Bab 1
Adelia Saffya bangun dari baringnya, dan
duduk termanggu di birai katil. Hatinya
tidak gembira dengan keputusan yang dibuatnya sendiri pagi itu. Keputusannya yang ponteng kelas dan mahu melepak
seharian di rumah sewa. Perlahan, Adelia
bangun menuju ke arah almari pakaian, di mana tergantung tuala di luarnya. Tuala berwarna merah menyala itu ditarik
lembut. Adelia membuka pintu bilik. Suasana di luar bilik telah sunyi sepi. Tentunya rakan-rakan serumah Adelia seramai 5
orang itu telah keluar rumah menuju kampus.
Adelia tidak terus ke bilik air, sebaliknya berjalan menuju ke
dapur. Tiba di dapur Adelia membuka peti
sejuk dan mengeluarkan sekotak air soya.
Penutup kotak air soya dibuka perlahan, dan dengan perlahan juga air
soya tersebut dituang ke dalam gelas.
Air soya di dalam gelas diteguk perlahan. Gelas yang telah kotor dibawa ke sinki dan
dibasuh dengan pantas. Kotak air soya
dimasukkan semula ke dalam peti sejuk.
Berbekalkan tuala yang tersangkut di bahu, Adelia menuju bilik air. Bau badannya yang tidak mandi, biarpun jam
telah menghampiri pukul sepuluh pagi, merimaskan diri Adelia sendiri.
“Busuknya! Nasib baik tak ada suami. Kalau tak tentu suami pun lari,”Adelia
berkata seorang diri.
Air
paip yang membasahi tubuh Adelia membangkitkan kesegaran, sekaligus
mencergaskan fizikal gadis kecil molek itu.
Wangian mandian ‘Lifebuoy’ beraroma ‘lemon fresh’ berjaya menyegarkan
kembali tubuh Adelia yang layu tidak bermaya.
Selesai mandi, Adelia keluar dari bilik air.
“Eh, kau tak pergi kelas?”Anita menegur
Adelia kasar.
“Aku pening sikit. Pehal kau balik awal pulak?”Adelia bertanya
Anita kembali.
“Aku malas hari ni. Tapi kelas tutorial petang nanti aku pergi
balik,”Anita menjawab sambil berjalan menuju ke biliknya. Adelia masuk ke dalam bilik. Badannya yang hanya dibaluti sehelai tuala
digantikan pula dengan sehelai seluar jeans berwarna biru gelap dan sehelai
‘blaus’berwarna putih. Setelah lengkap
berpakaian, Adelia mengenakan make-up yang agak tebal seperti selalu. Bedak muka berjenama ‘Mac’ menghiasai
wajahnya yang mulus. Begitu juga dengan
peralatan solek yang lain, semuanya dari jenama terkenal tersebut. Adelia memandang lagi wajahnya di
cermin. Adelia tersenyum pahit. Baru kini dia menyedari perbezaan wajahnya
dari Datin Hanim. Rupa-rupanya wanita
yang dipanggil mama oleh Adelia untuk sekian lama itu, bukanlah ibu kandungnya
yang sebenar. Adelia kembali duduk di
birai katil. Hasratnya untuk keluar
mencari makanan terbantut. Kepala Adelia kembali berserabut dan tidak
tenteram. Setakat ini tiada siapa yang
tahu statusnya yang hanya anak angkat Datin Hanim dan Datuk Aman Zainal.
Perut
Adelia terasa perit. Sejak petang
semalam, Adelia tidak memasukkan apa-apa makanan ke dalam perutnya. Namun begitu, Adelia masih tidak berupaya
untuk makan sebarang makanan. Hatinya
tetap tidak tenteram sejak mendengar pengakuan jujur Datin Hanim dan Datuk Aman
Zainal. Adelia tidak pasti samada mahu
marah terhadap Datin Hanim dan Datuk Aman Zainal yang merahsiakan perkara
tersebut atau tidak. Atau pun mahu
menyalahkan takdir hidupnya. Adelia memandang
sepi telefon bimbit di atas meja. Sejak
semalam, Adelia mematikan telefon bimbitnya.
Biarlah mama kekalutan menelefonnya, biarlah daddy resah memikirkannya, Abang
Suffian kebimbangan memikirkannya, dan Mikhael tercari-cari akan dirinya di
kampus.
Ibu
kandung? Adelia baru tersedar, perkataan
ibu kandung yang keluar dari mulut mamanya petang semalam.
“Ibu kandung adik, nak jumpa adik
sangat. Mama minta maaf sayang, mama tak
berniat tipu adik.”
Perlahan air mata Adelia menitis. Perasaan sedih dan terharu menguasai segenap
ruang hatinya. Hatinya menyatakan hasrat
yang begitu kuat untuk mengetahui siapa ibu kandungnya dan menerima penjelasan
mengapa perlu dia menyerahkan Adelia kepada orang lain. Air mata yang menitis di pipi dikesat
perlahan. Perutnya semakin perit. Adelia mengambil keputusan untuk keluar
membeli maknan. Tiba di ruang tamu,
loceng rumah berbunyi.
“Siapa pula yang lupa bawa kunci rumah
ni?”Adelia merungut seorang diri. Pintu
apartmen dibuka. Haykal Suffian tersenyum
manis di luar grill.
“Kenapa abang datang? Mama yang suruh?”Adelia bertanya kepada Suffian
sambil membuka manggga yang tersangkut pada grill.
“Ekh, jumpa adik pun dah tak boleh? Dahlah call berpuluh kali tak dapat. Mama dan daddy risau tu,”Suffian menjawab
perlahan.
Adelia menutup pintu dan memasang
kembali mangga grill. Adelia berjalan
menuju ke arah lif tanpa mempedulikan Suffian.
Langkah Suffian laju menuruti langkah Adelia yang pantas. Mereka berdua masuk ke dalam perut lif. Di dalam lif, Adelia diam seribu bahasa.
“Orang tu tak cantik tau, kalau marah,”Suffian
memecah kesunyian di dalam lif. Adelia
tetap membisu. Pintu lif terbuka. Adelia keluar, diikuti oleh Suffian. Adelia bergerak pantas mencari
keretanya. Langkahnya terhenti seketika
memikirkan di mana dirinya meletakkan kereta semalam. Suffian yang memahami keadaan Adelia sekadar
tersenyum.
“Lupa letak kereta ekh?”
Suffian ketawa. Adelia tidak menjawab,
hanya menambah cuka ke wajahnya agar kelihatan lebih keruh di mata abangnya, Suffian. Suffian mendekati Adelia.
“Jom naik kereta abang. Mesti belum lunch ni,”Suffian berkata sambil
menarik tangan Adelia. Adelia menepis
lembut tangan Suffian.
“Abang lupa yang adik sebenarnya bukan
adik abang?”Adelia bertanya perlahan.
Sejurus itu air mata Adelia mengalir.
Suffian terkaku, tidak tahu bagaimana untuk memujuk Adelia. Suffian membiarkan sahaja sehingga tangisan
Adelia reda.
“Abang, adik lapar,”Adelia berkata
setelah mengesat air matanya. Suffian
tersenyum lebar, gembira mendengar kata-kata Adelia.
“Kita makan? Adik nak makan apa ni?”Kasih-sayang yang
menggunung tinggi untuk Adelia jelas terpancar di dalam diri Suffian.
“Makan hati!”Adelia mengeluarkan
kata-kata tanpa perasaan sambil berjalan beriringan bersama Suffian menuju ke
kereta. Suffian tidak menjawab kata-kata
Adelia, sebaliknya menekan ‘remote control’ keretanya perlahan. Suffian membukakan pintu kereta untuk Adelia.
“Abang masih sayangkan adik? Adik bukan adik abang!”Adelia memandang wajah
Suffian lembut, terasa benar hubungan
mereka akan berubah setelah Adelia mengetahui kebenaran tentang dirinya. Suffian tidak menjawab pertanyaan Adelia,
sebaliknya memakai tali pinggang keledar di pinggang dan memulakan
pemanduannya. Melihat Suffian tidak
mengendahkan pertanyaannya, Adelia mengalih pandangannya yang mengadap Suffian ke hadapan kereta. Hati Adelia semakin tidak keruan, apabila
memikirkan satu-satunya saudaranya, lelaki yang dianggap abang kandungnya akan
berhenti menyayanginya. Sungguh Adelia
tidak akan mampu menerima hakikat tersebut.
Suffian
memandu penuh cermat membelok ke kawasan elit di Kota Damansara.
“Mama
tentunya gembira apabila dirinya berjaya membawa pulang puteri
kesayangan keluarga yang terus pulang ke rumah sewa apabila mengetahui perkara
sebenar semalam,”hati Suffian bersuara.
“Mama tentu masak sedap untuk kita hari
ni. Adik lapar kan?”Suara Suffian lembut
menguasai ruang kereta. Adelia diam
membisu. Gilirannya kini untuk tidak
mengendahkan kata-kata Suffian. Kereta
memasuki perkarangan banglo kepunyaan Datuk Aman Zainal dan Datin Hanim. Entah mengapa Adelia merasakan banglo
tersebut begitu asing baginya sedangkan dirinya membesar di situ. Seawal ingatannya, laman banglo yang dilitupi
rumput menghijau itu adalah tempat permainannya dengan Abang Suffian sewaktu
kecil. Kolam mandi yang berada di tepi
laman menghijau itu pula tempat Abang Suffian berenang pada waktu malam, dan Adelia
membaca novel menemaninya. Ah, semuanya
kini tinggal kenangan. Kearkaban Adelia
dan Abang Suffian pasti ada batasnya kini.
Adelia merintih pilu di dalam hati.
Pintu kereta dibuka dari luar.
Adelia terkejut.
“Puteri abang tak nak keluar ke? Mama dah tunggu tu!”
Adelia
membuntuti Suffian masuk ke dalam banglo.
Datin Hanim menyambut Adelia di ruang tamu. Datin Hanim yang cantik bergaya mengenakan ‘blaus’
dan skirt kembang yang sedondon warnanya.
Rambut Datin Hanim masih cantik, mengurai cantik di paras bahu. Hati Adelia semakin pilu, menyedari perempuan
cantik dan penyayang di depannya itu bukanlah ibu kandungnya. Adelia perlu bersedia untuk kehilangan Datin
Hanim, Abang Suffian dan juga Datuk Aman Zainal di dalam hidupnya kini. Datin Hanim meluru memeluk Adelia. Adelia terkejut dengan tindakan Datin Hanim
itu, sementara Suffian tersenyum meleret melihatnya.
“Adik jangan buat macam ni lagi. Terus balik rumah tak jawab call. Dah tak sayang mama? Daddy?
Abang?”Datin Hanim bertanya bertalu.
Air mata Datin Hanim mula menitis.
Adelia hanya kaku di dalam pelukan Datin Hanim. Suffian merasakan dirinya perlu meredakan
drama yang terjadi di antara Datin Hanim dan Adelia, memandangkan perutnya
telah berkeroncong dan waktu makan tengaharinya bila-bila masa sahaja akan
berakhir. Suffian kembali tersenyum,
menyedari dirinya bekerja di syarikat ayahnya sendiri, Datuk Aman Zainal yang
dipanggil daddy. Siapa yang akan
memarahi dirinya sekiranya dia pulang lewat ke pejabat tengahari itu.
“Mama, adik lapar tu. Sejak semalam tak makan lagi,”Suffian
mengejutkan Datin Hanim yang masih memeluk Adelia. Datin Hanim meleraikan pelukannya ke atas
Adelia.
“Jom, kita makan. Mama masak masakan kesukaan adik. Ayam masak merah.”Datin Hanim menarik tangan
Adelia menuju ke ruang makan. Di ruang
makan ketiga-tiganya disambut oleh Tuminah yang sibuk mencedok nasi ke dalam
pinggan. Tuminah tersenyum menyambut
ketibaan tiga beranak yang kembali bersatu itu.
“Bik masak apa hari ni? Tak sedap saya hantar Bik balik
Surabaya!”Suffian menarik kerusi untuk duduk.
“Tuan Suffian ni ada-ada saja. Bukan Bik yang masak. Tu datinnya yang masak. Ya sana antarinya datin ke Surabaya kalau
enggak sedap,”Tuminah membalas usikan Suffian.
Suffian ketawa, diikuti oleh Datin Hanim dan Adelia.
“Saya minta maaf ya datin, gurau
saja,”Tuminah berkata sambil berlalu meninggalkan ruang makan. Suffian yang sememangnya lapar dengan pantas
mengambil ayam masak merah masakan Datin Hanim dan mula menjamah hidangan
tengaharinya.
“Fian, adik tu nak biar saja makan nasi
kosong?”Datin Hanim bertanya tiba-tiba.
Suffian tersentak, sayur campur yang sedang diambilnya terus diletakkan
di pinggan Adelia. Selepas itu, seketul
ayam masak merah juga diletakkan di dalam pinggan Adelia.
“Sotong nak tak?”Suffian memandang wajah
adik kesayangannya. Adelia menggelengkan
kepala.
“Apa lagi, makanlah. Penat mama masak tadi tau. Kalau harapkan Bibik, hari-hari tempe
goreng,”Datin Hanim memandang dua orang anak kesayangannya. Adelia mencapai sudu dan garpu, lalu mula
menjamah hidangannya. Masakan mamanya
itu memang sedap, tetapi hati Adelia masih rawan, memikirkan nasib hidupnya. Dapatkah dirinya merasa masakan Datin Hanim
seperti selalu setelah satu keluarga mengetahui hakikat yang sebenar tentang
dirinya?
“Abang
hantar adik balik malam nanti tau.
Tunggu abang balik. Jangan balik
sorang-sorang ambil teksi.”
Suffian meletakkan sudu dan garpunya di
pinggan, bangun dari kerusi lalu menyalami Datin Hanim.
“Abang balik office kejap. Tunggu abang balik!”Suffian mengingatkan
Adelia sekali lagi sebelum meninggalkan ruang makan. Datin Hanim tersenyum penuh makna melihat
kasih-sayang yang tidak bertepi Suffian terhadap adiknya itu. Datin Hanim mengambil gelas minuman berisi
air berperisa oren, lalu diminumnya.
Datin Hanim meletakkan gelas minumannya kembali.
“Adik marahkan mama?”Datin Hanim
memandang wajah Adelia penuh mesra.
Adelia tidak menjawab, sebaliknya hanya menggelengkan kepala.
“Mama minta maaf kerana merahsiakan hal
ini dari adik. Mama sayangkan adik, dan
tak mahu adik berjauh hati atau meragui kasih-sayang mama setelah mengetahui
kedudukan adik. Maafkanlah mama, daddy
dan Abang Suffian.”Datin Hanim menanti balasan kata-kata dari Adelia.
“Apa perlu adik lakukan mama? Adik keliru!
Mama mahu adik kembali ke pangkuan keluarga sebenar adik?”
Datin Hanim terkejut dengan kata-kata
Adelia.
“Tidak, sayang. Ibu kandung adik hanya mahu berjumpa adik,
mengenali adik. Itu sahaja. Adik tetap anak mama, anak daddy dan adik Abang
Suffian. Jumpalah ibu kandung adik. Sayangilah dia seperti mana adik menyayangi
mama. Mungkin dia ada alasan kukuh
melepaskan adik kepada mama dan daddy,”Datin Hanim berkata panjang lebar. Adelia menahan air matanya yang cuba keluar
sebaik mungkin. Adelia sedar, jika air
matanya gugur, bagaimana nanti keadaan Datin Hanim. Orang yang paling risau akan kehilangan
dirinya di dalam keluarga itu tentunya Datin Hanim.
Adelia
membuka perlahan pintu biliknya. Bilik
mewah tentunya, memandangkan dirinya merupakan anak bongsu kepada Datin Hanim
dan Datuk Aman Zainal. Bilik yang
dilengkapi pendingin udara, bilik air, peti televisyen, almari pakaian yang
luas, meja solek, meja belajar dan sebuah katil bersaiz king itu dilihat sayu
oleh Adelia. Sungguh Adelia merasakan
dirinya tidak layak untuk memiliki bilik yang secantik itu. Adelia mula menyedari siapa dirinya yang
sebenar. Adelia perlu bersedia
menghadapi pelbagai kemungkinan, terutamanya kemungkinan untuk meninggalkan
bilik dan banglo yang dihuninya itu.
Adelia membaringkan badannya di atas katil. Mungkin juga katil tersebut akan ditinggalkan
untuk selama-lamanya. Hati Adelia
benar-benar dipagut rasa pilu. Tumpuan
otaknya kini ligat memikirkan siapa sebenarnya ibu kandungnya? Mengapa perlu dirinya diserahkan kepada
keluarga angkat? Mengapa? Siapa dia?
Berapa orang adik-beradiknya?
Siapa pula ayah kandungnya? Di
dalam keserabutan fikirannya itu, Adelia terlelap.
Petang
itu, Suffian mendahului Datuk Aman Zainal untuk pulang. Suffian menolak pintu bilik Adelia
perlahan. Suffian melihat Adelia terlena
sambil memeluk ‘teddy bear’ berwarna
merah jambu pemberiannya. Suffian
berjalan perlahan mendekati Adelia. Hati
Suffian tiba-tiba sayu. Takut benar
Suffian jika Adelia mengambil keputusan meninggalkan keluarga. Fikiran waras Suffian tiba-tiba berfikir
ligat, menyedari tindakannya yang masuk ke bilik adik angkatnya itu ternyata
salah. Suffian dengan cepat keluar dari
bilik Adelia dan menutup pintu bilik Adelia perlahan. Di luar pintu, Datin Hanim memandang Suffian
yang kekalutan.
“Adik tidur, mama. Mama tolong gerak. Dah nak Maghrib ni!”Suffian berkata laju
menyembunyikan kekalutannya. Datin Hanim
tersenyum tipis.
“Fian tau, Fian tak boleh rapat macam
dulu lagi kan dengan adik? Lebih-lebih
lagi lepas adik tau siapa dirinya?”Datin Hanim bertanya lembut. Suffian mengangguk.
“Maafkan Fian, mama. Mama kan tau, Fian sayangkan adik
macamana? Fian tak akan masuk bilik adik
lagi. Tadi, Fian ingat nak kejutkan adik
saja! Fian tak buat apa-apa, mama,”Suffian
memberi penerangan agak panjang kepada
Datin Hanim.
“Mama tau. Mama cuma nak ingatkan Fian. Adelia bukan adik Fian. Mama harap, Fian faham maksud mama.”
Datin
Hanim masuk ke dalam bilik Adelia.
Satu-satunya anak perempuannya sedang lena sambil memeluk ‘teddy bear’
berwarna merah jambu. Seingat Datin
Hanim, ‘teddy bear’ tersebut merupakan pemberian dari Suffian. Bagi Datin Hanim, Suffian sememangnya
menyayangi adiknya itu, walaupun Suffian menyedari dari dulu, Adelia bukan adik
kandungnya. Datin Hanim merapati katil
Adelia.
“Adik, bangun. Dah nak Maghrib ni! Ni mesti lupa solat Asar ni,”Datin Hanim
berkata perlahan. Adelia membuka matanya.
“Pukul berapa ni, mama?”
“Dekat pukul 7 dah! Cepat mandi.
Lepas tu solat Maghrib. Nak balik
rumah sewa kan? Esok ada kelas?”Datin
Hanim berkata seolah memberi arahan.
Adelia bangun dan duduk di katilnya.
“Maafkan adik, mama. Adik mandi sekarang. Eh, abang dah balik? Abang janji nak hantar adik balik
tadi,”Adelia berkata laju.
“Dah, nanti lepas Maghrib, abang hantar
adik. Cepat mandi. Busuknya anak dara mama ni!”Datin Hanim
ketawa.
“Mama ni!”Adelia turut ketawa.
Datin Hanim keluar dari bilik Adelia,
sementara Adelia masuk ke bilik air.
Selesai menunaikan solat Maghrib,
Adelia turun ke ruang tamu mencari Suffian.
“Mana abang ni. Esok ada kelas pukul 8 ni,”Adelia merungut
seorang diri. Tuminah muncul di ruang
tamu, mencari-cari seseorang.
“Mana abangnya? Tuan Suffian?
Bik dah siapkan makan malam. Datin
dan datuk juga mana?”Tuminah menagih jawapan dari Adelia. Adelia sekadar mengangkat bahu. Tuminah berjalan pantas ke tingkat atas
mencari Datin Hanim dan Datuk Aman Zainal.
Adelia tersenyum melihat kelibat Suffian di tepi kolam renang. Suffian sedang bercakap di telefon bimbit. Adelia berjalan perlahan mendekati Suffian,
cuba mendengar tutur kata yang dibicarakan oleh abangnya itu. Setelah pasti Suffian mengakhiri perbualannya,
Adelia sengaja batuk di sisi Suffian.
Suffian menoleh serta-merta.
“Abang tak dating dengan Kak
Amanda?”Adelia bertanya nakal.
“Curi dengar ya? Ni mana Mikhael ni?”Suffian menjawab
pertanyaan Adelia dengan pertanyaan juga.
“Entah.
Phone off sejak semalam. Keluar
dengan perempuan lain kot!”Adelia menjawab sempoi. Tiba-tiba Adelia mengingati lelaki yang
bergelar kekasihnya itu. Bagaimana
penerimaan Mikhael sekiranya dia mengetahui rahsia besar hidupnya itu. Dirinya bukan anak datuk yang Mikhael sangkakan
selama ini.
“Diam pulak? Kalau Mikhael ada perempuan lain betul-betul
baru tau!”
“Solo lah. Mungkin ada putera raja untuk adik yang entah
dari mana asal keturunan ni. Siapa
tau,”Adelia menjawab dengan nada sebak.
Suffian kurang senang dengan kata-kata Adelia.
“Adik!
Abang tak suka adik cakap macam ni.
Ha, balik sorang-soranglah.
Mengada sangat!”Suffian menduga adik kesayangannya itu. Tuminah datang menghampiri dua beradik yang
sedang berbicara itu.
“Datuk dan datin panggil. Udah sejuk nanti sup ayam Bik bikin. Aduh, Cik Adelia ni. Macam-macam.
Bikin Bik juga sedih saja,”Tuminah mencelah, dan kini mangsanya Adelia
pula.
“Kenapa dengan saya Bik? Kan saya memang tak makan malam. Bik lah makan. Saya nak balik. Abang, adik balik dulu,”Adelia berjalan
meninggalkan Suffian dan Tuminah.
Suffian bergerak pantas mengejar Adelia.
“Teman mama, daddy, dan abang dinner
dulu. Lepas tu abang hantar balik. Ish-ish, makin manja sekarang ni,”Suffian
memujuk Adelia.
“Habis Kak Amanda?”Adelia memandang Suffian
di depannya.
“Esok boleh jumpa dia. Adik tu, lebih abang risau. Mood tak stabil. Esok kelas pagi pukul berapa ni?”Suffian
masih memujuk Adelia.
“8.00 pagi. Cepatlah hantar balik. Kalau tak, adik merajuk lagi. Tak nak balik rumah lagi. Padan muka abang. Nak buli siapa nanti? Bibik?”Adelia meneruskan langkah masuk ke
dalam banglo dan menuju ke ruang makan.
Datin Hanim dan Datuk Aman Zainal telah sedia menanti di meja makan.
“Mama, daddy, abang ni janji nak hantar
adik balik. Main-main. Nak pergi dating dengan Kak Amanda pulak!”Sengaja
Adelia mengumpan Datin Hanim dan Datuk Aman Zainal agar memarahi Suffian.
“Fian, bukan janji nak hantar adik. Nak dating pulak?”Datin Hanim memandang
Suffian yang baru tiba di meja makan.
Suffian duduk menjeling Adelia yang sengaja membiarkan dirinya menerima
leteran percuma dari Datin Hanim.
“Hantar adik balik tu. Esok ada kelas pagi kan?”Datuk Aman Zainal
berkata perlahan.
“Mama dan daddy percayalah cakap adik
tu. Siapa yang nak dating?”
“Eleh, tadi bukan main lagi. I love u, i miss u. I tak boleh hidup tanpa jumpa u!”Adelia
menjelir lidahnya kepada Suffian.
“Adik!
Tak baik buat abang macam tu!”Datin Hanim menegur perbuatan Adelia.
“Sorry mama. Abang cepatlah makan. Sejuk nanti sup Bibik buat tu. Kan daddy kan?”Adelia meminta sokongan Datuk
Aman Zainal. Datuk Aman Zainal hanya
tersenyum.
“Ni
mesti Mikhael sibuk cari adik ni. Tu
sibuk nak cepat balik tu. Menyesal
tinggalkan phone tengahari tadi kan?”
Suffian mula memandu keluar dari kawasan
banglo.
“Ya lah.
Tak kan orang tu saja yang angau dengan tunang!”Adelia membalas
kata-kata Suffian. Suffian tersenyum,
dirinya sedar kehadiran Amanda sebagai tunangnya sedikit sebanyak menimbulkan
cemburu di hati Adelia. Begitu juga
dengan hadirnya Mikhael di dalam hidup Adelia, Suffian sentiasa resah
memikirkan keselamatan adik kesayangannya itu.
“Esok-esok kalau dah kahwin mesti
lupakan adik terus. Kak Amanda tu kan
cantik, seksi, lemah lembut,”Adelia masih belum puas meresahkan Suffian.
“Kasih-sayang abang kat adik tak pernah
berubah. Adik tu lah, abang risau if
lupakan abang, mama dan daddy kalau,..”Suffian berhenti di situ.
“Kalau apa? Adik kembali ke pangkuan keluarga kandung
adik? Abang mesti suka. Tak ada sesiapa yang nak susahkan abang lagi
kan?”
“Adik!
Cakap bukan-bukan lagi, abang turunkan adik kat tepi jalan,”nada suara
Suffian berubah tinggi.
“Abang memang tak sayangkan adik. Berhenti kat depan tu. Adik ambik teksi!”
“Betul ke drama ni? Aduhai, mujur ada adik sorang sahaja. Kalau tak pening kepala abang,”nada suara
Suffian kembali lembut.
Suffian mengimbas kenangan seawal
usianya tujuh tahun. Mama dan daddy
membawa pulang seorang bayi perempuan ke banglo mereka. Pastinya Suffian orang yang paling gembira
kerana tidak lagi kesunyian. Kebosanan
mama juga telah terubat dengan kehadiran bayi tersebut yang diberi nama Adelia
Saffya. Suffian menyayangi adiknya itu
tanpa berbelah-bahagi walaupun sedar, Adelia Saffya bukan darah dagingnya.
“Abang!”Adelia menjerit memanggil
Suffian. Suffian agak terkejut, lalu
memandang Adelia sekilas.
“Abang temankan adik jumpa ibu kandung
adik nanti ya?”Adelia menanti jawapan Suffian.
Suffian tersenyum, memandang Adelia yang dilihat tidak keruan setelah
mengetahui status dirinya dalam keluarga Datuk Aman Zainal dan Datin Hanim.
“Tapi janji, adik tak kan tinggal dengan
keluarga kandung adik! Adik tetap adik
abang,”Suffian akhirnya menjawab perlahan.
Adelia diam seribu bahasa mendengar
jawapan Suffian. Kereta yang dipandu oleh
Suffian sampai di apartmen Adelia.
“Nak abang teman naik lif?”Suffian
bertanya lembut.
Adelia menggelengkan kepalanya
perlahan. Adelia membuka pintu kereta
dan turun dari kereta. Adelia berjalan
meninggalkan kereta Suffian. Suffian
memerhatikan langkah Adelia yang longlai tidak bermaya. Suffian menurunkan cermin keretanya.
“Adik!”Suffian memanggil Adelia kuat. Adelia berhenti melangkah dan menoleh.
“Ada apa-apa call abang!”Suffian
menghadiahkan senyuman manis buat Adelia.
Adelia menyambutnya tawar.
Langkah Adelia diteruskan menuju lif dengan hati yang masih tidak
tenang. Pintu lif ditekan. Adelia masuk ke dalam lif, meninggalkan Suffian
yang masih setia memerhatikan adiknya itu dari jauh.
Masuk
sahaja di dalam apartmen, Adelia terus masuk ke dalam bilik dan tidak
mengendahkan rakan-rakan serumahnya yang sedang menonton televisyen. Teman sebiliknya, Tina sedang asyik membelek
telefon bimbit.
“Balik dating still monyok?”Tina
memandang Adelia sesaat.
“Balik rumahlah,”Adelia menjawab
pendek. Adelia mencapai telefon
bimbitnya di atas katil. Telefon yang
dimatikan sejak semalam dihidupkan kembali.
Seperti diduga terdapat panggilan yang tidak dijawab dari mama, Abang
Suffian dan tentunya dari Mikhael. Tidak
ketinggalan panggilan dari teman baiknya, Suraya. Adelia membaca nota ringkas melalui aplikasi
WhatsApp yang dihantar oleh Mikhael.
Hatinya berbelah-bahagi untuk menelefon Mikhael kembali atau tidak. Syed Mikhael!
Syed Mikhael! Syed Mikhael! Lelaki berusia 23 tahun itu merupakan pelajar
tampan kegilaan ramai. Berbekalkan
status sebagai anak tan sri, Syed Mikhael Tan Sri Syed Mustapha tentunya
mempunyai pakej lengkap sebagai seorang lelaki idaman. Sebagai lelaki metroseksual, Syed Mikhael
menjaga penampilan dirinya cukup rapi sekali, dengan pakaian berjenama dan
diakhiri dengan kereta sport mewah yang tentunya dari keluarga. Adelia tidak mengetahui samada dirinya
bertuah atau tidak menjadi pilihan Mikhael.
Dalam usianya baru menginjak 21 tahun, Adelia sedar masih terlalu awal
bagi dirinya mempunyai pasangan hidup.
Mama tidak membantah apabila Adelia memberitahu mempunyai teman istimewa
di kampus, begitu juga dengan daddy.
Namun ianya tidak disenangi oleh Abang Suffian. Abang Suffian memberikan alasan Adelia masih
terlalu muda untuk berpacaran, lebih-lebih lagi dengan lelaki pujaan ramai
seperti Mikhael. Adelia masih teringat
bagaimana Abang Suffian kurang senang dengan hubungannya bersama Mikhael.
“Siapa Mikhael?”
Suffian tiba-tiba muncul sewaktu Adelia
memperkatakan tentang Mikhael kepada Datin Hanim. Adelia tersenyum kelat ketika itu. Datin Hanim sekadar tersenyum mendengar
respons tidak menggembirakan dari Suffian.
“Kawan adik di kampus. Biarlah mereka berkawan,”Datin Hanim menjawab
bagi pihak Adelia.
“Nama penuh? Bawak dia jumpa abang!”Suffian seakan memberi
arahan.
“Syed Mikhael Tan Sri Syed Mustapha. Adik kawan saja. Bukan apa-apa pun. Buat apa bawa jumpa abang? Abang ni suka fikir bukan-bukan,”Adelia
berkata perlahan.
“Syed Mikhael? Anak Tan Sri Syed Mustapha? Bukan buaya ke budak tu, mama?”Suffian
bertanya kepada Datin Hanim spontan.
“Ish, manalah mama tau. Fian yang berurusan dengan kawan-kawan
daddy,”Datin Hanim menjawab jujur.
Adelia mengerutkan wajahnya, tanda tidak setuju dengan kata-kata
Suffian. Apa yang Adelia ketahui, selama
setahun berada di kampus, Mikhael tidak mempunyai teman wanita, biarpun ramai
yang mengejarnya. Sewaktu Mikhael
mendekatinya, status Mikhael juga solo.
“Dah kenal dia setahun. Dia tak ada girlfriend pun. Salahkah adik berkawan dengannya?”Adelia bersuara
mempertahankan pendiriannya.
“Berkawan tu tak salah. Bawaklah jumpa abang. Abang bukan percaya sangat anak-anak tan sri
ni. Tak tau sejauh mana ikhlasnya
berkawan dengan perempuan,”Suffian meneruskan hujahnya.
“Ala, abang pun anak datuk, tapi ok kan? Ikhlas dengan Kak Amanda,”Adelia terus
mempertahankan Mikhael.
“Abang lain. Lelaki sejati. Bukan typical Malay man yang menjadikan
perempuan barang mainan. Betul tak
mama?”Suffian ketawa. Begitu juga dengan
Datin Hanim. Cuma Adelia yang tidak
ketawa.
Peristiwa Abang Suffian
meragui keikhlasan Mikhael itu telah setahun berlalu. Ternyata tekaan Abang Suffian terhadap
Mikhael meleset. Mikhael tidak curang
dan tidak berfoya-foya dengan perempuan lain seperti tekaan Abang Suffian. Setahun menerima kehadiran cinta Mikhael,
menyempurnakan kehidupan Adelia yang telah bahagia bersama mama, daddy dan
Abang Suffian. Adelia Saffya dan Syed
Mikhael merupakan pasangan popular di kampus yang hangat diperkatakan. Siapa tidak mengenali Syed Mikhael, gadis
mana di kampus yang tidak menggilainya, dan lelaki mana di kampus yang tidak
mencemburuinya. Seingat Adelia,
Tina, teman sebiliknya juga pernah jatuh
hati terhadap Mikhael. Namun, setelah
melihat kecenderungan Mikhael memburu cinta Adelia, Tina akhirnya senyap dari
memperkatakan tentang Mikhael. Perasaan
di dalam hati Tina, Adelia tidak pernah tahu, samada telah melupakan Mikhael
atau masih menggilai Mikhael kekasihnya.
Adelia
membaringkan badannya di katil. Tina
menjelingnya sejenak.
“Macam ada masalah saja! Kau kenapa?”Tina akhirnya rimas melihat
Adelia yang keresahan itu.
Adelia tidak menjawab soalan Tina
serta-merta. Otaknya ligat berfikir
samada mampu mempercayai teman sebiliknya itu atau tidak.
“Ah, belum masanya aku berkongsi masalah
dengan sesiapa,”hati Adelia berbisik perlahan.
“Gaduh dengan abang aku saja. Mama pulak sebelahkan abang,”Adelia
membohongi Tina.
“Ekh!
Gaduh? Kau kan adik kesayangan abang kau tu. Siapa?
Namanya?”Tina seperti tidak puas hati dengan jawapan Adelia.
“Abang Suffian. Biasalah, sejak dia bertunang ni, busy
memanjang. Tak pedulikan aku dah,”Adelia
terus-terusan mencipta cerita bagi membohongi teman sebiliknya itu. Tina ketawa.
“Dah dia ada tunang, haruslah dia
busy. Tak kan beri tumpuan kat kau
kot. Tak sesuailah,”Tina ketawa lagi.
Tina
keluar dari bilik. Kini tinggal Adelia
keseorangan. Ingatnnya kembali lagi
kepada Mikhael kekasihnya. Apa reaksi
Mikhael jika mengetahui status dirinya?
Adelia Saffya bukanlah anak orang kenamaan. Dirinya anak golongan bawahan tentunya, yang
Adelia sendiri belum pernah kenali.
Perlukah merahsiakan perkara ini dari Mikhael? Hati Adelia semakin resah. Sudikah Mikhael mempunyai kekasih seorang
perempuan yang belum tentu asal keturunannya?
Adelia mencapai telefon bimbitnya.
Hatinya berbelah-bahagi samada mahu menghubungi Mikhael atau tidak.
TAJUK:MELBOURNE,
AKU INGIN PULANG
Bab
1
Adelia
Saffya bangun dari baringnya, dan duduk termanggu di birai katil. Hatinya tidak gembira dengan keputusan yang
dibuatnya sendiri pagi itu. Keputusannya
yang ponteng kelas dan mahu melepak seharian di rumah sewa. Perlahan, Adelia bangun menuju ke arah almari
pakaian, di mana tergantung tuala di luarnya.
Tuala berwarna merah menyala itu ditarik lembut. Adelia membuka pintu bilik. Suasana di luar bilik telah sunyi sepi. Tentunya rakan-rakan serumah Adelia seramai 5

No comments:
Post a Comment