh Sofea bergerak
meninggalkan kawasan tasik menuju Kolej Janda.
Sofea tidak menjawab pertanyaan Bella.
Keletihan berjogging dan letih
memikirkan kerinduannya terhadap Amirul,
dan kini terpaksa membayar hutang pula kepada Badrul.
“Wei, kau dengar tak aku tanya ni?”
Bella mengejutkan Sofea yang terus-terusan tenggelam memikirkan
lelaki-lelaki di dalam hidupnya.
“Aku jumpa dia di highway masa balik hari tu, tolong kereta aku buat
hal.”
“Eh, kau tak cerita pun,” Bella seakan tidak berpuas hati dengan
cerita Sofea tentang Badrul.
“Kan balik hari tu, malam terus jumpa Amirul, Iqram datang lagi. Terus lupa tentang Bad.”
“Seronok ke cerita KL Gangsters 2 tu?” Sofea mengalih topik
perbualan.
“Bolehlah, aku tengok Shamsul saja.
Hehe ..”
Bella ketawa sendiri mengenangkan niatnya menonton filem tersebut
disebabkan minatnya terhadap pelakon Shamsul Yusof.
****
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ajmal Farhan senyum menyambut tangan yang
dihulur oleh adinda kesayangan, Iqram Haris.
“Selamat pulang ke tanah air Mr.Ajmal. Mana gadis blonde yang dimimpikan dulu?”
Iqram memulakan bicara setelah 3 tahun tidak bertemu abang kesayangannya.
“Abang masih mendambakan gadis Melayu, hahaha..”
“So, apa cerita tak nak terus balik Ipoh ni? Mama bising nanti.”
Iqram memandang Ajmal yang berada di depannya. Ajmal tidak menjawab, sebaliknya menyerahkan
troli yang dipegangnya kepada Iqram.
Iqram mengambilalih tugas Ajmal menolak troli menuju ke kereta.
“Rindu KL?”
Iqram mengejutkan lamunan Ajmal yang asyik melihat pemandangan
Bandaraya Kuala Lumpur.
“KL dan UM, tempat jatuh lagi dikenang,” jawapan ikhlas dari
Ajmal.
“I see, jom terus ke UM, nak introduce someone special,” Iqram
memberi cadangan. “Siapa?”
“Tunggulah, mesti abang suka,” Iqram memberi jaminan.
****
Sofea melangkah pantas menuju parkir kereta kolej. Iqram tiba-tiba menelefonnya menyuruh Sofea segera
turun. Iqram menyatakan seseorang mahu
berjumpa dengan Sofea.
“Siapa nak jumpa Fea ni?” Sofea bertanya sejurus tiba di hadapan
Iqram.
Iqram tidak menjawab, sebaliknya menuding jari ke arah pintu kereta
yang sedia terbuka. Seorang lelaki
keluar, tersenyum ke arah Sofea. Sofea
kembali teringat gambar keluarga yang terdapat di banglo mewah Dato’
Iskandar. Ya, lelaki yang di sebelah
Iqram di dalam gambar tersebut.
“Mr. Ajmal, ni Miss Zara Sofea, kawan baik Iqram dan masih
single. Fea, ni abang kandung I, Ajmal
Farhan and also still single.” Iqram memperkenalkan Sofea kepada Ajmal diiringi
ketawanya yang berdekah-dekah.
Sofea yang merasa dirinya dipermainkan, spontan mencubit lengan
Iqram. Iqram menyambut cubitan tersebut
dengan menggenggam tangan Sofea mesra.
“Abang, kami dah bertunang.
Okey tak pilihan Iqram?” Iqram memberi penjelasan, namun masih mengusik
Sofea. Air muka Ajmal agak
terkejut.
“Cantik!”
Sofea cuba melepaskan genggaman tangan Iqram untuk bersalaman dengan
Ajmal. Dalam proses melepaskan
tangannya, Iqram menyedari sesuatu.
“Eh, mana ring?”
“Dah hilang kat tasik, tadi jogging terjatuh,” giliran Sofea pula
mengusik Iqram.
Iqram terdiam, sambil cuba mencapai tangan Sofea sekali lagi meminta
kepastian.
“Amboi mesranya, rasa nak bertunang juga lah,” Ajmal tiba-tiba
bersuara menyedarkan Sofea dan Iqram yang berdrama.
