Sunday, January 26, 2014


 TAJUK:MR.DUD NEXT DOOR

Bab 1

            Julia duduk di kerusi, lalu mencapai beg plastik di atas meja.  Beg plastik tipis berwarna merah itu diselongkar perlahan. 

“Apa mak ni,..Tak sukalah sayur lembik ni!”

Sayur kangkung dikeluarkan.  Kelapa parut dan ikan cencaru juga dikeluarkan dengan malas oleh Julia.  Julia melepaskan keluhan.  Sememangnya gadis manis berusia dua puluh empat tahun itu tidak menggemari sayur kangkung yang baginya lembik.  Emaknya, Jaliah telah maklum akan perkara itu, tetapi entah mengapa Jaliah membeli sayur kangkung untuk hidangan tengahari mereka.

Lunyailah karang kangkung ni aku tumis!  Mak pergi mana pula ni?  Tak kan aku nak masak kot!  Nanti masin ke?  Payau ke?  Bising pulak mak ni!  Getus hati Julia.

“Aku siang aje lah.  Biar mak yang tumis.  Ikan apa pula ni?”  Julia meneruskan omelannya semula. 

Julia bangun, lalu berjalan ke arah kabinet dapur rumahnya mengambil pisau.  Raga plastik di rak pinggan turut dicapai.  Julia mula menyiang sayur kangkung tersebut.  Selesai menyiang sayur kangkung, Julia membawa ikan yang tidak diketahui namanya itu ke singki.  Julia cuba menyiang ikan yang berkulit tebal tersebut.

“Alah, apa da hal sangat takat ikan kulit jaket ni!  Aku boleh settle sebelum mak balik!”

Sirip di tepi mulut ikan dipotong.   Julia cuba mencungkil kulit ikan tersebut agar dapat ditarik kulit tersebut ke bahagian bawah hingga ke ekor.

“Opps!!  Aduh, darah.  Matilah aku ni nanti,” Julia mula merengek melihat jarinya yang berdarah.

“Habis tu camno ni?  Mak mesti balik kejap lagi.  Tak kan mak nak lunch kat rumah jiran kot!”

 

 

            Di luar pagar rumah teres setingkat berharga dalam lingkungan RM 60,00.00 yang juga disebut orang ramai sebagai ‘rumah murah’ itu, Jaliah berjalan masuk dengan laju.  Bahang matahari yang memancar, semakin mempercepatkan langkah wanita berumur hampir 60 tahun tersebut.  Jaliah membuka pagar yang tidak bermangga itu.

“Bertuah punya budak!  Tak ditutupnya pintu.  Dibuatnya ada pencuri masuk.  Bangla ke, kan ke naya.  Memang nak kena ni,” Jaliah mula berleter.

“Ju!  Ju!  Ju!”

Jaliah menjerit memanggil nama anak perempuan bongsunya.

Julia keluar dari biliknya dengan laju.

“Kenapa ni mak?  Ada orang kejar mak ke?”

“Kamu jangan merepek ye!  Ha, kenapa tak tutup pintu?” 

“Aiiseh,..Lupalah mak.  Mak tengok ni, jari Ju dah putus dah.  Mak lah!”  Julia mula bermanja dengan emaknya.  Sememangnya anak bongsu Hajah Jaliah itu amat manja dengan emaknya.  Julia menghampiri Jaliah yang berdiri di tengah ruang tamu.

“Mak tengok ni!”

Julia menunjukkan jari telunjuk kanannya yang berbalut dengan plaster luka.

“Alah, sikit saje.  Kamu ni Ju, memang manja sangat ye!  Berplasta luka bagai.  Ni dah masak belum.  Mak dah lapar ni!” 

Jaliah menarik rambut lurus Julia.

“Sakit arr mak.  Mak ni macam tak sayang Ju aje.  Mak pergi mana tadi?  Gebang dengan Mak Senah ye?  Mesti ada gossip best!  Siapa yang kahwin dengan orang kaya, mak?”

“Tak ada siapa yang kahwin dengan orang kaya.  Kahwin dengan Bangla bau kambing adalah.  Dah, jangan nak tukar cerita.  Jom masak!”

