Melbourne,
Aku Ingin Pulang
Bab
3
Adelia
Saffya turun dari kereta dengan begitu berhati-hati. Suffian mematikan enjin keretanya dan turut
menemani Adelia turun. Adelia
memerhatikan rumah kampung yang cukup sederhana di hadapannya. Rumah papan bertangga batu itu diteliti
lama. Di situlah sepatutnya Adelia
membesar bersama kedua ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain. Rumah itu beratapkan zink yang telah berkarat
dan berdindingkan papan yang telah usang.
Bilik air terdapat di luar rumah, berhampiran dengan reban ayam yang mengeluarkan
bau yang tidak enak kepada hidung Adelia dan Suffian. Rumah tersebut terlalu usang, pastinya tidak
sesuai untuk seorang yang bergelar anak datuk untuk sekian lama menghuninya. Adelia berjalan menghampiri tangga rumah
papan tersebut. Niatnya cuma satu hari
ini. Mahu mengenali siapa sebenarnya ibu
yang telah mengandungkan dirinya selama sembilan bulan, dan siapakah ayahnya
serta siapkah darah dagingnya yang lain.
Apabila tiba di hadapan tangga rumah, Adelia berhenti. Suffian yang membuntuti Adelia memberi salam
kepada tuan rumah.
“Assalamualaikum,”Suffian memberi salam
sambil meninjau-ninjau ke bawah rumah.
Adelia menanti dengan sabar salam Suffian berjawab. Masih tiada jawapan dari dalam rumah.
“Assalamualaikum,”giliran Adelia pula
memberi salam kepada tuan rumah.
“Waalaikumussalam.”
Hati Adelia berdebar kencang mendengar salamnya berjawab. Suara perempuan yang menjawab salam tersebut
amat dinantikan oleh Adelia untuk membuka pintu. Pintu usang dibuka dari dalam perlahan. Terlihat
oleh Adelia seorang perempuan tua yang berwajah lembut
memandangnya. Perempaun tersebut
berjalan menuruni tangga. Penampilan
perempuan itu cukup sederhana, mewakili rumah yang dihuninya juga. Baju kurung kedah yang berkedut seribu, kain
batik yang lusuh dan anak tudung yang telah kusam membaluti sekujur tubuh
perempuan di hadapan Adelia dan Suffian.
“Anak berdua cari siapa?”Perempuan tua
tersebut bertanya perlahan.
“Ibu ke?
Puan Rosnah? Ini anak ibu,
Sarah,”Adelia berkata perlahan.
Serta-merta wajah perempuan tua tersebut berubah. Perempuan tua tersebut berjalan laju menuruni
anak tangga memeluk Adelia. Air matanya
menitis laju. Adelia yang berada di
pelukan perempuan tua tersebut hanya berdiam diri, kaku, tidak tahu apa yang
harus dilakukannya.
“Anak ibu. Sarah. Kau balik jugak akhirnya. Dah lama ibu nak peluk Sarah. Dah lama nak,”Rosnah berkata sambil
meleraikan pelukannya terhadap Adelia.
Adelia menyalami tangan ibu kandungnya.
“Jom naik jom!”Rosnah menarik tangan
Adelia menaiki tangga. Adelia menurut
sahaja, sambil menoleh ke belakang mengharap Suffian mengikutnya naik ke atas
rumah. Suffian membuka kasut dan
mengikut Adelia yang telah masuk ke dalam rumah.
Suffian
tiba di ruang tamu di mana Adelia dan ibu kandungnya sedang duduk. Pandangan mata Suffian melihat keseluruhan
ruang tamu rumah tersebut. Tiada
sebarang perabut di dalam ruang tamu. Dinding
dihiasai dengan permaidani tipis yang bercorak Kaabah, langsir yang
telah pudar warnanya dan gambar-gambar lama yang terlekat di dinding. Hati Suffian resah tiba-tiba. Bagaimana nanti jika Adelia mengambil
keputusan untuk tinggal bersama keluarga kandungnya itu. Selesakah Adelia nanti?