“Sorry, lupa abang ada. Kat
bilik lah, tadi nak cepat turun,” Sofea memohon maaf kepada Ajmal sambil sempat
memberi penjelasan kepada Iqram. Ajmal
menyambut salam yang dihulurkan oleh Sofea.
“Abang, jangan tengok lama-lama, bakal adik ipar tu,” Iqram kembali
mengusik abang kesayangannya.
Ajmal melepaskan tangan Sofea.
“Jom lah makan, abang nak bakal adik ipar abang ni belanja.”
Sama seperti adiknya yang suka mengusik, Ajmal juga mengusik Sofea.
“Okey, jom kita pergi Bangsar,” Iqram memberi cadangan.
“Fea tak bawa purse ni. Fea
naik ambil sekejap!”
“Tak payahlah, if polis buat operasi, kita cakap ni Minah Indon saja,”
Ajmal semakin galak mengusik Sofea.
Iqram ketawa, mungkin gembira melihat abang kesayangannya
menunjukkan kemesraan terhadap Sofea.
Sofea duduk di tempat duduk belakang kereta, membiarkan dua beradik di
depannya terus berbicara. Mereka tiba di
Bangsar kira-kira pukul 10.00 malam.
Apabila tiba giliran Sofea memesan makanan, Sofea tersenyum pahit.
“Fea dah makan tadi, Iqram order apa-apa, Fea minta sikit.”
“Kita makan satay lah, orang balik US ni dah tiga tahun tak makan
satay Malaysia,” Iqram memberi persetujuan.
“Tiga tahun?”
Sofea memandang wajah Ajmal.
“Yup, serabut lah buat PHD, nak beri tumpuan,” Ajmal menjawab sambil
menyedut teh aisnya.
“Tipu tu, putus cinta lari ke US,” Iqram memotong kata-kata Ajmal. Iqram bangun.
“Sayang, Iqram pergi toilet kejap.”
Iqram meninggalkan Sofea dan Ajmal.
Hidangan satay yang dipesan tiba.
“Rindunya kat satay ni.”
Ajmal menjamah secucuk satay.
Sofea turut mengambil secucuk satay.
“Dah lama kenal Iqram?”
Ajmal merenung Sofea.
“Sejak hari pertama tiba di UM, last semester. Acctually mama kawan dato’,” Sofea
berterus-terang kepada Ajmal. Ajmal
tersentak.
“Kawan ayah di sekolah menengah?” Ajmal seolah-olah mengenali mama
Sofea.
“Aunty Baizura?” tanya Ajmal lagi.
Sofea senyum.
“Abang tau kisah antara mereka?”
“Ha! Mengata Iqram ekh?”
Iqram muncul mematikan perbualan Sofea dan Ajmal.
“Yup, macamana Fea boleh terpikat kat kau yang tak handsome ni.”
Ajmal kembali menyakat adiknya.
“Abang silap besar, Fea yang merayu-rayu Iqram sejak Minggu Silaturahim,
Iqram pun kesian lah.” Iqram galak menyakat Sofea menyebabkan lengannya menjadi
mangsa cubitan Sofea lagi. Ajmal
memandang sinis perbuatan Sofea mencubit Iqram, seolah-olah tidak
menyukainya.
“Why Iqram tak cakap abang di US?”
Sofea memandang Iqram.
“Why? Nak pergi sana?” Iqram
menduga Sofea.
“Tak lah, nak Iqram belikan handbag LV, hehe..”
Sofea menyatakan keinginan nakalnya, yang sebenarnya keinginan mama
tersayang. Sofea masih ingat, antara
barang yang menjadi kegilaan mamanya ialah beg tangan, dan LV merupakan jenama
impian mamanya yang tidak pernah tertunai dengan statusnya hanya sebagai
seorang guru.
“Nanti abang pesan dengan kawan di sana,” Ajmal bersuara.
“Eh, Fea buat lawak saja lah.”
Cepat-cepat Sofea membetulkan keadaan.
“Nanti kita pergi for honeymoon lah sayang. Nak apa pun boleh, tapi ada syarat lah.” Iqram
mengenyitkan matanya kepada Sofea dengan nakal.
Sofea tidak mempedulikan lawak Iqram, sebaliknya melihat jam di telefon
bimbitnya.
“Dekat pukul 12.00 ni. Kita
balik,” Sofea menyedarkan Iqram yang asyik menikmati keindahan malam di
Bangsar.