Jaliah menarik tangan Julia menuju dapur.

“Ya ampun, lembik kamu kerjakan ikan mak ye!”  Jegel mata Jaliah melihat ikan cencarunya yang dikerjakan oleh Julia.  Pisau di tepi singki dicapai oleh Jaliah.  Jaliah mula menyiang ikan cencaru dengan muka yang berkerut.  Geram hatinya terhadap anak bongsunya itu.

Mujur anak sendriiii.  Kalau tak, aku pang punya.  Dera ke!  Jaliah tersenyum.

“Eh, kenapa mak senyum-senyum ni?”  Julia keliru dengan perubahan wajah emaknya itu.

“Mak fikir, kalau Ju tu anak tiri mak, dah kenalah Ju tu pelempang!”  Ketawa Jaliah meledak.

“Sampai hati mak ye!”

Julia menarik kerusi, lalu duduk.

“Macamana Ju nak kahwin ni nanti.  Siapa yang nak masak?  Tak kan nak beli di kedai hari-hari.  Jangan kamu kahwin, hari-hari makan di rumah mak sudahlah,” Jaliah meneruskan tawa.

“Ju nak kahwin laki kayalah mak.  Bibik masak.  Ju lepak je di sofa.  Atau shopping.  Aduhai, indahnya dunia!”  Senyum meleret di bibir munggil Julia.

“Kamu tu jangan berangan sangat boleh tak, Ju.  Tu lah, mak suruh kamu cari kerja, kamu duk melepak depan tv tengok drama.  Cerita Melayu tu sama aje.  Asyik-asyik jumpa orang kaya.  Geram mak ni!  Dalam hidup sebenar, ada ke macam tu?  Jumpa laki hisap dadah tak ada kerja adalah!”

“Rileks arr mak.  Nak hilangkan stress kenalah tengok drama simple camtu.  Tak kan cerita berat-berat.  Nanti lagi pusing hidup!”

“Pandailah kamu tu!  Asyik menjawab aje!

 

           

Kalaulah aku kahwin dengan laki kaya,..Taklah kena makan sayur lembik tu.  Ikan jaket yang keras tu.  Memang tak ada ke laki kaya dalam dunia ni?  Julia tersengih sendiri.

“Apa yang disengehkan tu?  Belacan mana?  Kan nak masak goreng belacan kangkung tu!” Jaliah bertanya agak kuat, keliru melihat Julia yang tersengih-sengih duduk tanpa membuat sebarang kerja.

“Cer mak nengok dalam mangkuk,..Memang Ju tak ada peluang ke kahwin laki kaya ni?”

“Issyy,..mak pang betul kamu nanti, Ju.  Manalah mak tau.  Ju ingat mak ni Mak Esah ke?”  Jaliah mendengus marah.

“Gurau pun nak hangin, Hajah Jaliah ni.  Kat mana belacan, mak?”

“Kat bilik tidur Ju lah!”

“Tak baik tau mak buli anak yang tengah luka ni.  Kalau putus betul tadi ni,..habis kurang duit hantaran.  Mak jugak yang susah kan?”

“Kenapa pulak mak yang susah?  Kamu ni Ju, merepek!”

“Ye la.  Nak buat kenduri camno mak?  Kawan-kawan mak bukan takat rumah awam 2 ni saja.  Rasa tiga rumah awam ni kawan mak.  Nak buat kenduri kecik, malu mak karang dengan kawan-kawan mak!”

Julia bangun membuka peti sejuk.  Belacan, cili besar dan cili kecil dikeluarkan.

“Tak adanya mak nak malu, kamu le yang malu.  Kenduri pakai talam saja!”  Jaliah ketawa.

“Mak memang arr,..Malaslah Ju macam ni,..”

“Dah jangan melalut lagi.  Dah siap bahan nak tumis kangkung?”

“Mak yang tumis tau.  Ju siapkan rencah aje, ye mak?”