“Ibu buat air dulu. Oh ya, ni siapa, Sarah?”
Rosnah memandang Suffian yang berwajah
gelisah di depannya.
“Saya Suffian. Abang Adelia.
Eh, abang Sarah,”serentak itu Suffian menyalami Rosnah. Rosnah menyambut huluran tangan Suffian.
“Ibu buat air dulu ya, sayang,”Rosnah
berkata perkara yang sama sambil memandang lembut wajah Adelia. Rosnah bangun dengan kepayahan dari duduknya.
“Ibu, tak payahlah susah-susah. Adel, eh, Sarah dah minum tadi,”Adelia
bersuara perlahan.
“Sarah tak sudi minum di rumah ibu? Takut kotor?”Rosnah memandang Adelia dengan
penuh kasih-sayang. Adelia merasa cukup
bersalah mendengar kata-kata ibunya.
“Bukan macam tu. Biar Sarah tolong ibu buat air.”
Adelia bingkas bangun mendapatkan
ibunya. Adelia dan Rosnah berjalan ke
dapur, meninggalkan Suffian keseorangan di ruang tamu.
Tiba di dapur, Adelia
memerhatikan persekitaran dapur yang usang milik ibunya. Terdapat sebuah peti sejak yang telah lanjut
usia, sebuah meja makan, sinki yang senget hampir menyembah bumi dan sebuah rak
pinggan-mangkuk yang juga usang.
“Mengapa Sarah? Sarah jijik ya?”Rosnah seolah-olah membaca isi hati anak perempuannya itu. Adelia yang menyedari tingkah lakunya
memerhatikan persekitaran dapur itu menimbulkan kesedihan di hati ibunya,
cepat-cepat membetulkan keadaan.
“Ibu ni.
Tak baik salah sangka. Sarah buat
air ya?”
Adelia bergerak menghampiri peti sejuk
dan membukanya untuk mencari ketulan ais.
Setelah menjumpai bekas yang mengandungi ketulan ais, Adelia membawanya
ke sinki untuk dikeluarkan.
“Mana jag, bu?”Adelia memandang ibunya
yang sedang asyik memerhatikannya.
“Bu!”Adelia mengejutkan Rosnah.
“Apa Sarah tanya tadi?”
Rosnah ternyata tidak mendengar soalan
yang diajukan oleh Adelia.
“Sarah tanya, mana jag air. Ibu ni berangan ya? Sarah tau, ibu rindu Sarah kan?”Adelia
memandang ibunya mesra. Adelia melihat
air mata ibunya jatuh berlinangan.
Adelia sungguh serba salah.
Adelia mendekati ibunya.
“Kan Sarah dah balik ni. Anak ibu dah balik. Senyum sikit,”Adelia memujuk hati ibunya.
“Sarah tak marahkan ibu? Tak salahkan ibu? Ibu tak mampu menghalangnya. Ibu minta maaf, sayang,”Rosnah mengesat air
matanya dengan tangan. Adelia terharu
dengan kata-kata ibunya walaupun tidak memahami cerita ibunya itu. Perlahan Adelia menggenggam tangan ibunya.
“Sarah tak salahkan ibu. Percayalah.
Ayah mana bu? Sarah ada
adik-beradik lain?”Adelia cuba untuk melupakan kesedihan ibunya itu.
Adelia
keluar dari dapur dengan menatang dulang berisi jag air dan tiga biji
gelas. Perlahan Suffian menyambut dulang
tersebut. Adelia duduk bersimpuh di
lantai dan ikuti oleh ibunya.
“Mak cik ni susah-susah saja. Kami baru minum tadi,”Suffian berkata penuh
simpati memandang Rosnah.
“Itu di tempat lain. Ini di rumah mak cik. Tak kan tak sudi. Sarah, buat apa termenung pulak! Tuang air tu untuk abang. Mesti haus.