“Dah tiga tahun abang tak pergi Jalan Telawi ni, banyak dah berubah,”
Ajmal bersuara sewaktu berjalan menuju ke kereta.
“O, dulu selalu lepak kat sini dengan girlfriend ekh?” Tiba giliran
Sofea pula mengusik Ajmal. Hanya senyuman tipis Ajmal menjawab usikan Sofea.
Sepanjang perjalanan pulang ke asrama, Sofea mendiamkan diri. Penat berjogging seorang diri di tasik petang
itu masih terasa. Dalam diam Sofea
memasang rancangan semula untuk merapatkan Badrul dengan Bella. Sofea semakin ragu dengan tindakan Badrul
mendekatinya di tasik petang itu. Sudah
pasti masalah akan timbul jika benar Badrul menyukai dirinya. Jika Iqram tahu pula, mesti menimbulkan salah
sangka yang mengeruhkan keadaan. Sofea
kini belajar untuk mencintai Iqram dengan sepenuh hati, demi mamanya, Baizura.
“Diam saja tuan puteri di belakang, berangan ke?” Ajmal mengejutkan
Sofea.
“Tu ingat Anuar Zain lah tu.
Dengar lagu ni.”
Iqram menghadiahkan lagu dari penyanyi kesayangan Sofea. Maka berkumandanglah lagu dari penyanyi
tampan itu menguasai ruang kereta.
“Cintaku
tak berdusta, tak mengenal intan, tak kenal nestapa, cintaku hanya indah, hanya
bahagia, untuk selamanya, apa yang kurasakan ini, persembahan untuk dirimu, kau
dengarkanlah kasihku,…mencintaimu..”
Lirik lagu yang menyeksakan
jiwa Sofea. Wajah Amirul
dan Iqram bersilih ganti di matanya.
“Alahai, peminat Anuar Zain rupanya.
Nanti ada dinner show dia, kita pergi,” Ajmal benar-benar mengejutkan
Sofea.
“Betul?” Sofea bertanya laju.
“Amboi, jumpa abang terus lupa adik ya?” Iqram bersuara sewaktu kereta
tiba di parkir kolej.
“Adiknya tak romantik!”
Sofea turun dari kereta dan berjalan meninggalkan kereta Iqram.
“Sayang!”
Sofea menoleh dan kembali ke kereta apabila Iqram memanggilnya. Sofea mendekati Iqram yang berada di perut
kereta dengan cermin diturunkan.
“Good night. Sayang sikit!”
Iqram masih sempat mengusik Sofea sambil meletakkan jari telunjuknya
di pipi. Sofea tersenyum lantas
menunjukkan penumbuknya kepada Iqram.
Iqram ketawa berdekah-dekah, sementara Ajmal hanya tersenyum hambar.
****
Sofea dan Bella di Dewan Makan Kolej Khursiah.
“Iqram ada abang. Macam lebih
handsome dari Iqram!”
Sofea menghirup teh panas miliknya.
“Ha! Mana kau tahu? Kau dah jumpa ke? Hebat macam dia ke?” Bella menghambur
pertanyaan yang bertalu-talu kepada Sofea, sedangkan mulutnya masih dipenuhi
mee goreng.
“Malam tadilah. Handsome. Aku tengok handsome siot. Kalah Iqram aku!”
Sofea sengaja memancing Bella agar lebih teruja dengan isu yang dibawanya
pagi itu.
“Eh, kau tak bagitau aku pun Iqram ada abang! Ce citer!”
Bella semakin galak mahu mendengar cerita Sofea.
“Dah kau tak tanya!”
“Malam tadi abang kepada Iqram, Ajmal Farhan baru turun dari flight,
tiga tahun di US, habis PHD, makan satay
dengan aku dan Iqram di Bangsar. Masih
solo lagi,” Sofea menyambung ceritanya mengenai Ajmal.
“Solo? Aku ada peluang tak
ni?” Bella tersengih-sengih manja kepada Sofea.
“Jangan mengada, kau selaku kawan baik, aku ada orang yang lebih
sesuai. Badrul Aziz.”
Sofea membuat tawaran hebat kepada Bella. Bella tersenyum manis.
“Ala, if dia tak suka macamana?”
“Kau try your best, aku akan beri sokongan moral yang padu!”
“Dia macam interested saja kat kau,” Bella meluahkan
pendapatnya.
“Kau jangan merepek, aku dah cukup bermasalah tentang lelaki, jangan
nak tambah lagi.”