“Perah santan tu.  Tak kan nak goreng saja ikan ni.  Kita kari lah.  Cuba tengok serbuk kari tu.   Okey lagi ke tak?”

Julia kembali menyelongkar peti sejuk milik emaknya.

“Cukup ke ni, mak?”

“Cukuplah.  Separuh kita kari, yang lebihnya kita goreng.  Cepatlah perah santan tu, ayah kamu balik nanti!”

“Ju perah santan aje ye?” Julia ketawa kecil.

“Ada lagi.  Nanti duduk makan kan?”

“Pandailah mak ni.  Tu Ju sayang kat mak tu!”

 

 

Jaliah mencedok kari ikan cencaru ke dalam mangkuk, lalu diletakkan perlahan di atas meja bersama ikan goreng dan sayur kangkung goreng belacan.  Jaliah bergerak semula membuka peti sejuk.

“Mak nak buat apa lagi tu?”

“Sambal belacan la.  Ju tolong potong timun ni!”

Julia mengambil timun yang dihulurkan oleh Jaliah kepadanya.  Timun tersebut dibasuh di singki, lalu dikupas kulitnya.  Jaliah memasukkan cili padi dan cili besar beserta belacan yang digoreng ke dalam mesin pengisar.

“Okey, kita boleh makan dah.  Ju tak cedok nasik?”

“Nasik?  Alamak!  Mak, ampunnnnn!  Ju lupa masak nasik!”

 

 

            Disebabkan kelalaian Julia memasak nasi tengahari itu, kedua beranak itu makan tengahari lewat.  Lewat pukul 2.00 petang barulah Jaliah dan Julia menikmati makan tengahari mereka.  Mujurlah Haji Salman menelefon Hajah Jaliah memberitahu dirinya tidak pulang makan tengahari.

“Mujur ayah kamu tak balik ni.  Kenapalah kamu macam ni, Ju?  Kalau kamu kahwin nanti macamana?  Dengan perangai tak bertanggungjawab kamu, ni.  Pening mak, Ju!”

Julia tidak memberi sebarang respons terhadap kata-kata emaknya itu.  Sedap sahaja Julia menikmati sambal belacan buatan ibunya.

“Kamu dah tak ada mulut ye, Ju?”

“Mak ni.  Nanti Ju cakap masa makan, mak marah pulak!  Siapa pula yang nak kahwin.  Ju nak kerja!  Nak kerja!”

“Baru tadi kamu cakap nak kahwin dengan laki kaya.  Lupa dah?  O nak kerja.  Tak ada pulak mak nampak kamu pergi interview ke?  Pos surat mintak kerja ke?  Udah berapa bulan kamu tu menganggur? Kamu tak bosan ke, Ju?” Jaliah kembali berleter, mengulangi ayat-ayat yang sama seperti hari-hari sebelumnya.

Mak dah start ni!  Getus hati Julia.

“Baru lima bulan.  Ayah tak kisah pun.  Mak kasilah ‘can’ Ju honeymoon puas-puas dulu.  Mana ada orang mintak kerja pakai surat la ni, mak.  Semua on-line.  Guna internet tu.  Mak bila nak belikan Ju phone baru?  Senanglah Ju nak berinternet di telefon.  Ni asyik pakai laptop cabuk tu.  Mak memang tak sayang Ju lah!”

“Udah le menganggur.  Telefon baru ye?  Kamu nampak sudu ni?”

Jaliah menunjukkan sudu kecil yang digunakan untuk mengambil sambal belacan kepada Julia.

“Susahlah ni kalu.  Camno Ju nak WhatsApp dengan kawan-kawan Ju.  Kan nak cari kerja ni!”

“Habis, kan laptop buruk kamu tu elok lagi.  Kamu jangan mengada-ngada ye!  Boleh saja telefon kawan-kawan kamu guna telefon buruk kamu tu!”  Jaliah tersenyum.  Mengakui kebenaran akan kata-kata Julia tentang telefonnya yang telah usang.

“Errm,..majuklah.  Tak nak makan.  Mujur dah habis,” Julia ketawa, mempamerkan giginya yang tersusun cantik.  Lesung pipit di pipi kirinya juga terserlah apabila gadis itu tersenyum.