Panas ni,”Rosnah mengejutkan Adelia yang asyik memerhatikan
gambar-gambar yang terlekat di dinding.
Adelia menuang air di dalam jag ke dalam tiga biji gelas yang dibawa
bersamanya tadi. Adelia menghulurkan
gelas berisi air sirap tersebut kepada ibunya.
Rosnah menyambut gelas yang dihulurkan oleh Adelia. Huluran gelas untuk Suffian, disambut pantas
oleh Suffian yang sememangnya sedang kehausan.
“Sedap adik buat air. Sebab selalu sangat buat kan?”Suffian
mengusik Adelia. Rosnah tersenyum, cukup
memahami status Adelia sebagai anak kesayangan Datuk Aman Zainal dan Datin
Hanim, tentunya jarang ke dapur.
“Sarah tak nak tidur sini? Ibu teringin sangat nak tidur dengan anak
ibu. Lebih dua puluh tahun ibu tak
jumpa, tak cium, ibu minta maaf, Sarah.”Air mata Rosnah gugur lagi walaupun
cuba ditahan olehnya. Adelia mengesot
mendekati ibunya, serentak itu Adelia memandang wajah abangnya, Suffian untuk
meminta keizinan. Suffian mengangguk
perlahan.
“Malam ni Sarah tidur sini. Ibu nak masak apa untuk Sarah? Teringin Sarah nak rasa masakan ibu,”Adelia
berkata perlahan setelah mendapat keizinan Suffian. Rosnah berwajah ceria, mengesat air matanya
dan memandang wajah Adelia dalam-dalam.
Rosnah cuba mencari kejujuran di wajah Adelia.
“Betul ni? Tak kisah tidur di rumah ibu?”Rosnah bertanya
memohon kepastian. Adelia mengangguk
sambil tersenyum.
Senja
itu di rumah ibu kandung Adelia. Adelia
menyambut kain batik, baju kurung Kedah, tuala dan telekung yang dihulurkan
oleh ibunya.
“Terima kasih, bu,”Adelia tersenyum memandang
ibunya.
“Ayah balik pukul berapa bu?”Adelia
tiba-tiba teringat akan ayah kandungnya.
Rosnah memandang tepat wajah anak bongsu kesayangannya, yang telah
terpisah sekian lama.
“Ibu tak tau, Sarah. Mungkin ayah balik rumah isteri mudanya. Kadang dua, tiga hari sekali baru balik
jenguk ibu. Abang Sarah pulak, sama
macam ayah juga. Nak balik, dia
balik. Tak nak balik, ibu lah duduk
sorang-sorang di rumah buruk ni,”Rosnah akhirnya berterus-terang. Adelia menelan air liur mendengar penjelasan
dari ibunya.
“Ayah kerja apa bu?”Adelia masih ingin
mengetahui perihal ayahnya dengan lebih terperinci.
“Ayah bawak teksi. Tu sangkut dengan perempuan kelab malam yang
sewa teksinya tiap malam tu. Entahlah
Sarah. Bilalah agaknya ayah Sarah nak
berubah. Eh, cepatlah mandi. Nanti dah gelap, Sarah takut pulak nak turun
rumah. Ibu nak masak ni. Ni pertama kali Sarah makan masakan ibu kan?”
Rosnah
berlalu ke dapur. Jelas di mata Adelia
akan keuzuran ibunya itu. Hati Adelia
sayu tiba-tiba. Bagaimana ayah
kandungnya tergamak untuk memperlakukan ibunya sedemikian rupa. Adelia berkira-kira, jika dirinya telah mempunyai
kerjaya, tentunya mampu untuk menyara
ibunya itu.
“Bagaimana aku harus menolong ibuku itu?”Hati
Adelia berkata sendirian.
“Sarah!
Cepat mandi!”
Laungan dari Rosnah mengejutkan Adelia.
“Baik, bu,”Adelia pula menjerit membalas
ayat perintah dari ibunya itu.