Sofea meneruskan suapan mee gorengnya yang tinggal separuh. Jam tangan dijeling. Masih awal lagi. Kuliah ‘Educational Psychology’ oleh Dr.
Rosli akan bermula pada pukul 10.00 pagi.
Kini masih pukul 8.30 pagi.
“Wei! Ingat siapa?”
“Dr. Rosli lah. Paper Educational
Psychology tu macam boring saja,” Sofea menjawab jujur.
“Ya ke? Aku ingat kau
teringat detik-detik indah bersama Mr. Aramis di dewan makan.” Bella seakan-akan
mengundang ingatan Sofea terhadap Amirul.
“Kau masih ingat Abang Amirul?” Bella tenang bertanya kepada Sofea.
“Cinta tak pernah mati Bella,”Sofea menjawab perlahan.
“Okey-okey, sebelum dewan makan ni banjir, kita gerak ke kelas, Cik
Sofea oi!”
Bella bangun dari kerusi.
Sofea turut bangun.
Sementara menunggu kuliah bermula pada pukul 10.00 pagi, Sofea dan
Bella duduk di Dataran Fakulti Pendidikan yang
bertentangan dengan Dataran Sastera.
Ingatan Sofea terhadap mamanya terjelma.
Sofea lantas mengeluarkan telefon bimbit. Sofea menelefon telefon bimbit mamanya, namun
tiada jawapan. Sofea menelefon telefon
rumahnya pula. Masih sama, tiada berjawab.
Mana mama pergi ni? Aku dah lali dengan perangai mama yang kerap
tinggal handphone bila keluar rumah.
Mama keluar breakfast dengan kawan kut!
Sofea cuba membuang kerisauan yang mula bersarang di hatinya. Sofea yakin mamanya akan menelefonnya
kembali. Dari jauh Sofea melihat kelibat
perempuan yang cukup dikenalinya. Intan Farhana
dan kawan-kawannya semakin hampir. Farhana
berjalan menuju ke arah Sofea. Sofea
agak cemas.
Dia nak apa ni? Mesti dia dah tau aku dah bertunang dengan
Iqram!
Bella kembali duduk di sebelah Sofea setelah selesai urusannya di
tandas.
“Farhana datang!” Bella seakan-akan memberi amaran kepada Sofea.
“Hai, kita bercakap sekejap boleh?” Farhana berkata sejurus tiba di
hadapan Sofea dan Bella.
“Boleh, cakaplah,” Sofea menjawab lembut.
“Hanya kita berdua dan bukan di sini!”
“Saya tak akan ke mana-mana.
If nak cakap apa-apa cakap sahaja di sini.” Entah dari mana datangnya
kekuatan dalam diri Sofea untuk berkata sedemikian rupa. Nampaknya Sofea telah mempunyai keberanian
setelah berada di semester kedua, makin dewasa menjalani kehidupan.
“Baik, if awak tak kisah kawan awak dengar,” Farhana semakin kasar
berbicara. “Cakaplah,” Sofea kembali
menenangkan keadaan dan yang pasti menenangkan dirinya sendiri.
“Lepaskan Iqram! Kami pernah
tidur bersama, Sofea. Dia patut bertanggungjawab!” Lancar sahaja
Farhana berbicara. Sofea tidak cepat
melatah dan bangun menarik tangan Bella untuk beredar.
“Maaf, saya tidak percaya.”
Sofea bergerak menuju ke dewan kuliah bersama Bella.
“Betul kau percaya Iqram tak buat benda tu?”
Bella meminta penjelasan Sofea sejurus mereka duduk di dewan Kuliah
C.
“Issyy…”
Sofea meletakkan tangan di bibir memberi isyarat agar Bella
memperlahankan suaranya.
“Dengar kata mereka pernah bercinta dulu,” Bella bersuara seakan
berbisik.
“Entah, aku pun tak pasti ni.
Tapi aku tak boleh lemah di depan Farhana,” Sofea juga bercakap seperti
berbisik kepada Bella.
“Habis tu?” Bella menolak Sofea lembut menggunakan lengannya.
“Tak ada pilihan, kena tanya Iqram.”
“If dia mengamuk? Atau tak
mengaku. Kau tetap tak akan tahu
kebenarannya.”
Bella sempat mengeluarkan hujah-hujah rasionalnya walaupun Dr. Rosli
telah muncul di dalam dewan kuliah.
Sofea memberi isyarat kepada Bella agar senyap. Sejam berada di dalam dewan kuliah C Sofea
rasakan bagai setahun, terlalu lama.
Farhana benar-benar mengganggu fikirannya sekarang. Benar Sofea tidak mencintai Iqram, tetapi
Iqram pilihan mamanya dan kini mereka telah bertunang. Kebenaran harus dicari. Sofea tiada pilihan, selain menemui Iqram dan
bertanya kebenarannya.
Pukul 11.00 tutorial paper Reading
In The ESL Classroom dengan Pn. Raudah.
Pukul 12.00, balik kolej lunch, pukul 2.00 petang ada kelas lagi. Bila agaknya aku dapat tanya Iqram ni!
Kuliah Dr. Rosli tamat, Sofea dan Bella bergerak ke bilik tutorial
bagi menghadiri kelas Pn. Raudah.
Telefon bimbit Sofea berbunyi riang.
Sofea menyangka ianya dari mama tersayang. Tekaan Sofea meleset sama sekali. Nama Iqram muncul di skrin telefon bimbit.
“Iqram, Fea jumpa malam ni ya?
Ada hal penting.”
Tanpa menyambut salam, Sofea meminta Iqram datang berjumpa dengannya.
“Fea, ni Ajmal, eh..Abang Ajmal, Iqram tertinggal phone. Iqram rushing ke court pagi tadi.” Suara Ajmal
semakin jelas di talian. Sudah sebulan Iqram menjalani ‘Chambering’ di firma
guaman milik kawan baik Dato’ Iskandar.
Sofea memahami akan kesibukan tunangnya itu.
“Opps, sorry. Ada apa abang?”
“Ni nak bagitau, next week dapat handbag LV Fea. Abang dah pesan dari kawan di US tadi.”
“Eh,..tak payahlah,..terima kasih abang,” Sofea menjawab dengan
sedikit gugup.
“Fea ada kelas ni. Bye,
abang.”
Sofea memutuskan talian apabila tiba di pintu bilik tutorial.
“Kau nak tanya Iqram ekh?”
Bella menarik kerusi di bilik tutorial untuk sahabatnya itu.
“Yup! Tapi tadi bukan Iqram,
abang dia. Ada cerita lain lah Bella.”
Sofea bersedia berkongsi cerita dengan Bella mengenai Ajmal.
“Abang Ajmal baik sangat kat aku,” Sofea menyatakan komentarnya
terhadap Ajmal.
“Apa dia buat kat kau?” Bella tersenyum nakal.
“Dah pesan handbag LV untuk aku!”
Sofea mengenyitkan mata kepada Bella.
“Apa? Aku nak juga!”
Bela hampir terjerit apabila mendengar perkataan handbag LV. Perbualan mereka berdua terhenti setelah Pn.
Raudah muncul di bilik tutorial.
Pukul 4.10 minit, Sofea dengan riang keluar dari bilik Kuliah
A. Habis semua kelas untuk hari Isnin
yang memenatkan. Udara petang yang
nyaman menyambut Sofea dan Bella di luar Dewan kuliah.
“Penatnya. Jom balik, nak tidur.”
Bella menarik tangan Sofea menuju ke kereta. Belum sempat tiba di kereta, telefon bimbit
Sofea berlagu riang. Mama tersayang di
talian.
“Mama tak apa-apa ke?” Fea
call rumah dan handphone tapi tak jawab,” Sofea pantas menyuarakan
kebimbangannya terhadap Baizura.
“Macam biasa handphone tertinggal di rumah, tadi breakfast terus
pergi Aeon, shopping,” Baizura tenang memberi penjelasan kepada Sofea.
“Beli apa untuk Fea?” Sofea sempat mengusik mamanya walaupun jarak
antara mereka melebihi 300km.
“Beli Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham.”
Kedengaran ketawa Baizura terkekeh-kekeh di hujung talian.
Tidak sampai sepuluh minit
memandu, Sofea dan Bella telah tiba di kolej.
Bella terus merebahkan badannya di katil.
“Tak sempat buka tudung cik Bella oi,” Sofea menjerit kepada Bella
yang telah lena. Sofea menanggalkan
tudung dan kembali memikirkan kata-kata Farhana pagi itu.
Nak bagitau mama ke? Nanti
mama dan dato’ gaduh pula! Tapi kalau
betul, macamana? Boleh ke aku sayang
Iqram lagi?