Jaliah yang amat memahami perangai manja dan kebudak-budakan Julia tidak lagi melayan anaknya itu.  Makan tengaharinya diteruskan.

 

 

            Camner nak bukak ni.  Mesti sakit.  Aduyai betullah!  Julia membuka perlahan plaster luka yang membalut jari telunjuknya.  Paip air dipulas.  Air mencurah sejuk terkena kedua belah kaki Julia yang putih melepak.  Wuduk diambil oleh Julia dengan tertib.  Hampir pukul 3.00 petang, solat Zohor telah berjaya dilaksanakan oleh Julia.

Nak buat apa ni?  Bosanlah nak facebook.  Apa kata aku tidur aje!

Julia tersenyum sambil menggantung telekungnya.  Katil dijeling manja.  Tilam di atas katil itu seperti melambai-lambai Julia untuk merehatkan badan di atasnya. 

“Harap-harap mak pun tidur.  Kang dijeritnya aku!”

“Argh,..penatnya masak!”

Julia mendaratkan badannya ke atas tilam yang sedia menanti.  Matanya semakin mengecil, akibat mengantuk petang itu.  Tidak berapa lama selepas itu, Julia benar-benar lena dengan nyenyaknya.

 

 

            Suasana tengahari itu cukup indah sekali.  Julia berjalan keluar dari bilik diiringi oleh Mak Su.  Cantik ke aku ni?  Hisyy,..Malu pulak aku!  Julia meneruskan langkah, dan akhirnya tiba di ruang tamu.  Semua mata tertumpu kepada gadis yang akan bergelar tunangan tengku itu.

“Duduklah!”  Mak Su berbisik.

Julia duduk dengan dada berombak kencang.  Puan Sri Saloma memandang Julia sambil tersenyum.  Senyuman yang bagi Julia agak sinis.  Dah anak kau yang gilakan aku.  Bukan aku yang kejar anak kau!  Mata Julia meliar mencari buah hatinya, Tengku Hazrin.  Pandangan kiri, hampa.  Ya, pandangan ke kanan amat mengujakan.  Bakal tunangnya, Tengku Hazrin tersenyum mesra.  Senyuman yang begitu membuat Julia terpesona.  Kenapalah baru bertunang.  Nikah teruslah!  Tak sabar aku nak peluk cium bakal hubby aku tu.  Errr, geram sungguh.

“Tangan tu.  Tunjuk jari!”  Mak Su mengejutkan Julia.

Julia memandang ke hadapan.  Wajah seperti singa betina itu senyum lagi walaupun tidak ikhlas.  Puan Sri Saloma benar-benar berada di depannya.  Tanpa diduga, Puan Sri Saloma mencapai tangan Julia.  Sebentuk cincin yang bertakhta sebiji permata tersarung di jari manis Julia.

“Salam!”  Mak Su menyiku Julia kasar.

Julia dengan pantas mencapai tangan Puan Sri Saloma, lalu dicium perlahan.  Wahai ibu mertuaku, terimalah aku seadanya.  Aku bukan teruk sangat pun!

Puan Sri Saloma mendekatkan pipinya mencium pipi Julia.

“Kau jangan harap nak hidup senang dengan jadi menantu aku ye!”

Julia kaku mendengar kata-kata Puan Sri Saloma.  Hampeh punya bakal mak mertua.  Siap ugut lagi.  Aku kena sedia dari dibuli ni.  Demi Tengku Hazrin yang persis Farid Kamil, tak apa.  Aku akan berusaha.  Caiyok Julia.  Caiyok!

 

 

            Tiba pula giliran Tengku Hazrin mendekatinya.  Hati Julia berbunga riang dan segar.  Hatinya penuh dengan bunga-bunga ros seperti di Cameron Highland.

“U look so pretty my sweetheart!”  Tengku Hazrin bersuara perlahan.

“Thanks my hero,” Julia berkata malu.

“Rapatlah sikit.  Nak ambik gambar ni!”  Jaliah berkata kuat.