Adelia membawa kain batik, baju kurung
Kedah dan tuala berjalan pantas menuju ke bilik air. Lampu bilik air dipasang. Bilik air tersebut bercampur dengan tandas di
dalamnya. Kolah kecil yang terdapat di
dalam bilik air tersebut agak berlumut dan air di dalamnya meragukan perasaan
Adelia untuk menggunakannya. Adelia
memerhatikan pula dinding papan di atas dinding simen di depannya. Dinding papan tersebut telah reput dan
terdapat lubang-lubang kecil. Perasaan
was-was jika ada orang di luar bilik air akan memerhatikannya menguasai Adelia
tiba-tiba. Adelia mengucap panjang. Cuba menenangkan dirinya sendiri. Dengan pantas Adelia menukar pakaiannya
kepada kain batik yang terdapat di dalam bilik air tersebut. Adelia mandi dengan pantas.
Selesai
solat Maghrib, Adelia mencari ibunya di dapur.
Rosnah tidak lekang dengan senyuman menyambut kehadiran Adelia. Adelia memandang hidangan yang telah siap
terhidang di atas meja. Ikan temenung
goreng, sambal telur, sayur goreng taugeh, dan sambal belacan benar-benar
membangkitkan selera Adelia.
“Sedapnya. Boleh makan sekarang?”Adelia mula bermanja
dengan ibunya.
“Tak boleh. Sarah kena buat air dulu. Baru boleh makan,”Rosnah menjawab laju.
Adelia mendekati ibunya.
“Ibu nak air apa?”
“Apa-apalah saja. Malam ni mesti berselera ibu makan. Selalu ibu makan sorang saja,”Rosnah berkata
perlahan. Adelia dengan pantas mengambil
jag air di rak pinggan mangkuk.
“Sarah buat air sirap lagi ya, bu?”
Rosnah
mengambilkan ikan goreng, sambal telur dan sayur taugeh untuk Adelia. Hatinya benar-benar gembira malam itu, malam
bertuah di mana dirinya dapat menikmati makan malam pertama bersama anak
gadisnya yang telah berpisah lebih 20 tahun.
Namun begitu, kegelisahan tetap ada di hati Rosnah. Sukakah Sarah dengan makanan yang dimasaknya
itu? Layakkah seorang anak kesayangan
datuk menjamah makanan yang serba kekurangan itu?
“Ibu tak makan ke? Sedapnya sambal telur ni. Sarah suka.
Ada manis-manis campur masam sikit,”Adelia berkata sambil mulutnya
mengunyah nasi dan sambal telur.
“Kalau sedap, Sarah makan banyak
sikit. Betul ke sedap?”Rosnah bertanya
meminta kepastian. Adelia tersenyum
mendengar soalan curiga dari ibunya.
“Betullah, bu. Tak kan Sarah nak bohong pula. Ibu makanlah.”
Adelia dengan pantas mengambilkan ikan
goreng untuk ibunya, diikuti oleh sayur taugeh dan sambal belacan. Hati Rosnah amat terharu dengan tingkah-laku
Adelia itu.
“Selalu ibu makan sorang-sorang macam
ni?”
“Haa.
Nak buat macam mana. Dah nasib
ibu. Nanti Sarah datang selalu makan
dengan ibu ye? Temankan ibu,”suara
Rosnah berbau sebak.
“Mesti datang selalu punya. Ibu jangan risau. Nanti kita masak sama-sama. Sarah suka ayam masak merah. Mama selalu masakkan untuk Sarah. Nanti ibu pulak masak untuk Sarah ya?”
Rosnah memandang sayu wajah anaknya
itu. Hatinya terasa juga mendengar
cerita Adelia berkenaan Datin Hanim.
Rosnah menguasai keadaan, dan menjamah nasi di pinggannya perlahan.