Seingat Sofea, sepanjang mengenali Iqram tidak pernah Iqram menuntut
perkara terlarang darinya. Cuma tangan
Sofea adalah miliknya. Itulah kata-kata Iqram
apabila Sofea cuba melepaskan tangannya dari
genggaman tangan Iqram.
Sofea mengakhiri doanya petang itu dengan memohon agar kata-kata
Farhana adalah dusta semata-mata. Sedang
Sofea membuka telekung, telefon bimbitnya berlagu. Iqram di talian.
“Mujur call. Fea nak jumpa
malam ni. Please. Ada hal penting,” Sofea berkata seperti
merayu.
“Ada apa, sayang? Malam ni
temankan abang jumpa kawan-kawan,” Iqram menolak permintaan Sofea lembut.
“Tak apalah, Fea nak merajuk,” Sofea memulakan dramanya.
“Okey, malam Iqram call balik, tengok macamana,” Iqram mula mengalah
dengan Sofea. Sofea kembali memikirkan
Farhana selepas berbual dengan Iqram.
Jika semua kata-kata Farhana benar, bagaimanakah harus Sofea
menghadapinya. Hanya Allah yang mampu
memberi gadis manis itu petunjuk.
Sofea mengejutkan Bella untuk makan malam di dewan makan. Selera Sofea hampir hilang apabila kembali
memikirkan kata-kata Farhana.
“Bila kau nak dating dengan Bad?
Emm, maksud aku jumpakan aku dengan Bad.”
“Ala, nanti-nantilah,” Sofea menjawab malas.
Sambil menyuap nasi ke mulut, Sofea melepaskan pandangan ke luar
dewan makan, melihat beberapa orang mahasiswa
bermain tenis.
“Apa kata kau ambil nombor dia, kau wasap dia.” Tiba-tiba Sofea
mendapat idea yang agak menarik.
“Nak ke Si Bad tu melayan wasap aku?
Buat malu aku saja!”
Bella agak risau dengan reaksi yang bakal diterimanya dari Bad.
“Bella boleh!”
Sofea bangun untuk membasuh tangan.
Pukul 7.00 malam Sofea dan Bella bergerak meninggalkan dewan makan kembali
ke bilik. Sampai di bilik, Sofea mencari
telefon bimbitnya yang ditinggalkan di atas katil. Sebenarnya Sofea tertunggu-tunggu panggilan
dari Iqram.
Datang ke lelaki itu malam ini?
Sungguh aku tak sabar nak tanya Iqram!
“012-2091127, kau wasap malam ni juga.”
Sofea memberikan nombor telefon Badrul kepada Bella. Bella mengambil telefon bimbitnya.
“Ulang semula,” Bella berkata sambil tersenyum-senyum.
Maghrib berlalu, Sofea terkebil-kebil memandang siling bilik.
“Wei, tak nak buat assignment ke?”
“Tak ada mood lah malam ni,” Sofea menjawab jujur.
“Kau dah sayang kepada Iqram ya?” Bella melontarkan soalan cepu
emasnya.
“Siapa tak sayang tunang oi!”
Sofea bangun dari pembaringan dan berdiri di tingkap. Memandang malam yang kelam. Sebenarnya Sofea sendiri tidak tahu kebenaran
kata-katanya sebentar tadi.
Aku dah mula sayang Iqram sepenuh hati? Atau sekadar tak mau tengok harapan mama
hancur seperti cintanya bersama Dato’ Iskandar!
Azan Isyak berkumandang dari surau kolej. Sofea membuka pintu bilik menuju ke bilik
air. Dirinya amat pasti dengan solat
yang khusyuk sahaja dapat menenangkan jiwanya yang resah. Sofea mengakhiri doanya dengan harapan segala
kata-kata Farhana adalah fitnah sahaja.
“Dah wasap Bad?”
Sofea menegur Bella yang asyik menatap skrin komputer riba.
“Dah! Tak balas pun. Menyampah aku,” Bella melepaskan
perasaannya.
“Hehe.. Sabarlah.”
Sofea menyejukkan hati Bella sekaligus geli hati dengan kerenah
sahabatnya yang tidak sabar menunggu balasan pesanan WhatsApp dari Badrul.
“Apa yang kau wasap?” Sofea mencungkil rahsia.
“Hi! Bella here!”
“Bad balas!”
Bella seakan menjerit.