Julia yang sememangnya gedik, mengesot mendekati tunangnya.  Pandangan keduanya tertumpu ke hadapan, di mana jurugambar profesional yang diupah oleh Jaliah menjalankan tugas.

Tanpa sesiapa menduga, Puan Sri Saloma bangun dari duduknya meluru ke arah Tengku Hazrin.  Tangan Tengku Hazrin ditarik ganas.

“Dah!  Jom balik.  Menyampah mama tengok tunang kau yang gedik Tu!”

Tengku Hazrin dalam keadaan terpaksa mengikut langkah mamanya keluar dari ruang tamu menuju ke pintu.

“Sayangggggggggggg!”  Julia menjerit memanggil Tengku Hazrin.

Tengku Hazrin tidak mampu menjawab, cuma tangan kanannya dibawa ke telinga.  Isyarat berjanji untuk menghubungi Julia.  Julia tidak berpuas hati.

“Hazrin, tunggu I.  Tengku, tunggu I.  Tengku Hazrin sayangggggggggggggg!”

 

 

            Jaliah bercekak pinggang di tepi katil Julia.

“O, bukan main lagi mimpi kamu ya, Ju!  Tengku Hazrin sayang ye?  Siang-siang ni boleh mimpi romantik dengan tengku ye!”

Tangan Jaliah singgah di bahu Julia.  Bahu anak gadisnya itu digongcang kuat.

“Ermm,..mak.  Mana Hazrin mak?  Tengku Hazrin mana, mak?”

Senyuman Jaliah melebar di bibir.

“Kamu tak habis mimpi ye Ju?  Tengku Hazrin mana pulak ni?”

Dengan terpisat-pisat, Julia bangun dari baringnya, lalu duduk.

“Ju mimipi ekh?”

“Ye lah, mimpi.  Tak kanlah ada tengku yang nak datang rumah buruk kita ni.  Kamu

ni, udah-udah lah berangan tu.  Tengok, sampai mimpi-mimpi.  Siang hari pulak tu!  Kamu belum solat Asar kan?  Bangun.  Doa selepas solat.  Mana tau Allah tunaikan mimpi kamu tu nak kahwin dengan laki kaya.”

Julia tersenyum simpul mendengar bebelan emaknya yang kini bertukar menjadi harapan pula.  Tapi Tengku Hazrin tu memang handsomelah.  Handsome siot!

“Boleh sengih-sengih lagi.  Dah pukul 6.00 ni!”  Jerkah Jaliah.

“Okey-okey.  Ju nak solat lah ni.”

Julia bangkit dari duduknya.  Langkahnya diatur laju ke bilik air.  Julia melihat ayahnya baru masuk ke ruang tamu.  Langkahnya diteruskan ke bilik air.

 

 

            Jaliah keluar dari bilik Julia.  Senyum tipis diberikan kepada suaminya.

“Abang nak air?”

“Boleh juga.  Bagilah air sejuk.  Panas lagi walaupun dah nak senja!”

Jaliah berlalu ke dapur tanpa bersuara lagi.  Peti sejuk dibukanya.  Baki air sirap sewaktu makan tengahari tadi diambilnya.  Dua biji gelas dicapai dari rak pinggan.

“Minum, bang!” 

Jaliah menghulurkan gelas berisi air sirap itu kepada suaminya.  Air sirap diteguk laju oleh Salman.

“Apa yang bising-bising saya dengar di luar tadi tu?”

“Anak kesayangan abang tu lah.  Hangin saya ni dibuatnya!”

“Ju?”

“Hah, siapa lagi?”

“Apa yang dibuatnya pulak?  Saya tengok okey saja dia duduk di rumah.  Bukan buat hal merayau macam budak perempuan yang lain.” 

Wajah Jaliah ditenung oleh Salman.

“Memanglah dia duduk rumah ni.  Tak keluar merayap.  Tapi sampai bila dia nak menganggur tu?  Ijazah dia tu nak buat apa?  Asyik berangan saja di rumah.  Abang tau, tengahari tadi lunyai ikan cencaru saya dikerjakan.  Dah siap saya masak, boleh dia lupa masak nasik.  Mujur abang tak balik makan.  Kalau tak, abang pun mesti hangin!”