Adelia
memandang wajah ibunya yang telah lena di sebelah. Wajah tua yang dimamah usia yang kejam itu
dilihatnya agak kepenatan. Tentunya
ibunya kepenatan memasak makan malam untuk dirinya. Adelia masih tidak dapat melelapkan
matanya. Hatinya amat terharu melihat
hari-hari tua ibunya yang keseorangan.
Apakah daya yang ada pada dirinya kini?
Tiba-tiba Adelia teringat akan telefon bimbitnya. Adelia bergerak perlahan-lahan untuk turun
dari katil. Adelia mengeluarkan telefon
bimbit dari dalam beg galasnya. Terdapat
dua panggilan yang tidak berjawab. Satu
dari mama dan satu dari Abang Suffian tentunya.
WhatsApp dari Abang Suffian dibacanya berulang kali. Terasa lucu dengan kata-kata yang ditulis
oleh Abang Suffian. Abang Suffian
terlalu bimbangkan dirinya, Adelia tersenyum sendirian.
“Adik,
jika ada apa-apa yang mencurigakan, call abang segera. Jaga diri.
Esok nak balik pukul berapa? “
Adelia cukup sedar betapa Suffian
menyayanginya, amat risau akan keselamatannya.
Ada kalanya Adelia merasakan kasih-sayang Suffian melebihi kasih-sayang
Mikhael terhadapnya. Adelia duduk di
tepi katil, menggenggam telefon bimbitnya.
Fikiran Adelia menerawang mengingati lelaki bergelar kekasihnya
itu. Syed Mikhael Tan Sri Syed
Mustapha. Sampai bilakah rahsianya perlu
disembunyikan dari Mikhael. Adelia
menongkat dagu di dalam kegelapan malam di dalam bilik sempit di rumah ibu
kandungnya.
Sayup-sayup
azan Subuh berkumandang, kedengaran merdu di telinga Adelia.
“Sarah, bangun sayang. Solat Subuh.”
Rosnah menggoyangkan kaki Adelia. Adelia mengeliat malas, dan membuka
matanya. Rosnah bangun memetik suis
lampu bilik. Bilik menjadi terang
benderang.
“Ibu masuk bilik air dulu.”
Rosnah bergerak membuka pintu dan meninggalkan
Adelia. Adelia menarik selimutnya ke
paras dada. Dingin pagi yang mencengkam
di kawasan kampung betul-betul menyejukkan suasana pagi. Adelia kembali terlelap. Masa berlalu, Rosnah kembali ke dalam bilik.
“Ish, budak ni. Tidur lagi?”Rosnah membebel seorang
diri.
Rosnah menggoyangkan kaki Adelia sekali
lagi, kali ini lebih kuat.
“Sarah!
Bangun. Nanti waktu Subuh habis.”
Serentak itu selimut Adelia ditarik
perlahan. Adelia kesejukan, lantas
bangun dengan begitu liat sekali.
“Ibu, sejuk ni. Gelap tak kat bawah?”Adelia bertanya malas.
“Kan lampu ada. Lagi pun kan dah pagi ni. Takut apa.
Dah, bangun cepat.”
Rosnah membentang sejadahnya dan memakai
telekung. Adelia berjalan dengan malas
keluar dari bilik menuju bilik air yang terletak di luar rumah. Setelah mengambil wuduk, Adelia berjalan
semula naik ke rumah. Sampai di bilik,
Adelia melihat ibunya menadah tangan sedang berdoa. Adelia dengan cepat memakai telekung untuk
menunaikan solat Subuh bersebelahan dengan ibunya yang sedang berdoa.
Adelia
kembali ke katil dan menarik selimut selepas menunaikan solat Subuh. Ibunya telah keluar dari bilik meninggalkan
Adelia keseorangan.
“Seronoknya jumpa ibu! Sayang ibu!
Sayang mama! Aku ada dua orang
emak. Thanks Allah. Seronoknya!”Adelia berkata gembira seorang
diri. Adelia sedar, hidupnya amat
bertuah, dilingkari kasih-sayang dari dua orang ibu, seorang ayah angkat yang
baik, seorang abang angkat yang begitu menyayanginya, dan juga kekasih hati
yang mempesonakan.
“Kekasih hati?”Hati Adelia bertanya
curiga.
“Camner kalau Khael lari lepas tau aku
anak angkat daddy dan mama? Oh,
tidakkkk!”
“Ah, tidak mungkin. Khael cintakan aku!”Adelia berkata tegas,
sekaligus meranapkan curiga di hatinya.
“Semua pasti ok. Dan aku boleh pergi bumi kangaroo itu dengan
gumbiraa!”
Kenangan Adelia sewaktu bercuti bersama
keluarnya ke bumi kanggaru itu, kini menjelma semula di ingatan Adelia.
Ladang
Chesterfield, Victoria.
“Mama tengok adik dah jadi betul-betul
macam Koboi Aussie!”Datin Hanim ketawa.
“Mama, adik tak nak baliklah. Tak puas ni nak peluk kangaroo. Kenapalah kat KL tak ada kangaroo dan koala
pujaan adik ni?”
“Jangan mengarut. Lusa kita kena balik dah. Mana abang dan daddy ni?”
“Abang kata nak picit puting lembu
dengan daddy tadi. Jom mama. Kita ikut abang dan daddy!”
Adelia dan Datin Hanim berjalan menuju
bangsal tempat lembu-lembu dipelihara pula.
“Adik futher study kat sini, ya mama?”
“Kat farm ni?”Datin Hanim ketawa lagi.
“University of Melbourne! Dekat dari farm ni!”Adelia ketawa pula.
“Tanya abang dan daddy. Mama ok saja!”
Ingatan Adelia tentang Ladang
Chesterfield dan University of Melbourne terganggu apabila telefon bimbitnya
menjerit-jerit minta diangkat. Adelia
menjawab panggilan Suffian dengan nada malas.
“Abang nak apa? Kacau adik pepagi buta ni? Adik tengah berangan tau!”
“Berangan apanya ni? Ni mesti di katil lagi kan? Bangunnnn!!Suffian menjerit di talian. Jeritan Suffian benar-benar membingitkan
telinga Adelia.
“Ibu tak kisah pun. Abang ni.
Seronok tau, sejuk kat kampung ni.
Abang jealouslah tu ya? Ni mesti
kena paksa jogging dengan Kak Amanda.
Boring ke?”Adelia ketawa.
“Tau tak apa. Adik nak abang jemput pukul berapa ni?”
“Petanglah. Ibu mesti nak bermanja-manja lagi dengan
adik. Bye-bye Abang Suffianku. Mesti ibu dah sediakan sarapan ni,”Adelia
ketawa lagi sambil mematikan talian.
Adelia bangun dari pembaringan, duduk
dan melipat selimutnya. Kain selimut
yang telah kusam itu dilipat dan dipeluk erat.
Walaupun baunya kurang menyenangkan, itulah selimut ibu kandungnya. Selimut yang menemani malam-malam sepi dan penuh
rindu ibunya kepada dirinya. Sungguh
Adelia menyayangi ibu kandungnya itu.
“Ibu
masak apa ni? Wanginya bau. Haa, Sarah tau. Ibu masak nasi lemak kan? Nak-nak makan!”Adelia mendekati ibunya.
“Puas tidur anak ibu? Seronok tidur balik pagi-pagi? Kat sini
sejuk, tak payah air-cond macam rumah Sarah kat bandar tu.”
“Seronok sangat. Tadi Abang Suffian kacau. Tu bangun tu.
Tapi memang syak, ibu masak sarapan sedap. Tu terus ke dapur tu,”Adelia tersenyum manja
memandang ibunya.
“Ha, apa lagi? Duduklah makan. Nanti sejuk kurang sedap pulak.”
Adelia menarik kerusi, lalu duduk.
“Yes, bos!”Adelia mencedok nasi lemak ke
dalam pinggan. Satu pinggan untuk
dirinya, dan satu lagi buat ibunya. Nasi
lemak berlaukan telur rebus, dan sambal ikan bilis tersebut, Adelia makan
dengan penuh berselera sekali. Bagi
Rosnah pula, merasakan hidangan nasi lemak tersebut serba kekurangan untuk
disajikan kepada anak kesayangannya. Namun
begitu, apakan daya dirinya. Itulah
sahaja yang ada di dapurnya pagi itu.
“Dah
berapa hari ayah tak balik, bu?”Adelia bertanya tentang ayah kandungnya kepada
Rosnah. Rosnah tidak terus menjawab,
sebaliknya mencedok sambal ikan bilis untuk dirinya.
“Dah dua hari. Mungkin malam ni balik kot. Takut juga dia, dibuatnya ibu mati
sorang-sorang di rumah ni. Abang Sarah
pun sama. Entah tidur di mana
entah. Dah tiga hari tak balik,”Rosnah
menjawab jujur.
Kesedihan dan air mata sudah lali bagi
dirinya. Rosnah merasakan mendapat sinar
baru dalam hidupnya dengan kepulangan Sarah ke dalam hidupnya.
“Abang kerja kat mana, bu?”Adelia
bertanya lebih lanjut perihal abang kandungnya.
“Entahlah Sarah. Ibu tak tau.
Abang Sarah tu,...”Rosnah berhenti di situ. Adelia pelik mendengar jawapan ibunya yang
tergantung begitu. Hatinya melonjak
ingin tahu apakah yang berlaku terhadap abang kandungnya itu.
“Kalau dia balik nanti, Sarah tengoklah
sendiri,”Rosnah berkata perlahan. Adelia
menduga tentunya ada yang tidak kena terhadap abangnya itu. Adelia tidak bertanya lebih lanjut,
sebaliknya menghabiskan nasi lemaknya dengan senyap. Rosnah memerhatikan tingkah-laku anak
perempuan tunggalnya itu. Baik, lemah
lembut, menghormati orang tua dan masih menerima kemiskinan yang diwarisi oleh
keluarga kandungnya. Rosnah amat
berterima kasih kepada Datuk Aman Zainal dan Datin Hanim yang baginya berjaya
mendidik Adelia. Rosnah mengucap syukur
di dalam hati.
****
Amanda berlari
perlahan mengekori Suffian yang agak jauh meninggalkannya. Kepenatan menguasai diri Amanda yang
sememangnya manja dan lemah itu. Amanda
berhenti dari meneruskan lariannya. Suffian
yang semakin ke depan tidak menoleh ke belakang lagi.
“Sayang!”Amanda memanggil Suffian
kuat. Suffian pantas menoleh.
“I tak larat dah. Tunggu i!”Amanda berkata manja.
Suffian berlari anak mendekati Amanda.
“Tak sampai pun setengah jam berlari,
dah penat? Manja betul. U tunggu sinilah. I nak lari satu pusingan tasik lagi,”Suffian berkata
sambil berlari meninggalkan Amanda.
“Sayang!”Amanda menjerit memanggil
Suffian. Suffian tidak mempedulikan
Amanda, sebaliknya hanya mengangkat tangannya tanpa menoleh. Amanda memandang Suffian yang semakin menjauh
dengan geram. Amanda berjalan malas
menuju kerusi yang berada di depannya.
Amanda duduk dan masih memerhatikan Suffian yang terus berlari. Lelaki bergelar tunangannya itu telah tiga
tahun dikenalinya. Segala-galanya
bermula dengan majlis hari jadi teman baiknya, Melissa. Suffian merupakan sahabat kepada kekasih
Melissa ketika itu, Hanafi. Pertama kali
melihat jejaka tampan tersebut, hati Amanda telah berdetik. Hatinya telah terpesona dengan pandangan mata
yang pertama terhadap Suffian.