“Dia cakap apa?”
“Bella, bagi no Sofea, pls!”
“Nak bagi tak ni?”
Bella bertanya kepada Sofea sambil wajahnya mencuka.
“Janganlah marah, Bad nak uji kita berdua kut. Nanti aku fikir lagi. Akulah wasap Bad, nanti dia tu,” Sofea
memberikan cadangan.
“Kau nak cakap apa?”
“Cakap dia memang tak ada ruang dan peluang lah nak ngorat aku. Selesai satu kes.” Sofea kembali mendapat
keyakinan untuk mengurangkan tekanan di dalam hidupnya.
“Okey lah camtu, aku pun bukan desperate sangat.”
Senyuman Bella kembali berbunga di bibir.
“Bijak pun kawan baik aku ni.”
Sofea membaringkan dirinya di
katil semula.
“Aku tidur dulu!”
Sofea cuba memejamkan mata kerana terlalu penat berfikir sepanjang
hari.
Selamat malam dunia! hati Sofea berbisik perlahan.
Sofea terjaga apabila telefon
bimbitnya berlagu.
“Sayang, sorry malam ni teman abang enjoy dengan kawan-kawan,” suara
Iqram bernada kesal di talian.
“Iqram kat mana ni?” Sofea bertanya di mana lokasi Iqram setelah
menyedari suara bising di tempat Iqram.
“Hard rock, dengar live band.
Kejap lagi balik!”
“Ada kawan perempuan tak kat situ?”
“Haha,.cemburu ya? Tak ada lah.
Esok lepas office, Iqram datang.”
Perbualan berakhir. Jam di
telefon bimbit menunjukkan pukul 12.30 malam.
Bilik telah gelap. Dalam
kesamaran lampu tidur, Sofea meliha Bella amat lena memeluk bantal busuknya.
Sofea memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. Resahnya tidak berkesudahan memikirkan Iqram
dan kata-kata Farhana.
Kalau aku bertunang dengan Mirul, mesti aku tak bimbang macam
ni. Mirul, aku rindu!
Keinginan Sofea untuk mendengar suara lelaki yang dicintainya membuak-buak. Sudah terlalu lama, Sofea tidak mendengar
suara, menyedut haruman lelaki itu, melihat pandangan matanya, dan segala-galanya
tentang lelaki bernama Aiman Amirul.
Sudikah lagi lelaki itu menyambut panggilan Sofea biarpun untuk sepatah
kata? Sofea menggenggam erat telefon
bimbitnya. Nama Amirul ditekan juga
akhirnya.
“Mirul, Fea rindu sangat.” Ayat pertama yang diucapkan oleh Sofea
tanpa salam sejurus talian disambut.
“Fea minta ampun!” Ayat kedua yang masih tiada jawapan dari Amirul.
“Fea, Mirul dalam usaha melupakan Fea. Perit sangat.
Fea nak apa lagi ni?”
Akhirnya suara keramat itu kedengaran juga di telinga Sofea.
“Fea nak Mirul semula dalam hidup Fea.”
Sofea sendiri tidak bertanggungjawab terhadap ayat yang disebut
sedangkan realiti menyatakan dirinya tunangan Iqram. Sofea mula menangis.
“Untuk apa Fea seksa Mirul lagi?” Suara Amirul semakin menghiris
hati Sofea yang merinduinya.
“Fea masih milik Mirul,” Sofea membuat pengakuan yang cukup
berani.
“Sudahlah Fea. Mirul penat sangat fikir pasal Fea. Bye.”
Amirul mematikan talian telefon.
Sendu tangisan Sofea makin kuat hingga menyebabkan Bella
tersedar. Bella menyalakan lampu
bilik.
“Kau kenapa ni? Iqram dah
mengaku ya?”
Bella memegang bahu Sofea.
“Habis apa keputusan kau? Nak
bagitau aunty?”
Bella semakin lancar berbicara tanpa menunggu jawapan dari
Sofea. Sofea menggeleng kepala.
“Belum tanya Iqram, tadi call Mirul, dia tak layan,” Sofea memberi
penjelasan kepada Bella sambil diiringi sendu yang belum reda.
“Haha, yang kau kacau mamat terluka tu kenapa? Memang cari pasal.”
Bella masih ketawa sambil kembali ke katilnya menarik selimut hingga
ke dada.
“Ha, jangan lupa tutup lampu,” Bella senyum.