Salman hanya tersenyum mendengar cerita isterinya itu.  Salman menanti cerita lanjut dari Jaliah.

“Baru kejap ni dia buat hal lagi.  Tu yang abang dengar saya membebel tu!”

“Dia buat apa pulak, Hajah Jaliah oi?”

“Di mimpi apa tah.  Siap panggil tengku lagi.  Tengku mana entah yang dipanggilnya.  Tak habis-habislah tu berangan nak kahwin laki kaya.  Runsing saya, bang!”

“Hahaha!”

“Apa yang lucunya, bang?”  Jaliah merengus.

“Tak elok dalam usia senja kita ni, kita marah-marah.  Normallah gadis berangan kahwin laki kaya.  Kalau berangan kahwin laki pokai, itu baru tak normal.  Bukan awak pun suka lelaki kaya dulu?  Nasib tak baik dapat abang ni.  Sojar saja!  Dah pencen bawak teksi pulak!”  Salman meneruskan ketawa.

“Hisyy, abang ni.  Itu dulu.  Sekarang ni, yang penting laki tu baik.  Solat cukup, hormat orang tua.  Dapat bagi makan anak kita, cukup dah!”

“Eh, sudah tukar ka?  Bukan awak nak menantu kaya ke?”

“Abang janganlah perli saya.  Saya dah berubah.  Tengok Zul tu, kaya tak tara mananya, bongkak yang lebih.  Tidur rumah kita pun, tak mau.  Saya harap, biarlah Ju dapat orang biasa saja.  Tak payahlah jurutera macam Zul tu.  Berlagak nak M saya tengok!”  Gumam Jaliah marah.

 

 

“Eloklah awak dari sedar hajah oi.  Sejuk saya dengar.  Tapi tak elok awak doakan anak menantu awak tu mati.  Menjanda pulak Si Hani nanti,” Salman ketawa lagi.

“Bila saya doakan dia mati.  Cuma belagaknya tu tak tahan saya, bang.  Boleh duduk lama-lama dalam kereta, sebab rumah kita tak ada air-cond.  Budak bijak macam tu ke?  Tak hormat orang tua?  Pelik saya, abang.  Hani tu pun saya tengok dah terikut-ikut rentak suaminya.  Dah mula belagak.  Susah benar nak tidur rumah kita ni!”

“Kalau macam tu, kita kahwinkan Ju dengan bilal masjid kita sajalah,” Salman masih di dalam mood mengusik isterinya.

“Bilal Murad tu buat apa, bang!  Dahlah pokai, ada isteri.  Tua pulak tu!”  Jaliah menyiga.

“Dah awak nak menantu baik.  Sopan-santun kan?”  Ketawa Salman berterusan.

“Saya cakap betul-betul.  Abang main-main pulak ye?  Malam ni abang tidur ruang tamu lah!”  Jaliah jengkel dengan perangai Salman yang suka bergurau petang itu.

Julia muncul di ruang tamu, lalu duduk di sebelah Salman.  Selain manja dengan emaknya, Julia juga amat manja dengan ayahnya.

“Siapa tengku tu?”  Salman melirik anak perempuannya mesra.

“Err, mak cerita ye?  Mak ni tak boleh rahsia langsunglah!”

“La, apa nak dirahsiakan dengan ayah kamu pulak.  Tu baik-baik dengan ayah kamu tu, ada hajatlah tu!”  Jaliah mencebik.

“Ada hajat ye?  Cerita dulu siapa tengku tu?  Sampai mimpi-mimpi lagi!”

“Entah.  Ju mimpi bertunang dengan dia.  Tapi mak dia tak suka.  Mak dia tarik tangan Tengku Hazrin tu masa tunang!  Kurang asam punya mak mertua!”

Salman ketawa kuat, terasa lucu mimpi anak gadisnya itu.  Jaliah pula sebaliknya.  Tetap mencebikkan wajahnya.