“Ni kawan baik Hanafi, Suffian!”Masih
jelas di ingatannya bagaimana Melissa memperkenalkan dirinya kepada Suffian
pada malam itu.
“Hi, i Suffian. U look great tonight,”Suffian memberikan
pujian. Salam yang dihulurkan oleh
Suffian disambut dengan gembira oleh Amanda.
Setelah Suffian berlalu. Melissa merapati Amanda, dan berbisik
perlahan.
“Anak datuk tu!”
Setahun
mengejar Suffian, akhirnya jejaka tampan kegilaan ramai tersebut jatuh juga
menagih cinta Amanda. Amanda membuang
terus lelaki-lelaki lain di dalam hidupnya setelah memperoleh cinta Suffian. Fasa percintaan mereka, bergerak ke fasa
kedua apabila ikatan pertunangan termetri di antara mereka. Amanda cukup yakin telah memperoleh cinta
Suffian, namun ada satu perkara yang masih menjadi duri di hati Amanda sejak
dulu. Suffian terlalu menyayangi
adiknya, Adelia. Kadang-kadang Amanda
merasakan Suffian lebih menyayangi Adelia berbanding dengan dirinya. Kenyataan yang diberitahu oleh Suffian
berkenaan status Adelia pada awalnya amat menggembirakan dirinya. Tentunya segala aset milik Datuk Aman Zainal
akan menjadi milik Suffian dan dirinya sahaja.
Apa yang lebih tepat Amanda mengharapkan hubungan di antara Suffian dan
Adelia akan renggang atau pun putus.
Tekaan Amanda ternyata meleset sama sekali. Suffian lebih mengambil berat dan lebih risau
akan adik angkatnya itu berbanding dahulu.
Sungguh Amanda tidak menyukainya.
Amanda melepas keluhan yang agak
berat. Jika difikirkan lebih
mendalam, bukankah status Adelia kini lebih memberi ancaman kepadanya. Bagaimana jika kasih-sayang Suffian terhadap
Adelia berlebihan dan sama seperti Suffian menyayanginya. Ah, mengarutlah! Amanda mengusir perasaan risaunya.
“Berangan!”
Suffian muncul tiba-tiba di tepi
Amanda. Lamunan Amanda tentang
kegelisahannya memikirkan hubungannya dengan Suffian hilang.
“Cepatnya sayang. I baru nak berangan ni,”Amanda menjawab
lembut, mesra dan seperti biasa mempunyai tarikan tersendiri.
“Berangan apanya. Panas-panas ni. Matahari pagi dah muncul ni.”
“Petang ni? Teman i shopping?”Amanda merengek manja di
depan Suffian.
“Sorry, sayang. Petang ni i nak jemput adik di rumah maknya
di Ulu Langat. Next week ok my
baby,”Suffian berkata lembut. Air
mineral di tangannya di buka dan diminum perlahan. Amanda terdiam, tanda protes terhadap
kata-kata Suffian. Suffian yang memahami
keadaan tersebut, perlahan duduk di sisi Amanda.
“Semalam i hantar adik rumah ibu
kandungnya. Adik tidur sana. So, kenalah ambik petang ni. Adik tak bawa kereta. Tak kan nak biarkan dia balik naik
teksi. If jadi apa-apa pada adik
macamana? Dialah satu-satunya adik
i,”panjang lebar jawapan Suffian memujuk hati Amanda yang bercelaru. Amanda masih diam.
“Next weeklah. Seharian i teman u shopping. Boleh?
Nak beli apa pun boleh!”Suffian meneruskan pujukannya kepada Amanda. Amanda tersenyum mendengar baris terakhir
ayat dari Suffian.
“Promise sayang?”Amanda meraih tangan
Suffian.
“Promise. Tak naklah merajuk selalu. Penat Fian.”
“If sayang mungkir janji?”Amanda agak
ragu dengan janji yang dibuat oleh Suffian.
“Pernah i mungkir janji? U ni baby!”
No comments:
Post a Comment