Sofea menyesali diri dengan keterlanjurannya menelefon Amirul. Sudah
pasti hati Amirul kembali terguris mendengar suaranya.
Mirul, Fea minta maaf!
Sofea merasa bertambah berdosa memikirkan dirinya cuba kembali ke
pangkuan Amirul kerana hubungannya
dengan Iqram bermasalah.
Ya Allah, kuatkan hatiku. Tabahkan
keimananku menghadapi dugaan cinta
ini. Mama, andainya kau mengetahui
segalanya demi impianmu, demi cintamu yang tidak berkesampaian. Mama,..!
Rintihan hati Sofea tiada siapa yang mendengarnya.
****
Seperti dijanjikan Iqram datang menjemput Sofea di fakulti. Waktu menunjukkan hampir pukul 6.00
petang. Wajah Sofea kelat mencuka
menyambut kelewatan Iqram. Sudahlah Bella
meninggalkannya sejam yang lalu pulang ke kolej tanpa menunggu kedatangan Iqram
terlebih dahulu.
“Marah?” Ucapan pertama Iqram selepas Sofea menutup pintu
kereta. Sofea tetap diam membatu tanpa
sebarang jawapan.
“Ala, tuan puteri merajuk, rindu putera ekh?”
Iqram cuba meraih tangan Sofea.
Sofea menolaknya kasar. Iqram
mengambil sesuatu dari bahagian tempat duduk
belakang kereta. Jambangan bunga ros merah bercampur merah jambu dihulurkan
kepada Sofea. Haruman bunga ros yang
semerbak mengharum memenuhi ruang kereta dan Sofea menyambutnya tanpa sepatah
kata. Kereta bergerak meninggalkan
Fakulti Pendidikan dan seterusnya keluar dari bumi UM.
“Kita nak ke mana?”
Sofea mengakhiri rajuknya.
Kini giliran Iqram pula membisu seribu bahasa, tenang meneruskan
pemanduan. Dari jauh kereta mendekati
Mid Valley Mega Mall, tempat kesukaan Sofea dan Bella membeli-belah.
Bilalah Slot Samarinda ini akan berakhir? Kenapalah Iqram berdrama pulak dengan membisu ni?
Sofea tersenyum sendiri sambil mencium sekuntum bunga ros merah yang
cukup indah di pandangan matanya.
“Dah sampai!” Iqram mengejutkan Sofea.
Iqram keluar, Sofea melanjutkan Slot Samarinda dengan tidak keluar
dari kereta. Iqram membuka pintu kereta
dari luar.
“Iqram minta maaf sayang, lewat dan malam tadi sibuk dengan Abang
Ajmal,” Iqram menuturkan kata-kata manis buat Sofea. Sofea yang terpesona, meletakkan jambangan
bunga ros di tempat duduk, lalu turun dari kereta.
“Fea minta maaf juga.”
Sofea menyedari dirinya juga menyayangi lelaki di depannya itu.
“Pilihkan kemeja putih for Iqram.”
“Dah warna putih mana ada pilihan.”
Sofea merenung kembali Iqram yang merenungnya. Bagi Sofea kemeja untuk Iqram melaksanakan ‘Chambering’
amat membosankan, berwarna putih. Mereka
berdua meninggalkan tempat letak kereta di bahagian bawah bangunan Mid Valley Mega Mall, menuju ke tingkat dua.
Tiba di Ground Floor, Iqram berubah fikiran. Iqram menarik tangan Sofea menuju ke restoran
makanan segera ‘Kenny Rogers’ kegemaran Sofea.
“Fea nak tanya sesuatu. Fea
terpaksa tanya,” Sofea memulakan bicara sementara menanti hidangan mereka
tiba. Iqram meletakkan telefon bimbit
yang dipegangnya.
“Tu yang sibuk nak jumpa dari semalam tu?”
“Farhana datang jumpa Fea semalam.”
“So,….” Kata-kata Iqram terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi. Iqram memberi isyarat mahu menjawab panggilan
tersebut.
“Abang Ajmal sibuk tanya kita kat mana?” Iqram memberi penjelasan
setelah kembali meletakkan telefon bimbitnya.
“Dia nak apa?” Tenang Iqram bertanya.
“Farhana kata, Iqram pernah tidur dengannya,” Sofea menjawab cukup
perlahan, sambil mukanya merah menahan air mata.
No comments:
Post a Comment