“Malam ni kita makan luar ye, ayah?  Mak paksa Ju makan ikan jeket.  Kangkung lembik.  Bolehlah, ayah ye?”  Julia merengek manja kepada Salman.

“Habis membazir baki lauk siang tadi tu!”

“Alah, sekali-sekala nak makan luar, apa salahnya.  Bukan Ju ajak kita pergi makan hotel.  Di kedai biasa saja!”  Salman mencantas kata-kata Jaliah.

“Ha, manjakan sangatlah anak perempuan abang tu.”

Jaliah bangun, meninggalkan dua beranak tersebut di ruang tamu.

“Ju nak makan apa sebenarnya?  Kesian lauk mak tengahari tu tak habis!”

“Sate.  Bolehlah ayah.  Esok-esok Ju dah dapat kerja Di KL.  Ha, dah kahwin dengan orang kaya ke?  Kan susah Ju nak bermanja dengan ayah!”

“Bilanya nak kerja?  Mak dah bising tu.  Ju cari kerja ke tak ni?”

“Beribu dah Ju isi form on-line cari kerja.  Yang kerajaan punya, tak adanya dipanggil interview.  Swasta pulak, Ju kena selalulah walk-in.  Ju kena pergi KL.  Tinggalkan mak dan ayah.  Macam belum puas saja nak bermanja dengan ayah dan mak!”

“Kalau macam tu, Ju cari kerja di sini sajalah.  Yang hari tu Ju pergi PPD, tak kan tak ada apa-apa?”

“Mereka suruh Ju tunggu.  Kalau ada kosong, nanti diaorang call!”

 

 

            Telekung digantung semula oleh Julia di luar almari.  Hati Julia riang untuk keluar makan malam bersama emak dan ayahnya malam itu.  Julia bernyanyi-nyanyi kecil.

Wajahnya yang mulus ditatap lama di cermin.  Tanpa menggunakan ‘foundation’, Julia menyapu ‘bedak compact’ ke mukanya.

“Bilalah nak pakai bedak Mac ni?  Lancome ke?  Manalah orang kaya ni?”

Sambil membebel seorang diri, Julia meletakkan bedak compact berjenama Avon itu, lalu mengambil gincu bibir pula.  Gincu dari jenama yang sama itu ditonyoh ke bibir.

“Kalaulah ni lipstick Cristian Dior ni!  Aduyai, betullah.  Kalaulah betul Tengku Hazrin tu betul wujud,..Kalaulah...”

Julia kembali mengingati mimpinya siang itu.  Sememangnya Tengku Hazrin begitu tampan.  Berkulit putih, berhidung mancung, dan mempunyai ketinggian yang sempurna.  Betul-betul lelaki idaman yang sempurna untuk Julia.

“Ju!  Ju!  Ayah dah hidupkan enjin tu!”  Jaliah melaung di luar pintu bilik.

Julia gabra.  Alamak, ayah dah masuk kereta.  Mana tudung ni?  Julia dengan cepat mencapai tudung ‘serlung’ lantas diserlungkan ke kepalanya.  Okey lah.  Kan makan kat kedai aje pun!  Julia ketawa seorang diri.  Julia tiba di ruang tamu.  Jaliah menunggunya dengan muncung di bibir.

“Mak ni, senyumlah sikit.  Tak comei lah muncung lagu tu!”

“Mak tak comel tak apa.  Dah tua.  Yang kamu tu, eloklah sikit tudung tu.  Senget-benget mak tengok!”  Jaliah ketawa.

“Alah, makan kedai aje.  Kalau kahwin laki kaya nanti, Ju pakailah tudung belit-belit tu.  Atau pun tudung tiga atau empat layer mak mertua Fizo Omar punya tu.  Tudung Fareeda!”

“Ponnnnnnnnnnn!”

“Banyak kamu punya tudung Fareeda.  Tu ayah dah hon tu.  Cepat!”  Jaliah berjalan pantas menuju pintu.  Julia laju membuntuti emaknya.

 

***** Okey tak?  Sila komen!

 

 

  

 

 

 

 

 

1 comment: